Terjamah fikiran leka
ke hamparan langit dunia
hitam zulmat gelap gelita
ditompoki warna emas kejora
yang kemilau menerpa bebola mata.
Terpana menangkap bayang
awan putih berwajah tenang
rompol kapas melayang-layang
bagaikan bercerita tentang rasa riang
meninggalkan duka yang silih berulang
pada tahun perit dipenuhi jiwa walang
hingga berkali-kali meratapi takdir malang.
Terdidik kealpaan
terjana kecerdikan
dalam kemusnahan musibah
pasti ada tercalit hikmah
tika dunia meratap kehilangan
masih ada yang tersedu kegembiraan
saat letih melawan jangkitan
masih mampu mengutip ganjaran
tatkala dunia diselimuti zulmat
masih ada baldu putih menebar nikmat.
Malam tahun baharu ini
Disember melangkah ke Januari
walau esok masih misteri
namun usah berhenti berperi
dalam doa kepada Ilahi
agar ada harapan menyinari
di 2021 yang dinanti-nanti.
Oleh:

AudeaFreya.
31 Disember 2020.
TAMAT.