
Tarikh ini muncul kembali,
Rianglah hati teringin menari,
Terlihatlah cermin tertanyalah diri,
Benarkah kenal identiti sejati?
Tahun 61 idea berbunga,
Kempen 59 putik pun tiada,
Warga 3S dipungutlah suara,
11 negeri bilakah ditanya?
Minda menilai lensa berbeza,
Pelbagai persepsi dan versi sejarahnya,
Walau diteriak dikibar bendera,
Benarkah yang ditafsir perkara yang sama?
“Gagasan ini gagasan baharu”,
Atau penyambung kesultanan terdahulu,
Tiga bergabung setaraf sekufu,
Ayuh dicari akar yang satu.
Bukan menjolok sarang tebuan,
Cuma mengajak jujur perbincangan,
Andai tak sayang tiadalah terkesan,
Biarlah jelas ‘tuk masa hadapan.
Ke hadrat Ilahi disembahkan puji,
Dirgahayulah tanah seluruh negeri,
Ayuh kita tenang berdiskusi,
Tegaskan identiti tanpa emosi.
Oleh:

Ekhwan Rusli.
Nilai, Negeri Sembilan
15 Sept 2020.
TAMAT.