(sempena Ogos, bulan kemerdekaan)
Anak-anakku
telah habiskah menelaah
helaian bangsa kita ?
luka kesultanan Melayu
disiat-siat bangsa Portugis dan Belanda.
raja dan pembesar Melayu dikotak-katikkan di atas helaian kertas dinamai perjanjian, luluh seluruh
Perjanjian London
Perjanjian Pangkor
siapakah tuan, siapakah kita ?
( ii )
anak-anakku
telah habiskah menelaah
cerita duka bangsa kita ?
cerita bangsa Ratu Elizabeth II
menconteng maruah Melayu
melacurkannya atas nama Jus Soli
memulas kepala sultan
dengan liciknya Sir Harold MacMichael
lukanya panjang
hingga kini
tatkala
membicarakan
kuasa ekonomi
bangsa.
( iii )
anak-anakku
benarkah kemerdekaan ini
milik kita ?
pejam seketika matamu
anak-anakku.
di mana jati diri
di mana maruah diri
andai memilih peta hidup
kompasnya rosak di tangan.
Oleh:
ZULKIFLI BIN MOHAMED.
02 Ogos 2020.
Lot 144, Darul Iman.
TAMAT.
Saya selalu kagum dengan tulisan saudara Zulkifli Mohamed.Beliau adalah seorang JURUTERA PUISI YANG GENIUS.semoga beliau terus sihat,gembira dan aktif menulis.
LikeLiked by 1 person