Kumpulan Cerpen

SERI BANANG

2,109,806 Town Photos and Premium High Res Pictures - Getty Images

AKU INGIN HIDUP

eSastera Enterprise, 2020.

BIODATA.

Seri Banang. Telah menghasilkan sajak-sajak di antologi nasional dan Nusantara. Antaranya antologi Wangian Kembang KONPEN 2018, antologi puisi Pertemuan Sasterawan Nusantara Merekat Retak Cermin Nusantara, antologi Banjar Baru’s Rainy Day, antologi Musim Luruh, antologi Perempuan 3 Wajah, antologi Diam Yang Lantang dan terbaru bersama penulis-penulis dari ASEAN dalam antologi Pusaka Melaju yang diselenggarakan oleh Prof. Dr. Irwan Abu Bakar. Puisi juga turut disiarkan di majalah Penyair 2018 juga dipilih untuk mengisi ruangan puisi pilihan Jurnal Pemuisi Bil. 17/2020.

CERPEN

1.

AKU INGIN HIDUP
Oleh: Seri Banang

Bau kuat mencucuk hidung. Sarah cuba mencongak-congak bauan yang menyengat ke hidung.
Beberapa kali dicuba membuka matanya dengan teramat payah seperti digam kejap dan rapat.
Sayup-sayup terdengar namanya dipanggil berulang-kali. Cuba juga diingatnya di waktu yang mana dia
tertidur sehingga ralitnya bukan main.

“ Assalammualaikum! Sarah! Sarah!” Gema suara tersebut bergetar kembali di setiap urat di kedua-dua
pelupuk mata. Hampir terbuka tetapi tertutup semula.

Terasa tangannya ditepuk-tepuk berselang-seli sebutan Allahuakbar. Sarah jadi mengelamun sebentar.
Asar! Katanya dalam hati. Rasanya, dia memang bergegas hendak menunaikan solat sebentar tadi
tetapi kenapa dia boleh tertidur? Mungkin sudah terlajak waktu sebab itu jadinya mamun. Petang
disangka pagi. Dalam hati masih lagi seolah-olah berlawan dengan sesuatu.

“Aku hendak bangunlah!” Gerutu suaranya tersendat namun masih cuba mengawal fikiran.
Sarah tertanya di dalam hati, sebelum tertidur tadi, dia bercakap dengan siapa? Hanya yang dia tahu,
mulutnya terkumat-kamit mengikut bacaan surah 30 juzuk yang berbunyi di dalam kenderaan yang
sedang bergerak.

“Kalau asyik bawa perlahan bila nak sampai nih! Sambil matanya memerhati kenderaan yang berselisih
di lorong kanan jalan dan meter kelajuan yang tidak melebihi 90 kmj. Serasa berlainan dari selalu.
Seperti ada yang tidak kena.

“Laju sikit jer pun tak apa! Asalkan jangan sampai 100!” Suara perempuan di sebelah menegurnya.
Sarah ketawa dan suara itupun ketawa. Dia kenal tetapi pandangannya yang fokus kepada aspal yang
beralun ketika jalan raya melintasi beberapa bukit, menjadikan dia tidak berfikir lanjut tentang
perempuan yang sedang bersamanya.

“Tenggaruh!” katanya walaupun masih lagi dengan berbalam-balam ingatan. Suara Mishary Rashid
Alafasy masih mengalun merdu surah Maryam yang dia suka. Ayat ke berapa, dia tidak ingat tetapi apabila
alunan suara menyebut “Ya! Zakaria!”, air matanya berserebet melepasi tubir. Terkenangkan kesabaran
Nabi Zakaria dan Maryam, anak Imran dan Hanan, yang telah diwakafkan untuk tujuaan amal ibadah
kepada Allah SWT di Baitulmuqadis.

“Sempat sampai ni!” Satu lagi ingatan terpacul. Dia keluar dari satu tempat yang ramai orang tapi
tidak pasti siapa mereka. Kelihatan sebuah ruang yang agak sederhana besar.

“Tak tunggu Asar sekalikah?” Bahunya ditepuk dan suara lembut menegur. Apa yang pasti, dia suka
suara itu dan terasa seakan mesra dan rapat benar mereka berdua.

“Ada sejam lebih! Sempat separuh jalan! Nanti kalau tak sempat, boleh berhenti di Petronas atau Shell,
insya-Allah!” Sambil membayangkan perjalanan yang mengambil masa satu jam setengan lebih kurang
menuju Kampung Sedili. Dia sendiri terasa pelik apabila berkata demikian kerana seolah-olah seperti
sebelum-sebelumnya dia pulang selepas Asar.

“Ah, balik sajalah! Sempat nih!” gumamnya dalam hati.

Sarah nampak kenderaan bertali arus di hadapan. Dia sedang memandu dalam cuaca yang terlihat
rembangnya yang amat berlainan.

“Akak!” Terdengar suara perempuan tadi menjerit di sebelahnya.

“Allah! Ina!” Dia ingat, perempuan itu Marlina pembantu di pejabatnya. Tetapi sekonyong-konyong
kenderaan Hilux putih menghadang perjalanan di hadapan dan melintang. Dia paut stereng keretanya
dan menekan brek sekuat hati dengan harapan kereta akan berhenti serta merta. Fikirannya masih
boleh menimbang seandainya mengelak ke kanan jalan bererti merempuh kenderaan dari hadapan
atau ke kiri jalan merempuh tebing tinggi. Dia memilih untuk terus ke hadapan.

“Allahuakbar!” Itu yang diucapkan sebelum bunyi dentuman kuat dan pandangan mula perlahan
hitam, gelap menurun dari atas ke bawah seolah-olah komputer yang terkena virus. Hanya yang kelihatan
tulisan Bismillah berwarna biru, persis yang ditulisnya pagi tadi di muka buku, melintas pandangan dari
arah kanan ke kiri, kemudian hilang.

Seketika kemudian, pandangan beransur-ansur terang tetapi dalam keadaan seperti semua
pergerakan dapat dilihat sehingga daun-daun yang gugur dari pokok-pokok di atas tebing jalan dapat
diamatinya dengan jelas seperti jarak gugurnya hanya di depan mata. Cahaya matahari mencelah di
celah-celah dahan dan ranting, kelihatan terang tetapi tidak menyilaukan pandangan seperti selalu.
Sarah teringat kisah The Six Milion Dollar Man. Dia binggung.

“Ya Allah! Aku matikah? Sekujur tubuhnya seakan-akan mengiggil lantaran teringat solat yang belum
sempat dilaksanakan tadi.

“ Ya Allah! Aku nak solat! Itu ayat yang diulang-ulang dengan penuh ketakutan dan penyesalan. Dia
cuma menanti hadirnya Izra’il dengan penuh perasaan ngeri sambil membayangkan pecah
ubun-ubunnya ketika ditarik nyawa.

“Ya Allah! Aku nak solat!” Diulang lagi kata-kata tersebut.

“Kak! Kakak!” Suara disebelahnya memanggil berulang kali.

“Ina!” Bisik hatinya.

“Kalau aku dah mati tak ‘kan dengar suara Ina!” Perlahan-lahan bergenang air matanya.

“Alhamdulillah! Ina! Ina okkah?” Sambil dia memaksa kepalanya berpaling untuk memandang Ina di
sebelahnya yang kelihatan pucat kekuningan.

“Itu darah siapa?” Sambil Sarah memandang seketul darah yang terlekat di dashboard kereta, atas
sedikit dari radio kereta perdana keemasan berwarna perak.

“Darah akaklah!” kata Marlina, lemah dan pendek.

Serta-merta baru terasa sakit dibahagian muka dan dada. Suasana tiba-tiba riuh dengan orang-orang
yang entah datang dari mana, tidak terfikir pula akan akalnya yang tidak waras ketika itu.

“Akak! Akak kena keluar cepat!” Terdengar suara lelaki di sisi kanan sambil mengugah pintu kereta
yang sukar untuk dibuka. Goncangan tersebut seperti terasa badannya dipukul-pukul.

“Tolong selamatkan adik saya dulu!” Rayu Sarah sambil memberi isyarat ke arah Marlina, lantaran
baru dia sedar kaki kanannya terkulai dan tangan kanannya juga tidak boleh diangkat.

“Tak apa! Dia, orang lain akan tolong!” Terasa lelaki itu sedang menanggalkan tali pinggang keledar
yang menyangkut tubuhnya di kerusi bahagian pemandu.

“Bila saya kira satu sampai tiga, akak ringankan badan ya! Saya hendak angkat akak keluar!” katanya
lagi.

“Jangan! Jangan! Saya takut kalau ada tulang yang patah sebab dada dan rusuk saya sakit!” celah
Sarah yang semakin ketakutan. Bimbang seperti yang pernah dia pelajari tentang kematian yang di
akibatkan organ dalaman yang tercucuk tulang.

“Cuba tengok belakang saya! Ada darah tak?” soalnya lagi, mengharapkan apa-apa pun tanda yang
boleh dia jadikan sebagai peringatan.

“Akak! Tak sempat dah nih! Takut kereta terbakar!” Lelaki tadi bersuara cemas. Kemudian terasa
tubuhnya disentap dan dia tak ingat apa-apa lagi selepas itu.

Seperti tidur yang terjaga kembali, perasaannya bertingkah semula sama ada dia hidup ataupun sudah
mati. Geletar tubuhnya sangat ketara, terasa berselang-seli dengan sejuk yang ngilu ke tulang
belulang. Sarah dapat rasakan bagaimana roh yang terpisah dari jasad merayu-rayu untuk hidup
semula. Sarah cuba mengingati amalnya. Semakin dia cuba, semakin dia takut. Sejuk dan gigilnya
mengingatkan dia alam kubur.

Sarah cuba amati suara-suara yang dia dengar di sekelilingnya. Dia mencari suara bacaan talqin. Dia
mencari-cari pandangan dari sudut ruh yang melihat semua ahli keluarganya, mengharapkan sangat
bacaan-bacaan yang boleh membantu dan memimpin dia sebelum beredarnya tujuh langkah
meninggalkan dia keseorangan. Bau yang ganjil semakin kuat dan Sarah seperti terkurung menanti
kedatangan Munkar dan Nakir.

“Ya Allah! Ibu! Ayah! Tolong Sarah! Sarah takut!” Terasa tubuhnya basah dengan keringat dan
air mata. Sarah mula membayangkan soalan-soalan yang akan ditanya dan bagaimana nanti jika dia
gagal menjawabnya. Bunyi heretan rantai besi, bunyi hentakkan kaki, dan bunyi siung angin ketika
tubuhnya dicetar hingga lumat menjadi bayangan yang menggerunkan.

Dia cuba mengingat jika dia telah dimandikan, selayaknya jenazah sebelum dikafankan. Kerana seperti
belum terasa curahan air menggigit kulitnya, dingin udara menyiat-nyiat pejal tubuhnya. Sarah tidak
ingat jika haruman gaharu telah ditepek ke wajahnya dan kapas-kapas lembut disumbatkan ke
rongga-rongga terbuka yang boleh melukakan dan menyakitkan. Hanya satu bau yang menyengat
tajam seolah-olah menerjah datang dari semua arah.

“Sampai masa aku dah!” Bisik Sarah dalam esak paling dalam.

Nafasnya tiba-tiba sesak. Dadanya terasa sempit. Sarah mula sukar bernafas. Dia pasrah menanti jika
itu ketikanya sakaratulmaut tiba menarik nyawanya. Dia membaca segala surah dan bacaan yang
diingatinya. Seandainya diberi waktu, dia ingin mengumpul amalnya sebagai harta untuk kemewahan
hidup di akhirat.

Dia teringat solatnya, dia teringat puasanya, dia teringat al-Quran yang selalu dibawanya. Dia cuba
meraba dengan harapan dapat memeluk kalam Allah itu supaya dapat melindunginya. Sarah merasa
kesakitan yang teramat seakan dadanya ditekan, dihempap sesuatu yang berat berulang-ulang. Sarah
mula membayangkan tanah-tanah yang mula menimbusinya. Sarah menangis. Sarah merayu. Gelap
itu amat mengelirukan. Amat menakutkan. Amat mengerikan.

Sarah teringat kata-kata ustazah Hasidah yang dibayarnya untuk mengajar kelas al-Quran dan fardu
ain untuk sekumpulan ibu-ibu tunggal di rumahnya. Sarah teringat tentang surah al-Ankabut yang
mereka huraikan kelmarin sampai sempat bermaaf-maafan sambil berpeluk-pelukan.

“Antara kita, tidak tahu siapa yang akan pergi dulu! Minta maaf tak perlu tunggu hari raya!” pesan
ustazah sambil mengesat air mata dengan hujung tudung labuh sampai ke pinggang.

Sarah jadi tambah kelu. Sarah tambah yakin harinya telah tiba. Sarah mengulang-ulang bacaan surah
al-Ikhlas sebagaimana pesan ibunya setiap hari.

“Bacalah setiap lepas solat, paling kurang 10 kali, kalau lima waktu dah jadi 100! Insya-Allah,
senang nak melintas titian sirat,” pesan ibu yang tidak pernah jemu-jemu.

Air mata mengalir semakin deras. Sarah tidak tahu berapa banyak surah al-Ikhlas yang telah
diulangnya. Hatinya teringatkan ibu. Teringin dia mendakap ibunya untuk kali terakhir jika diberi
kesempatan.

“Ya Allah! Ya Rahmah! Ya Rahim!” bisiknya dalam gelap yang membelenggu sekitar pandangan.
Tiba-tiba Sarah tepandang cahaya halus yang terang.

“Malaikat sudah datang!” Gigilnya menerkam dan mengoncang, seolah-olah tubuhnya hanya tinggal isi
dengan kulit. Terasa lembut sehingga tidak mampu berbuat apa-apa.

“Umi! Ayah! Ampunkan Sarah! Tolong Sarah! Sarah tak nak mati lagi! Ya Allah! Ampunkan aku! Aku
nak solat!” tangisnya sambil mengucap kalimah syahadah.

Tiba-tiba sarah melihat wajah-wajah yang asing di sekelilingnya. Dia cuba bernafas walau dengan agak
payah. Seluruh mukanya terasa kebas sehingga sukar hendak bergerak. Dia terpandang seorang lelaki
yang masih memegang sepasang mesin. Dia pernah lihat mesin defbrillator itu di dalam filem-filam di
televisyen.

“Alhamdulillah! Mengucap sayang!” Suara ibu berbisik ditelinganya. Tangannya meraba-raba sesuatu
di atas mukanya.

“Jangan cabut! Doktor pasang sebab nak tambah oksigen!” Lembut suara ibu, diikuti senyum dari
wajah-wajah yang masih belum dia ingat, siapa.

Sarah terdengar lelaki bercermin mata di depannya memberitahu kena puasa bermula besok pagi jam
sembilan.

“Makan sikit, ya! Dari petang tadi tak makan apa-apa, besok pagi tak boleh makan dah!”

“Lama sudahkah Sarah di sini?” tanyanya perlahan.

“Sebelum Maghrib tadi, insya-Allah kalau ikut cakap doktor, nanti cepat baik boleh cepat balik,” kata ibu
penuh harapan namun mengundang rasa kejutan di wajah dan di hati Sarah.

“Makan sikit, nanti doktor beri ubat tahan sakit dan boleh tidur! Nak dekat jam sembilan malam dah
ni!” Pesanan itu semakin menjadikan Sarah kebingungan.

Sepanjang kegelapan yang dilaluinya, dia tidak tahu sama ada siang atau malam, atau berapa hari,
selain dari perasaan diburu ketakutan kerana terasa terlalu lama hingga lapar dan dahaganya
mengalahkan orang yang berpuasa sebulan berterusan tanpa makan dan minum.

“Sarah accident kereta tadi dengan Ina. Alhamdulillah, selamat semuanya. Orang-orang pun cepat beri
bantuan, kalau tidak, tak tahulah apa nak cakap! Rezeki dia agaknya, urusan dia semua jadi mudah!

“Ambulan pun kebetulan lalu lewat situ lepas hantar pesakit. Budak-budak yang tolong dia pun
punyalah ramai, ada tunggu lagi di luar tu, tolong bawakan semua barang-barang yang penting yang
ada dalam kereta sebelum truk penunda sampai. Baik hati sungguh budak-budak tu.”

Sarah terkebil-kebil mendengar dua orang bercerita di sebelah dan di hadapannya. Ramai yang dia
tidak kenal, ada dua tiga antaranya yang dia ingat-ingat lupa.

“Sarah nak solat!” bisiknya sambil cuba menyapu rasa pedih air mata yang bergenang.

“Jangan menangis! Bersyukur! Insya-Allah, nanti boleh solat hormat waktu!” bisik ibu lagi, cuba
melegakan hati dan perasaan.

Doktor memaklumkan pembedahan untuk memasang besi penimbang akan dilakukan besok petang.
Sarah cuma mengangguk walaupun dia sendiri belum betul-betul pasti keadaan kaki kanannya yang
terasa berat berbalut, tangan kanannya juga yang diikat dengan sekeping papan. Mukanya yang masih
berserkup topeng oksigen.

“Besok kena biuskah?” tanyanya seperti orang bodoh sewaktu bacaan jantung dan tekanan darahnya
diambil. Tetapi dia tanyakan juga untuk kepastian sama ada ada cara lain yang boleh dia lalui
pembedahan dengan sedar tanpa rasa sakit dan tanpa lalui kegelapan. Untuk tidur malam itupun
sahaja Sarah berdepan dengan tekanan.

“Sarah tak nak tidur! Sarah tak nak tidur! Sarah tak nak tidur!” Gumamnya semakin perlahan di bawah
pengaruh ubat tidur yang diberi bersama ubat tahan sakit selepas dicucuk masuk semula Branula
berwarna pink yang tercabut selepas tiang besi penyangkut air drip terjatuh hanya kerana Sarah tidak
mahu tidur. Bezanya kali ini, tidurnya tidak lagi terganggu dengan bau ubat yang paling dia sensitif apabila
ke hospital.

…BERSAMBUNG.

TAMAT.