Oleh : ABDULLAH AWANG

Tuan Haji Pok Ya melangkah terus semak-samun dalam kebun getah milik pesaka turun-temurun itu. Dia mendengar cerita dari datuk neneknya, tanah pesaka itu diwarisi semenjak zaman-berzaman lagi. Pantang keturunannya menjual tanah kebun getah itu. Bukan menjual, tetapi dia mahu membeli lebih banyak tanah-tanah pesaka Melayu itu, supaya menjadi miliknya.

‘Datuk nenak aku ajar, jangan sekali-kali menjual tanah sekangkang kera ini, kalau tidak mahu menderita dan merempat di bumi kelahiran sendiri!’ Begitulah amanah datuk nenek Haji Pok Ya dari satu keturunan ke satu keturunan.

“Tetapi tipu muslihat datang silih berganti. Tahun ini tak jual, tahun depan, belum tentu kekal di tangan anak bangsa!” getus hati kecil Haji Pok Ya lagi.
“Tahun ini, aku boleh baca gerak muslihat mereka, tahun depan ada sampai tektik lain pula. Dulu datang cerita hendak bangunkan tanah menjadi kilang, lepas itu, buat projek perumahan.” Bermacam-macam ragam tipu-daya datang membelit anak bangsa. Jadi bercelaru habis fikiran warga dengan agenda jahat imperialis.

Haji Pok Ya melepaskan keluhan demi keluhan apabila teringatkan semakin sedikit tanah pesaka Melayu digonggong oleh golongan pemodal asing dan tempatan atasan alasan mahu memajukan tanah terbiar menjadi tapak pembangunan.

Sakit kepala Haji Pok Ya memikirkannya. Dia mengatur langkah dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Matanya akan terus mengintai setiap batang pokok getah dara sedang subur itu. Mahu dipeluknya batang pokok getah gemok, gebu, serta basah itu. Berdirinya tegak mencacak bumi. Daunnya menghijau memayung tanah seluas dua hekter itu. Haji Pok Ya menepuk-nepuk batang getah. Kemudian mendongak ke atas.

“Cissss! Menatang ni sudah ada!” Suara Haji Pok Ya marah melengking dalam dadanya. Persis bergema membengkak. Dia mengejapkan seluar jerutnya. “Tak boleh biarkan dia hidup di situ. Dalam sebulan sahaja, pokok getah aku menjadi kurus! Tak boleh jadi.”

Dedalu | Kujie2.com

Haji Pok Ya memanjat ke atas pokok getah itu. Sampai di cabang pokok, ada sepohon Nnalu yang bercabang dua. Akarnya mulai berselirat mencengkam ke kulit batang getah, dan mula menghisap makanan dari dalam batang subur itu.

“Ini akibat kejahatan burung-burung jerijit. Bukan sahaja datang mencari ulat, tetapi melepaskan najisnya ke sini. Dalam najis jerijit ada butir Nnalu. Jatuh ke ranting, dahan dan cabang pokok getah. Terus hidup. Membesar di tempat penginapan baru. Hidup Nnalu hanya menumpang, tetapi jika dibiarkan, Nnalu ini akan menjadi parasit pembunuh,” kata hati kecil Haji Pok Ya. Haji Pok Ya menilik pokok Nnalu dari atas ke bawah, sekarang Nnalu di tangannya. Dia sudah tanggalkan tapak persinggahannya. Dia licinkan tapak singgahsana Nalu yang baru nak hidup itu.

“Jika dibiarkan hidup, pohon getah ini akan mampus!” bisik naluri Haji Pok Ya.

Burung jerijit ialah sejenis burung hijau kecil, bunyi berdecit-decit, terbang dan singgah dari ranting dan dahan. Mereka datang untuk mencari buah Nnalu dan ulat-ulat sebagai makanannya. Jika terdapat banyak ulat di situ, ia akan memakannya sampai kekenyangan. Jika tidak ada, ia akan mencari buah Nnalu, dan memakannya. Inilah agen penyebaran pokok Nnalu. Burung jerijit seperti kolonialis yang menjajah negara bangsa. Selepas kenyang, burung jerijit tentu membuang najisnya dan meninggalkan kekotoran di situ. Dalam najis kotor jerijit, ada parasit yang dibiarkan akan membunuh kesemua pohon getah.

“Jadi, tak boleh biarkan!” bentak Haji Pok Ya, geram. “Ketika kecil, Nnalu ni okey lagi. Apabila akarnya kukuh bertapak atas pokok, kesemua pokok ini akan mati. Kalau tak mati pun tinggal tunggul sahaja. Aku mesti buang kesemuanya!” Setelah jelas kepastian bahawa pohon Nnalu sudah tidak ada, Haji Pok Ya, menggelongsor turun ke bawah.

Dari atas pokok getah sebesar paha itu tadi, Haji Pok Ya dapat melihat kedudukan banjar-banjar tanaman tersusun cantik, pokok emas itulah yang banyak membantu kehidupan dan keluarganya. Apabila matanya memandang ke sebelah selatan, banjar pokok getah nampak lurus barisannya persis satu garisan sahaja. Tengok ke sebelah utara pun sama. Ke barat dan ke timur, tanaman menghasilkan emas itu, boleh menyenangkan hatinya. Dari situ, Haji Pok Ya dapat mengesan juntaian daun-daun hijau kecil ke bawah. Itulah pokok Nnalu, musuh kesemua hidupan bernama tumbuh-tumbuhan. Jika dia diterkicikkan oleh burung jerijit, maka tumbuhlah ia di situ dengan suburnya. Mula-mula menumpang, tetapi akhirnya mahu jadi raja. Di mana? Di mana-mana, asalkan benihnya boleh melekat dan tempat menumpang itu sejenis tumbuhan yang hidup. Nnalu tidak akan menumpang di pohon yang mati.
Jika tahi burung jerijit melekat di daun, maka pokok Nnalu akan bergantungan di daunlah pada permulaannya, kemudian, akar Nnalu akan menjalar, mengkerabat julai, ranting, dahan, batang dan akhirnya, pokok tempat dia hinggap akan kurus kering. Apabila najis warna kelabu mengandungi biji benih Nnalu, diterberakkan oleh burung jerijit di atas ranting, maka di situlah tempat dia bernaung, kemudian menjadi raja. Seandainya, si jerijit membuang sisa dalam perutnya ke dahan dan batang pokok, sudah tentu, pokok Nnalu akan tumbuh membesar serta menjadi raja di situ.

“Sebelum dia menjadi raja, aku nak buang kesemua pohon Nnalu tu…” bentak hati kecil Haji Pak Ya.

RED Door To Hunt: Cadangan Sub-Spesies Baharu Jerijit Suria Belakang-Hijau  zaitun~Nectarina jugularis aur

“Cicit Cicit Hahahahaha…” Seekor burung jerijit datang berterbangan mengelilingi Haji Pok Ya. Ia mendecit-decit kuat.

“Haaaa… inilah keturunan imperialis! Bukan sahaja singgah di pohon getah aku, kemudian ditinggalkan pula tahi. Dalam tahi dia ada pula benih Nnalu,” Getus hati kecil Haji Pok Ya, marah sungguh dengan burung hijau sebesar ibu jari itu.

“Cit cit cit cit … Hai, kenapa Tok Aji nak buang sarang aku?” tanya jerijit.

“Hah, dah jumpa. Bukan sarang kau saja aku nak buang, dengan kau-kau sekali aku bunuh. Kerana perbuatan kaulah, habis tanaman orang kampung aku kurus dan mati.”

“Tu dah biasa, kan Aji? Aku datang ke pohon-pohon itu untuk cari makan; apabila kenyang, kami buang. Ke mana singgahnya sisa najis aku, aku tak peduli. Bukan masalah aku nak berak kat mana. Sebab pohon-pohon itu bukan aku punya!” jawab Jerijit. Selamba sahaja jawapannya.

“Telur aku! Telur aku! Jangan musnahkan!” pinta jerijit betina. Meminta simpati dari Haji Pok Ya.

“Aku peduli apa… Kau bangsa kolonilis! Kerana kedurjanaan kaulah, kami tak boleh hidup senang di bumi kami sendiri,” bentak Haji Pok Ya tanpa belas kasihan lagi. Marah betul dia. Memang bangsa Nnalu tak boleh diberi muka. Beri betis mahukan paha. Dapat paha, mahu miliki keseluruhannya.

“Kami tak ganggu manusia, Tok Aji. Bila kami ganggu kehidupan Tok Aji? Agama dan adat resam Tok Aji, kami tak sentuh, tak usik pun,” balas jerijit. Dia terbang keliling.

“Pandai kau berdalih ya? Nah… Ambik ni!” Haji Pok Ya ‘memekong’ burung Jerijit dengan dahan pokok getah mati beragan.

“Hahaha… cit cit cit cit. Aku terbang, kau memanjat. Mana hebat?” Burung Jerijit menyindir Haji Pok Ya. Si jerijit hijau terbang tinggi dan rendah. Melayah marah kerana sarangnya akan dimusnahkan oleh Haji Pok Ya.

“Aku tak akan tertipu lagi oleh dasar penjajah. Jerijit memang membawa dasar kapitalis ke pohon getah aku ni. Mula-mula hidup menumpang, kemudian habis harta aku, kau ambil. Kau hisap, kau sedut.”

“Mana bukti aku hisap dan sedut?”

“Ini buktinya; pengggg!” Haji Pok Ya memukul burung jerijit dengan ranting getah mati beragan. Terkena tubuh jerijit. Dia terbabas, jatuh ke tanah. Kemudian, burung kecil molek itu, menggerak-gerakkan sayapnya. Hidup kembali. Terbang menjauh pergi, tetapi berpusing semula ke sarangnya.

“Hei, Tok Aji! Jangan usik sarang aku! Citttt… Citcitcit…”

“Ini sarang kau?”

“Ya, itu sarang aku. Aku mahu perbanyakkan zuriat aku.”

“Kau nak jajah hutan rimba ni? Dasar burung jerijit!”

“Kau bodoh, Tok Aji. Kalau bodoh mengaku saja bodoh. Kalau dah tak cerdik nak memajukan tanah airmu, serahkan kepadaku!”

“Serahkan kepada pohon Nnalu? Biar semua pokok-pokok habis mati?”

“Itu kata kau, Tok Aji. Kataku adalah mematikan kesemuanya itu untuk memudahkan kami.”

“Mulai hari ni, haram batang tubuh pohon Nnalu hidup atas pohon yang aku tanam!”

“Tapi, aku tetap meneruskan membuang benih-benih Nnalu ke dalam kebun kau.”

“Ini tanah airku. Aku akan bakar habis kesemua jenis Nnalu.”

Haji Pok Ya meneruskan usahanya mencantas pokok-pokok Nnalu dari tumbuh bergantung nasib pada pokok getahnya. Dia memotong dahan-dahan tempat Nnalu tumbuh. Dia membuang kesemua tapak pertumbuhan pokok parasit itu. Sebelum Zohor, Haji Pok Ya mesti menghentikan kerja-kerja membersihkan kebun getahnya dari diserang oleh sekumpulan Nnalu. Selepas solat zohor, Haji Pok Ya meneruskan kembali. Berhenti ansar. Selepas ansar dia kembali membersih pokok getah yang kian membesar itu.

Kalau tidak siap hari ini, esok dia datang lagi. Kalau tidak siapa esok, lusa dia sudahkan. Kalau tak siap lusa, tulat dia kembali membersih pohon Nnalu dari menjarah pokok getah di kebunnya. Kini sudah ada lima tompok Nnalu terkumpul di antara pohon-pohon getah itu. Lima tompokan yang dikumpul tadi, akan dikeringkan. Apabila Nnalu itu sudah betul-betul kering, Haji Pok Ya akan membakarnya.

Pohon Nnalu kering akan dibakar. Api semarak menyala memakan daun, ranting, dahan Nnalu yang sudah mati. Haji Pok Ya akan mengawal kemarakan api itu. Dia mahu pastikan, kesemua Nnalu itu hangus dijilat api. Dia tak redha pohon itu berada dalam kebun getahnya. Kadang-kadang terfikir juga, kenapa dia terlalu marah kepada pokok Nnalu itu, sedangkan yang membawa sekumpulan pohon parasit itu ialah burung Jerijit.

Sepatutnya, burung Jerijit datang menyelesaikan masalah yang dia tinggalkan. Kenapa pula Nnalu jadi mangsa Haji Pok Ya. Haji Pok Ya pemilik tanah getah dua hekter itu. Sudah tentu dia berhak menjaga apa sahaja yang berlaku dalam kebunnya. Burung jerijit sekadar lalu, dan singgah mencari makan. Apabila habuannya sudah berjaya dibawa balik, apa tertinggal dan ditinggalkan perlu bermastautin di situ.

Haji Pok Ya berhenti rehat. Dia ke pondok kecil di penjuru kebun. Haji Pok Ya masuk ke dalam pondok untuk memakai pakaian basahan. Dia mandi, solat Zohor, dan kemudian Haji Pok Ya makan bekalan yang disediakan oleh isterinya.

Nasi berlauk gulai kari ayam. Budu cap ketereh. Ulam pucuk mengkudu. Ikan kering goring. Lada burung. Sambal tempoyak. Makanan kegemarannya. Di luar pondok itu, Haji Pok Ya sudah ternampak pucuk Mata Ayam, pucuk Serai, pucuk Kayu Arang, pucuk Tukkar Benang, memang banyak.

Sebelah timur kebun getah itu tadi dia ada ternampak pucuk laka, pucuk balik adat, pucuk jenerih. Pucuk-pucuk ini ialah hasil tumbuhan semula jadi terdapat dalam kebun getah subur itu. Pucuk-pucuk itu juga mempunyai khasiat besar untuk kesihatan. Jika pokok Nnalu singgah dan membesar ke atas pohon ulam-ulaman itu, alangkah ruginya.

Haji Pok Ya mempunyai sejuta perancangan dengan pokok-pokok ulam berkenaan. Kesemua pokok berguna itu akan diusahakan secara komersial. Dia mahu membuka pusat memproses pembenihan pokok-pokok yang sukar diperolehi sekarang.

Haji Pok Ya menyimpan hasratnya itu dalam-dalam.

KOMEN

Ada sem!bunyi kekata yang di segajakan
Tapi bernas jika di fikirkan

Maaf itu bagi saya
Bagi tuan eeemmm entalah.

(Nur Firdaus Faris Fitri)

TAMAT.