01-Dengan Basmalah kumulakan kata,
Sambil memuji Maha Pencipta,
Rahmat-Nya luas merata-rata,
Meliputi seluruh ‘alam semesta.
02-Selawat dan salam ke atas Muhammad,
Rasul Junjungan Pembawa Rahmat,
Nabi Terakhir Pemimpin Umat,
Syafee’ul Ummah di Hari Qiamat.
03-Sempena heningnya malam Mulia,
Hidup gembira di hujung usia,
Semoga dirimu selalu bahagia,
Sambil berbakti sesama manusia,
04-Warga Emas seperti kita,
Hendaklah sentiasa menjaga ‘kata’,
Hindarkan diri mengata menista,
Jangan menjadi hamba ‘Sang Harta’.
05-Andai ditaqdirkan hartamu bertambah,
Infaqkan sedikit untuk sedekah,
Allah janjikan ganjaran barakah,
Rezeqimu datang turun mencurah.

06-Senyuman juga satu sedekah,
Malah dikira sebagai ibadah,
Senyuman terukir di bibir nan indah,
Bisa mengubat hati yang gundah.
07-Senyumlah wahai temanku tersayang,
Seluruh alam merasa senang,
Sahabat handai bertambah sayang,
Membuat jiwamu aman dan tenang.
08-Senyuman terukir di bibir nan indah,
Adalah kurniaan daripada Allah,
Syukuri nikmat-Nya yang amat junterah,
Mun kan dikira tiada terjumlah.
09-Wajah adalah cerminan hati,
Jiwa yang tenang nikmat sejati,
Hati yang ikhlas Allah berkati,
Hidup Qanaa’ah♡ Allah rahmati.
10-Senyuman ikhlas tinggi nilainya,
Cerminan jiwa suci nuraninya,
Mahkota wajah itu gelarannya,
Buat Muttaqeen dikalangan hamba-Nya.
11-Seterusnya kurafa’kan pinta dan doa,
Ke hadirat Allah Yang Maha Esa,
Agar kita sihat sentosa,
Senyuman ikhlas terukir sentiasa.
12-Demikian kisah ‘sekuntum, senyuman,
Ibarat bunga menghias taman,
Penyeri hubungan sahabat dan teman,
Mantap bertaqwa serta beriman.
13-Pengakhir kalam terimalah pesanan,
Hati-hatilah melontarkan senyuman,
Takut ada yg salah pemahaman,
Akibatnya ‘derita’ zaman-zaman.
14-Maksud Dagang sekadar mengingatkan,
Janganlah senyuman disembaranakan,
Terkadang ianya disalah-tafsirkan,
Penyebab finah yang boleh memusnahkan.
15-Senyum sembarangan jangan sesekali,
Usah disapa orang tak dikenali,
Tepi kain orang jangan kau peduli,
Kelak jadi beban yang kau kesali.
16-Ada satu senyum makrifat,
Punya maksud yang tersurat,
Jangan sampai dirimu terjerat,
Fahamilah muslihatnya yang resirat.
17-Ada senyum mengandungi racun,
Penuh pesona bersopan santun,
Hati yang lembut mudah diruntun,
Umpama kerbau hidung dituntun.
18-Hati-Hati wahai Paradianku,
Ingat segala nasihat dan pesanku,
Senyuman ‘Palsu’ Penghias perilaku,
Di luar lurus di dalam berliku.
19-Mari pamirkan senyuman mukhliseen,
Suci dan murni sifat mu’mineen,
Lambang ukhuwwah seluruh Muslimeen,
Ighfir lana♧ Ya Arhamar-rahimeen.
20-Semoga senyuman penyeri wajah,
Menjadi ikatan pengukuh mahabbah,
Dengannya kasih subur bercambah,
Lambang cinta kerana Allah.
21-Wahai teman di seluruh Nusantara,
Semoga anda riang gembira,
Semangat juangmu teruslah membara,
Demi martabat bangsa dan negara.
22-Jangan gadaikan muru’ah dan iman,
Hanya kerana wanginya haruman
Jangan tergoda dek sebuah senyuman,
Sepanjang hayat hidupmu tak aman.
23-Akhirul kalam puji dan syukur,
Ke hadirat Allah Rabb Yang Ghafuur,
Moga Nusantara sejahtera dan makmur,
Negara bangsa bertambah subur.
24-Ingatlah wahai temanku bertuah,
Senyuman itu kurniaan Allah,
Jangan persiakan mahkota wajah,
Menyinari jalanmu menuju Jannah.
25-Sekian dulu cerita senyuman,
Mudahan kita sentiasa aman,
Hidup rukun selesa dan nyaman,
Bertambah mantap Taqwa dan Iman.
26-Akhirul kalam mari menta’zeem♤,
Khaliqul ‘alam Allaahul Kareem,
Semoga dikurniakan Al-‘aqlus saleem◇,
Syair karangan Ibnu ‘abdir-raheem.
Glosari
♡ Seadanya…
♤ Mengagungkan
♧ Ampuni kami
◇ Minda yang sihat
Oleh:

Ibnu ‘abdir-raheem
Brunei Darussalam.
TAMAT.