Oleh: Amirul Hakim Rashuddin

Penat kakiku melangkah meredah jalanan kaki lima yang begitu panjang ini. Mataku menjeling liar ke sana sini. Ragam manusia bermacam jenis itu ternyata tidak menarik perhatianku. Apa yang aku cari ialah sesuap rezeki kurniaan Allah yang diciptakan untuk setiap hamba-Nya. Tanpa mempedulikan panas terik matahari yang membakar kulitku yang lembut mulus ini, aku segera melangkah ke arah sebuah warung yang terletak di penjuru deretan kedai.

Setibanya aku di sana, ramai juga pelanggan yang memenuhi ruang meja dan masing-masing menikmati makanan yang terhidang. Aku turut memerhatikan dua orang kanak-kanak menjaja dari meja ke meja dengan membawa sebakul kuih yang beraneka jenis. Ada yang bersimpati dan membeli kuih tersebut, dan ada juga yang tidak mempedulikan bahkan menghalau mereka.

Aku terfikir panjang. Adakah rezekiku ditakdirkan di sini? Bagaimana sekiranya mereka tidak mengendahkan kehadiranku ini? Namun melihat pada kesungguhan dua beradik itu, membuatkan aku turut yakin dengan usahaku sendiri dan rezeki yang Allah sudah tetapkan pada hamba-Nya. Lalu aku melangkah ke arah tempat duduk yang diduduki oleh pasangan suami isteri. Pada mulanya, aku hanya merenung sahaja mereka dan aku mula bersuara merayu dan aku meyakini mereka tidak akan memahami bahasaku. Cukuplah mereka memahami keadaanku yang menahan kelaparan ini. Apabila si isteri mula menyedari kewujudanku di situ dengan penuh pengharapan, “Eeee abangg, kenapa dia datang sini, gelinya tengok keadaan dia ini. Tak ada tempat lainkah hendak meminta makanan?”

Jerit si isteri yang semestinya terkejut dengan penampilan diriku ini. Dari jeritan itu, ramailah mata yang memandang hina kepadaku. “Tak apa sayang, biar abang yang ajar dia ni.”

Gerun hatiku melihat susuk tubuhnya yang sasa walaupun mukanya bagaikan jambu orangnya. Dia mula melangkah ke arahku dengan mata yang merah menyala.

Damn you!

Seiring dengan jerkahan itu, kakinya dihayunkan tepat kena pada tubuhku ini. Aku menjerit dan aku tercampak akibat tendangannya yang amat kuat lalu terhentak di dinding warung itu. Perlahan-lahan aku bangun menahan kesakitan sambil mataku terus melihat ke arah lelaki itu. Tiada langsung belas kasihannya kepadaku. Bukannya aku buat salah apa-apa. Aku hanya ingin meminta secebis sahaja rezeki yang mereka ada. Aku cuba bersuara dan bangun namun tubuhku terlalu lemah, aku terjelepok kembali. Tiada seorang pun yang mempedulikan keadaanku ini. Setelah
puas melihat diriku yang tidak bermaya, si suami itu pula memimpin tangan isterinya sebelum beredar meninggalkan warung ini.

“Baru padan muka dia, suka-suka hati je dia datang sini, apa dia ingat kita ni tukang bagi makan je kerjanya. Jom Milah, kita balik. Saya tak selera nak makan kat tempat macam ini.”

“Jom abang, kita makan kat tempat high class pulalah. Asalkan tak jumpa lagi dengan spesis yang menyusahkan rakyat marhaen ni.

Kedua-dua pasangan suami isteri segera beredar dari situ dan mereka melintasiku tanpa menoleh lagi. Kini mataku tertumpu pula pada dua kanak-kanak yang sedari tadi meneruskan usaha menjaja kuih. Apabila senja hampir berlabuh dan setelah mereka merasakan tiada orang yang mahu membeli hasil jualan mereka, “Izzah, jom kita balik, cukuplah dengan berapa yang dapat kita jual ni. Alhamdulillah. Moga pelanggan yang beli ni turut dimurahkan rezeki mereka.” Ujar si abang kepada adiknya Izzah.

“Baiklah abang Rosli, kita balik sekarang ya. Lagipun cuaca hendak hujan dah ni…”

Apabila mereka kini melalui di depanku yang masih terbaring, Mata Izzah tertacap ke arahku.

“Ya Allah, siapalah buat dia jadi begini, kasihannya.”

“Ini kesan tendangan, tulangnya macam dan patah. Mari kita bawa dia balik rumah dan rawat dia.”

Buat pertama kalinya aku merasa tubuhku disentuh manusia. Rosli mengangkatku menaiki keretanya dan kemudiannya menyerahkan kepada Izzah untuk memangku tubuhku. Sepanjang perjalanan ke rumah mereka, mereka kelihatan berbincang mengenai cara hendak merawatku. Izzah membelaiku dengan penuh kasih.

Setibanya di rumah, apa yang aku lihat ialah rumahnya diperbuat oleh kayu usang, bahkan ada bahagian rumah mereka yang kayunya sudah mereput. Mengertilah aku bahawa kehidupan mereka tidak jauh beza denganku. Rosli segera menurunkan barang-barang dan Izzah pula membawaku serta meletakkan aku di bilik rumahnya. Kelihatan biliknya kemas meskipun nampak uzur kayunya.

Seketika selepas mereka selesai mengemas barang-barang mereka, Rosli segera mengangkat aku dan membaringkan aku. Manakala Izzah membawa kain untuk dibalutkan di badan dan kakiku. Sungguh aku terhutang budi dengan mereka meskipun berlainan jenis hamba-Nya. Apabila dihidangkan semangkuk susu untuk aku minum, aku tidak minum dahulu. Aku akan mengiau dan menggesel kepalaku di kaki mereka sebagai tanda berterima kasih kemudian barulah aku minum susu itu.

“Kasihannya. Kau tinggallah di sini. Memandangkan kau pun tidak bertuan, dunia luar pun tak akan ada yang bersimpati dengan kau.”

Hatiku berbunga mendengar apa yang dinyatakan Rosli itu. Alangkah bagusnya andai manusia di dunia ini seperti Rosli dan Izzah yang berasal dari keluarga miskin itu. Nyata mereka lebih kaya berbanding orang sekelilingnya yang hanya mendabik dada mengumpul kekayaan namun lokek dalam memberi.

Sejak hari itu, aku secara rasminya diberi nama Bulus kerana itulah nama panggilan mereka memandangkan diriku seekor bulus yang kulitku bercorak coklat kehitaman. Pada setiap pagi, aku dhidangkan dengan seekor ikan yang tidaklah terlalu baru dimasak. Ketika aku menghidu, tahulah aku ia ikan semalam dan dihangat kembali. Namun mengenangkan aku hanyalah seekor kucing pungut yang diselamatkan oleh insan berhati mulia, aku makan sahaja jika itulah rezeki yang ada. Asalkan dapat mengisi perutku yang sering kali berbunyi berirama ini.

Bulan demi bulan, tahun demi tahun, kini aku menjadi kucing dewasa. Segala pengorbanan Rosli dan Izzah yang menjagaku tetap kukenang. Kini aku mempunyai kekuatan untuk mengesan sebarang kehadiran binatang perosak yang masuk ke dalam rumah. Hinggakan tikus yang hendak melangkah masuk ke dalam rumah tuanku juga akan berfikir dua tiga kali kerana kewujudan aku di situ.

Rosli dan Izzah juga menginjak alam remaja. Kini mereka semakin bijak berniaga dan mereka meluaskan empayar perniagaan dengan membuka gerai kecil yang menjual nasi lemak. Ketika mereka keluar membeli barang keperluan, aku akan menjaga rumah mereka dari sebarang kehadiran haiwan liar. Maklum sahajalah, rumah tuanku itu berhampiran kawasan hutan.

Namun pada suatu malam, sedang aku berkeliling di luar rumah, aku melihat sesuatu bergerak di celah-celah semak dalam kegelapan. Ketika itu, tuanku yang dua orang itu sedang lena diulit mimpi. Apa yang aku lihat, seekor ular tedung menyelinap melalui tingkap. Aku lantas masuk ke dalam rumah melalui retakan kayu di lantai bawah rumah tuanku yang berlubang. Setibanya di bilik tuanku Izzah, ular tersebut mendesis menanti masa untuk menjadikan Izzah mangsa patukannya. Manakala Izzah masih nyenyak di tempat beradunya. Bunyi ular yang mendekatinya langsung tidak mengganggu lena tidurnya. Lalu aku menderam dan mengembangkan buluku sebagai tanda amaran untuk menyerang ular tersebut.

Seperti yang aku jangka, apabila ular itu meluru hendak mematuk di bahagian kaki, aku segera menerkam dan menggigit badan ular tersebut. Aku dan sang tedung terus bergelut di atas katil dan ketika itu juga Izzah terjaga lalu menjerit dan melompat ke tepi apabila melihat kami bergelut. Tidak lama kemudian, Rosli masuk dan terkejut melihat apa yang berlaku. Rosli segera kembali ke dapur lalu membawa sebatang penyapu namun keadaan kami yang bergelut menyebabkannya sukar untuk memukul ular itu.

Sang tedung mematuk kuat pada leherku; akibatnya darah membuak-buak keluar. Aku rebah seketika namun mataku tertatap ke arah Izzah yang menangis melihatku; nyawaku bagaikan telur dihujung tanduk. Sedangkan ular tedung itu meluncur laju ke arahnya. Dengan segenap kekuatan terakhir, aku bangkit menyerang balas dengan menggigit kepala sang tedung tersebut sekuat hatiku lalu terkulai juga sang tedung akhirnya.

Izzah yang masih menangis tersedu-sedu melihatku tercungap serta menghirup nafas. Sebelum mataku rapat terpejam, sebagai tanda berterima kasih pada Izzah yang menjagaku selama ini, aku sempat menggesel kepalaku di tapak tangannya seperti kebiasaan yang aku lakukan selama ini. Rosli segera membawa minyak kuning dan minyak gamat. Namun aku sudah tidak boleh bergerak lagi. Bisa ular meresap ke dalam pembuluh darah dan terus menyerap hingga ke otak. Hanya mataku sahaja yang boleh berkelip.

“Kita dah terlambat, Tompok bakal pergi. Mungkin tuhan lebih sayangkan dia,” keluh Rosli dengan nada sayu.

Aku hanya mampu mengiau dan kini mataku terus terpejam.

Oleh:

. Hakim Rashuddin .

TAMAT.