Oleh:

Mae Rusli.
Bangi, Selangor, Mei 2019.

Apabila jam digitalnya menunjukkan 7:17:59 malam, ditekannya punat kawalan.

Insan yang dahulunya digelar powder monkey ini sekali lagi memainkan dalam mindanya apa yang sedang berlaku. Peledak bom-bom jenis ANMM telah dihidupkan. Hasil kerja yang melibatkan nitromethane ini adalah salah satu dari variasi letupan jenis ANFO. Bahan-bahan seperti pepejal ammonium nitrat yang diolahnya dari baja,  bertukar mendadak menjadi gas dek hentaman gelombang detonasi yang amat laju, lima kilometer per saat. Ia kemudiannya berperanan sebagai ejen pengoksidaan yang menyerap diesel merah dan terus pula menguraikan alkana berantai panjang secara serta-merta. Maka terciptalah sejumlah besar oksigen, nitrogen, karbon dioksida, dan air yang selanjutnya bertindak balas secara ganas pula  dengan serbuk aluminium yang telah dikisar halus. Kitaran lanjut berulang kali penghasilan haba dalam masa yang teramat singkat akhirnya menghasilkan tolakan kuat gegaran yang bergerak selaju 340 meter sesaat, memusnah dan membunuh insan di sekelilingnya.

3NH4NO3 + 2CH3NO2 🡪 4N2 + 2CO2 + 9H2O … kaboom!

Fikirnya lagi, sekiranya ada yang belum terkorban dek letupan atau dijamah api, mereka pasti mati akibat terhidu adunan berbahaya pelbagai gas toksik dan oksida-oksida nitrogen berbahaya. Tiada jalan selamat, mati mengejut atau perlahan penuh keseksaan.

Nafasnya dihela. Dua letupan Blok C sebuah apartmen di Batu 13 mengurangkan kesakitan yang tidak pernah dipelawanya. Akhirnya, dendam yang terbuku sejak 19 Oktober 2018 terlepas. Segalanya meledak pada detik 7:18 malam 5 Mei 2019, dan syaitan itu pun berangkat pulang.

2

Inspektor sekali lagi mengingatkan insan-insan beruniform biru gelap di hadapannya agar tidak sesuka hati membuat kenyataan. Dari intaiannya di tingkap, semakin ramai wartawan yang berkampung di perkarangan balai polis. Semuanya mahukan berita terkini perihal letupan baru-baru ini.

Limpahan cahaya kamera menerangi wayar-wayar yang berselirat, seperti keadaan minda Inspektor. Namun mereka harus kekal Tegas, Adil dan Berhemah. Tegas tika bertugas, adil dalam perlaksanaan, dan berhemah kepada semua.

Inspektor merenung insan dalam lokap reman. Mindanya celaru, bagaimana seorang graduan kejuruteraan kimia lulusan Universidade dos Antípodas dos Açores boleh jadi sebegini?

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun dan anak daranya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pelaku. Namun begitu, maklumat terkini pihak berkuasa tempatan mendedahkan apartmen Tingkat 13 turut didaftarkan sebagai pemilikan bersama mangsa dan saudara lelaki si pelaku. Apakah ini jenayah perebutan harta?

Sangkaannya meleset setelah laporan kredit dan rekod cukai pelaku diteliti. Dia tidak perlukan harta ini. Hidupnya ringkas dan dia sudah memiliki tiga unit hartanah. Kerjayanya sedang meningkat naik dan kepercayaan majikan membuatkannya tidak perlu terburu-buru atau berdengki.

Jika kedengkian dijadikan motif, tiada apa yang mungkin dicemburui pelaku. Perniagaan butik Muslimah mangsa bukanlah sesuatu yang berhak menimbulkan iri. Laporan kewangannya merah, dan hanya pemilikan tunggal yang beroperasi dari peti surat sebuah pasar raya. Lagi pun, fikir sinis Inspektor, apa yang disibukkan pemakaian, seandainya status mangsa boleh diragui? Tanpa ikatan pernikahan yang sah, bagaimana dia boleh berkongsi rumah dengan lelaki yang bukan suaminya? Malu itu bukan hanya tatkala pakaian tersingkap. Apakah ikatan mereka? Songsang? Mutaah? Sindiket? Atau nikah pokok ketapang? Munafik agung!

Hasil siasatan, banyak perlakuan mangsa yang bukan sekadar menginjak kesucian pernikahan, bahkan seakan melacurkan status dirinya sebagai wanita yang pernah melontar jamrah di tanah suci. Bukti-bukti tangkap layar perbualannya menjijikkan, persis penyembah nafsu. Barangkali, itulah punca mangsa tewas perbicaraan hak penjagaan anak di mahkamah syariah, sedangkan dahulunya dia bergaji tetap, manakala suaminya hanyalah peniaga.

Inspektor menggeleng, membuang jauh-jauh sangkaan yang mungkin tidak sedikit pun membantu siasatan. Namun naluri Hawa miliknya tetap utuh.

3

Jenayah berganda: Apartmen diletupkan, kereta dibakar. Bahkan nyawa kucing-kucing juga melayang. Bulu-bulu putih, hitam milik Cholel dan Kuki kini menjadi cebisan-cebisan merah, bertaburan, hangit dan melekit, bercampur-baur bersama jasad mangsa. Mungkin itulah impian pelaku, mereka semuanya binatang buatnya. Sesiapa yang bernafsu mewujudkan drama, selayaknya mereka menerima karma.

Inspektor pasti ini jenayah terancang. Sehingga kini, tiada saksi mahupun rakan kongsi jenayah. Tiada kesan cap jari atau bukti pembelian bahan-bahan mentah letupan. Pelaku sendiri mengaku, semua urusniaganya tunai, dan dia sentiasa bersarung tangan kapas. Setiap bahan yang disentuh telah dilapnya dengan campuran air, sabun, minyak zaitun, dan perahan limau. Tiada imej rakaman yang jelas dari kamera litar tertutup. Pemeriksaan komputer, telefon bimbit, dan gajetnya juga buntu. Penyiasat yakin jejak digital pelaku tersembunyi dek penggunaan kad sim dan telefon pakai buang. Mereka mengesyaki jika pelaku menelusuri alam maya sekalipun, dia pasti menggunakan Rangkaian Persendirian Maya (VPN).

Pelaku turut mendedahkan ‘rejimen pembersihan’nya yang melibatkan Luminol, berus Maribou dan Zephyr, dakwat Amido, Rhodamine dan Gentian, kit pengesanan NIK, serta lampu ultraungu. Fikir Inspektor, patutlah pasukan forensik belum menemui bukti kukuh hasil pemeriksaan kediaman, tempat kerja, bahkan kenderaan si pelaku!  Unik. Namun, keunikan dan ketelitiannya itulah yang bakal membuatkan sebarang pengakuan gila tidak akan diterima mahkamah!

Bukti-bukti tunggal yang mengaitkannya kepada jenayah ini adalah pengakuannya sendiri. Dua hari lepas, pelaku tenang melangkah masuk ke balai polis dan menyerahkan diri. Segala resit pembelian, serta maklumat peribadi dan kelakuan mangsa diserahkannya dalam sebuah kotak. “Saya pelakunya, kaboom!”

Inspektor menunjukkan gambar-gambar mangsa. Kenderaan MPV yang dahulunya berwarna perak, sudah bertukar menjadi kepingan besi buruk seberat 1.1 tan. Pelaku tersenyum. Wartawan tunggal yang hadir sebagai permintaan pelaku, berubah wajahnya.

“Padan muka! Luluh kalbu bondaku kerananya, maka kuhapuskan segala!”

“Sekurang-kurangnya betina itu tidak perlu membayar saman-saman memecut di Kuala Lumpur, Ipoh, Kinta, ataupun Tapah. Jimat 1,950 ringgit!”, tambah pelaku.

Inspektor terdiam. Benar, mangsa memang mempunyai 11 saman trafik sejak 29 Ogos 2011 hinggalah kesalahan terakhirnya, 18 November 2018. Jelas pelaku ini kenal benar mangsanya.

“Tapi, kenapa mesti begini?”

“Maksudmu?”

“Kenapa mesti diletupkan? Kenapa bukan…”

Belum sempat soalan dihabiskan, si pelaku menyampuk, “Habis, takkan saya nak pukul? Rogol?” Matanya membulat. Kakinya diangkat. “Nampak tapak kaki ini?”

Inspektor mengangguk.

“Taraf betina jauh lebih rendah dari debu! Takkan kusentuh najis!” Nadanya menzahirkan kebencian membuak.

“Tapi, wanita itu…”

“Celah mananya dia wanita?” bentak pelaku. “Inspektor seorang wanita, bukan? Cuba beritahu saya, wanita bermaruah mana yang sanggup menghantar gambar dedah sana, dedah sini ke suami orang? Wanita mana tanpa segan silu mempelawa jantan ke rumahnya sebagai peneman jam 4 pagi?”

Inspektor terdiam. Mindanya memanggil semula memori tangkap layar serahan pelaku. Mangsa itu secara kebiasaannya bertudung, berpakaian sopan. Maka imej-imej jelik yang dihantar pasti disengajakan.

“Tapi, itu tidak memberikan awak hak untuk membunuhnya!” bantah Inspektor.

“Inspektor, apakah erti kehidupan?”

Sepi.

“Hidup bukan sekadar bernafas. Bukan sekadar makan dan minum. Kehidupan itu pencarian makna yang mengisi setiap hela nafas, bertunjangkan prinsip-prinsip tertentu,” jelas pelaku. “Haiwan juga hidup, begitu juga tumbuhan. Tetapi setiap satunya berperanan mengikut batasan-batasan tertentu. Kalau semuanya dilanggar, apakah bezanya kehidupan dan kematian?”

Inspektor terkedu. Notanya diisi perucapan pelaku. ‘Falsafah’ ini bahan bukti perbicaraan.

“Si betina telah lama mati. Akalnya, jiwanya, telah mati. Bangkai itu bergerak semata-mata dijana penipuan dan nafsu. Salahkah saya menghentikannya?”

“Saya tahu, awak marah, tetapi itu bukan penyelesaiannya!” tutur Inspektor.

4

“Dia cabar aku!” ucap pelaku. Matanya menyorot kegeraman. Sesekali direnungnya wartawan di sisi Inspektor. Ya, itulah satu-satunya kehendaknya. Dia tidak mahukan peguambela. Pintanya hanyalah soal siasatnya disaksikan seorang wartawan.

“Dia ingat aku takut? Kalau dia rasa boleh buat apa dia mahu, boleh suruh orang pukul-pukul, gertak-gertak, dia ingat aku tak mampu?” bentaknya.

“Aku dan dia berkongsi darah yang sama. Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian. Celakalah mereka yang cuba mengajar aku untuk kurang ajar!”

“Jadi, kau sememangnya samseng?” Soalan Inspektor membuatkan pelaku terdiam.

Tidak, dia bukan begitu. Dari kecil, dia diajar kesopanan. Orang tua dihormati. Setiap langkah orakannya disulam kata-kata nasihat. Kepercayaannya tinggi terhadap sosok-sosok penting keluarganya. Hatinya tidak pernah curiga, meskipun sejak remaja, sudah banyak bisik-bisik kebobrokan tersembunyi yang mencucuk telinganya.

Inspektor membuka buku notanya. Profilnya jauh daripada keganasan. Segala tuntutan agama dilakukan, bahkan hatinya lembut menyantuni semua. Setiap kali pegawai polis hadir berhampirannya, pelaku tidak pernah sekalipun lupa menanyakan khabar dan menuturkan kata-kata penuh sopan. Acap kali kedengaran dia berdoa sambil matanya tekun membaca.

Namun akhirnya, pelaku tewas dalam jihadnya menentang amarah. Baginya, jika dikhianati dari belakang, itu tikam belakang namanya. Namun jika dikhianati secara depan, bermuka-muka, itulah jembalang!

“Ini akulah. Aku! Suka hati akulah nak buat apa! Orang cabar aku jadi kurang ajar. Anak harimau takkan jadi anak kambing!”

“Tapi, apa yang kau dapat?”

“Kepuasan!”

“Puas? Maksudmu?”

“Alang-alang kehilangan sesuatu, biar semua orang alami yang sama. Aku letih membenteng nafsu. Mana mungkin 198 hari memadamkan kebejatan 20 tahun? Persetankan segalanya! Kalau itu kehendak mereka, kenapa aku harus bersendirian menutup busuknya bangkai?”

5

Amarahnya memang sudah tidak mampu dikawal. Semakin lama, semakin banyak butiran kelakuan mangsa-mangsa yang didedahkannya. Namun Inspektor tetap tegas. Berulang kali juga dinyatakan, bukan hak pelaku untuk menghukum sesiapa.

“Lagi pun, perlukah sebuah letupan?” soal Inspektor.

“Suka bunga api?”

Inspektor mengangguk meski kurang pasti relevannya soalan.

“Apa yang istimewa dengannya? Hanya campuran kimia, bertindak balas lalu meletup di udara, menghasilkan bunyi, warna-warni, asap dan benda yang bergentayangan, kan?”

Inspektor mengangguk perlahan.

“Tetapi, tetap indah, bukan? Setiap yang naik akhirnya jatuh ke bumi. Jadi, salahkah aku berhibur dengan campuran kimia bangkai si betina? Sekurang-kurangnya, di akhir hayatnya yang gelap, dia menjadi sebahagian cahaya yang membahagiakan!”

“Maka aku letupkan dia! Ledakan warna, bunyi, dan benda yang bertaburan. Indah!” ucapnya sebelum diiringi senyuman lebar.

Si wartawan terlopong.

Inspektor mengangguk perlahan. Sahih, pelaku memang sudah tidak langsung berpaut pada norma kemanusiaan. Mungkin, apa yang menimpa bondanya meluputkan benteng terakhir kesabarannya.

6
“Apakah awak tidak takutkan Tuhan?”

Soalan inspektor membuat pelaku tertunduk. Ya, itu sahaja yang selama ini membelenggu segala kelakuannya. Rasa takutkan Tuhan dan pedoman kesabaran bonda.

“Jadi, sebab itu awak mengaku?”

Pelaku menggeleng. “Separuh dari hajatku sudah tercapai. Jenny sudah tiada lagi. Hanya sahaja…”

“Maksud awak, ada sasaran lain?” Inspektor cuba menyembunyikan kegelisahannya kalau-kalau ada bom lain yang hanya menunggu masa untuk meledak.

“Ya, Si Putih,” bibirnya mengetap geram.

Inspektor kehairanan. Nama-nama yang diberikan tidak menggambarkan mangsa. Mungkin, Jenny itu janda, tetapi Si Putih, siapa pula dia? Sekali dengar, saling tak tumpah laksana nama gelaran haiwan gemuk berkaki empat. Lantas Inspektor cepat-cepat membuat nota minda, arahan akan dikeluarkan untuk mengawasi makhluk seperti itu.

“Tetapi mengapa awak tidak balas sahaja kepada insan yang lebih dekat?” Soalan Inspektor membuatkan wartawan tercengang. Masih ada fakta kes yang tidak diketahuinya.

“Hahaha…” tawanya menggila.

“Aku mahu mereka lihat apa yang mampu kulakukan. Sungguh, semuanya telah mati dalam jiwa ini. Biarlah si pesalah melihat sendiri balasan kejahatannya. Bukankah dilanjutkan nyawa dan kehilangan kekasih-kekasih gelap itu lebih menyeksakan?”

Si inspektor menggeleng. Sungguh, si pelaku ini sudah semakin tidak siuman.

7

Hukum telah dijatuhkan. Alasan tidak siuman pihak peguambela ditolak. Segalanya bakal tamat kelak.

“Kaboom!” ucap pelaku seraya tersenyum, sebelum dibawa ke kamar terakhirnya. Senyumannya sebelum disarungkan kain hitam algojo seakan menghantui Inspektor.

Dia terlihat pantulan cahaya dari embun pagi. Sungguh, apakah bezanya pelaku dengan mangsa yang dibenci? Mereka sama-sama melampaui batas, waima berbeza caranya. Lupakah mereka bahawa Tuhan itu Maha Perkasa lagi Maha Pengampun, Dia Maha Berkuasa atas sesuatu, dan diciptanya hidup dan mati bagi menguji siapa yang lebih baik amalannya? Sememangnya tidaklah mereka diuji melebihi kemampuan masing-masing. Dan hanya Tuhan sahaja yang berhak membalas segala. Pelaku juga sudah mati, tatkala ledakan amarahnya mematikan jiwa sebelum nyawanya tercabut!

8

“Sudah kamu catat segalanya?”

Wartawan mengangguk. Semuanya tercatat rapi. Kisah ini bakal dikongsikannya demi tatapan pembaca. Moga-moga ibrah diambil, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. 

“Barangkali, letupan yang diinginkannya itu bukanlah yang zahir, namun di dada akhbar?” soal Inspektor.

Diangguknya perlahan. Ya, ledakan emosi itu bakal kelak memenuhi halaman 49 dan 50 akhbar minggu ini!

TAMAT.