Tulis sebuah puisi (sebarang subgenre) yang berkaitan HARI KE-1 TAHUN 2022.

  1. Tempoh: 1.01.22 @ 12.01 PM-11.59PM.
  2. Hadiah: Tiga karya terbaik @ RM101.22.
  3. Hantar karya ke:
    gaksaAsean@gmail.com.

PENYERTAAN (PADA JAM 11:59PM 1.1.22)

SAYEMBARA ESVA-1122:
Apabila tamat tempoh penghantaran karya, kami telah menerima 22 puisi daripada 22 orang penulis yang berikut:

  1. Moh. Ghufron Cholid.
  2. Isbedy Stiawan ZS.
  3. Abdullah Hussaini.
  4. Cunong Nunuk Suraya.
  5. Alina Sukesi.
  6. Paridah Ishak.
  7. Sujata Wee.
  8. Aduka Putra.
  9. Rawanhiba.
  10. Putraery Ussin.
  11. Ibnu Din Assingkiri.
  12. Narizan Jantan.
  13. MRT Nordin.
  14. Gabriel Kimjuan.
  15. Mohd Dahri Zakaria.
  16. CT Nurza.
  17. Rafael Maribin.
  18. Hamizun Shah.
  19. Noorhamy.
  20. Mohd Shukri Hussin.
  21. Oui Bin Sal.
  22. Adyra Az-Zahra

KARYA

1

DARI BASMALAH SAMPAI HAMDALAH

Buana kasih
Tak ditumbuhi riuh

Yang kisruh
Hilang bentuk tubuh

Dari basmalah sampai hamdalah
Yang tersisa hanya kebahagiaan yang utuh

Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 1 Januari 2022

2

Isbedy Stiawan ZS

HARI MASIH SANGAT SUNYI

kau yang pertama 
membaca langit 
di wajahku ini pagi 

matahari diam 
saat tanganmu 
memegangku 

kita mesti jalan
sebelum ada yang datang
– ajakmu

tapi, hari masih 
sangat sunyi 
matahari di tepi
langit yang buram

2022

Isbedy Stiawan ZS kelahiran Tanjungkarang (Lampung), Indonesia. Banyak menulis puisi, cerpen, esai, jurnalistik. 

3

Cahaya Tahun Baru
Abdullah Hussaini

cahaya, hanya cahaya
kautunggu sejak malam kelmarin
berjuta hujan yang menikam atap
kabus pekat serta deru bunyi
mengisarkan lagi adunan kebimbangan
dalam hatimu, dalam hati kekasihmu
akhirnya matahari tiba juga
tahun silih berganti
dan kesilapan-kesilapan menanti
untuk menebalkan buku kegagalan
yang tersedia sampai akhir waktu
kau menghirup udara hari ini
sekali lagi dengan lega
setelah menumpulkan
pedang maut di tahun sudah
setelah berangkat meninggalkan
medan kenangan
dan aku akan tinggal di belakang
memerhati kenyataan baru mu

4

NYANYIAN CATATAN AKHIR TAHUN PUISI TERAS

kata baru
masuk jendela
menari di laryar
kibarkan bendera
catatan akhir tahun lengang

senja
bergelut memancarkan
jendela dari tembaga
di tengah slang karet
catatan akhir tahun kabisat

fajar merah
jejak cacing tanah
dengung dzikir pengibadah
di balik jendela gerimis resah
tercoret merah catatan akhir rahun

anakan naga baru menetas
bersiap bersama Santa melenggang
tengah malam sunyi
hidung bercahaya mengendus alamat
berbagi bahagia catatan akhir tahun

sujud subuh terbakar karam
rindu pualam perjalanan
rukuk setengah jalan terbang
mengamati bintang jatuh
Jerusalem catatan akhir tahun

GG 311221  
Cunong Nunuk Suraja

5

MALAM YANG TERBERKATI
Oleh: Alina Sukesi

Kalender yang baru dibentangkan
Tubuhku seperti ada di sana
Berbalut tanggal dan angka-angka
Menyusuri lekuk jalan hari
Merangkai kepingan-kepingan puzzle yang terbengkalai

Tidak ada pesta kembang api
Hanya tafakur kembali ke dalam diri
Tanpa suara petasan
Melainkan gemuruh doa dan harapan-harapan

Bila yang berakhir adalah awal
Jadikan malam ini
Sebagai permulaan yang terberkati

Madiun, 1 Januari 2022

BIODATA

Alina Sukesi lahir dan tinggal di Madiun, Jawa Timur, Indonesia. Menulis cerpen dan puisi.
Karya-karyanya disiarkan di pelbagai media cetak, online, dan portal ASEAN

6

Puisi kuatrin
Peserta
Paridah Ishak

HARI PERTAMA DUA PULUH DUA

Tahun baru dua puluh dua
tinggal jua dua puluh satu
bergulir detik hadirlah jua
hanyalah angka ganti begitu
.
Ruwat bergelut virus pandemik
Disember lalu banjir melanda
cuba hayati fasa endemik
arus menolak tiada tanda

Awal Januari hujan renyai
dingin sekali mengulit tulang
suram temaram titis merinai
tawakal reda apa yang hilang
.

Sinar mentari cerah sedikit
gumpalan awan berbalam-balam
siaga sampan naiki bukit
sukar menduga rahsia alam
.
Lakar harapan lukisan indah
di kanvas baru stanza puitis
lorek impian ternyata mudah
meski pesimis daya merintis

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
1/01/022

7

DI HARI DAN SAAT INI

Di hari dan saat ini
aku tidak mahu terlalu membebani fikiran
tentang esok jua masa silam namun daku
melarik nikmat syukur atas setiap kejadian
ada hikmah tersembunyi antara dugaan bergulir
ranjau mendewasakan onak melunakkan penghidupan.

Lalu tiada apa yang perlu kurisaukan
terbentang pelangi takdir melukis seri hidup
kujalurnya pasrah ronanya reda dan kerdip azam
tetap gemerlap setiap ruang tabir hayat.

Senyum yang ceria bertamsil bahagia
semarak semangat tetap kukuh utuh merenda jiwa
bernyala obor tidak pernah sirna biar sesekali 
bayu duga itu merempuh pohon kesabaran
kerana jiwa besar tidak akan pernah rebah.

Hari ini
segumpal azam kuangkat kembali
meniti musim tidak akan kering oleh ampuhnya
kekuatan menentang gelora pancaroba
kutitip doa dari kudusnya ketulusan
tetap akan terjulang mahkota keikhlasan.

Sujata Wee
Kg Kulim, Wakaf Bharu.

8

BATU TARRO KEHIDUPAN KITA

Diantara nafsu serakah manusia
Tentu ada jarak antaranya
Diantara diri sesame diri
Pasti kita disempadani oleh ruang diri.

Hatta diantara satu komuniti dengan komuniti lain
Wajib menzahirkan identiti mereka
Membezakan tatacara dan budaya hidup
Dalam satu rumpun
Dikenali sebagai rupa kesatunan.

Betapa penentu antara kampung
Ada tarro memisahkan hak
Kekuasaan keupayaan keakuan
Muncul dalam keliling
Ditentukan oleh tarro.

Demikian juga negeri-negeri,
Negara dengan negara,
Benua sesama benua
Dikenali melalui tarro bukan lagi
Ciptaan kita hamba ini
Tetapi Tuhan pemilik keagungan!

Lagi terang tarro ini
Direalisasikan melalui wujudnya
Syurga dan neraka.

Tarro ialah sempadan
Melayakkan manusia punya hak
1 Januari 2022 ialah tarro kehidupan baharu kita
Meninggalkan suatu daerah
Yang telah kita hamilkan dalam dekat
Tahun 2021.

Aduka Putra
Cendana Puri, Pasir Mas, Kelantan.
1 Januari 2022.

9

APA YANG AKU TERMAMPU

I
Aku hanya mampu merancang impian
membina hari-hari mendatang dalam cerah waktu atau gelap tanpa bayang-bayang
apa gerangan akan aku hadapi
1122 jendelanya ditabiri covid19
dan kesan banjir ganas
meninggal tangisan malam yang panjang

Aku hanya mampu merancang impian
di hadapan
masih ada pemimpin
mengejar laba dan kuasa
di atas langit masih ada langit
sekali pun dalam sulit
tetap juga merintis
menunggang kuda-kuda yang mahir terlatih

II
Aku hanya mampu merancang impian
selainnya aku berserah pada Allah
malam sudah larut
jika aku diterbangkan mimpi
besok aku masih di sini
bersama matahari pagi…

RAWANHIBA
9.08 mlm,
01/01/2022, Langgar
Alor Setar, Kedah.

10

Kata-kata Siapa?

Pabila terjadi suatu bencana
semua mula berkata-kata
tambah pula, pada tahun mula
puncanya apa?

Tuduh-menuduh bermaharajalela
salah-menyalah tak ketahuan punca
tuding-menuding telunjuk menghala
riuh seluruh marcapada
selama mana mahu berkata-kata?

Kau kata dia kata
dia kata mereka kata
mereka kata kau kata
kau mula hilang punca
semua tahu kau punya angkara.

Hentikan kata, itu lebih mulia
pada setiap tahun baru bermula
kita semakin keliru menentukan
siapa menabur kata-kata?

Sedangkan semua sedar
pilihan mulia tersedia
baik diam daripada berkata-kata.
Tahun baru bermula
berazam lah elak sengketa
puncanya dari kata-kata
moga rahmat menyuluh seluruh jiwa.

Hari pertama 2022 … sedih pedih melihat kata-kata di media sosial.

11

DOA AWAL TAHUN

entah apa ingin diminta
di hari pertama 2022
datanglah apa sahaja
pasti akan diterima
air mata pun kering
seusai banjir besar
mata sibuk menyukat
lumpur yang berselepat
di seluruh isi rumah
kereta dan motor tersadai
sudah seperti bangkai.

kayu kayan serupa balak
hanyut ke depan rumah
katanya tiada bertuan
nanti akan kami buatkan
bahtera paling besar 
seperti bahtera Nabi Nuh
pabila banjir lagi nanti
pergilah kalian pergi
penjarah hutan negeri
pergi, jangan kembali
– hanya ini, doa kami.

Ibnu Din Assingkiri
Simpang Ampat, Pulau Pinang
1 Januari 2021

12

010122

Satu satu dua dua
Ku bilang hari lepas dan hitung hari depan
Yang lalu tu kenang kenangkan
Yang akan tiba angan angankan
Kerana hidup kita adalah aturan

Satu satu dua dua
Dalam pasrah ku hirup nafas gundah
Kedukaan hati diseka dengan air mata
Kisah silam dijadikan abjad sejarah
Mencari sirna hilang entah ke mana

Satu satu dua dua
Bumi dibasahi tanpa hentinya
Merobek sengsara jiwa lara
Rumah inap hampir ranap
Di bawa arus serakah durjana

Satu satu dua dua
Menyirna cahaya gemerlapan
Ku titip doa mengharap ihsan 
Sang Pencipta Yang Maha Esa
Semoga hidup dinaungi sejahtera

Nukilan malam,
narizanj….

13

2021

Manis dan sejuk
nampak enak sekali
sabar dan mantap.

kopiku yang manis sekali
kau pergi panas dan sejuk
panas dan sejuk
panas dan sejuk
menginspirasi.

MRT Nordin,
Kuala Lumpur, January 1, 2022

2021

Sweet and icy,
Looks so tasty,
Slow and steady.

My sweet, sweet coffee,
You go hot and cold,
Hot and cold,
Hot and cold,
Inspiring.

MRT Nordin,
Kuala Lumpur, January 1, 2022

14

SEBELUM DUNIA MENEMUI KEMATIAN

Di hujung kaki langit
aku menemui sebuah kiblat
lalu mendayung hingga akhirat
perjalanan masih panjang dan hebat
kerana aku masih mahu hidup selamat
membuka iqra yang bisa terpahat
dalam jiwa dipenuhi dosa karat
biar aku disucikan dengan kudrat
agar setiap pahala menjadi berkat
untuk aku bawa ke dalam nikmat
sebuah hidup dalam keramat
mungkinkah satu tahun semakin cepat
sebelum dunia bertemu kiamat

Karya;
Gabriel Kimjuan
Taman Mutiara,
Labuan, Malaysia.
1 Januari 2022

15

2022

Tahun baru
dan kita pun memasang angan-angan
mahu kurus
mahu kaya
mahu bahagia
mahu beli kereta
mahu beli rumah
mahu masuk sorga
yang tak pernah selesai-selesai.

Dan penyair pun mencipta sajak tahun baru,
seperti biasa.

mohd dahri zakaria,
kota bharu.

16

Seloka Hari Pertama

Hari pertama tahun baharu
azam dipasang bernyala-nyala
lenyap sejenak fikiran celaru
banyak perancangan panjang berjela

Sungguh teruja hari pertama
semangat berkobar iltizam membara
dapat bersua sahabat lama
buka cerita asyik berbicara

Bulan pertama hari pertama
tahun baharu dua puluh dua
tidak bertemu sekian lama
rupa giginya dah tinggal dua

Hari pertama tertawa bersama
ada yang duka ada jenaka
hidupnya kini dalam dilema
sedih diuji dengan prasangka

Hari pertama bertentang mata
dahulu kecil kini dewasa
sungguh bersopan tutur dan kata
dialah sahabat berbudi bahasa.

CT Nurza
Jerantut Pahang Malaysia.
1 Januari 2022

17

Hari Pertama Tahun 2022

Ku bungkus setitik harapan
di hari pertama bulan Januari
tahun 2022
kujadikan ia pucuk-pucuk doa
di hujung waktu
semoga terbang ke samudera langit tinggi
ku harap ia menjadi ribuan pelangi indah
setelah badai berlalu

semua doa dan harapanku
kuserahkan pada Yang Maha Kuasa
seperti sajak-sajakku
yang tersimpul rapi
di akar hati

yang pasti
semua doa-doaku ini
hanya untuk setitik cahaya.

Rafael Maribin
Kota Kinabalu.
1 Januari 2022
Hari Sabtu l 11:40 pm.
Dihantar daripada Huawei Mobile saya

18

DENGAN IZIN

Hamizun Syah

tarikh: satu.januari.dua kosong dua dua
dengan izin jejak usia melewati gapura waktu
menuju musim baharu
namun bacaan fikir suhu peribadi; rimas cemas
belum di takah selesa
tular wabak liar berlegar-legar
cuaca sekitar menyebar bau bencana lepas
antara perit sakit sindrom kuasa keterlaluan
dan berita cerita hamis bersalut hipokrit
membanjiri prinsip palsu politikus
berebut dan bergelut sama sendiri

iklim galau musim lampau
merebak gelegata ke kulit impian

dengan izin
hari pertama di musim baharu, masih terpilih
menyeret bagasi pengalaman dicemari selut semalam
namun persalinan di dalam tersimpan rapi
busana batin seorang fakir – nikmat Tuhan tidak mungkir
menghuni agam tekad seorang daif – rahmat Tuhan bukan naïf

berbumbungkan asbestos nekad, berlantaikan marmar sabar
dihampar permaidani syukur
isi-perabot tersusun yakin dan pasrah
perkakas dalaman semata-mata doa dan ikhtiar
tidak ada sebab, mudah mengalah

dengan izin
hari ini bermula nyali juang baharu
di luar hingar-bingar makin mencabar
keluar berperisaikan iman bukan kepalang
matlamat esok ke esok lagi
segala suram bersinar kembali

tiada daya-upaya pada diri melainkan dengan izin

01hb. Januari. 2022
Langgar, Kedah Darul Aman

19

Genere Pantun Berkait
PANTUN AWAL JANUARI 22

Pohon ara lebat berdaun,
di pucuk bambu sarang tempua;
Salam sejahtera pembuka tahun,
tahun dua ribu dua puluh dua.

Di pucuk bambu sarang tempua,
di ranting kari ekek layongan;
Tahun dua ribu dua puluh dua,
satu Januari meninggal kenangan.

Di ranting kari ekek layongan,
bersama pipit membuat sarang;
Satu Januari meninggal kenangan,
walaupun sakit tetap dikenang.

Bersama pipit membuat sarang,
di ranting gaharu sarang pergam;
Walaupun sakit tetap dikenang,
di tahun baharu semoga tenteram.

Di ranting gaharu sarang pergam,
di lain pohon burung merbah;
Di tahun baharu semoga tenteram,
bersama memohon kepada Allah.

Di lain pohon burung merbah,
di ranting bidara burung bercanda;
Bersama memohon kepada Allah,
sihat sejahtera tanpa bencana.

Di ranting bidara burung bercanda,
terbang rendah burung kenari;
Sihat sejahtera tanpa bencana,
doa ditadah di satu Januari.

Terbang rendah burung kenari,
burung tekukur terbang bersama;
Doa ditadah di satu Januari,
memanjatkan syukur buat selama.

Burung tekukur terbang bersama,
terbang berlima laju meluru;
Memanjatkan syukur buat selama,
dapat bersama di tahun baharu.

Terbang berlima laju meluru,
burung merpati terbang keliling;
Dapat bersama di tahun baharu,
senang di hati terhibur runsing.

Burung merpati terbang keliling,
terbang ke bukit burung serindit;
senang di hati terhibur runsing;
terubat sedikit kenangan pahit.

Terbang ke bukit burung serindit,
turun minum hujan gerimis;
terubat sedikit kenangan pahit,
di dalam senyum hati menangis.

Turun minum di hujan gerimis,
burung biru menyedut tenang;
Di dalam senyum hati menangis,
di tahun baharu kekal dikenang.

Burung biru menyedut tenang,
gerimis tempias di daun lebar
Di tahun baharu kekal dikenang,
tahun yang lepas jadi iktibar.

Gerimis tempias di daun lebar,
gerbang pelangi di langit tinggi;
Tahun yang lepas jadi iktibar,
tahun yang kini sikap berhati.

Gerbang pelangi di langit tinggi,
di langit biru di remang petang;
Tahun yang kini sikap berhati,
tahun baharu telahpun datang.

Di langit biru di remang petang,
burung kenari di pucuk nangka;
Tahun baharu telahpun datang,
satu Januari sudah dijangka.

Burung kenari di pucuk nangka,
ke pokok langsat lalu beredar;
Satu Januari sudah dijangka,
sudah tercatat di dalam kalendar.

Ke pokok langsat lalu beredar,
terbang naik ke satu arah;
Sudah tercatat di dalam kalendar,
didoa yang baik mencatat sejarah.

Terbang naik ke satu arah,
ketika redup sinar suria;
Didoa yang baik mencatat sejarah,
mewarnai hidup menjadi ceria.

Ketika redup sinar suria,
awan menampan cahaya terang;
Mewarnai hidup menjadi ceria,
menjadi harapan semua orang.

Awan menampan cahaya terang,
petang hari menuju senja;
Menjadi harapan semua orang,
satu Januari sudah bermula.

Petang hari menuju senja,
terbitlah bintang di malam kelabu;
Satu Januari sudah bermula,
cerita mendatang kita tak tahu.

Terbitlah bintang di malam kelabu,
di malam begini sepi sendiri;
Cerita mendatang kita tak tahu,
sampai di sini bermohon diri.

Di malam begini sepi sendiri,
terdengar bersahut burung mendayu;
Sampai di sini bermohon diri,
Selamat Menyambut Tahun Baharu.

Noorhamy
1 Januari 2022
Telamba, Telisai, Tutong,
Brunei Darussalam.
11.36 malam.

20

Di Tanggal Satu Tahun Baharu

Di tanggal satu tahun baharu
warga disergap khabar nestapa
sempadan Haramain dipintu kejap
umrah ziarah terbelenggu lagi
penangan Omicron bukan kepalang
evolusi Corona tiada noktah.

Di tanggal satu tahun baharu
Flurona muncul tanpa isyarat
belum sirna varian lama
varian baharu mengundang gusar
watan nanar memikirkan esok
pandemik seolah tak akan tertamat.

Di tanggal satu tahun baharu
munajat doa bergentayangan syahdu
warga merana merenung nasib
belum terawat luka Corona
pawana monsun membawa derita
genangan bah meruntun kalbu
menduga iman, menguji takwa.

Semoga dengan ini ujian
terlahir ramai sang muqarrabin
mengakrab hubungan dengan Pencipta
kerna sesunguhnya Tuhan menguji kerana cinta.

Mohd Shukri bin Hussin
1 Januari 2022
Telok Panglima Garang, Selangor

21

WAHAI TAHUN

Wahai tahun
kau datang dan pergi 
tanpa kerelaan ku
wajahmu umpama bayang-bayang dunia
hilang sekelip di ufuk timur
bersama lelahnya senja 
melabuhkan tirai 

Wahai tahun 
isianmu sarat peristiwa
pahit-maung suka-duka
setiap insan hadapi penuh tabah
ada teman tangis
ada teman ketawa
ada pakej bersama

Wahai tahun
seringkali kau datang dan pergi
dengan menganyam pelbagai cerita
pelbagai sengketa hidup
pelbagai sandiwara semasa
pelbagai alibi mengena

Wahai tahun baharu
kau datang lagi berazam
melakar coretan tersirat
tiada terungkap bicara
penuh misteri.

Oui Bin Sal,
Tanah Merah,Kelantan

22.

TANGISAN DI HUJUNG DISEMBER

Tangisan hujung Disember
raungnya merangkul satu negara
langitnya berwajah suram hitam
wajah duka terlukis di dinding waktu
menjamahi pengakhiran musim
marhaen menghulur tangan kasih
membantu sesama marhaen
yang terkurung dalam perit musibah.

Hujan yang tidak dilewatkan turun
tidak lagu bergerimis tapi laju
bagai tsunami kecil merobek
menghanyutkan syurga kecil
menumbuh bunga keinsafan
yang terlambat subur di rimba
akal seorang pemimpin.

Hadirnya musibah mengoyak kenangan
tercatat lagi dalam sejarah tamadun
dugaan yang tercurah ini adalah
usikkan alam tentang kita yang rakus
terlalu lama terapong di awangan
sombong untuk bersahabat
apalagi bermuhasabah ke jalan
yang hakiki dan mengerti tentang
kasih alam yang semakin tersisih.

Nukilan
ADYRA AZ-ZAHRA
KLANG SELANGOR
DISEMBER 25 2021

KEPUTUSAN

Aspek Utama Penilaian

  1. Kesesuaian tema: Tahun baru.
  2. Signifikansi ide berkenaan dengan tema.
  3. Kebahasaan.

Juara 1 (RM101.22): PAID TO ROIS

Nyanyian Catatan Akhir Tahun Puisi Teras
(Cunong Nunuk Suraja)

Juara 2 (RM101.22): PAID 25.01.22

Cahaya Tahun Baru
(Abdullah Hussaini)

Juara 3 (RM101.22 setiap satu):
3.1. PAID 25.01.22.
3.2. PAID TO ROIS.

3.1. Doa Awal Tahun
(Ibnu Din Assingkiri)

3.2. Hari Masih Sangat Sunyi
(Isbedy Stiawan ZS)

########

#Syabas kepada para pemenang. Yang tidak berjaya, jangan kecewa. Cuba lagi pada sayembara-sayembara ESVA yang akan datang.
#Terima kasih kepada rakan-rakan kita di Indonesia yang telah bertindak sebagai hakim sayembara pada kali ini.
#Ikhlas dari:
Editor ESVA (Prof. Dr. Irwan Abu Bakar).
Kuala Lumpur, Malaysia.
5.01.2022.

TAMAT.