KEBELAKANGAN ini timbul isu besar tentang aktiviti ciplak karya sastera, melibatkan penulis-penulis terkenal. Untuk Sayembara ESVA-24 ini, tulis sebuah sajak bertema “Ciplak”.

Mula: Ahad 21.11.2021.
Tamat: Khamis 25.11.2021.

HADIAH:

Ke-1: RM100.
Ke-2: RM80.
Ke-3: RM50.

Hantar karya ke: gaksaAsean@gmail.com

PENYERTAAN

  1. Moh. Ghufron Cholid. (Risalah Pemantik Kata).
  2. Moh. Ghufron Cholid. (Hadiah Surga).
  3. Moh. Ghufron Cholid. (Almanak Luka Seorang Plagiator).
  4. Paridah Ishak. (Kota Karya Kreatif).
  5. Sujata Wee. (Mahkota Maruah Telah Kau Hempas).
  6. Ismail Hashim. (Urus Setia).
  7. Mokhtar Rahman. (Plagiat).
  8. Jo Latif. (Ciplak).
  9. CT Nurza. (Soneta Virus Plagiat).
  10. Abdul Aziz Mahmood. (Sebuah Karya@Harta).
  11. Ibnu Din Assingkiri. (Giat Mengatup Niat).
  12. Ibnu Din Assingkiri. (Puisi Jujur).
  13. Mohd Shukri Hussin. (Kleptomania).
  14. Husairi Hussin. (2×5 Sama Dosa).

Selamat berjaya.

1.

RISALAH PEMANTIK KATA

Mempercantik kata
Dari peluh dan airmata
Sendiri
Tanpa menyalin surga
Dari keringat dan darah sesama
Cara lain berbahagia
Cara lain harumkan nama
Semerbak bunga surga

Moh. Ghufron Cholid
Torjunan, 21 November 2021

2.

HADIAH SURGA

Kalau hanya
Ingan nama bergema sampai tujuh petala
Lalu duniamu selebar daun
Tak usah kau tumpuh
Tak usah
Kau tempuh

Biarkan kata-katamu tak manis
Tak rapi berbaris-baris

Sepanjang lahir dari buah pikirmu
Sepanjang bergema dari sanubarimu
Itulah hadiah surga

Moh. Ghufron Cholid
Torjunan, 21 November 2021

3.

ALMANAK LUKA SEORANG PLAGIATOR

Sekali kau mendaftar
Namamu abadi jadi buah bibir waktu
Dan kau hanya menghuni almanak
Dengan duka yang paling tanak

Moh. Ghufron Cholid
Torjunan, 22 November 2021

4.

Oleh:

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
22/11/021

5.

MAHKOTA MARUAH TELAH KAU HEMPAS

Mahkota gemerlap sekian lama kau junjung
di persada penghormatan
tiba-tiba kau hempas berderaian
permata-permata kebanggaan
gugur berselerakan ke dalam
longkang hina yang hanyir.

Terlucut busana maruah yang kau peragakan
sedang sebelum ini dengan megah kau
menelusuri lorong-lorong peluang juga anugerah
dipuji puja pujangga bitara melontar kata
mengundang kagum seantero buana.

Namamu hari ini telah terpadam
dikecam keji lantaran perbuatan sendiri
kau palit wajahmu seribu retak kekotoran
merompak ciptaan segudang jerih perih orang lain
dan tidak mungkin kau mampu bangkit kembali
membaiki kesilapan dan pastinya
dirimu telah tersungkur.

Tidakkah terfikir olehmu kau hanya nantinya
kesakitan bila kau toreh wajahmu demi
menanggalkan pengkhianatanmu ini
lukamu pasti berdarah dan kamu tentunya
meraung kesengsaraan.

6.

Puisi
Ismail Hashim

BAYANG- BAYANG INI SELALU ANEH

Bayang-bayang ini selalu aneh
tanpa mengenal lelah mengekori
dengan jaminan padanya
sebuah nama sungguh gah
tanpa keringat atau warna merah

bayang-bayang ini berdamping
dengannya di meja tulis
di waktu kreativiti lenyap
paparan ternama puisi magis
legasi dari tokoh-tokoh sastera
yang menjuarai anugerah
arca plagiat tersenyum
puisi-puisi yang disadur menguntum
menggauli rasa mujur

memujuk dirinya segera meraih
menghambat dan menindih
meminjam jersi penyair terpilih
mengejar kerdipan gelaran
dalam buih-buih nun di sana
memutih!

Warisan Puteri, N.SEMBILAN
22.11.2021

7.

PLAGIAT

Sudah ada niatnya
membohongi diri,
apakah Tuhan tidak mengtahui
jalan pintas
yang kamu lewati
menyimpangi ranjau-ranjau?

Begitu kamu menghirup madu
dari cangkir
terhidang atas alas baldu
tanpa merasai bisanya
sengat sang lebah,

Sekadar mahu merasai
kehebatan diri
dari keringat seorang pembajak
cukup-cukuplah,
tiada yang glamor
pada emas saduran,
kamu hanya memakan diri.

Mokhtar Rahman.
Alor Setar.
23 November 2021

8.

CIPLAK

Ciplak membuak-buak
beralun semakin panas
musimnya mulai digembur-gemburkan
ada yang membudayakannya
lesen penyelewingan diawet muda
pencabulan etika berulam cinta.
Ciplak
gigihnya semakin subur
asli bertukar kabur
tulisan asli melecur
pengetahuan dan kemahiran turut lebur
yang sejati teracun dan tersungkur
ciplak bertambah makmur.
Ciplak
apinya beragam diam
kesedaran dan keinsafan diabaikan
tanggungjawab dibunuh
gagal memaksa apinya redup

Nukilan
Jolat
if

  1. November 2021
    Brunei Darussalam.

9.

SONETA VIRUS PLAGIAT

Sudahlah lama ia menular,
dalam kalangan penulis muda,
karya diplagiat maruah dicalar
cari sanjungan bagai agenda.

pabila tertangkap rosaklah nama,
puja dan puji bertukar caci,
sungguhlah malang insan ternama,
sekelip mata diri dibenci.

wajar diselar kaki plagiat,
ini perbuatan tidak bermoral,
hati pengkarya bagai disiat,
sepantas kilat menjadi viral.

elakkan plagiat jadi tabiat,
kerana ia tiada manfaat.

CT Nurza
Jerantut, Pahang, Malaysia
24 November 2021

10.

SEBUAH KARYA@HARTA

adalah harga seorang diri
tanda maruah jati diri
peribadi tersembunyi

adalah harta hak seseorang
tersimpan perasaan fikiran pengarang
kenapa ada pencuri
membuang ketuanan diri

menyalin semua
atau sebahagian
memalukan!
meletakkan kehinaan sendiri
kerana dalam karya
ada nama dan peristiwa
tersurat atau tersirat
tuan empunya

ABHAM TR

11.

GIAT MENGATUP NIAT 

plagiarisme itu
bukan donut keras, liat
kerana adunan tidak naik
lalu kausira karamel
dan letakkan namamu 
di bungkusannya.

plagiarisme itu
donut gebu bagai pipi
anak kecil tembam –
yang kaucuri dari dapur
kawan atau tetanggamu
dengan harapan, agar
tak’kan tertangkap
sampai bila-bila.

plagiarisme itu
adalah donut curi –
walau kausira karamel
untuk mengatup aibnya
Tuhan sedia tahu
apa dalam nawaitu.

Batu Kawan, Pulau Pinang
25 November 2021
#ibnudinassingkiri12.

12.

PUISI JUJUR

tukangi puisi 
dari isi hati terdalam
tuliskan ia perlahan-lahan 
biar berpuluh tahun lama
diperam tidak matang
asal tidak kautukar
dengan kata yang kaucuri
dari lemari wacana
dan peti minda 
taulan dan tetangga.

Batu Kawan, Pulau Pinang.
17 November 2021
#ibnudinassingkiri

13.

Kleptomania

Jangan kautulis madah sebarang
tika sedang gagasanmu kontang
kerna tidak bermadah itu lebih mulia
biarlah polos tulisan di warkah
tak tercatat kalimat di makalah
hatta nama tak jadi sebutan
karya sendiri tak pernah terjulang
tak mengapa, kerna itu lebih mulia.

Jika tak mampu kaualirkan buah fikirmu
dalam sungai jujur penuh tulus
pendamkan sahaja segala rasa
peramkan sahaja biar membatu
biar terpintu tanpa arah tuju
tak mengapa, kerna itu lebih mulia.

Menggarong wacana miliknya orang
jenayah intelek menggadai maruah
ini kleptomania mesti dinoktahkan
agar warga terdidik murni
jangan jadi sang maling aksara-
merembat idea di sini sana.

Benih kleptomania kian membiak
tanpa segan malu terus bergelumang ranah
sedang warga menaakul curiga
dosa terhijab ditatap semesta
sang plagiator tertangkap penuh hina-
intelek terencat dek bebalnya akhlak.

Sungguh, kleptomania ini mesti dinoktahkan!

Mohd Shukri bin Hussin,
Bandar Bera, Pahang
25 November 2021

14.

2×5 Sama Dosa

Adakah ini kerja mulia?
berasa bahagia mencela
menghentam sesuka-suka
ketawa sesama mereka
mengkritik atas dasar hak bersuara
tetapi hanya mereka yang gempita.

Mencela itu kepada siapa?
hanya membuka pekung di dada
lalu tertera kelemahan diri sahaja.

Salah itu memang salah
meciplak itu salah
mencuri juga salah
meniru tetap salah
mengata pasti salah
memfitnah semakin besar salah
mencela tak terlepas salah
Kalamullah mengulang-ulang peringat
Semuanya dua kali lima sama dosa.

Adakah ini berasa mulia?
Menciplak itu kerja hina
lambat laung pasti terkena
janji Allah pasti tiba.

Usah menjadi malaikat dunia
semua salah hendak cerca
telunjuk lurus kelengkeng berkait.

Usahalah hindari mudarat
hidup biar penuhi berkat

atas kejujuran makrifat
karya tersohor faedah dapat
semoga peroleh berkat
di akhirat mendapat rahmat.

Insya-Allah: November 22/2021 – Dunia sastera bergema dengan isu tak sempurna.

KEPUTUSAN

Karya sedang dinilai.

TAMAT.