Tulis sebuah sajak/certot bertema “Malam Berhantu”.

Mula: Sabtu 30.10.2021.
Tamat: Ahad 31.10.2021.

HADIAH UNTUK SETIAP SEKSYEN PUISI/CERTOT:

Hadiah Ke-1: RM100.
Hadiah Ke-2: RM80.
Hadiah Ke-3: RM50.

Hantar karya ke: gaksaAsean@gmail.com

PENYERTAAN

SAYEMBARA ESVA-23 (PUISI)

  1. Rafael Maribin. Malam Berhantu. (Hadiah Ke-1 RM100),
  2. Moh. Ghufron Cholid. Sepanjang Jalan Berhantu. (Hadiah Ke-2 RM80).
  3. Paridah Ishak. Daerah Gelap. (Hadiah Ke-3 RM50).
  4. Mohd Adib Ab. Rahman. Malam Berbalut Sunyi.
  5. Sujata Wee. Mengirik Bula Romaku.
  6. Putraery Ussin. Rumah Berhantu.
  7. CT Nurza. Malam Penuh Misteri.

KARYA ESVA-23

1.

Semburat jingga
senja tadi tersisa
malam mulai menyapa
ketika purnama
lolong anjing mengaung panjang

malam makin sunyi
aku perasan
ada bayang-bayang mengikutiku.

Mungkinkah kerana ada yang meninggal tadi siang?

Bukan maksud bilang ada roh gentayangan
tapi memang ada kelibat itu mengilang
malam menjadi hantu
jadi menghantuiku.

Rafael Maribin
Kota Kinabalu.
30 Oktober 2021, Hari Sabtu l 9:30 pm
Dihantar daripada Huawei Mobil
e saya

2.

SEPANJANG JALAN BERHANTU

Sepanjang jalan berhantu
Tak ada yang lebih mengerikan
Selain diri yang lupa diri
Tak tahu letak Ilahi
Di kedalaman nurani

Sepanjang jalan berhantu
Tak ada yang lebih mengerikan
Selain diri sendiri

Diri yang telah alpa
Pada jalan cinta Maha Cinta

Moh. Ghufron Cholid
Torjunan, 31 Oktober 2021

3.

DAERAH GELAP

Meraikan kehadiran hantu
bermain bayangan liar citra imaginasi
bertandak irama jahil metropolitan

Topeng sembunyi wajah
membaca mantera batil menyeru
meresapi atma
dasawarsa melintasi kurun
era cerah globalisasi teknologi
gagal menyuraikan pesta-pestaan
meraikan hantu berterusan
di daerah gelap ini
lalu kebersamaan entiti laknatullah
memporak-peranda
menghantui gelita malam

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah, 31/11/021

4.

MALAM BERBALUT SUNYI

Malam berbalut sunyi seperti jenazah siap terkafan rapi di sudut
tatapan bulan serasa penuh kekosongan, wajahnya begitu pucat
tampak bayangan perempuan baru saja kehilangan suami direnggut Covid19
termenung sendirian
sedang masa depannya penuh jerebu dan abu
mampukah dirempuhi
air matanya menyungai namun tak mampu
menghanyutkan sampah dan remah berkampung di batin

Dia berandai suaminya masih ada
hidupnya kini taklah begini
dihantui kecemasan dan kemurungan
bintang-bintang retak di langit
angin terkoyak berpuput ngeri
malam diruntun suasana berkabung

Perempuan itu sudah terjaga
takdir yang berkunjung ke rumahnya
adalah tetamu titipan Tuhan yang terbaik
lalu menyesapi musibah
seperti secawan susu di pagi hari
sungguh menyegar dan menyihatkan!

Nukilan,
MOHD ADID AB RAHMAN
JB 5472 JLN. 6, TAMAN JUS PERDANA, 77500 SELANDAR
31 OKT 2021

5.

MENGIRIK BULU ROMAKU

Tengah malam sepi hening
sendirian di kamar terpercik debar
tiba-tiba satu ketukan berkumandang
kubuka lampu dan mata meratap meliar
tiada siapa atau bayang pun yang ada
hanya kesenyapan membelah kelam gusar

Makhluk apakah yang menemaniku di sini
mengirik bulu roma meruap tubuhku menggigil
kupujuk hati agar cekal dan tabah menghadapi
situasi seram ngeri bertali namun kuharus berani.

Sampai kini masih belum muncul jawapan
ketukan menyapa lagi menimbul persoalan
enggan pula muncul menjawab pertanyaan
tersandung daku dibungkus kebingungan.

Siapa dan mengapa
sampai bila harus sembunyikan diri
aku tidak mengerti ingin sekali kufahami
apa yang telah terjadi membuat kamu tidak keruan
menggangguku malam-malam mengujiku saat sendirian.

Nama Sujata Wee
Pt 284 Jln Baru Kg Kulim 16250 Wakaf Bharu Kelantan
No telefon 01111025928

6.

Rumah Berhantu

Pagi yang bercahaya
ada pertemuan keluarga
riuh gembira bersama
gelak ceria bersuka-suka.

Tengah hari menjelma
rumah lama panas berbahang tiba-tiba
ada usul tak percaya kepada kepala
bapa lama, mak tua, abang kakak tak berdaya
perlu ketua konon rumah lebih bahagia
bimbang penghuni rumah naik hantu pula.

Petang redup mendung menghampiri
riuh ketua yang dipilih sakit nak mati undur diri
pembantu setia ikut buntut pergi
sanak-saudara mula tepuk dahi
bimbang penghuni rumah berkelahi
pasti puaka akan hinggapi.

Malam menjelang seram sepi
anjing-anjing menjerit bingit
lolongan ibarat menyalak bukit
rumah indah bertukar ngeri
anjing-anjing menyalak lagi
ahli rumah jadi hantu barangkali
anjing-anjing pasti menyalak lagi
selagi mulut tak tersumbat najis sendiri.

Hanya doa dipinta
moga hantu-hantu berlalu pergi
anjing juga pasti berhenti
rumah berhantu kembali suci.

Jangan jadi hantu yang tak membantu – 31 okt. 2021.

7.

MALAM PENUH MISTERI

Seekor kucing hitam
muncul di muka pintu
sedang piano berbunyi tanpa henti
tiada siapa kelihatan
sebiji labu oren bergoyang menari-nari
di pinggan kosong para tamu
usai majlis lewat malam berlalu

Malam penuh misteri
parti topeng berakhir
sepasang kelawar berterbangan
ke sana sini sungguh aneh
roma-roma tegak berdiri
suram malam terasa seram
gigil tubuh berpeluh dingin
melihat topeng beraneka bentuk.

CT Nurza
Malaysia

SAYEMBARA ESVA-23A (CERTOT)

  1. Mohd Hanafi bin Isa. “Sudah Lama Kita Tidak Melancong,” Kata Dia.
  2. Paridah Ishak. Warga Alam.
  3. Putraery Ussin. Cerita Seram Atau Anjing Garang.
  4. Lamaran Mr. Drakut.

KARYA ESVA-23A

1.

“SUDAH LAMA KITA TIDAK MELANCONG,” KATA DIA

“Ya. Sekaranglah saatnya. Tambahan pula ini masanya sektor pelancongan dibuka semula.” Balas Amar. 

Hampir dua tahun mereka tidak ke mana-mana. Pandemik kali ini memang terasa panjang. Mengikut teori pengurangan manusia dunia, wabak sebegini berlaku setiap satu kurun. Jumlah kematian melibatkan hampir keseluruhan negara-negara dunia. Hanya sedikit negara tidak terjejas kerana tiada pergerakan rentas negara atau menerima pelancong luar. Tentunya negara itu kurang didengar malah hampir tidak diperkatakan oleh mana-mana orang. Dia pernah dengar, Vatican City hanya mempunyai 27 kes, tiada kematian. Berapa titik perpuluhan jika dinisbah kepada keseluruhan kes dunia? 249 juta kes, dan hampir 5 juta kematian saat ini. 

“Tetapi sekarang pun belum sesuai untuk berjalan. Bayangkan jika sesuatu kawasan dibuka, orang ramai serentak serbu tempat tersebut. Tidakkan kawasan tersebut jadi padat?” Tukasnya. 

“Kalau begitu, jom ikut aku. Kita ke Pulau Pangkor. Ada chalet tepi pantai. Jauh dari keramaian. Orang-orang laut tidak sampai 50 orang menghuni kawasan itu. Kita boleh rasa suasana hutan tetapi tidaklah bahaya seperti hutan sebenar.” Dia memberi cadangan.  

“Adakah kita perlu menggunakan feri?” Amar seperti berminat. 

“Oh, tidak. Aku sebenarnya maksudkan Teluk Batik.” Dia menunjukkan beberapa keping gambar yang pernah dimuat naik oleh pengunjung terdahulu di laman Meta. 

    “Kalau begitu, kita bukan betul-betul ke pulau. Menarik. Apa lagi? Jumaat minggu hadapan kita cuti.” Amar melompat dari sofa seperti  mengalami eureka. 

    **

Jumaat yang dijanjikan pun tiba. Setelah usai solat Jumaat mereka bertolak dari kota belantara batu menuju ke Perak. Mereka bawa bekalan berupa ubat nyamuk, mi segera, sardin, sekampit beras, penunu Bunsen, beberapa perkakas memasak yang lain. “Ini mahu berkhemah atau bermalam dalam resort?” Dia menutup bonet kereta Amar. 

    Amar memandu dengan cermat. 230 kilometer meski tidak berapa jauh terasa sangat lambat. Banyak kenderaan bersesak seolah-oleh semua warga kota pulang ke kampung. Mereka terpaksa mengharungi 3 jam hanya untuk sampai ke Sekinchan. Jika jalan lengang, mereka sudah pasti tiba ke destinasi seawal jam 6 petang. Maghrib itu mereka berhenti solat di Hutan Melintang. Tidak lama lagi mereka akan sampai ke Teluk Batik. Dia sudah memaklumkan peruabahan waktu ketibaan kepada pengusaha chalet. 

    Jam 9.30 malam mereka tiba. Ketibaan disambut dengan ramah. Deretan cahaya dari restoran tepi pantai sangat meriah. Tuan punya resort membawa mereka ke chalet. Binaannya sangat ringkas. Tiada pendigin hawa Binaannya seperti pondok. Tiada tivi, Tiada peti. Tiada bilik air dalam chalet. Tiada. Chalet ini sama sekali berbeza dengan resot yang pernah mereka kunjungi. Yang ada hanya sebiji mentol, dan dua set katil bujang. 

“Hmm, maaf ya. Di sini kita terpaksa kongsi bilik air di kawasan luar.” Pemilik chalet meyuluh ke  arah  tandas yang dimaksudkan. 

Amar sekadar mengangguk. 

Mereka mengangkat barang-barang ke dalam chalet.  30 minit kemudian, Amar sudah tertidur. Boleh jadi dia sangat keletihan memandu. 

Jam menunjukkan 3  pagi. Tiba-tiba dia terasa badannya digoncang dengan kuat. “Bangun! Bangun! Temankan aku ke tandas.” Dia melihat wajah Amar ketakutan. 

“Tandas dekat pun takut?” Dia kehairanan. Setahu dia Amar seorang pemberani. 

“Bukan takut. Aku nampak sesuatu.” 

Mereka bergegas ke tandas.

“Mana?” 

Amar menunjukkan satu arah. 

“Kuku ayam jantan!” Jeritnya sambil ketawa. 

2.

WARGA ALAM
Oleh Paridah Ishak

Tahun 70 tercatat banjir besar melanda negara, tika itu aku tinggal bersama Tok
dan Tok wanku di Kedah. Aku tidak tahu sangat kisahnya. Cuma aku teringat
bersama kawan baikku Niah mengharung air yang melimpahi tebing sungai
sambil menjinjing kasut sekolah yang diisi ke dalam plastik menuju ke sekolah.
Bukan main bersemangat hendak menuntut ilmu di sekolah walau terpaksa
meredah banjir. Tinggi airnya separas betis juga.
Tahun 77 aku berpeluang mengikuti kursus penulisan DPMP di Temerloh. Aku
bertanya pada seorang kawan sekursus, pengalamannya menghadapii banjir
ketika itu. Katanya dia dan keluarganya termasuk ayam, itik, kucing, kambing
peliharaan terpaksa berada di atas bumbung rumah sehingga air surut.
Mengerikan sungguh memandang segala tilam dan kelengkapan rumah hanyut
semua. Kata kawanku penduduk di kampungnya terlihat seekor buaya putih yang
besar menyeberangi sungai Pahang sebelum itu. Dan orang-orang tua yang
banyak pengalaman menafsirkannya sebagai petanda sesuatu yang tidak molek
akan berlaku. Terdiam aku mendengarnya.
Ketika kursus, kami yang menyertainya bermalam di asrama puteri Sekolah
Sultan Abu Bakar Temerloh. Di tengah malam aku merasa nafasku sesak.
Tubuhku seolah ditindih sesuatu yangiberat. Aku pun membaca segala ayat suci
yang kuingat. Alhamdulillah tubuhku ringan semula. Dan boleh menarik nafas
lega.
Setelah berkahwin aku tinggal di sebuah rumah felda UJ, Pahang berhampiran
sungai kecil. Berpuluh tahun di sini tidak pernah rumah yang dihuni dinaiki air
kerana banjir. Mulai 2004 tahun tragedi tsunami bermula kejadian terpaksa hadapi

banjir kilat setiap kali hujan turun dengan lebat. Letih sungguh terpaksa mencuci
rumah yang dipenuhi selut bawaan air banjir. Lantaran itu jiran-jiranku menambak
tanah untuk meninggikan rumah masing-masing. Aku cuma merancang. Belum
sempat melaksanakannya aku terjatuh patah dan tidak mampu berjalan lagi.
Hasrat tidak kesampaian.
Rumah yang sering dilanda banjir kilat terpaksa ditinggalkan kerana tiada siapa
yang mampu menguruskannya lantaran semua anak-anakku bermukim di
Selangor membawa aku bersama mereka. Aku teringat cerita kawanku tentang
banjir besar yang berlaku setelah buaya putih menyeberang sungai Pahang.
Sebelum kejadian banjir di kampungku berlaku, aku pernah terlihat seekor
binatang aneh yang asing pada pandanganku kerana bentuknya yang panjang
seakan buaya tapi ada duri panjang di belakang dan siripnya. Sepsis haiwan
purbakala boleh jadi. Haiwan itu bergerak perlahan menuju paya tanpa pedulikan
aku yang terpana keterkejutan. Mungkin itu juga isyarat alam. Entahlah.
Kadangkala balik juga menjengok rumah untuk mengemas dan membersihkan
kawasan persekitaran. 2020 sebab covid 19 dan pelbagai peraturan PKP, PKPP,
PKPD, tak merasa hendak balik kampung lagi. Hanya berharap rumah yang
ditinggalkan elok-elok. Dan banjir kilat tidak menerjah kerana sungai kecil di
belakang rumah telah diperdalamkan pihak pengurusan kampung felda.
Tapi berita via wasapp yang dikirim jiranku mengejutkan juga. Masing-masing
kelihatan berada di atas katil yang dipenuhi air segenap ruang rumahnya. Masih
juga banjir menerjah masuk walau rumah itu dibina agak tinggi untuk mengelak
banjir.
Biasanya rumah yang lama ditinggalkan tetap ada penghuninya yang tidak
kelihatan. Anakku yang kedua tika kecil berkata, dia melihat seseorang berlegar
dalam rumah kami. Kata suamiku kalau orang itu mengganggunya, pukul saja.
Kewujudan entiti di sekeliling kita sudah sekian lama berkongsi alam semesta
dunia. Saling memahami dan tidak mengganggu lestari bersama.

3.

Cerita Hantu Seram atau Anjing Garang ….

SUARA anjing melolong. Sayup-sayup menemani malam yang kelam, hitam pekat
tanpa sebarang bayang. Bulan langsung tidak kelihatan. Ada kelibat burung hantu
berdekatan yang sedang bertenggek di atas dahan pohon mati. Memerhati tajam ke
arah anjing-anjing itu. Suaranya ditahan-tahan. Geram dengan anjing yang bising
tidak ketahuan punca. Sesekali ada juga terdengar nyanyian sumbang pungguk.
Namun sukar untuk kelihatan. Terlalu pekat kelam malam.
Sesekali angin berhembus perlahan. Lalang-lalang bergoyang dalam gelap
gelita malam. Hanya kedengaran suara anjing yang berterusan. Sekumpulan anjing
itu seolah-olah mengadakan ritual menyalak ke arah sebuah rumah yang terletak di
arah bukit. Tidak henti-henti. Malah semakin galak. Kata orang jika anjing
berperangan sedemikian ada hantu yang mereka kelihatan. Hanya anjing yang
boleh memandang hantu.
Ah, seramnya!
Rumah itu usang. Tetapi penuh sesak dengan hantu-hantu yang datang untuk
mengadakan program dan aktiviti yang dirancang. Semua yang datang seperti ada
tujuan dan agenda sendirian. Hmm, ada juga hantu dari daerah lain yang datang.
Eh, kenapa dari daerah lain join sini? Kena buanglah itu … dah perangai tak elok di
tempat sendiri, datang buat onar tempat orang pula. Entah, apa jenis hantu
sedemikian?
Rumah itu menjadi tempat hantu-hantu berpersatuan. Dalam kalangan hantu
juga seperti orang. Ada pelbagai jawatan dan pekerjaan. Namun persatuan hantu-
hantu ini memilih untuk menjadi karyawan. Ya, golongan bijaksana yang
berpengetahuan! Menulis bukan calang-calang boleh dilakukan sebarangan.
Tambah-tambah pula jika hendak menelurkan buah fikiran dalam masa seharian.
Biar pun sebaris certot atau serangkap puisi. His, ngeri kut! Payah. Huh, terasa
meremang bulu roma untuk memikirkan kisah seram sedemikian.
Ah, takutnya!
Tiba-tiba anjing berhenti menyalak. Di dalam rumah hantu pula bercakaran.
Riuh. Hingar-bingar. Ada suara mengilai. Terdengar jeritan. Juga ada ketawa tak
ketahuan. Tidak kurang juga yang bersorak, bertepuk dan marah yang tak ketahuan.
Ah, punca apa yang sedemikian meroyan?
Pstt, awak itu perempuan walaupun hantu boleh dikesan betina atau jantan!

Seekor anjing yang paling besar menyalak garang. Menyambut riuh dari
dalam rumah puaka persatuan. Tiba-tiba anjing dihentam dengan pukulan belantan
yang terbang melayang. Sengap menonong sambil membebel tak ketahuan. Anjing-
anjing lain tidak melolong juga. Kemudian tidak disangka-sangkan terus menyalak
garang. Menyalak beramai-ramai. Terus menyalak seakan sekumpulan orkestra
bangsawan. Juga kedengaran di dalam rumah persatuan hantu semakin tidak
terkawal. Gamat. Namun yang bersuara cuma beberapa ekor hantu daripada beribu-
ribuan itu.
Huh, bisingnya ya amat! Marah sehingga mengilai-ngilai.
Lah, rupanya geram kerana tidak di ajak menyertai pertemuan hantu menjerit
di selatan! Ah, seram sungguh! Takutlah apabila mengetahui kebenaran kisah ini.
Anjing-anjing masih tak ketahuan. Sungguh hantu-hantu itu bagai anjing menyalak
bukit yang tetap tak bergoyang.
Huh, seramnya!

4.

CERTOT : LAMARAN MR. DRAKUT
Oleh CT NURZA

Ketibaan dif-dif kehormat sudah mula mengisi ruang tempat duduk VVIP yang disediakan. Dewan besar yang tadinya kosong, kini sudah mula dipenuhi oleh tetamu. Masing-masing bergaya dengan reka bentuk kostum dan topeng yang direka khas untuk majlis ekslusif malam ini.       Aku mengambil tempat duduk di sebelah kanan bahagian hadapan dewan. Pancaran bunga api berwarna- warni sudah mula menyerikan pembukaan majlis. Muzik latar untuk majlis juga sudah mula dimainkan. Juru acara majlis sudah mula menyapa mesra para hadirin yang hadir menerusi pembesar suara. Menandakan majlis akan bermula pada  bila-bila masa sahaja.

       Di atas meja bulat, aku lihat juadah-juadah yang disaji begitu lazat sekali. Buah-buahan diukir pelbagai bentuk mengikut tema majlis. Lauk pauk berketul-ketul memenuhi pinggan. Berbagai-bagai jenis masakan terhidang kini. Aku berkongsi meja dengan beberapa orang tetamu yang tidak dikenali. Kulihat mereka begitu berselera  menikmati hidangan yang disajikan tanpa menghiraukan diriku.

      Sebentar kemudian asap berkepul-kepul memenuhi ruang acara. Lampu berwarna-warni mula bertukar menjadi suram dan berbalam-balam. Lebih satu jam berada di dewan itu, namun aku tidak pula nampak kelibat rakan-rakan yang dikenali. Semuanya begitu asing.

      Tiba-tiba seorang pramusaji datang membawakan aku sepotong kek untuk dijamu. Wajahnya tidak dapat dilihat jelas, lantaran beliau memakai topeng menutupi wajah sebenar.

     “Silakan,” ujarnya sepatah.

      Aku mengangguk sambil mengambil potongan kek yang dihulurkan. Tanpa sempat bertanya apa-apa kepadanya, pramusaji itu segera beredar dan hilang dalam kemeriahan majlis. Satu nota disisipkan  pada potongan kek yang diberi. Aku mengambil dan membaca nota tersebut.

     “Saya tunggu awak di luar Dewan.”

      Nota itu sangat misteri. Tiada nama si pengirim mahu pun nombor telefon yang dicatatkan. Seketika, aku berasa cemas dan berdebar-debar. Perlahan-lahan Aku bangun dan beredar ke luar dewan. Tiada sesiapa pun yang kelihatan. Masing-masing sedang rancak menikmati hidangan dan mengikuti acara majlis.

      Sedang sibuk meninjau-ninjau ke serata penjuru, tiba-tiba seekor kelawar berwarna hitam dan menggerunkan berdesup-desap berterbangan mengelilingiku. Aku dihambat rasa cemas tak menentu. Jantungku mula laju mengepam. Ingin menjerit, suara pula hilang tersangkut di salur pernafasan.

    “Dah lama tunggu?” tanya suatu suara dari arah yang tidak aku ketahui. Aku terpinga-pinga sendiri. Tiada susuk tubuh sesiapa yang terlihat di sekitarku. Keseraman mula terasa memeluk diri. Suara itu seakan-akan berbisik dihujung telingaku.

     Aku menapak perlahan-lahan menuruni anak tangga. Nekad untuk memberanikan diri pulang ke rumah walau apa pun yang terjadi. Sampai sahaja di anak tangga paling akhir, suara itu menyapa lagi. Tetapi kedengaran begitu aneh. Ia amat menyeramkan.

     Tatkala aku cuba untuk mengatur langkah ke hadapan, satu susuk lembaga yang berpakaian kostum seumpama muncul dari planet  marikh

berdiri di hadapanku.

    “Tunggu! Saya akan hantar awak pulang ke rumah. Sudikah awak menjadi kekasih saya?” soalnya tiba-tiba. Aku tergamam untuk kesekian kalinya.

    Tanpa menjawab pertanyaannya, aku terus berlari sekuat tenaga meninggalkan tempat itu. Sesekali aku menoleh jua ke belakang, namun tiada sesiapa yang mengekoriku.

     Dalam kesamaran itu aku terus berusaha meloloskan diri dari penglihatannya. Mr.Drakut (Drakula tua) itu tidak lagi dapat mengesan di mana aku menyembunyikan diri. Sungguh lega walau diri termengah-mengah.

KEPUTUSAN

ESVA-23

Hadiah Ke-1 RM100: Rafael Maribin. “Malam Berhantu”. (PAID 29.12.2021).
Hadiah Ke-2 RM80: Moh. Ghufron Cholid. “Sepanjang Jalan Berhantu”. (PAID to Rois 30.12.21).
Hadiah Ke-3 RM50. Paridah Ishak. “Daerah Gelap”. (PAID 28.12.2021).

ESVA-23A

Hadiah Ke-1, RM100. CT Nurza. “Lamaran Mr. Drakut”. (PAID 29.12.2021)
Hadiah Ke-2. RM80. Putraery Ussin. “Cerita Hantu Seram Atau Anjing Garang”. (PAID 29.12.2021)
Haadiah Ke-3. RM50, Paridah Ishak. “Warga Alam”. (PAID 29.12.2021)

TAMAT.