BENCI, AKU!
Sayembara ESVA-19.

Tulis sebuah certot (Cerpen Kontot), dalam 300 perkataan, berkonsepkan sesuatu hal yang penulis sangat benci.

TEMPOH

MULA: Khamis 12.08.2021.
AKHIR: Ahad 15.08.2021.

HADIAH:

Pertama: RM100.
Kedua: RM50.

HANTAR

E-melkan karya sdr kepada: GaksaAsean@gmail.com.

Selamat berjaya.

12.08.2021.

PENYERTAAN ESVA-19

  1. Putraery Ussin. “Bukan Itu”.
  2. Putraery Ussin. “Jangan Lari”.

1.

BUKAN ITU…

“His ….” Dia sudah hendak bingkas berlalu.
Tiba-tiba tangannya digenggam. “Tunggulah ….” Joe memujuk. Zack tidak jadi bangun. Kelam malam benar-benar terasa sunyi. Langsung tiada pergerakan. Rumah mereka yang berada agak jauh daripada kejiranan dan jalan utama itu menjadikan suasana siang mendamaikan. Cuma waktu malam sahaja keadaan agak menggerunkan. Mereka tidak akan keluar ke mana-mana. Berkurung sahaja di dalam rumah.
Kawasan penempatan mereka yang agak jauh dari bandar dan sering mengalami gangguan elektrik serta masalah liputan internet yang sangat teruk. Jadi ada kala hidup mereka sangat bosan. Tiada hiburan, tiada komunikasi dan tiada kawan-kawan untuk dihubungi. Pendek kata, sangat menakutkan ketika semua masalah itu terjadi. Lebih-lebih lagi pada waktu malam di hujung minggu.
Tiba-tiba hujan lebat bersama angin kuat. Liputan internet dan talian telefon terputus. Filem yang sedang mereka tonton menggunakan talian internet terganggu. Mereka menikus di dalam rumah.
“Adoi, tengah syok-syok menonton ni lah nak jadi semua ini ….” Zack gelisah.
“Memang macam inikan … kejap ada kejap tak ada lah ….” Joe tidak sempat menghabiskan kata-kata. Dia ketakutan dan terkejut oleh dentuman guruh dan diikuti oleh cahaya kilat yang menyambar.
Hujan lebat menggila. Angin kencang mengeluarkan bunyi yang menggerunkan. Guruh berdentum sekali lagi. Lebih kuat kali ini. Cahaya kilat juga memancar terang. “Ahhhhh!” Joe terkejut lalu menjerit apabila terpandang kelibat bayang di kaca televisyen yang tiba-tiba muncul.
“Hoi, dah gila ke jerit-jerit sambil peluk aku ni? Itulah tengok lagi cerita seram malam-malam ini.” Zack turut gelisah.
“Line internet dah ok ke? Benci betul aku dengan internet yang terputus-putus ini. Menakutkan orang sahaja ….” Joe tarik selimut melitupi seluruh tubuh untuk tidur di hadapan TV yang masih buffing menunggu talian internet pulih.
“Ceh, ingatkan takut hantu ….” Rakannya juga mula membaluti tubuh.
Guruh sekali lagi menyambar kali ini TV terus terpadam kerana bekalan elektrik pula terputus. “Ah, benci betul lah!” Mereka sama-sama menjerit.

2.


Jangan Lari!

“Kau ini dah kenapa?”
“Takutlah ….”
“Gila! Tiap-tiap hari lari … his, nampak aku sahaja makin laju kau lari!” Daud mencebik.
Mamat senyum. Dia tidak berniat pun untuk menghindarkan diri daripada kawannya itu. Cuma waktu bertemu itu tidak kena pada masanya. Tidak bolehlah dia hendak bersahaja-sahaja untuk berborak sakan ketika itu. Masa itu emas. Jadi dia perlu hargainya. Dia hanya ada lebih kurang satu jam setiap hari selepas pulang dari kerja. Jadi petang yang tenang dan damai ini perlu dinikmati sebaik-baiknya.
“Takut kot ….” Dia masih mengulangi perkataan yang sama.
“Aku tak bawa virus lah … mengada-ngada betul kau ini, Mamat.” Daud yang masih beruniform polis meninggikan suara.
Mamat hanya senyum. Lariannya diperlahankan sedikit. Daud yang bermotosikal beriringan dengan sahabatnya yang masih berlari itu. Sejak zaman sekolah mereka berdua adalah atlet. Mereka sering mewakili sekolah untuk acara larian jarak jauh. Hobi itu masih diteruskan oleh Mamat apabila sering menyiarkan foto-foto lariannya di media sosial. Selalu juga Mamat mengajak Daud berlari. Selalu jugalah Daud beralasan dia tiada masa.
“Yang kau dok gelut lari hari-hari ini, kenapa? Dah buang tabiat ….” Daud melirik senyum.
“Takut lah ….” Mamat tidak sempat menghabiskan katanya.
“Takut … Takut … susah betul cakap dengan kau ini! Dah tak payah lari lagi. Mari naik moto dengan aku. Dah renyai-renyai hujan ni.” Daud mengajak keras.
“His, tak muat dah aku nak naik moto dengan kau … sebab itu aku ajak kau lari. Aku paling benci kalau jadi gemuk macam kau nanti.” Dia cuba menahan ketawa.
Daud mencebik. Dia sedar memang dirinya semakin gemuk sejak belakangan ini. Urusan pengkeranian di balai polis Malau itu mengehadkan dia untuk aktif berlari seperti dahulu. Dia akur akan perkara yang paling dibenci oleh Mamat itu juga sering dirungut oleh isterinya di rumah. “Kerja sahaja polis tetapi semakin gemuk.” Itulah sindiran isterinya. “Ah, bencinya jadi gemuk!” Tiba-tiba Daud menjerit.

PEMENANG

  1. RM100: Putraery Ussin. (Paid)
  2. RM50: Putraery Ussin. (Paid)

Sayembara ESVA-19(2).

BENCI, AKU!

Tulis sebuah certot (Cerpen Kontot), dalam 300 perkataan, berkonsepkan sesuatu hal yang penulis sangat benci.
MULA: Isnin 16.08.2021.
AKHIR: Jumaat 20.8.2021.
HADIAH:
Pertama: RM100.
Kedua: RM50.
E-melkan karya sdr kepada: GaksaAsean@gmail.com
Selamat berjaya.

PENYERTAAN

  1. Isbedy Stiawan ZS.
  2. Paridah Ishak.
  3. Sujata Wee.
  4. CT Nurza.
  5. Putraery Ussin.
  6. Putraery Ussin.
  7. Ibnu Din Assingkiri.
  8. Muhammad Lutfi.

1.

Raja- Ratu Tanpa Malu

Cerkot Isbedy Stiawan ZS

NEGERIKU dipimpin raja dan wakil raja. Karena raja lelaki dan waklnya betina, kami menyebut Raja dan Ratu. Meski sang ratu bukan permaisuri raja, atau sebaliknya raja bukan isteri sang ratu.

Awal didapuk sebagai raja dan ratu, keduanya bagai pengantin berbulan madu. Layaknya saat kampanye, senantia beriring sejalan. Di mana ada calon raja di sampingnya ada calon ratu. Jangan-jangan jika bermalam di suatu daerah dan harus menyewa penginapan, kamar pun harus berdampingan dan berdepanan.

Setelah jalan kepemimpinan beberapa bulan, baru kami tahu keduanya mulai pasang kuku dan kuda-kuda. Mulai satu sama lain ingin berjarak. Mau tampil dengan caranya. Kebiasaannya sebelum menjadi raja di negeri ini.

Sang raja yang temperamen, mulai sering berang. Suka memarahi juru berita, ngamuk pada lembaga yang dianggap salah buat laporan yang cenderung negatif. Padahal hasil surrvei.

“Lembaga itu tak punya memberi laporan. Itu wewenang lembaga perwakilan rakyat!” entak sang raja.

Si raja juga mulai menguasai seluruh lembaga non kerajaan. Orang-orang dekatnya atau mereka yang saat kampanye telah membantu, dipasang di lembaga-lembaga tersebut.

“Sebagai politik jasa, yang telah berjuang harus menikmati kemenangan. Sebagai orang yang tidak punya kontribusi, jadikan mereka oposisi dan singkirkan!” kata penasihat raja yang mendapat mandat banyak memegang jabatan.

Raja mengangguk-angguk. Ratu lebih lagi. Ia lempar senyum genit. Ratu memang cantik, manis alias ayu. Wajar ia pernah ditaksir orang terkenal.

Ratu memberi jempol kepada penasihat. “Cocok, tuan penasihat.”

Lalu sang raja ingkar. Bulan madu hanya sesaat. Seluruh lembaga nonkerajaan dikuasai orang-oranganya. Barisan ratu yang dulu juga tidak diberi tempat. Jadilah kelompok sakit hati.

Barisan sakit hati ini meninggalkan istana. Ada yang menjadi buzer yang memata-matai ulah buruk raja. Ada pula yang pulang kampung. Jadi petani.

Syahdan, raja juga sudah jarang memamerkan wajahnya di depan publik. Tapi keberangannya masih ia rawat.

Ketika negeri ini dikepung wabah bernama covid dan kerajaan ini paling banyak jumlah kematian, Raja santai mengantisipasi cemooh rakyat dan media warta.

“Kematian itu karena takdir. Kematian yang disebabkan usia tua. Bukan oleh sebab utama dari wabah. Siapa menentang takdir maut, sama saja tidak memercayai Tuhan. Bukankah Tuhan berfirman: setiap yang bernyawa pasti mati!”

Wah, pemikiran kacau! Sampai-sampai perwakilan di parlemen rakyat ingin menjorokkan raja dari kursi singgasana. Meski ada pula masih berpikir lain.

Sementara sang Ratu, asyik masyuk dengan dunia maya. Mematut-matut keayuannya di depan publil dunia maya.

“Hay gaess, saya lagi di istana. Jaga kesehatan semua yam”

Atau ini:

“Hay gaes, saya sedang santai di mobil. Soalnya supir dan pengawalku lagi salat jumatan. Kamu yang kelaki jangan lupa jumatan ya!”

Keduanya lupa bahwa ancaman virus corona maki tak beradab: tiada mata tanpa hati dan hilang akal. Setiap hari berjatuhan terpapar covid atau mati lalu dikuburkan dengan protokol kesejahatan. Setiap hari.

Raja dan ratu di mana? Satu sembunyi dan bisanya marah-marah. Sang ratu memamerkan kecantikan di media sosial. Jadi manusia sosialita. Tersenyum-senyum pada bayang-bayang. Menciumi dunia maya.*

2.

Certot
Oleh
Paridah Ishak

KEBENCIANKU

Kelemahanku merupakan kebencianku. Seolahnya aku membenci diriku sendiri. Sepatutnya aku menyayanginya sepenuh hati. Dan menghargai diri tanpa perlu dipertikaikan apa saja kelemahannya. Wajar menerima apa saja kondisi diri seadanya. Bukan sama sekali membencinya.. Kehidupan itu anugerah Allah terindah untuk hamba-hamba-Nya. Wajib mensyukurinya.
Tapi semua kelemahan yang memenjarakan kecergasanku menjadikan aku pesimis dan hilang asa hidup. Segalanya berlaku ekoran tragedi kemalangan yang menimpaku suatu waktu dahulu. Lantaran itu aku kehilangan kebanggaan diri yang dimiliki. Tenaga dan upaya diri sangat minima. Aku tidak lagi boleh menolong diriku sendiri. Apalagi bergerak ke mana hala menunaikan tujuanku. Benci! Benci! Kelemahanku menjadi masalah kepadaku. Juga keluargaku. Benci sungguh. Kemusykilan menyilarati minda kecilku.
Semua keperluanku terpaksa dibantu suami, ibu bapa, anak-anak, adik-adik dan akhirnya cucu-cucu juga. Masa pantas berlalu bersama kebencian yang tidak pernah pupus wujudnya dalam atmaku. Cucu-cucuku lahir dan membesar di samping nenda mereka yang hanya mampu memandang mereka dengan renungan kasih. Sejak mereka lahir mereka sudah kenali nenda mereka seorang bisu. Tapi sesekali lontaran suaraku walau tidak jelas sebutannya mampu mereka menafsirkan maknanya.
Celoteh dan kerenah mereka membahagiakanku. Hatiku menjerit sakit kala melihat anak-cucuku sakit atau ditimpa malang kerana menyesali akan diriku yang tidak dapat membantu suatu apa. Aku amat terkilan kerana aku tidak mampu menjalankan tanggungjawabku sebagai ibu yang sempurna kepada anak-anak dan nenda kepada cucu-cucu yang mengharapkan aku melindungi mereka. Tapi menjadi sebaliknya pula. Mereka pula yang terpaksa menjaga maslahat dan kebajikan nenda mereka yang kurang upaya ini.
Menyusahkan sesiapa saja adalah kebencianku. Namun hakikat yang tidak sama sekali kugemari melestarikan hayatku bersambung insya-Allah. Aku hanya reda mengikut arus takdir yang menolakku ke garis penamat ketentuan-Nya.
Aku suka berkebun. Tanaman yang tumbuh membuahkan hasil menggembirakanku. Aktiviti itu hanya tinggal kenangan. .Catatan kenanganku tersimpan dalam diari. Kala menyelak membacanya aku diulit sedih. Aku benci untuk membaca lembar kenangan itu.

3.

MAAFKAN DAKU KERANA MEMBENCIMU

Dunia Facebook terlalu luas jangkauannya. Sukar pula untuk diduga orang berkawan
bertujuan untuk apa. Ada yang sekadar menambah kenalan, bertukar-tukar fikiran, berkongsi
kegembiraan dan kedukaan, tidak kurang pula yang ingin mencari teman hidup. Kita bebas berkawan
dengan sesiapa sahaja asalkan kita pandai menjaga batas dan maruah diri. Sedar bahawa kita sudah
punya keluarga serta insan tersayang. Kita boleh menerima salam persahabatan daripada sesiapa
sahaja tidak kira lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa tidak kurang rakan sebaya
mahu pun warga emas.
Suatu hari aku menerima satu permintaan untuk bersahabat denganku. Akaun Facebooknya
tidak diletakkan gambar namun aku tidak keberatan untuk menerima persahabatan ini kerana jika
orang itu tidak sesuai berkawan denganku aku boleh putuskan sahaja persahabatan itu. Padaku ia
bukanlah sesuatu yang susah sangat untuk dilakukan. Lagi pula kita berhak memilih siapa sahabat
kita.
Setelah menerima persahabatan itu, terus dia menghubungiku melalui laman sembang. Dia
tunjukkan gambarnya. Rupanya seorang pesara guru yang telah kematian isteri. Mungkin kesunyian
menyebabkan dia ingin mengheretku untuk turut melayaninya di dalam terowong kesepian
tersebut. Banyak pertanyaan diajukan kepadaku. Andai aku lewat menjawab, dia akan meletakkan
gambar-gambar tertentu. Aku sebenarnya tidak berminat untuk melayan kerenahnya.
Suatu hari daku memuat naik gambar sewaktu aku masih muda belia. Sekelip mata dia
menghubungiku berkali-kali dan cuba untuk menelefonku. Bayangkan dalam satu jam dua belas kali
dia telefon. Oleh sebab terlampau geram dan aku ketika itu sedang sibuk menulis untuk projek
antologi aku telah bertanya secara langsung tanpa berselindung kepadanya.
“Awak sebenarnya nak apa daripada saya?”
Tidak sangka pertanyaan itu telah membuat dia terkejut dan terkedu. Mungkin dia kecewa
sangat-sangat dengan pertanyaanku itu. Tetapi apa boleh buat, aku gagal menahan perasaan
meluat. Selama ini aku sudah begitu banyak bersabar menangani sikapnya yang merimaskan.
Maaf sahabat, bukan niatku untuk membencimu namun perasaan itu muncul jua setelah
kau mendesakku berulang kali. Kamu telah tersalah memilih orang. Daku bukan untukmu
melampiaskan kesepian.

4.

CERTOT : BENCI, AKU!

TAJUK : TERPAKSA

Waktu berada di zaman persekolahan dahulu, saya belajar dalam aliran Sains Pertanian. Jadi, ia sungguh berbeza dengan minat dan citarasa saya. Semenjak masuk ke sekolah menengah, bermula daripada tingkatan satu sehinggalah tamat tingkatan lima, rutin harian saya di sekolah ialah memegang cangkul, menyiram pokok dan paling benci menjaga reban ayam.

Reban ayam ini, kami perlu cuci setiap hari. Yang ini saya benar-benar sakit hati. Manakan tidak, apabila sampai giliran saya memberi makan ayam-ayam yang dikurung di reban, hidung dan mata mulalah sakit apabila terlihat najis ayam bertaburan di sana sini. Baunya sangat memualkan. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya pelangkung ayam-ayam tersebut untuk disembelih. Tetapi, itulah… ayam-ayam tersebut kepunyaan sekolah.

Kadang-kadang hasutan jahat azazil bagai mengapi-apikan emosi supaya terbakar. Ialah, daripada asyik menyibukkan diri untuk menjadi kuli ayam, rasanya lebih baik ayam-ayam tersebut ditangkap dan disembelih sahaja. Dapat juga makan sate ataupun ayam bakar.

Namun, itu hanyalah sebuah luahan rasa yang terpendam. Mustahil akan saya lakukan. Saya sedar ayam-ayam tersebut sebagai satu ujian dan cabaran untuk saya mendalami ilmu sains pertanian. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya ditempatkan ke aliran tersebut. Sedangkan minat saya lebih kepada sastera. Malangnya, pengetua tidak membenarkan saya bertukar kelas.

Katanya kelas sastera tahapnya lebih rendah. Hanya dikhususkan kepada pelajar yang lemah dalam subjek Bahasa Melayu. Kebanyakan yang masuk ke situ adalah pelajar yang mengulang peperiksaan SRP. Maka, peluang untuk saya bertukar kelas langsung tiada. Eii, bencinya, aku! Kerana terpaksa belajar dalam bidang yang tidak diminati.

Sebagai pengajaran, jangan terus kecewa jika tidak tercapai apa yang kita mahu. Sebaliknya, teruskan usaha untuk mencari dan mempelajari sesuatu yang baharu tanpa noktah, walaupun berbagai-bagai halangan. Kerana kejayaan tetap ada di mana-mana. Selagi ada kemahuan di situ terbuka jalan yang terang untuk terus melangkah jaya mencapai apa yang kita cintai.

5.

Benci Tapi ….

Suatu petang yang indah. Matahari bersinar terang. Restoran eSastera penuh sesak. Mereka memerhati tempat duduk. Meja nombor 17 itu sahaja yang kosong. Entah, hidangan apalah yang menyebabkan restoran ini sentiasa penuh? Dengar-dengar cerita, pemiliknya menggunakan pelaris. Kain putih yang dibalut dengan paku, miang buluh, kuku mayat, serbuk kaca, duri pokok dan pelbagai ramuan misteri lain dijadikan patung kecil lalu dimasukkan ke dalam makanan dan minuman. His, bencilah! Tak baik menabur cerita-cerita sebegitu.
“Betul ke nak duduk di meja ni, awak?” teragak-agak.
“Ini sahaja yang kosong … kerusi pun tinggal dua sahaja. Lagi dua buah dah diambil orang.” Dia terus menarik kerusi lalu duduk tanpa ragu-ragu.
Benci betullah kalau dapat kekasih jenis yang tidak romantik ini. Tidak mengendahkan langsung segala hal-hal yang menjadi viral. Cerita restoran ini sudah masukkan cetakan yang entah ke berapa puluh? Semua orang tahu tentang misteri dan malapetaka meja nombor 17 di restoran ini. Malah banyak restoran mula menggunakan nombor 21 sebagai permulaan urutan susunan meja mereka.
“Buat apa berdiri lagi? Tak ada apa-apa … duduk lah.” Lunak kali ini suara itu memujuk.
Dia semakin meluat. “Meja nombor 17 kot … bencinya aku!” Hanya di dalam fikirannya. Mahu sahaja dimuntahkan kebencian itu … tapi hatinya masih sayang. Lagipun bimbang pula dikatakan gila oleh pelanggan yang lain. Dia memandang sekeliling sekali lagi mencari meja lain. Manalah tahu jika ada pelanggan yang sudah siap menjamu selera? Hampa. Langsung tidak kelihatan seperti ada orang yang akan meninggalkan restoran itu. Sebaliknya masih ramai pelanggan yang berdiri di suar kaki restoran sambil memerhati meja yang kosong. His, bencinya!
Tiba-tiba terdengar suara mendendangkan lagu Benci Tapi Rindu nyanyian Diana Nasution. Dia kembali senyum. Itu bunyi telefon bimbit kekasihnya. Dia yang setkan nada deringan itu. Kegembiraannya tidak lama. Kekasihnya langsung tidak pedulikan telefon bimbit yang berada di dalam sakunya. His, benci … benci … benci!
Kemudian semakin banyak telefon yang berbunyi melodi sama iaitu lagu Benci Tapi Rindu. Dia lekas-lekas menarik tangan kekasihnya untuk berlalu daripada restoran itu. “Ah, benci betullah aku!”
Kekasihnya terpinga-pinga.

6.

Kebenaran atau Kebencian

Sekumpulan remaja sampai di kawasan air terjun. Hutan rimba rekreasi di
kaki gunung itu sudah tidak dikerumuni orang ramai lagi. Kawasan itu seolah-olah
dibenci kerana terdapat kes kematian disebabkan penyakit kencing tikus, kemudian
demam denggi, selepas itu penyakit anjing gila dan terkini dikatakan ada pula
pengunjung yang terkena sawan babi. Mereka cuma remaja dari bandar yang
berhampiran tempat rekreasi itu. Hujan lebat beberapa hari lepas menyebabkan
mereka berasa bosan. Lalu berkenderaan untuk berlibur.
“Hujan nak turun lagi ini rasanya.” Andrew menguman.
“Hujan cuma air buat apa kau nak takut?” Lim bersuara. Dia ketawa seolah-
olah kelucuan dengan kata-katanya.
“Orang Melayu selalu kata, tak cair pun kalau ditimpa hujan. Lainlah makeup
Ai Ling tu.” Osmen menyampuk.
“Bencilah aku! Nanti habis kusut dan comot tau ….” Ai Ling terus berlari-lari
anak apabila sudah ada rintik-rintik kasar air yang menimpanya.
Raju yang paling akhir mengunci kereta turut berlari laju mendahului mereka
semua. “Hoi, Osmen semua makanan dah bawa ke?” dia melaung untuk
memastikan bekalan makanan tidak tertinggal di dalam kereta. Osmen mengangkat
bungkusan plastik yang berisi jajan itu. Sampai sahaja di wakaf hujan semakin lebat.
Angin bertiup kencang. Pokok-pokok yang tinggi melayut di sekitar kawasan itu
meliut-liut mengikut arah tiupan angin. Suasana agak menakutkan. Ai Ling satu-
satunya perempuan dalam kumpulan itu mula memaut pada lengan Lim. “His, benci
betul aku… baru sahaja nak lepak dah hujan!” Dia lantas menghempas
punggungnya ke salah satu kerusi di wakaf itu.
Osmen pula mula mengutip sampah-sampah yang berserakan ditinggalkan di
wakaf itu, lalu dilonggokkan di satu tempat. “Bencikan, dah makan buang sampah
merata-rata. Tak bertanggungjawab langsung.” Kemudian dia menyalakan api untuk
membakar sampah itu. Keadaan yang kedinginan menjadi agak hangat. Mereka
berdiri mengelilingi api.
Tiba-tiba terdengar bunyi gemuruh membantai wakaf mereka berlima. Alam
menyatakan kebencian. Tidak lama kemudian mula riuh di media tentang bencana
alam yang melanda sekitar hutan rekreasi itu. Khabar tentang lima pemuda itu masih
belum diketahui.

7.

YANG PALING KU BENCI

Oleh: Ibnu Din Assingkiri

Pokok hujan semakin rendang, daunnya kelam. Angin menghinggut pokok-pokok dengan keras. Lalang tersembam, tidak bangun-bangun. Beberapa detik kemudian hujan mencurah-curah bersama jerkahan halilintar. Mereka bergegas ke bawah pokok yang terdekat untuk berteduh.

“Amar, dalam banyak-banyak manusia, manusia jenis apa yang paling kau benci?” Tanya Kaer secara tiba-tiba membuka bicara.

“Jenis berlagak suci, padahal paling busuk hati.” Jawab Amar pantas, seolah-olah bersedia sejak awal dengan jawapan.

“Banyak sungguh jenis ni kalau kita tengok di medsos, kan?” Balas Kaer.

“Hermmm.” Amar mengangguk.

Keadaan hutan semakin gelap walaupun baru pukul dua petang. Hujan tidak mahu reda. Air sungai berdekatan denai sudah naik tinggi. Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat seperti bom di kuari dan diikuti dengan bunyi seakan tapak kaki kumpulan kuda liar sedang berlari. Sungguh menakutkan.

“Aku rasa, itu bunyi kepala air lah Amar. Jom kita lari. Nanti dilandanya kita, mati!” Teriak Kaer.

“Tapi kita jauh dari sungai tu. Di sini rasanya lebih selamat. Ada pokok besar ni, kita pasti selamat.” Balas Amar.

Selang beberapa minit, keduanya terlena disebabkan keletihan mendaki. Mereka berdua mendapat mimpi yang sama. Pokok tempat mereka berteduh tiba-tiba berkata-kata.

“Tidak ada yang lebih kubenci selain manusia yang tamak haloba dan mabuk kuasa.” Jerit Si Pokok sambil menggoyang dahannya seperti tangan manusia.

“Kerana wang mereka sanggup menjual harga diri dan memakan rasuah. Balak ditebang, katanya untuk mencerahkan hutan. Hendak di tanam Musang King. Dicerahkan lagi untuk dibuat kuari. Itu bukan pembalakan kata mereka. Itu hanya pencerahan hutan.” Tambah Si Pokok. Terbatuk-bauk seusai berbicara.

Kaki mereka basah kerana air sudah naik sampai ke banir pokok. Mereka berdua terjaga dan terpinga-pinga kerana paras sungai sudah naik sampai ke situ. Arus deras membuat pokok-pokok bungkas dan hanyut ke hilir. Ketika pokok mereka berteduh sedang tumbang ke dalam air, mereka terdengar bunyi suara, “Benci aku!” berulang kali sehingga mereka ikut tenggelam dan hanyut bersama-sama.

-Tamat-

(300 perkataan tidak termasuk judul.)

8.

Makna Bunga
Karya: Muhammad Lutfi

Buat apa jadi bunga bila tidak mekar mandiri. Buat apa jadi bunga bila tidak terbang ke langit tinggi. Buat apa jadi bunga jika tidak bisa menabur benih sari. Buat apa jadi bunga bila tidak bisa jadi bunga merdeka. Buat apa jadi bunga bila digigit rumput-rumput liar. Luka masih dirasa dan terasa perih. Bunga merdeka adalah harapan dari cita-cita. Timbul dari pengetahuan dan mimpi. Timbul dari sesobek catatan kecil dan liar. Timbul dari catatan-catatan kecil seorang pemimpi dan pemberi kenikmatan. Bunga-bunga menyebar wangi ke seluruh bumi dan menebar cinta. Bunga-bunga tidak merdeka bila masih hidup merasakan sakit dan perih. Bunga-bunga tidak merdeka bila masih dikoyak ketakutan dan kesuraman. Bunga-bunga tidak merdeka seperti bendera jika masih diterkam daun gerigi dari tumbuh-tumbuhan lain.
Bunga tumbuh seperti mimpi dari dunia peri. Dia suara alam panggilan jiwa yang terhubung ke batin ke setiap anak manusia. Bunga tumbuh dan berkibar seperti warna bendera. Warna bendera putih dan tulus seperti air susu surga. Bunga warna putih adalah dasar dari setiap bunga yang merdeka dan tidak pernah berhenti jadi bunga warna putih. Sebab warna bunga yang merah, ungu, hitam itu adalah warna bunga yang menutupi warna bunga putih. Sebenarnya, bunga itu butuh dibelai dan disiram dengan ketulusan. Supaya tidak merasakan kering dan layu. Bunga butuh warna-warna pelangi sebagai penghias diri. Bunga juga sudah tidak merdeka bila dicampakkan begitu saja. Sebab dia memang bunga dan benar-benar bunga. Bunga tumbuh dari bumi pertiwi dan merasakan liku hidup sebagai sebuah bunga yang tumbuh dan berkembang.
Bunga tidak bisa dipetik begitu saja. Bunga harus ditumbuhkan tanpa dipetik. Bunga jangan dipatahkan dan jangan dirawat dengan wangi perih. Sebab bunga yang seperti itu nanti jadi bunga yang luka dan hitam. Warna hitam pada bunga adalah kesedihan dan trauma. Jiwa bunga lembut dan tidak kaku seperti besi. Bunga adalah keindahan taman dunia ini.

Pati, Agustus 2021

SENARAI PEMENANG

4.09.2021.

KEPUTUSAN SAYEMBARA ESVA-19(2).

1. RM100. Paridah Ishak. “Kebencianku”.

MESEJ DARI PEMENANG:
Assalam Prof
Boleh Prof gantikan hadiah kak menang sayembara certot Gaksa dgn buku terbitan esastera termasuk Meja 17 dll senilai harga n kos pos terima kasih Prof
Hadiah telah diposkan: Meja 17; Hostel Memento Cinta; Selamat Pengantin Baru; E-sastera Teori dan Aplikasi; Sirah Rasulullah Dalam Pusi Siber; Sastera.net Edisi 9.

2. RM50. CT Nurza. “Terpaksa”. (Paid RM50 @ 8.09.2021).

Syabas kepada para pemenang. Esei yang lain juga baik-baik belaka. Cuba lagi lain kali ya.

TAMAT.