Link (Facebook): goo.gl/duWN6X

SAYEMBARA ISU SEMASA III: BAJET 2017

Sayembara ke-3 dan terakhir dalam siri “Sayembara Isu Semasa 2016” anjuran Esastera Enterprise atas tajaan seorang ahli E-SASTERA.

1. Tema: Bajet 2017.
2. Kepanjangan sajak: bebas.
3. Tempoh sayembara: 26.10.2016 @ 12:01AM – 31.10.2106 @ 11:59PM.
4. Hadiah: Pertama RM100. Kedua RM60; Ketiga RM40.
5. Cara mengambil bahagian:
Siarkan sajak sdr di grup fb “E-Sastera Sajak” dengan menyertakan hashtag yang berikut:
#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

Selamat mencuba dan berjaya.

DARI:
Dr. Irwan Abu Bakar (Admin)

KARYA PENYERTAAN

1.

Suara Lingkaran

Kata-kata hadir jadi saksi
Jadi saksi jua telinga sedunia
Yang menyuara acap lupa
Setiap dusta gantinya api neraka
Di dunia, belum terasa merah menyala
Mati sahaja, berjuta merebut ruh
Terseksa, siapa peduli, kuasa tiada.

Pengumuman kenegaraan kerangka
Tiada di dunia, lagaknya gurauan
Bukan kata-kata lakonan
Ini janji saksinya Ilahi
Mungkiri, api sedia rentungi diri
Jutaan kali, hingga kiamat nanti.

Rakyat, tak melihat apa pun
Kecuali kejujuran tepu, andai tertipu
30 juta menyumpah, pasti segera terseru
Bencana, usah jadi gurauan
Qur’an tetap tersimpan rujukan
Orang-orang tepu kuasa
Kehancuran berdebuan.

Daeng Ramliakil

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

2.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

Bejat, Bahasa, Dan Bajet 2017

Dari garis-garis pembentangan
terukir gores-gores kejang
nilai galak salah terajang
bahasaku, singkat sungguh tersungkur
acap di keronyok di tubir singgung.

Seorang pemimpin memancing pulangan
demi menuai warisan pengaruh
dalam lintang lenggoknya
dalam langgar tatanya
dalam kosong jiwanya
dalam pesong rasanya
dia terus memiskinkan warisan bondanya
yang terus terkubur dan daif di bibir bahasanya.

Selembar kisah luka
terus membilas walang bangsa
hanyut dek resmi ketidaksedaran
menafi sebaris kedaulatan
bahasa rasmi di sidang rasmi
dalam puluhan pilihan peristilahan
defisit, koridor, infrastruktur dan bajet
yang bejat mencagar roh kesetiaan.

Saravanan P. Veeramuthu
29-10-2016

3.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

#HSH

BILA BELANJAWAN BERSUARA

Bangunlah…
bangkitlah…
berfikirlah…bertenanglah…
bukalah buku
bacalah biar berilmu
bila belanjawan bersuara
berjuta-juta berkuasa besar
bakal bertarung bernyawa
berbekal buah berpengalaman
berpolitik bisa berkhidmat
berjuang bersama bidang
bersedekah berikan bantuan
bagi bekalan berpanjangan
bumiku bahagia bernafas
berkongsilah berdoa bersyukur.

Hasil Nukilan;
GABRIEL KIM
26 Oktober 2016
Taman Mutiara,Labuan. Malaysia.

4.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

BAJET 2017, SIAPA PERCAYA?

No photo description available.

Nak bajet apa duit dah tak ada
hutang berbiion, tak tahu nak bayar camna
cakap pun dunia tak percaya, kecuali orang Malaysia
harta kena kebas pun diam, muka nak sorok di mana kita?

Belanjawan pendidikan dipotong, begitu juga kesihatan
lebih baik bagi orang lain perintah, boleh pulih entah-entah.

IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 26.10.2016

5.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

Everestnya Kewangan PM

Kegilaan siapakah mencipta
Gunungan keringat rakyat
Jadi hak belanja para pemboros
Namun, iblisnya manusia
Menderu memuji memuja dia.

Melayu, Cina, India bijaksana luar biasa
Arab semasa saja ada yang gila
Anak-anak asli percaya
Sihir ditelan sihir, hasilnya nihil.

21 angkanya tertinggi
Gst $19 bayaran setiap kita tiap hari
6 bulan pertama jet peribadi kini
Biayanya ratusan juta
Ke mana iman berbaki kita terhala?
Sebalik ratusan sasterawan buta bisu
Si serban jubah bergaji elaun berlidah ular
Dan pintu-pintu bumi terbuka
Mencipta ribuan pusara
Duka, airnya sungai
Sengsara penuh muka lautan.

Belanjawan, kalian, rupa halimunan
Suara, mudah dinamakan akhlaknya.

Daeng.

6.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

Penjual Janji

Iman di hati andai ada gigil luar biasa
Lidah, janjinya ke telinga manusia.

Api, nerakanya bisa cairi bumi ini
Seminit, hingga lautan menggelepar
Kegerunan bergunung.

Belanjawan negara yang dimuliakan
Andai mungkir terjadi hatta setitik
Neraka, apinya berebut ruh
Usah persenda, mukmin itu suci
Yang tidak, selainnya.

Ingatlah para syaitan rumah kekalmu
Api seluruhnya dan manusia alpa
Hanyalah diri jadi debu dicairi
Minuman air tembaga berapi
Na’uzubillah minzalik.

Daeng Ramliakil. 9.48pm 26102016

7. (Sama dengan Sajak No. 2)

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

Bejat, Bahasa, Dan Bajet 2017

No photo description available.

Dari garis-garis pembentangan
terukir gores-gores kejang
nilai galak salah terajang
bahasaku, singkat sungguh tersungkur
acap di keronyok di tubir singgung.

Seorang pemimpin memancing pulangan
demi menuai warisan pengaruh
dalam lintang lenggoknya
dalam langgar tatanya
dalam kosong jiwanya
dalam pesong rasanya
dia terus memiskinkan warisan bondanya
yang terus terkubur dan daif di bibir bahasanya.

Selembar kisah luka
terus membilas walang bangsa
hanyut dek resmi ketidaksedaran
menafi sebaris kedaulatan
bahasa rasmi di sidang rasmi
dalam puluhan pilihan peristilahan
defisit, koridor, infrastruktur dan bajet
yang bejat mencagar roh kesetiaan.

Saravanan P. Veeramuthu
29-10-2016

8.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

NAIK TARAF

Dalam sandiwara pembentangan
tersingkap sebuah bait lelucon
kisah jenaka sarat keramat
dalam babak transformasi pendidikan.

Alkisah kononnya
nasib IPG telah dikaji
dinaik taraf demi realiti
menzahirkan tindakan yang perlu dipuji
dan jangan ada yang cuba mengeji.

Tapi
apa yang dinaikkan
apa pula yang ditarafkan
jika institusi penghasil ijazah
dijadikan penjana diploma sahaja
dijadikan penyumbang sijil semata
atau menjadi prasekolah cuma.

Saravanan P. Veeramuthu
29-10-2016

9.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

TADABBUR

No photo description available.

penyata belanjawan
yang dibentangkan
dalam hasrat komitmen,
tapi nampak malang,
pada realiti pelaksanaan,
angannya tersangkut di cebis awan

ini bukan persoalan,
RM260.8 billion peruntukan
atau RM219.7 billion kutipan cukai,
tetapi soal,
mengurus pendapatan masa mencabar
minyak yang runtuh
hutang yang jenuh
pelabur yang luluh
marhaen yang kian resah dan rusuh

jangan selesa
dengan naiknya pendapatan isirumah
kerana orang susah lebih banyak meminjam
untuk menyara yang mengisi rumah
jangan potong
peruntukan pendidikan dan kesihatan
kerana yang bodoh perlu pandai
yang sakit perlu disihatkan
jangan cakap
tentang bagaimana mengikat perut
kerana jerut lama masih nampak parut

rancangan fiskal
yang teruji
jangan ditukar menjadi pasung besi
membelenggu keyakinan
merantai pertumbuhan
tetapi berdirilah memegang janji janji
mentadabbur makna hakiki

Z.O.Daulae
Ipoh, 28 Oktober 2016

10.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III

DERITA BAJET

Sarimah Abu Bakar

No photo description available.

Bajet naik bajet turun
bajet tambah bajet kurang
-berubahkah rezeki secupak
-melimpahkah rezeki segantang

Kami marhaen di jalanan
kais pagi makan esok hari
bukan untuk kenyang
sekadar menyambung nafas
siang malam kelihatan kelam

bajet bukan tak dipeduli
cuma sukar dimengerti
nasib kami di pentas realiti
adakah untuk dinafikan lagi?

Cerita kami saban hari
bajet tak pernah mudah
-ada yang kisah?

31.10.12

11.

#SAYEMBARAISUSEMASA2016III.

RAPUH

No photo description available.

bertunjang mandiri
marhaen sejati

kata mereka

bejat bajet bejat
bajet bejat
bajet

akur bersyukur

ada kata sinis,

tiap kali bajet dibentang
cuma di tikar mengkuang

bergelombang

telus tulus tembus
ikrar murni mampukah ditebus

andai memukat
kota kata
mereka kan tersenyum
tanpa berpaling muka?

©k.manja
H.Melintang pk
26102016

KEPUTUSAN

11 buah karya telah disiarkan di FaceBook untuk sayembara ini, dengan 10 layak bertanding. Hakim membuat keputusan yang berikut:

Pertama (RM100): Sajak No. 5 (“Everestnya Kewangan PM” — Daeng Ramliakil).

Kedua (RM60): Sajak No. 7 (“Bejat, Bahasa, Dan Bajet” — Saravanan P. Veeramuthu).

Ketiga (RM40 seorang): (a) Sajak No. 10 (“Derita Bajet” — Sarimah Abu Bakar); dan (b) Sajak No. 11 (“Rapuh” — k.manja @ Khair Man).

TAMAT.