E-SASTERA SAYEMBARA @ FACEBOOKOKTOBER 2017

“SAYEMBARA MENULIS SAJAK – BAJET 2018”

1. Tulis SEBUAH sajak dengan tema “Bajet 2018”. Kepanjangan bebas.
2. E-melkan karya kepada eSastera@gmail.com dengan topik “Sayembara Oktober 2017”.
3. Tarikh tutup 31.10.2017 @ 11:59PM.
4. Hadiah: PERTAMA RM100. KEDUA RM50.

Di FaceBook: goo.gl/AhFzpu

PESERTA

Kami telah menerima lapan penyertaan, seperti yang berikut:

1. Kamaliehudie NS. (Nor Aziah Aziz Fadzilah) – Segulung Janji.
2. Paridah Ishak – Menjumlah Mahu.
3. Yusoff Abdollah – Mati Dikerat-kerat.
4. Gabriel Kimjuan – Dialog Belanjawan.
5. Mamat Ramli – Bajet 2018.
6. Sujata Wee – Bajeta 2018.
7. Ahmad Janatul Firdaus – Hadiah Dalam Dakapan Rahimku.
8. Pauzi Mohd Isa – Perjalanan Bajet.

KARYA PENYERTAAN

1.

SEGULUNG JANJI

Segulung janji 
kajian semusim
dihujung tengkujuh 
lelah dalam gelora 
ombakpun terlerai
diidakapan pantai setia

Khabarpun bersapa
memutih pepasir pantai
dan bayupun tersyum
basah dalam pelukan embun

Gulungan janji dilapisan
lembaran laut berrsisik
terpancar kilau bersatu
dilakaran bibir janji
warna ombak berpadu 
tanpa tewas dicium
ganasnya biru laut
dipantai penantian
setianya dalam doa
termakbul

Karya Oleh:-
KAMALIEHUDIE NS’
(Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah)
Jelebu,
N. Sembilan.
27.10.2017 

2.

MENJUMLAH MAHU

27 Oktober 017

Dengan kusyuk tawaduk

memanda PM Malaysia

mentafsir Belanjawan Negara 2018 lewat sore hening.

Selonggok demi selonggok ringgit berjuta

disisih satu persatu

Merancang rencana bijaksana

cermat teliti mencongak kira taksiran

liputi segenap warga

mengambil endah perlu sebenar

daripada janin dikandungan hingga lanjut usia.

Terkedu menanggapi ketulusan perancang belanjawan

meski ekonomi ketara suram temaram

kesangsian dinafikan.

Helaian kertas meninta angka-angka

tidak sedikit jumlahnya.

Alhamdulillah!

Negara tercinta masih kaya raya

di sini ada bahagia.

Usirlah ragu menjauhi wasangka

justeru janji yang tertulis rapi

tidak dimungkiri

semata benar.

Insyaa-Allah.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA

3.

Mati Di Kerat-Kerat

Musim yang sedang berlabuh di hujung senja
peralihan monson berombak kencang
bunga dan daun luruh bertaburan
dilanda ribut dan taufan
helang bercengkerama di pohon tualang
galak memerangkap mangsa
menabur umpan
memasang jerat
musim tengkujuh ada tuah bersalut gundah
ada penjarah mohon diberi peluang memerintah.

Tengkujuh bergetar luruh
tebing-tebing banyak yang runtuh
mengalirkan hanyir dan keruh
terus kita berkayuh
mencari teduh
terpanah guruh
terhimpit geruh
cemas mencari damai
terpancung rusuh.

Kerana ibu tengkujuh semakin dekat
lahirlah ibu segala bajet
yang nampak baik dalam jahat
dicampak umpan untuk menjerat
keringat rakyat dikerah mengalir deras
44 bilion tetap perit diperah
menanggung geruh dan rusuh
harta negara yang direngkuh
bertopeng wajah yang amat pemurah
yang tepak dan yang cacat
tak terkecuali yang terencat
dipaksa bergelut dipukat
ibu bajet mati dikerat-kerat.

Yajuk
Bj28102017

4.

DIALOG BELANJAWAN

Bermula satu agenda
mata-mata saling bermuka
melihat surat istimewa
menulis hormat penuh etika
bicara kata tersusun menggoda
dialog belanjawan besar maknanya
menjamin masa depan negara.

Cantiknya baju bersulam cinta
kuasa di tangan mengenggam rasa
rakyat jelata mahukan syurga
walau ada rumah neraka
bijak berkata berlidah tenaga
petunjang wawasan sejuta usaha
impian ini dinikmati bersama.

Ekonomi wadah cerminan waja
menuju aspirasi gerak kerja
kemakmuran demi kesejahteraan semua
mengisi duniawi dan ukhrawi semasa
menjamin kehidupan kekal selamanya
tranformasi negara pencetus idea
kekal mengimbangi kekukuhan bangsa.

Hasil Nukilan;
GABRIEL KIMJUAN
Kg. Kebunau,
Kuala Penyu,
Sabah, Malaysia.
28 Oktober 2017

5.

Bajet 2018

Petang Jumaat sayidulayyam
dewan parlimen sepi dan bungkam
menakkuli pembentangan bajet
2018.

Sesekali dada meja ditepuk
tanda sakongan atas pembentangan
oleh wakil rakyat parti kerajaan
sementara di kerusi belakang
wakil rakyat parti pembangkang
sambil tunduk berwajah suram
erat memegang plakad merah
pernyataan bajet 2018 tiada apa faedah.


Sementara sebuah perkampungan, di pekan Baling
seorang penoreh getah 
seperti tahun berlalu
tidak pernah tahu pembentangan belanjawan
apa bersarang di kotak fikiran
penuh harapan esok jangan hujan
untuk meredah hutan rutin harian
warisan berzaman.

Manakala di Kuala Kemaman
sekumpulan  nelayan
tetap bersembang di wakaf usang
sambil mengasah papan dam,
apa yang diharapkan
esok jangan ada ribut dan gelombang
untuk mengintai ikan semakin kurang.

Di Kuala Terengganu,
seorang penarik beca kampung Pasir Panjang
juga tidak tahu apa-apa tentang bajjet 2018
di kepalanya cuma bersarang 
penuh harapan beca tuanya jangan meragam
esok untuk mengintai penumpang
di Pasar Payang
walaupun penumpang kian berkurang.

Di Kota Baharu
seorang buruh binaan
jangankan belanjawan, 
mengira pendapatan sendiri tidak mengerti
terperap kesepian di rumah kongsi
teringat anak isteri di ulu Pehi
sudah berbulan tidak kembali
apakah duit ditinggal sebelum ke sini
masih berbaki juga tidak diketahui
namun esok selepas dapat gaji
azamnya akan dikirim lagi
biarlah dia sendiri saban hari makan magie.

Kaum marhein dan gelandagan
mereka tidak mengerti tentang belanjawan
masa depan tiada dalam benak fikiran
cuma apa yang diharapkan
jangan esok tiada rezeki untuk dimakan.

EMRA
K.Terengganu.

Pengirim.
Mamat@Ramli bin Embong
Lot 296, Kg.Surau Panjang
21070, K.Terengganu.

6

SAYEMBARA OKTOBER 2017

Tepat waktu jua ketika
Belanjawan negara telah dibentang
Dari pelbagai aspek terangkumi
Tiada yang terkecuali
Demi kesejahteraan anak negeri

Lantaran kos kian meningkat
Harapan rakyat menunggu nikmat
Apakah hadiah bakal diberi
Rakyat didahulukan
Pencapaian diutamakan
Apakah masih memberi kesan?

Penjawat awam tersenyum bangga
Mereka terpilih anak gahara
Kebajikan sering terpelihara
Tahun depan bonus berganda

Terdengar di sana – sini
Bantahan tiada puas hati
Mengomel tanpa henti
Mengata diri tiada dipeduli

Memang sukar,
Payah sekali untuk memuaskan 
Kesemua hati
Setiap berkepentingan sendiri
Namun,
Hakikat harus diakuri
Terima saja ketetapan ini

Yang pasti,
Pemimpin bijak
Peneraju hebat
Negara tetap berdaulat
Maruah bangsa masih terpelihara
Begitulah seterusnya
Pun jua sebaliknya

Nama : Wee Sock Yam
Nama pena : Sujata Wee
Alamat : Pt 284 Jln Baru Kg Kulim 16250 Wakaf Baru Kelantan
No tel : 0108791336

7.

HADIAH DALAM DAKAPAN RAHIMKU

dalam lembut gerakan kaki di perut
aku dapatkan rasakan tendangannya
menjadi pelangi yang menyinar
di ufuk TN lima puluh

hadirnya membuahkan pohon rezeki
yang subur untuk dipetik buahnya
di taman peralihan tahun

kami akan melalui detik yang bermakna
pada arus petang yang mengalir
di sungai bakti kepada pertiwi
dapat dahulu meninggalkan kesesakan kota 
untuk bersama dalam pelukan keluarga

tangan yang budiman
sudah pun menghulurkan hadiah
pada cahayamata yang masih beradu dalam dakapan rahimku
setiap hela nafas Stesen MRT Tun Razak Exchange
dapat ku menghirup udara seorang ayah 
yang memanjangkan amanat buat pewaris 
demi generasi masa hadapan
budi itu kubawa sebagai hadiah
dalam setiap langkah

AHMAD FIRDAUS, TANJUNG MALIM

Saya mengesahkan karya ini asli dan tidak pernah diterbit di mana-mana.

Kiriman:

Ahmad Janatul Firdaus bin Zolkarnaini @ Dzulkarnain

730112086385

8.

PERJALANAN BAJET
(Sempena Pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak pada 27 Oktober 2017)

Perjalananmu
bermula jam empat petang
engkau mula bertolak 
memulakan perjalanan jauh
membawa bagasi perancangan
ke bandar belanjawan dua ribu lapan belas
yang sibuk kalbu nan berhabuk
dengan kenderaan harapan
sarat dengan muatan impian
sesak trafik cadangan
di lebuh raya kebahagiaan
bertali arus kenderaan saranan
di jalan pelaksanaan.

Dalam perjalanan ini
kapasiti kuasa injin pacuan janji
menjadi unit ukuran kira-kira
meter kelajuan belanja
satu ketetapan bijaksana
piawaian pelbagai hala
demi memahirkan pemanduan
jentera wawasan masa depan
jurutera mengawal stereng kemakmuran
menuju kota kegemilangan.
trip belanjawan ke hadapan
kembara tranformasi tumpuan
misi menuju destinasi sasaran
tiba di TN50, bandar raya mapan.

PAUZI MOHD ISA,
Bidor, Perak.
4.00 petang
27.10.2017.

PEMENANG

Hadiah 1 (RM100):
Puisi No. 3. (Yajuk).

Hadiah Ke-2 (RM50):
Puisi No. 8 (Pauzi Mohd Isa)

TAMAT.