red and white flower petals

Ikan gulama ikan bamasa,
ikan belida si ikan sepat;
Sekian lama covid berluasa,
bagai tiada tanda penamat.

Burung merpati terbang berlegar,
Ke mana-mana bebas melayang;
Di dalam hati bimbang dan sabar,
khuatir bencana datang menyerang.

Emas sebungkal kuning menyerlah,
diikat perak permata baiduri;
Hanya tawakal kepada Allah,
musuh tak nampak menghindar diri.

Tuang di gelas air perigi,
bawa ke bangsal bersama tuala;
Covid Sembilan Belas tolonglah pergi,
ke tempat asal engkau bermula.

Susun bertindih di dalam peti,
mangkuk dibungkus berisi halwa;
Terasa sedih di dalam hati,
wabak virus meragut nyawa.

Indah menarik pohon palma,
pohon terpilih tanaman hiasan;
Virus tak serik terus menjelma,
tiada memilih wajahnya insan.

Warna warni bunga yang kembang,
tanam bersusun segar berbunga;
Hatiku ini berbunga bimbang,
berbuah racun membakar raga.

Disusun bilah batang jerami,
jadi anyaman dibuat tikar;
Ya Allah Ya Tuhan kami,
jauhi ancaman virus beredar.

Mangkuk kaca berisi halia,
kacang parang di dalam pinggan;
Sering kubaca dalam media,
virus menyerang negara jiran.

Ikan parang ikan tenggiri,
bernang di air si ikan pedang;
Apa kurang di negeri sendiri,
virus hadir tak dapat dipandang.

Pohon kari lebat berdaun,
cabang di dahan lalu dikerat;
Negara sendiri diarah lock down,
mudah-mudahan tidak melarat.

Jalan perlahan pandu kerita,
pandu kerita mestilah cermat;
Kepada Tuhan kita meminta,
semoga kita semua selamat.

Turun hujan petir berdentung,
ditutup cermin dengan kain;
Kepada Tuhan mohon berlindung,
disambut AMIIN YA RABBAL A’ALAMIIN.

Oleh:

Noorhamy.
Telamba, Telisai, Tutong, Brunei Drs.
7 Ogos 2021 11.29 malam.

TAMAT.