ULASAN BUKU
BAK BAKAWALI, MINERAL, DAUN LEBAR dan KOKILA

Genre : Puisi moden
Penyelenggara : Aslina Idris
Penulis : CT Nurza
Penerbit : Jom Sastera
Nombor ISBN : 978-967-16280-0-3 (Sastera Kehidupan)
Bilangan muka surat : 74
Pengulas : Paridah Ishak

BAK BAKAWALI, MINERAL, DAUN LEBAR dan KOKILA merupakan tajuk pilihan yang tertera pada kulit buku comel menghimpun sajak-sajak karya penulis mapan CT Nurza. Diksi agak panjang. Namun menarik dan unik. Menyirat nilai metafora indah. Bakawali, mineral. Daun lebar diberi lambang kepada karya indah yang dihasilkan holistik mencerna ilham yang menginspirasi.

Pemilihan aksara bebas sebagai citra sajak moden. Tidak terikat dengan bilangan stanza dan rima tertentu. Tapi ada juga sajak berima rawak demi menyeri keindahan diksi namun tidak pada keseluruhan stanza. Penulis ini telah membina namanya dalam penulisan kesusasteraan Malaysia dalam pelbagai genre. Berpengalaman luas dalam bidang penulisan justeru keterlibatan beliau dalam arena kesusasteraan. Puisi sajak antara genre yang diberi fokus utama.

70 sajak pelbagai tajuk menzahirkan luahan rasa ilham penulis tersusun indah dalam setiap halaman buku comel ini. Ada sajak dengan larik pendek sahaja. Seperti sajak ‘Puji’ yang dipapar pada halaman sajak satu. Sajak ini agak abstrak namun diksi aksara amat indah. Begitu juga dengan sajak ‘Perlina’. Tentu tertanya-tanya apakah maksud perlina. Cuma empat larik mengungkap maksud yang dicari. Dan ada yang berlarik panjang satu halaman membentuk prosa yang mudah difahami pembaca contohnya sajak berjudul ‘Helikopter Pembawa Jenazah’. Penyair bersajak tentang insiden sedih dan situasi kekalutan berlaku pada pemerhatian pancaindera seni.

Kebanyakan sajak yang dihasilkan berdasarkan pada pengalaman dan persaksian penyair berkenaan keindahan alam sekitar dan kehidupan peribadi penyair. Juga menjurus pada soal kebersamaan perkongsian sesuatu isu yang diketengahkan.

Kesimpulan pandangan pengulas kepada himpunan sajak nukilan penyair CT Nurza ini sudah sepatutnya dinikmati semua peminat sajak justeru nilai estetika ketara mengertikan makna pengalaman kehidupan penyairnya yang berwarna-warni. Membaca untaian diksi himpunan sajak indah akan menyegarkan jiwa. Menjadi terapi minda.

Tahniah CT Nurza semoga terus sukses menghasilkan karya kesusateraan bermutu demi menyemarakkan sanggar sastera puisi indah!

TAMAT.