Sayembara ESVA-14. Menulis syair.
Panjang: 5 rangkap.
Tema: Normal Baharu / Norma baharu.
Mula: Jumaat 18.06.21.
Tutup: Ahad 20.06.21.
Hadiah: Pertama RM100; Kedua RM50.
Siarkan karya digrup WhatsApp ESVA.

PESERTA

  1. CT Nurza (1, 12, 21).
  2. Sujata Wee (2).
  3. Putraery Ussin (3).
  4. Mokhtar Rahman (4).
  5. Noorhamy (5, 6, 7, 8, x, 10, 15, 16, 17, 19).
  6. Dino MN (11).
  7. Isbedy Stiawan ZS (13, 18).
  8. Gabriel Kimjuan (14).
  9. Ibnu Din Assingkiri (20).
  10. Citranalis (22).
  11. Ghufron Cholid (23).
  12. Paridah Ishak (24, 25, 26, 27).

PENYERTAAN

1.

SYAIR : BUDAYA YANG SIRNA

Salam sejahtera hamba ucapkan
kepada sahabat yang dimuliakan
semoga sihat hamba doakan
wabak penyakit mohon dijauhkan.

Semenjak negara dilanda musibah
kehidupan kita sudah berubah
solat jemaah dan juga khutbah
dibenar cuma mengikut nisbah.

Virus Corona sungguh bahaya
melenyap segala adat budaya
ziarah berziarah di hari raya
tiada lagi menjadi budaya.

Kita diseru duduk di rumah
elakkan virus mencari perumah
tiada lagi majlis walimah
tetamu dihalang datang ke rumah.

Pandemik membawa norma baharu
turut terkesan kepada guru
keluar rumah virus memburu
modul berubah murid keliru.

CT Nurza
Malaysia, 18 Jun 2021

2.

IMPIAN NURANI

Tiada terduga datang musibah
hampir sahaja tersungkur rebah
saban hari kluster bertambah
semoga kembali hidup berubah

Perintah kawalan harus turuti
usah dilanggar sesuka hati
saranan kerajaan wajar hayati
menjadi warga setia sejati

Norma baharu harus santuni
walau terasing tetap jalani
demi kesihatan rohani jasmani
kembali tenang impian nurani

Berdiam di rumah untuk selamat
barisan hadapan gigih berkhidmat
memutus rantaian di hati tersemat
peka mengikuti segala matlumat

Demi mencapai matlamat kita
sepakat perlu segala cita
berganding bahu bersatu dipinta
agar sejahtera negara tercinta

Sujata Wee
Kelantan

3.

Syair Ingat-mengingati

Oleh: Putraery Ussin

Tersebutlah kisah sebuah hikayat
tersebarlah wabak sangatlah cepat
seluruh dunia menjadi gawat
masjidpun sudah tidak selamat

Dahulu bebas sesuka hati
ke sana ke mari ikut dihajati
semua kehendak boleh didapati
tiada sesiapa yang sekati

Angkara covid menyerang negeri
mimpi indah bertukar ngeri
dahulu mudah tidak terperi
kini terkurung di rumah sendiri

Bermulalah SOP perlu diikuti
jangan sampai diri dijangkiti
jika leka virus dekati
sudah dijangkiti merana nanti

Syair ingat-mengingati undur diri
maaf dipinta jika salah peri
moga wabak pergi berlari
mohon Allah segera hindari

4.

NORMAL BAHARU

Sudah terputus amalan dahulu
Salam-salaman dianggap tabu
Demikian hari bertukar minggu
Kian hilanglah adat Melayu,

Kerana kovid hidupmu berubah
Kunjung mengunjung langsung dicegah
Biarpun uzur tidak diendah
“Kamu jaga kamu” elak musibah,

Tidakkah pelik melihat dunia
Gelagat manusia bertopeng muka
Sudahlah enggan bertegur sapa
Jarak semeter diambil kira,

Duduk di rumah jadi ikutan
Segala kerja atas talian
Bila bergaul jarak-jarakkan
Bila bersentuh cucikan tangan,

Betapa ngeri lagi mengharu
Jika direnung wabak yang satu
Jangkitan kovid sukar ditentu
Datang membawa normal baharu.

Mokhtar Rahman
Alor Setar, 20 Jun 2021

5.

xxxxx

6.

xxxxx

7.

xxx

8.

xxxxx

9.

xxxxx

10.

6.

SYAIR COVID-19

Kuucap salam semoga bahagia
Covid-19 atau corona
Virus yang ngeri bawa bencana
Membuat hatiku gundah gulana.

Virus menjangkit ke angka juta
Banyak terkorban tanpa dijangka
Ke seluruh dunia tiada mengira
Kuasa besar kehilangan daya.

Walaupun vaksin kini didapat
Mungkin ada yang masih tak sempat
Sudah melarat tak dapat diubat
Kita yang hidup bertindak cepat.

Air mata banyak tertumpah
Menyaksi korban sama sedarah
Batu nisan menjadi sejarah
Insan dikasihi pergilah sudah.

Selain dari mendapat suntikan
Patuhi arahan menghindar jangkitan
Juga berdoa kepada Tuhan
Covid-19 rangkaian diputuskan.

Noorhamy
20 Jun 2021

Telamba, Telisai, Tutong,
Brunei Darussalam.
6.19 petang.

11.

SYAIR NASIHAT NOMA BARU.

Duhai sahabat jauh dan dekat
tak kira derajat dan juga pangkat
bersama kita ingat beringat
jikalau lalai covid mendekat.

covid itu jangan dipermudah
ikutlah arahan dari pemerintah
jangan sekali kita gaplah
sambil berdoa kepada Allah.

Kita dilarang menuding jari
kepada orang yang memerintah negeri
mereka itu bijak bistari
memikirkan keselamatan sampai dini hari.

Tak senang duduk sehari-hari
berperang fikir diri sendiri
amanah dipikul berat sekali
serangan covid harus dihindari.

Allah berfirman nabi bersabda
jangan sekali kita derhaka
kepada khalifah memerintah negara
barulah hidup aman bahgia

Dino MN
Brunei Darusalam

  1. 2021

12.

SYAIR : BAHANA VIRUS

Syair Pandemik hiburan kita
mengisahkah virus melata-lata
korban kematian di depan mata
jangkitan menular serata-rata.

Sungguhlah sebak hati melihat
mangsa kematian virus yang jahat
wujudnya tiada dapat dilihat
merosakkan tubuh yang tampak sihat.

Keadaan dunia porak poranda
bahana virus pekerjaan tiada
berpisah jauh adinda kekanda
demikian jua ayah dan bonda.

Ramailah rakyat hidup menderita
sedang pemimpin asyik bersengketa
berbagai cerita di dalam berita
bantuan dihulur asyik dinista.

Kerana mematuhi norma baharu
memakai pelitup sering diseru
jikalau enggan pasti diburu
denda beribu tergaru-garu.

CT Nurza
Malaysia, 20 Jun 2021

13.

Isbedy Stiawan ZS

SYAIR COVID DAN KOTAKOTA MATI

di antara kotakota yang kusinggahi
terasa kini segalanya mati
pintu masuk-keluar ditutup
di rumah aku hanya mengatup

menunggu virus ini hengkang
mungkin ke wuhan ia pulang
atau mati di laut terdalam
tanpa perlu harus dikenang

sebab ia pencabut nyawa
seperti malaikat maut
tak henti cari orang untuk dicabut

bagi yang biasa bepergian
selalu membayang ancaman
bagi yang diam di rumah
takut pula menerima wabah

lalu kapan covid ini mati
agar hidup kami sejati?
lalu bila virus ini hilang
untuk hidup kami berbilang?

duhai Tuhan maha kuasa
pada-Mu langkah ini tiba
bukan sebab virus covid
kami bisa jadi mayit!

Permata Asri, 20 Juni 2020

14.

SYAIR NASIHAT BARISAN HADAPAN

Duhai rakyat tabah dan sabar
hadapi sebuah dugaan besar
pandemik negara semakin menular
barisan hadapan masih iktihar

Semua rakyat semakin sakit
kerana virus korona berjangkit
macam-macam ada penyakit
mencari duit bukannya sikit

Norma baharu kita amalkan
lindung diri demi kesihatan
jaga jarak setiap perjalanan
agar kita hidup dan aman

Ada kedai sudah ditutup
ramai rakyat telah dicekup
tanpa guna alatan pelitup
jangan jadi negara lingkup

Dengar nasihat barisan hadapan
bersama kita perang habisan
hilang virus bangkit kemenangan
sentiasa berdoa kepada Tuhan

Karya;
Gabriel Kimjuan
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia, 20 Jun 2021

15.

7.

SYAIR VAKSINASI COBID

Salam hormat buat semua
Kutulis syair cerita yang nyata
Covid-19 melibatkan negara
Mujur juga tak banyak jumlahnya.

Di negara Brunei walaupun ada
Kini terkawal dari bencana
Jangkitan impot yang ada dibawa
Dari luar negeri virus berkelana.

Walau demikian tetap waspadah
Solat ke masjid membawa sejadah
Bersalam juga telah ditegah
Menutup muka membantu mencegah.

Vaksinasi covid dijalankan sudah
Semua pemohon berbaris gundah
Di rumah sakit berhati gelabah
Di dalam hati serba salah.

Lagak pemohon agaklah lucu
Ada yang tersengih tergaru-garu
Ada yang diam tunduk membisu
Selepas vakinasi baharulah tahu.

Noorhamy
20 Jun 2021
Telamba, Telisai, Tutong,
Brunei Darussalam.
7.37 malam.

16.

8.

SYAIR VARIANT COVID

Salam mesra semua sahabat
Khabar kubaca virus yang dahsyat
Belumlah ada sebarang ubat
Sudah menjangkit di beberapa tempat.

Variant Covid kudengar cerita
Belum didapat gambaran yang nyata
Jika melarat seperti dijangka
Akan menjadi malapetaka.

Walau begitu mesti berjaga
Sebelum terkena siap siaga
Kita tak tahu takdir menimpa
Mohon perlindungan yang maha kuasa.

Mudah-mudahan tidak terjadi
Virus variant menghilang sendiri
Agar hidup menjadi berseri
Setiap insan di semua negeri.

Di dalam hati merasa risau
Virus variant bagai pengacau
Kelak fikiran kita yang sasau
Bagai kembara di padang kemarau.

Noorhamy
20 Jun 2021
Telamba, Telisai, Tutong,
Brunei Darussalam.
8.03 malam.

17.

  1. SYAIR ANKARA COBID

Salam ceria sahabat semua
Ankara cobid pokok cerita
Banyak terpisah hubungan keluarga
Berkelana mencari sumbernya kerja.

Suami terpisah di negeri seberang
Sebelum covid datang menyerang
Kini terkandas tak dapat pulang
Isteri dan anak bagaikan bayang.

Lebih setahun keluarga terpisah
Ankara covid di hati resah
Isteri dan anak mengharap penyudah
Bersatu kembali di hari yang indah.

Talipon pintar menjadi penghubung
Menatap wajah dilayar bersambung
Melihat isteri dan anak berkabung
Isteri juga duka menyelubung.

Insan berkelana di negeri orang
Sedih di hati hadir menyerang
Siang dan malam keluarga dikenang
Apakan daya cobid menghalang.

Noorhamy
20 Jun 2021
Telamba, Telisai, Tutong,
Brunei Darussalam.
8.45 malam.

18.

SYAIR KEMATIAN SETAHUN

tercatat 3,87 juta
melayang nyawa
di seluruh negara
ini pula dunia

tiga juta lebih manusia
meninggal karena corona
akankah bertambah lagi
sebab kita lupa menjaga diri

setahun lebih virus corona
menyebar ke penjuru benua
membuat kita semakin ketakutan
apakah kita menyusul kematian

tambahlah angka
lengkaplah bilangan
hilanglah satu nyawa
merintihlah handaitolan

jika kelak corona pergi
bukan saja kembali percaya diri
tapi ekonomi juga makin tinggi

kita akan kembali bersua
dalam ruang maupun pertemuan
bercerita ihwal layanglayang
dan cinta yang tertunda

jika silaturahim kini tertunda
kelak digenapkan jika tiada lagi corona

Isbedy Stiawan ZS
20 Juni 2021; 20.07

19.

10.

SYAIR SALAM COVID

Salam penghibur semoga gembira
Kisah covid banyak cerita
Jika bersalam mudah sahaja
Letakkan tapak tangan di dada.

Pernah terjadi di tempat saya
Seorang jemaah pakaian bergaya
Meletakkan tapak tangan di dada
Lantas kusambut begitu juga.

Jemaah tersebut merenung tersipu
Rupanya menahan batuk bertalu
Tersedak air diminum melulu
Hingga keluar di hidung berbulu.

Ada pula kisah yang lain
Bersungkup muka bentuknya lain
Berwarna hitam putih dezain
Lukisan gigi tersenyum dingin.

Jemaah yang lain banyak tersenyum
Melihat pemakai bagai tak maklum
Selamba berbaris bersama makmum
Selesai solat beredar dan maksum.

Noorhamy
20 Jun 2021
Telamba, Telisai, Tutong,
Brunei Darussalam.
9.27 malam.

20.

UBAHLAH DIRI KE NORMAL BAHARU

Dengan bismillah dibuka kalam
pujian kepada pencipta alam
selawat nabi dan juga salam
moga dilindung siang dan malam.

Normal baharu empunya cerita
telah merubah kehidupan kita
sudah sampai seluruh semesta
perubahan kini semakin nyata.

Jagalah jarak wahai sahabat
tangan pula usahlah berjabat
majlis kenduri jangan terlibat
musuh bukan nampak kelibat.

Topeng muka pakai sentiasa
mencuci tangan biar terbiasa
Virus Covid sudah berleluasa
di ruang udara dicari mangsa.

Lindung keluarga dari seteru
di dalam diam datang meluru
syair kukarang untuk menyeru
ubahlah diri ke normal baharu.

Simpang Ampat, Pulau Pinang
20 Jun 2021

ibnudinassingkiri

21.

SYAIR : BETA DAN DELTA

Entah apalah musibah dunia
bencana wabak Allah kurnia
habislah gempar satu dunia
serangan virus kini mendunia.

Wabak penyakit amat ditakuti
Varian baharu pantas menjangkiti
Beta dan Delta dikenal pasti
Virus mengganas dalam komuniti.

Norma baharu SOP-nya ketat
Melanggar arahan rekod dicatat
Perintah kawalan semakin diperketat
duduk di rumah bertambah sihat.

Sekarang sudah berfasa-fasa
PKP ditambah pihak berkuasa
semua kepayahan sudah dirasa
cuma mengadu kepada Yang Esa.

Beginilah hidup bertukar gaya
baik yang miskin ataupun kaya
semakin terbatas ke pasar raya
berkurung di rumah apakan daya.

CT Nurza
Malaysia, 20 Jun 2021

*Syair ke-3

22.

BUDAYA NORMAL BAHARU

Dengarlah kawan jangan keliru
amalkan hidup normal baharu
usah bersalam terburu-buru
jagalah jarak jangan meluru

Hidup perantau jauh di kota
rindunya hati tidak terkata
ibu dan ayah jauh di mata
telefon pintar temukan kita

Bersama kita hapus rantaian
virus corona yang berkeliaran
usahlah gusar hati kalian
mari membeli atas talian

Di luar jangan asyik bersuka
hingga terlupa pesan dan kata
harus beringat janganlah leka
mesti memakai pelitup muka

Pelbagai jenis vaksin yang ada
bagi melawan wabak melanda
marilah kita berlapang dada
supaya virus semakin reda

Citranalis
Kuala Lumpur, 20 Jun 2021

23.

KIDUNG PARA PECINTA

Hidup ceria duhai kekasih
Hidup dalam setia penuh
Elakkan luka dan curiga
Bersilah sukma dan raga

Wabah melanda dalam pandang
Menyingkir saat saling sayang
Terpental bimbang hidup seimbang
Bersemi bahagia dukapun hilang

Wabah terberat adalah curiga
Sirna percaya terasah duga
Tiada bahagia dalam raga
Ketika iman hanyalah iga

Bersama melangkah mengubur luka
Bersama bergandeng dalam suka
Sampai tiada bentuk terka
Salami sukma tatap muka

Kitalah kekasih dibesarkan percaya
Hidup berbinar sepenuh cahaya
Wabah sirna hilanglah bahaya
Puncak doa dan upaya

Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 20 Juni 2021

24.

1

SYAIR MENGARANG HIDUP

Syair sahaya mencoret rasa,
tajuk pilihan amat selesa,
rutin semua senantiasa,
terlalu janggal luar biasa.

Hidup tercipta laksana alam,
bagaikan siang berganti malam,
bersinar terang gelaplah kelam,
masa berlalu melipat silam.

Kenangan manis teringat-ingat,
lazat nikmatnya tersangat-sangat,
seolah rasa bubur dan pengat,
mahu diulang menyulam jangat.

Penangan pahit ingin dipadam,
dugaan wabak sukar menghadam,
tersayat kalbu jauh terendam,
mengelus rasa merindu-dendam.

Masih mengarang cerita hayat,
selagi belum tamat riwayat,
syair berlagu menyusun ayat,
mohon beroleh taufik hidayat.

Paridah Ishak
Selangor.

25.

2

COVID-19

Angkara Covid Sembilan belas,
syair mencitra teramat jelas,
pelbagai kluster tak kira kelas,
patuh SOP usahlah malas.

Tercipta sudah normal baharu,
semoga tidak lagi keliru,
tahun kedua wabak memburu,
menyerang ganas mengharu-biru.

Perlu mengambil langkah waspada,
tiada masa hendak berjeda,
walau gendala banyak agenda,
selagi hidup berpada-pada.

Ramai tertewas hilanglah nyawa,
sedih terlalu menyiksa jiwa,
berduka-lara sirna ketawa,
bagai tenggelam di dalam rawa.

Ujian Allah sudah tersurat,
meski terasa terlalu berat,
reda bertakwa menangkis lorat,
cekal semangat bernadi urat.

Paridah Ishak
Selangor.

26.

3

PERUBAHAN

Puisi syair kini digubah,
nadanya sama tidak diubah,
cuma cerita telah berubah,
ehwal semasa cuba persembah.

Telah berubah kadar segera,
gayanya hidup pelbagai cara,
menjadi sama dengan ketara,
sebab pandemik tiasa mara.

Internet jadi jaring maklumat,
pentingnya sangat teramat-amat,
talian putus riuh menggamat,
daya usaha bagaikan tamat.

Bertemu muka dalam talian,
demi putuskan akan rantaian,
hanya dengan sedemikian,
virus Corona terhindar nian.

Pejabat tutup kerja di rumah,
belanja pula biar berhemah,
usah bersesak beramah-tamah,
ramai tertekan kendiri lemah.

Paridah Ishak
Selangor.

27.

4

SYAIR KELUHAN RASA

Keluhan rasa syair mencitra,
kerana wabak melukis dura,
hendak dihapus dengan segera,
menghembus padam api membara.

Apa yang mampu diucap lagi,
masalah timpa segenap segi,
bagaikan kain tidak beragi,
kerap mengadu dijawab ranggi.

Bicara kata coretan hati,
sekadar zahir rasa simpati,
kata balasnya maklum teliti,
namun tindakan ternanti-nanti.

Kuatkan asa usah mengalah,
onak dan ranjau bukan masalah,
sudah diredah apa pun olah,
sujud berserah kepada Allah.

Syair keluhan tamatlah sudah,
tidak sempurna susunan madah,
puisi lama irama indah,
menafsir makna melerai gundah

Paridah Ishak
Selangor.

KEPUTUSAN

KEPUTUSAN SAYEMBARA ESVA-14: MENULIS SYAIR NORMA BARU.

Pertama (RM100): “Syair Keluhan Rasa” (Oleh: Paridah Ishak). (PAID).
Kedua (RM50): “Impian Nurani” (Oleh: Sujata Wee). (Paid).

Tahniah kepada para pemenang. Mereka yang tidak berjaya kali ini, jangan patah semangat. Cuba lagi untuk Sayembara ESVA-15.

(26/06/2021)

TAMAT.