.Sayembara ESVA-12. Menulis Anekdot.
Anekdot berarti cerita singkat yang menarik karena lucu dan biasanya cerita tersebut menyangkut orang-orang penting atau terkenal berdasarkan kejadian aslinya.
Anekdot: Sebuah teks yang menampilkan cerita pendek dan lucu yang umumnya bertemakan kondisi sosial dan masyarakat. Dalam sebuah contoh teks anekdot tidak hanya menceritakan sebuah cerita melainkan pula ada pesan tersirat di dalamnya. Pesan yang ada dalam cerita mengandung sindiran atau kritik terhadap sesuatu.
TEMA:
Bebas.
KEPANJANGAN:
Sekitar 100 perkataan. (80-120 kata).
TEMPOH:
Mula: Selasa 1.06.2021.
Tarikh akhir: Ahad 6.06.2021.
HADIAH:
Pertama: RM100.
Kedua: RM80.
Ketiga: RM50.
RUJUKAN:
https://www.suara.com/news/2020/12/07/105747/contoh-teks-anekdot-dan-pengertiannya?page=all
https://www.bola.com/ragam/read/4345799/pengertian-ciri-ciri-struktur-dan-contoh-teks-anekdot
https://www.ekopolitan.com/contoh-teks-anekdot/
ENGLISH. https://7esl.com/anecdote/
PESERTA
- Sujata Wee. Kejar Olok-olok.
- Paridah Ishak. Putih.
- Paridah Ishak. Pondok Telefon.
- Paridah Ishak. Cawan Papa.
- Paridah Ishak. Hujan.
- Ibnu Din Assingkiri. Mesin Bodoh.
- Ibnu Din Assingkiri. Ziarah Raya.
- Putraery Ussin. Dalam Feri.
- Putraery Ussin. Pintu.
- Putraery Ussin. Rupa Bukan Usia.
- Putraery Ussin. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
- Tuan Siti Mastazameatun. Kubur Tentera Jepun.
- Tuan Siti Mastazameatun. Paku Pontianak.
- Tuan Siti Mastazameatun. Bantal Peluk Atau Pocong?
- Ibnu Din Assingkiri. Gangguan Misteri.
- Citranalis. Nasi Lemak “Lockdown”.
- Ibnu Din Assingkiri. Kerja Tinggi.
- Seri Banang. Berkalih.
- Sujata Wee. Terjatuh Ke Dalam Parit.
- CT Nurza. Tikus Endang.
- Moh. Ghufron Cholid. Mandih Pangocap.
- Moh. Ghufron Cholid. Pemanggil Hujan.
- Sujata Wee. Tidak Takut Mati.
KARYA
1.
KEJAR OLOK-OLOK
Doktor tergesa-gesa ke sel pertama pesakitnya yang dirawat di jabatan psikiatri. Kali ini pesakitnya dalam keadaan yang mencurigakan, kedua belah tangannya bersilang di belakang. Dan alangkah terkejutnya apabila pesakit itu mengeluarkan sebilah pisau pemotong sayur. Tanpa berlengah doktor terus berlari mengelilingi sel tersebut sambil dikejar olehnya. Tiba-tiba pesakit itu berhenti mengejar, dalam nafas tercungap-cungap dia menghulurkan pisau tersebut kepada doktor.
“ Nah, doktor. Ambil pisau ini. Doktor kejar saya pula. Kita main kejar olok-olok.
Doktor terus mencapai pisau dan segera keluar daripada wad tersebut. Perasaan gementar dan penat belum lagi hilang. Dia berasa dirinya baru sahaja terlepas daripada hukuman maut.
TAMAT 1.
2.
PUTIH
Oleh: Paridah Ishak
Sudah lama Putih tidak kelihatan di persekitaran kediamanku. Ke manalah Putih menghilang? Pemilik Putih bertanya kepada anakku sama ada Putih ditemui di mana-mana. Dia bimbangkan keselamatan Putih. Sebelum PKP beliau setiap pagi akan meronda sekitar perumahan desa memanggil-manggil. Putih. Nakal betul Putih suka menghilangkan diri dan menyusahkan Ani mencarinya. Ani jiranku itu sangat sayangkan Putih. Pernah dia memanggil bomba untuk menurunkan Putih yang berada di atas pokok.
“Kami pun banyak kerja nak buat selain nak turunkan kucing dari atas pokok,” kata abang bomba. Tapi sifat prihatin mereka tetap terserlah. Putih diturunkan dengan selamat. Ani tersenyum gembira memeluk erat kucingnya berbulu putih itu.
TAMAT 2
3.
PONDOK TELEFON
Oleh: Paridah Ishak
Aku berada di pondok perhentian bas menunggu bas akan kunaiki ke Kuantan. Sedang keseorangan di atas bangku tiba-tiba telefon berdering. Aku biarkan saja. Pondok telefon itu terdiri berdekatan. Sekali berdering lagi.
Aku melangkah ke pondok telefon dan mengangkat telefon daripada gagangnya. Suara ‘hello’ menerjah deria dengarku.
“Hendak ke mana?”
“Hendak pergi kerja kilang.” Balasku.
Bas dinantikan telah muncul. Kuletakkan telefon ke gagangnya. Segera kunaiki tangga bas.
Di dalam bas, aku teringatkan panggilan telefon kuterima tadi. Baru aku perasan bahawa tempat menunggu bas dan pondok telefon, letaknya bersentangan dengan pejabat Felda.
Agaknya ini mesti kerja staff di pejabat itu hendak mengusikku.
TAMAT 3.
4.
CAWAN PAPA
Oleh: Paridah Ishak
Ariff, Mama dan Papa sedang nikmati hidangan minum petang yang disediakan Mama. Ada sepinggan pisang tanduk yang digoreng turut terhidang bersama setekoh teh panas.
Sambil meneguk air teh di dalam cawannya yang sudah mulai suam panasnya Arif bersuara;
“Papa guna cawan macam mana dulu ya?” Papan tersengih. Tidak menjawab pertanyaan anaknya yang mulai belajar sejarah di paparan skrin you tube sesi PdPR musim PKP.
“Arif ingat Papa Arif tu lahir zaman purbakah? Sela Mama.
“Papa, Mama, Atuk, Nenek semua guna cawan pinggan, periuk ginilah juga.”
Agaknya apa info yang diterima Arif menyebabkan dia berfikir orang-orang dewasa disekelilingnya teramat kuno?
TAMAT 4.
5.
HUJAN
Oleh: Paridah Ishak
Mia menemani abangnya Abqori bermain game komputer.
“Abang mesti tolong mama buat kerja rumah. Tolong kemas rumah, tolong sidai baju. Tolong basuh pinggan. Tolong bagi adik makan. Abang kan dah besar. Pada sapa lagi mama nak minta tolong. Abang saja yang mama harapkan. Mama nak pergi kerja cari duit ni. Duduk rumah elok-elok. Jangan lupa nanti bagi Atuk makan tengah hari, mama dah siap masak semua,” Mia mengulangi pesanan mamanya kepada Abqori beberapa kali. Petah Mia yang berusia empat tahun itu berbicara.
Tiba-tiba hujan turun menderu-deru.
“Tulah Mia membebel sangat sampai hujan pun turun.” Balas Abqori
Mia terdiam.
Atuknya tertawa.
TAMAT 5.
6.
Mesin Bodoh
Oleh: Ibnu Din Assingkiri
Barisan seperti ular sawa dipalu terdiri dari pekerja warga Vietnam. Ini kali pertama aku menggunakan mesin layan diri. Maklumlah di negaraku belum ada mesin seperti ini. Makanan dari mesin lebih murah jika dibandingkan yang di kantin. Taraf hidup di sini memaksa aku dan mereka berjimat-cermat.
Akhirnya giliranku sampai. Wang syiling yang kumasukkan tadi, keluar semula. Kucuba lagi sampai tiga kali, masih juga ditendang. Perempuan di belakangku tersenyum. Kali keempat ditendang, aku hilang sabar.
“Bodoh punya mesin, orang tengah lapar ni… Ingat duit aku tak laku kah?”
“Adik, itu duit Malaysia lah. Adik kena pakai duit US,” kata perempuan yang kusangka warga Vietnam itu.
Betapa malunya aku. Orang Malaysia rupanya dia. Kukira orang Vietnam.
-Tamat 6-
7.
Ziarah Raya
Oleh: Ibnu Din Assingkiri
Pagi Syawal dalam PKP tetap syahdu. Kenangan semasa meraikan bersama sanak saudara di kampung datang mengusik jiwa.
SOP sudah dijelaskan. Ziarah raya tidak dibenarkan. Tahun ini pasti menjadi raya paling sunyi. Ziarah hanya dibenarkan dari bilik ke bilik di dalam rumah yang sama. Aduhai!
“Ziarah tak dibenarkan!” jeritku kepadanya.
Dia tetap mahu masuk walau sudah dihambat keluar.
“Tapi saya adalah ahli keluarga ini,” balasnya agak keras.
“Siapa kamu? Saya langsung tidak mengenalimu. Masakan kamu ahli keluarga saya.” Sergahku tepat ke mukanya.
“Gout namaku.” Katanya perlahan.
“Oh, Gout, silalah go-in. Kenapa tak cakap awal-awal,” kataku sambil merungkai balutan ketupat pulut untuk entah yang keberapa kalinya.
-Tamat 7-
8.
Dalam Feri
Oleh: Putraery Ussin
FERI beransur-ansur meninggalkan Kompleks Jeti. Pulau Langkawi seolah melambai-lambai agar dia segera sampai. Tidak sabar untuk menjejak kaki ke pulau yang masyhur itu
Langkawi disumpah Mahsuri! Mahsuri yang suci itu di tuduh curang. Kecurangan perempuan berdarah putih itu telah membawa kepada kematiannya. Lalu Langkawi disumpah tujuh keturunan menjadi padang jarak padang tekukur.
“Alang-alang mandi biar basah! Jadi, kalau sudah dituduh curang itu biarlah sampai ke mati.”
“Adik … adik! Apa ni curang-curang? Dah sampai …” bahunya digoncang. Dia terkejut.
“Eh …dah sampai mana? Mana Mahsuri?” Lelaki di sebelahnya ketawa sekilas. Sejumlah mata memandangnya. Cepat-cepat dia tunduk malu.
Aduh …mimpi! Keindahan pulau itu terbentang di hadapan mata. Bagai rusa masuk ke kampung, itulah kali pertama dia menjejak kaki di Pulau itu.
TAMAT 8.
9.
Pintu
Oleh: Putraery Ussin
LAMA dia berdiri di hadapan pagar bangunan MRSM Langkawi. Tercangak-cangak. Segala-galanya menjadi asing. Lebih pelik lagi banyak kenderaan bertali arus keluar masuk.
Dia semakin bingung. “Ramaikah yang hendak melaporkan diri?”
Dia bertanya kepada dua orang pengawal di pondok jaga. “Encik, di manakah saya boleh melapor diri untuk bertugas?”
Sebaik mungkin dia menggunakan bahasa Melayu baku. Bakal guru bahasa Melayu … mestilah menggunakan bahasa Kebangsaan dengan tepat.
Pengawal itu tersenyum-senyum sambil memandang di antara satu sama lain. Dia jadi serba salah.
“Adik, pintu tak tutup tu ….” Salah seorang pengawal itu memberi tahu.
Dia berkalih lalu menuju ke arah pintu pagar. “Eh, bukan pagar … pintu itu.” Pengawal itu menunjuk ke arah zip seluarnya.
“Allahu!” Kelam kabut dia mencekup dengan tangannya.
TAMAT 9.
10.
Rupa Bukan Usia
Oleh: Putraery Ussin
DIA tercangak-cangak.
“Adik, pendaftaran pelajar baharu di hadapan foyer sana… tempat orang
ramai-ramai itu. Sini pejabat, kalau adik nak bayar yuran, ke klinik atau ambil
barang-barang pos, baru datang sini jumpa kakak.” Senafas sahaja keterangannya.
Kakak? Tak Nampak macam kakak pun … macam makcik yalah.
“Tak … tak …. ” Dia tidak sempat menghabiskan kata-kata.
“Ya, adik pergi sana, semua urusan boleh buat di foyer ….”
“Saya cikgu baharu nak lapor diri untuk mengajar di sini, Cik Mazni!” Kali ini
dia memintas. Dia mengerling tanda nama yang tersemat di tudung bawal ‘kakak’
itu.Tersipu-sipu Cik Mazni bangun membuka pintu.
“Mudanya cikgu ini, macam budak-budak belasan tahun.” Suara Cik Mazni
sampai juga ke telinganya tatkala dia mengadap Tuan Pengetua.
TAMAT 10.
11.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Oleh: Putraery Ussin
MAKLUMAN: Pada hari keputusan SPM diumumkan, pelajar wajib memakai uniform
sekolah. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan anda tidak dibenarkan
mengambil keputusan peperiksaan.
Tidak lama kemudian ada mesej tertera di telefonnya.
“Cikgu, esok kalau pakai baju sekolah warna biru boleh tak?”
Dia termenung. Seingatnya hanya ada dua warna uniform sekolah. Satu untuk majlis
rasmi berwarna peach. Satu lagi untuk hari-hari biasa berwarna biru.
Dia balas juga mesej itu.
“Kamu nak pakai baju biru jersi Chelsea atau biru jersi Manchester City?”
“His, cikgu ni … betul-betul. Uniform warna birulah. Mesej itu hadir bersama
emoji berwarna merah.
Hmm …sepatutnya dia yang letak ikon itu.
“Kalau dah tahu itu uniform, kenapa tanya lagi?” disertakan dengan emoji
ketawa.
Lama baru mendapat balasan. “Cikgu ni, tanya pun marah.”
Eh-eh ….
TAMAT 11.
12.
KUBUR TENTERA JEPUN
Oleh: Tuan Siti Mastazameatun
Emak membuka mata yang berat. Pening kepala Emak masih beraja. Kami empat beradik seronok melompat dan berlari dalam ruang tamu, tempat Emak sedang berbaring.
“Sini kejap semua,” panggil Emak dalam keadaan longlai.
Kami berhenti seketika dan Abang mengepalai kami ke sofa kusyen rotan tiga tempat duduk itu, bagi mendapatkan Emak.
“Jangan lari kuat-kuat dalam rumah ni. Nanti mereka bangun,” bisik Emak kepada kami.
“Siapa bangun?” Abang menyoal.
“Bawah lantai ruang tamu ni, dulu kubur tentera Jepun. Mereka mati kena penggal kepala. Kalau tapak kaki kamu salah terpijak tempat kepala dia ada, badan dia keluar dari tanah cekik kamu. Jadi, kena langkah perlahan-lahan dan jangan terpijak kepala dia, ya,” ujar Emak sambil terus kembali berbaring.
“Hantu Jepun?! Alamak! Semua, jalan perlahan-lahan,” arah Abang sambil mengetuai kami keluar dari ruang tamu, dengan terjengket-jengket.
“Barulah tenang sikit,” bisik Emak sambil tersenyum dan menyambung rehat.
(141 patah perkataan)
Tuan Siti Mastazameatun
Bunohan
04/06/2021
TAMAT 12.
13.
PAKU PONTIANAK
Oleh: Tuan Siti Mastazameatun
Kami empat beradik, suka lari-lari dalam rumah. Bunyi gawat kalau kami berada dalam ‘mood’ bermain.
“Nak tahu cerita tak?” soal Emak pada suatu petang semasa kami ligat bermain ‘polis entri one two jaga’.
Kami berempat berpaling memandang Emak, serentak seraya berkata, “Nak!”
Emak memanggil kami merapatinya dan menguis-nguis rambut di kepalanya.
“Ni, nampak tak kesan hitam atas kepala Emak ni?” soal Emak menundukkan kepala untuk kami melihatnya.
“Nampak!” sekali lagi kami jawab serentak.
“Itu kesan paku terbenam. Kalau Emak cabut paku tu, jadi pontianak terus,” bisik Emak dalam nada berbisik seram.
Terkial-kial Emak cuba menarik ‘paku’ yang terbenam di kepalanya dan selepas beberapa saat, terlihat sebatang paku dalam genggaman tangan Emak.
Dan Emak mengilai macam pontianak!
“Lari! Hantu!” jerit Abang. Kami semua berlari masuk ke bilik tidur Abang, dan duduk senyap tidak bersuara.
Kata Abang dalam nada suara ketar, “Biar Ayah balik dulu masukkan paku tu semula. Baru kita keluar balik!”
Emak membuka semula majalah Mastika dan sambung membaca.
“Tenang sikit rumah!”
(162 patah perkataan)
Tuan Siti Mastazameatun
Bunohan
18/03/2021
TAMAT 13.
14.
BANTAL PELUK ATAU POCONG?
Oleh: Tuan Siti Mastazameatun
Aku, anak yang keempat, merengek kerana mahukan bantal peluk panjang untuk tidur. Kakak berkeras tidak mahu melepaskannya. Bantal peluk itu memang satu sahaja di atas katil berkembar yang kukongsi dengan kakak. Emak mendapatkan kami.
“Kenapa nak berebut bantal peluk tu? Sejak kamu ambil dari bilik Emak, asyik bergaduh setiap kali nak tidur. Nak tahu, kenapa Emak beri kepada kamu, bantal tu?” Emak menyoal kakak sambil mengusap-ngusap rambutku.
“Sebab malam Jumaat hari tu, Emak buka mata daripada tidur sebab ada dengar bunyi, dan nampak yang Emak peluk tu bukan bantal, tapi pocong! Kan bentuknya sama. Panjang dan berbunjut atas bawah,” ujar Emak sedikit berbisik.
Aku dan kakak, dua-dua saling berpandangan ke arah bantal peluk itu. Rengekanku juga sudah bernoktah.
“Ok, tidurlah, ya. Jangan lewat tidur. Malam ni, malam Jumaat,” pesan Emak sambil meletakkan aku ke atas katil semula, di sebelah bantal peluk.
Ketika dia mahu beredar dari katil, kedengaran suara kakak memecah sunyi.
“Emak, ambillah semula bantal ni. Kakak tidur peluk adik je lah,” rayu kakak sambil menghulurkan bantal peluk kepada Emak.
Emak sekadar tersengih sambil menyambut bantal peluk itu dan berlalu pergi.
(182 patah perkataan)
Tuan Siti Mastazameatun
Bunohan
18/03/2021
TAMAT 14.
15.
Gangguan Misteri
Oleh: Ibnu Din Assingkiri
Rumah bergegar lagi seperti ada sesuatu berlari di atas syiling. Kusangka kejadian rambang. Rupanya rumah yang baru dua bulan kusewa ini diganggu pada setiap hari Jumaat, pukul 12:30 tengahari sampai 1:30 petang.
Aku mula syak gangguan inilah yang menyebabkan rumah besar ini disewakan dengan murah. Penyewa sebelum ini agaknya sudah tidak tahan lagi dengan gangguan ini.
Semasa pulang dari solat Jumaat, aku perhatikan ada kesan retak di dinding rumah. Dahsyat sungguh makhluk itu mengamuk hingga retak dinding rumah.
“Retak habis bang. Rumah saya pun sama.” Terdengar suara jiran sebelah.
“Oh! sampai dua rumah sekali….” Balasku.
“Semua kena bang. Nasiblah, rumah kita tepi kuari. Tiap Jumaat bukit diletupkan…” jawabnya sambil menggeleng kepala.
Aku ikut mengeleng kepala dan tersenyum lega.
-Tamat 15-
16.
NASI LEMAK “LOCKDOWN”
Oleh: Citranalis
Sewaktu aku melangkah keluar dari pagar rumah, hati kecilku masih berfikir sehelai
daun yang berkali-kali dicium namun aku tidak dapat menghidu wanginya seperti selalu. Disebabkan hendak cepat, daun itu aku simpulkan lalu segera masukkan ke dalam periuk nasi lemak.
Teringat satu artikel berkenaan tanda-tanda seseorang yang telah dijangkiti virus corona diantaranya ialah hilang deria bau. Aku mula gelabah dan terus melulu masuk ke dalam rumah sepantas mungkin.
“Abang, jom tunjukkan saya daun dari pokok mana yang abang ambil tadi”. Dengan penuh yakin dia pun menunjukkan pokok tersebut.
“Errrr ni bukan daun pandan ” ketawa yang ditahan akhirnya terlerai juga.
TAMAT 16.
17.
Kerja Tinggi
Oleh: Ibnu Din Assingkiri
Setiap kali jika ada sesi menanya cita-cita, pasti murid-murid darjah 1B akan bersemangat.
“Sobri kamu nak kerja apa bila besar nanti?
“Polis, cikgu,” jawab Sobri, yakin.
“Kenapa nak jadi polis?” tanya Cikgu Ishak lagi.
“Nak tangkap orang jahat,” balas Sobri, pantas.
Murid seterusnya, ingin menjadi askar. Hasnah yang duduk bersebelahan denganku bercita-cita menjadi guru.
“Kamu pula esok besar nak kerja apa?”
“Panjat kelapa cikgu,” Aku menjawab pantas dengan suara yang jelas.
Semua murid ketawa dengan agak kuat dan lama. Cikgu Ishak juga ketawa sedikit.
“Kenapa nak panjat kelapa?” Tanyanya.
“Bapak pesan, kena cari kerja lebih tinggi dari kerja bapak. Panjat kelapa tinggi dari nelayan kan cikgu kan?”
Cikgu Ishak serba salah untuk menjawab. Murid-murid semua tergamam.
-Tamat 17-
18.
BERKALIH
Oleh: Seri Banang
Tengahari tadi aku call Nadia minta datang ke rumah sekejap. Tak sampai dua puluh minit dia dah tersembul depan pintu.
“Macamana boleh jatuh?” Sambil tangannya menekan-nekan ke jari tengah kaki kiri aku yang mula bengkak.
“Pelan sikit boleh tak!” Sambil aku menyeringai menahan sakit.
“Jari you tu dahlah macam ulat sagu!” Sambil aku juihkan muncung bibir ke ruas jari dia yang gemok bulat berisi. Nadia sempat jegilkan biji mata.
Sepanjang perjalanan ke kelinik Raudah di Changlon, jenuh mendengar radio karat dia berbunyi, dok membebel persis arwah umie.
Masa menunggu giliran di tempat duduk, Nadia pandang muka aku semacam.
“Awat lagu tu! Habis ilham dah? Sampai semua tak kena gaya?” Sambil mengesutkan punggungnya sedikit ke tengah kerusi kosong yang berpangkah X di antara kami.
“Risau pulak! Tadi I tengok di group WhatsApp ramai dah yang hantar untuk syembara Anekdot tu!” Sambil Aku letak siku atas paha dan menongkat dagu.
“Abis tu awat tak hantaq? Tanya dia lagi sambil tengok aku dari atas ke bawah.
“Depa nak yang lawak!” Sambil Aku usap kepala sebelah kanan yang sakit dan mula terasa benjol.
“Dah tu tulislah! Hari ini saya jatuh tergelincir, kaki terkehel dan kepala bengkak lebam kena pintu!” Katanya sambil kejib mata.
“Kalau tak lawak lagi, habaq kat depa sat lagi nak jumpa doktor dah nih! Tapi macamana nak buat? Takut doktor gelak sebab baju saya berkalih!” Ketawanya tertahan dengan tangannya terus menutup mulut.
Kalut aku tanyakan di mana bilik air dengan dua tiga pasang mata mengekor ke baju muslimah aku yang jahitnya semua terbalik keluar.
TAMAT 18.
19.
TERJATUH KE DALAM PARIT
Oleh: Sujata Wee
Seorang pemuda begitu asyik memerhatikan keayuan seorang gadis yang sedang berjalan. Gadis itu berkulit putih, matanya bulat sementara rambutnya lurus melepasi bahu. Sungguh mempesona dan cantik sekali. Gadis itu tidak mempedulikan pemuda yang sesekali bersiul ke arahnya. Dia memang sudah biasa diusik oleh pemuda-pemuda kerana parasnya yang menawan.
“ Wau….cantiknya. Boleh berkenalan?”
Tiba-tiba telefon gadis itu berdering. Dia berdiri tegak di tepi jalan untuk menjawab panggilan. Pemuda itu telah berjalan melintasinya namun matanya masih lagi menoleh ke arah gadis tersebut. Tidak semena-mena kaki pemuda itu terjatuh ke dalam parit dan dia tersembam di situ. Malunya bukan kepalang apatah lagi gelagatnya sedang diperhatikan oleh gadis tersebut.
TAMAT 19.
20.
TIKUS ENDANG
Oleh: CT Nurza
Anekdot : Tikus Endang
Suatu hari diwaktu senja. Saya dan emak berehat-rehat di serambi rumah. Waktu itu, emak sedang sibuk menganyam tikar mengkuang yang beragi-ragi coraknya. Boleh tahan juga cantik dan kreatif tikar mengkuang emak.
Mak : Tie, tolong buka radio tu kuat sikit.
Saya : Kenapa mak?
Emak : Ala buka je la. Mak nak dengar tikus endang nyanyi.
Saya : Hah? Tikus??
Emak : Ya, tikus endang.
Saya : Ish! Mana ada tikus endang kat sini mak.
Emak : Laa, itu nyanyi dalam radio tu. Tikus endang la tu.
Saya : Oooh! Ala mak ni. Itu Hetty Koes Endang. Penyanyi dari Seberang mak.
Emak : Emmm, tak kisahlah. Janji tikus endang yang tengah nyanyi tu.
Saya dan emak akhirnya ketawa terbahak-bahak. Manakan tidak, saya fikir tikus mana pulak yang masuk radio. Sebabnya, sound radio elok saja berbunyi.
Rupa-rupanya, emak yang tak reti nak sebut dengan betul nama penyanyi kesukaannya. Saya pulak pelik ingatkan tikus pun reti menyanyi. Ajaib sungguh. Maka tergelaklah saya tanpa henti kerana kelucuan tu.
TAMAT 20
21.
MANDIH PANGOCAP
Oleh Moh. Ghufron Cholid
“Rohman, hedeh mole yeh! Hedeh mole ken polanah aabiniah? Mak tak ngondang sengkok!”. Ucapan Kiai Idris seketika serupa petir menyambar, Rohman kehilangan keseimbangan. Bingung adalah kata paling tepat menggambarkan keberadaan Rohman.
Ingatan Rohman pun menyapa kenangan masa silam sewaktu berhadapan dengan Kiai Ahmad, ayah kandungnya. Cong, mon etanyaagin kiaeh kakeh amantanah yeh maka jeweb engghi kauleh amantanah soallah mon ajeweb bunten kakeh bisa mlarat seabiniyah.
Rohman hanya pulang biasa, tidak untuk menikah maka Rohman hanya bisa berdiam dan mencari jawaban, engghi kiaeh kanca kauleh seamantanah.
Sungguh nyata adanya yang menikah duluan adalah Hafil, Sahabat Rohman sementara Rohman bisa mengelus dada.
Junglorong, 9 Juni 2021
TAMAT 21.
22.
PEMANGGIL HUJAN
Oleh Moh. Ghufron Cholid
“Jek ngakan ngangguy cobik makle mon amantan tak ojen!” kata Mattasan pada putri semata wayangnya. Santi terus saja memakan nasi dengan menggunakan cobek karena menurut Santi sangat enak jika menggunakan cobek.
Di hari pernikahan Santi, langit hitam pekat dan petir menyambar menebar takut. Mattasan pun berkata”Dekremah bing mon ebelein reng toah reyah torok, lajiah deddinah. Congngok lange’ bernah celleng petteng, lapkelap la amonyeh madeteng kok panakok”.
Hati Santi kalut, pelan-pelan berkata kepada Mattasan, “Papartajeh ka pangeran Pak. Pangeran Maha Agung manabi Alloh tak akarep ojen tak kerah Ojen. Bismillah lannge’ terang biidznillah”.
Seketika langit terang dan hujan tak lagi datang.
Junglorong, 9 Juni 2021
Keterangan
Menurut kepercayaan sesepuh makan nasi menggunakan cobek bisa mendatangkan hujan di hari pernikahan, oleh sebab itu perempuan Madura dilarang makan nasi menggunakan cobek (sebuah wadah yang terbuat dari tanah liat biasanya digunakan untuk mengolah rujak dengan beragam bumbu).
TAMAT 22.
23.
TIDAK TAKUT MATI
Oleh: Sujata Wee
Sebaik sahaja Asrul mahu melintas jalan, dia ternampak kawannya Ramzi yang juga ingin melakukan perkara yang sama. Apalagi, kawan satu kampung yang pernah akrab dahulu itu pun berbual panjanglah tanpa melintas. Ternyata mereka sangat gembira bertemu kembali. Banyak kisah menarik dibualkan. Antaranya Asrul menyebut dia tidak takut mati.
Tiba-tiba meluncur sebuah lori dengan deras menghala ke arah mereka. Asrul yang agak panik itu terus menangkap tangan Ramzi dan menariknya untuk berundur ke belakang sehingga mereka berdua terpelanting rebah.
“ Celaka punya lori. Mujur sempat mengelak, kalau tidak mati kita,” kata Asrul sambil bangkit menyapu debu-debu dan pasir yang melekat pada seluarnya.
Walaupun terkejut, namun Ramzi tersengih. Kejadian tadi telah membuktikan sama ada Asrul bercakap benar atau tidak.
TAMAT 23.
KEPUTUSAN
SAYEMBARA ESVA-12. ANEKDOT. KEPUTUSAN:
Ke-1. RM100. “Kerja Tinggi”. Ibnu Din Assingkiri. (Paid).
Ke-2. RM80. “Berkalih”. Seri Banang. (Donated back).
Ke-3. RM50. “Pintu”. Putraery Ussin. (Paid).
Tahniah buat para pemenang. Yang tidak menang, jangan putus asa. Cuba lagi dalam Sayembara ESVA-13.
Admin.
Jumaat, 11.06.2021.
TAMAT.