Sajak ini terdiri dari 18 baris, empat bait dan berbentuk bebas. Temanya kemanusian dengan persoalan kasih sayang keluarga. Sajak ini bergaya bahasa simbolik dengan sedikit simili dan metafora. Sikap penulis dicitrakan dalam nada kasih-sayang (romantis) berbaur pesan-nasihat dari abang kepada adik (didaktik.)

Teks sajak:

Kekasih Ayahanda dan Permata Bonda

Suara tangisan bahagia
didakap mesra pangkuan bonda
sebuah cinta lahir dari rahim
disambut dengan penuh berahi.

Kelahiranmu umpama kanvas salju
hanya menanti masa dan waktu
bagi dironakan dengan budi dan ilmu
sebelum meninggalkan ambin ibu.

Kelak usia menyapa dewasa
usah dilupa pundak ayahanda
yang sasa pendengar setia
mendengar rintihan kepenatan
bersama membahui bebanan.

Oh…dinda kesayanganku
engkaulah kekasih ayahanda
yang syahdu kirana di atma
engkaulah permata bonda
yang sentiasa berbinar di mata.

Lim Wei Wen
Universiti Teknologi Malaysia
20 Mac 2021
(terbit di akhbar Wilayahku)

Judulnya sesuai dan mewakili makna keseluruhan. Dari judulnya sedikit sebanyak isi sajak sudah bermain di dalam fikiran pembaca. Ia menggamit perasaan ingin tahu pembaca untuk membaca kandungan sajak.

Pada bait pertama dicitrakan suasana bahagia ahli keluarga menyambut kelahiran bayi. frasa “disambut dengan penuh berahi” menghantar isyarat bahawa kelahiran bayi ini begitu dinantikan. Mungkin sudah lama tidak ada bayi baharu di dalam keluarga.

Pada bait kedua, penyajak membuat simili tentang kelahiran bayi yang diumpamakan sebagai kanvas salju. Penyajak cuba lari dari kiasan “kain putih” yang sudah agak lusuh. Namun maknanya masih sama, iaitu akan dicorakkan oleh didikan dari rumah sebelum melangkah ke alam persekolahan. Kata “ambin ibu” merupakan simbol yang kuat untuk mencitrakan makna dalam bait ini. Ia bermakna dilepaskan dari ‘kain dokongan’ ibu. Selain kuat, ia memberi perasaan yang sayu.

Bait ketiga merupakan nasihat atau pesan kepada penulis kepada adiknya agar nanti (bila sudah besar) jangan dilupakan bahawa ayah sentiasa ada untuk menyokong dan mendengar tentang masalah hidup yang mungkin tidak tertanggung dan tidak dapat ditangani bersendirian. frasa di dua baris ini, “usah dilupa pundak ayahanda/yang sasa pendengar setia,” mencitrakan tentang sifat ayah yang selalu mahu berkongsi dan sudi mendengar masalah anak-anak.

Di bait keempat, penyajak menunjukkan kasih sayang yang mendalam kepada adiknya, dengan panggilan manja, ‘dinda kesayanganku’ sambil mengingatkan betapa mereka sekeluarga amat menyayangi adiknya. Di dalam bait penutup ini, penyajak merakamkan kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi penyajak, ibu serta ayah terhadap adiknya.

Menurut pendapat saya, sajak ini berjaya melakukan tugasnya sebagai sebuah karya sastera yang bijak dan membijaksanakan. Di era yang sangat rendah nilai kemanusiaan dan kasih sayang kekeluargaan, sajak ini menjadi cahaya di hujung terowong sebagai harapan kepada kemanusiaan. Dengan gaya dan laras bahasa sederhana, tetapi tidak kurang estetikanya, sajak ini sesuai kepada khalayak pembaca remaja dan dewasa.

Oleh:

Ibnu Din Assingkiri.
Pulau Pinang, 04 Mac 2021.

TAMAT.