KEKALKAN SINAR KE HARI TUA

(i)
Seharian ini, merpati
langsung tidak kelihatan,
bunyipun tidak kedengaran
akhirnya, di petang hari
singgah seekor tekukur
memagut serpih biskut
yang ditabur tadi pagi,
saat asfalt masih dingin.

(ii)
Santai wahai tekukur,
pagutlah perlahan-lahan
tidak ada yang merebut
semua taburan makanan
adalah rezekimu seekor
makanlah sekenyangnya,
simpan juga di tembolokmu
kerana esok, belum pasti…

(iii)
Seperti Sang Tekukur
mendapat rezeki terpijak
berhemah dan cermatlah
dalam mengatur belanja
kerana kita mengambil
dari kantung hari esok:
Hari ini bersinar cahaya,
entah malap di hari tua.

Oleh:

Ibnu Din Assingkiri.
Simpang Ampat, Pulau Pinang, Malaysia.

TAMAT.