Oleh: Ibnu Din Assingkiri

AKU tersedar dari tidur yang tak nyenyak, entah berapa puluh kali terjaga. Bukan kerana katil yang kurang enak atau tilam yang berpijat. Katil hotel cukup selesa, cuma mata terlalu payah untuk tidur. Mungkin kerana berubah tempat tidur atau mungkin kerana cuaca musim panas yang berangin kering.  Cuaca di Minnesota ini terlalu kejam mendera tubuhku.

Tergaru-garu di tangan dan kaki seperti terkena jelatang beracun. Kesan lecet dan luka jelas kelihatan akibat menggaru tanpa henti. Setelah kusapu losyen, rasa lega sedikit, namun kegatalan masih menyegat. Cuaca musim panas di sini terlalu kering hingga kulitku menjadi gatal-gatal. Sungguh aku tak tahan dengan keadaan ini.

Kugagahi juga untuk tidur tapi mata tetap berdegil tidak mahu terlelap. Terbayang peristiwa siang tadi ketika turun pesawat untuk transit di Lapangan Terbang Narita. Aku ditahan oleh pegawai imigresyen kerana disyaki membawa dadah. Pemeriksaan badan menyeluruh dilakukan termasuklah kasut dan kepala tali pinggang dibuka semuanya. Ah! malangnya aku. Muka yang tampan seperti Johnny Depp pun disyakki keldai dadah…

Bekerja di luar negara sebegini memang menyiksakan. Terpaksa berpisah dengannya dan anak-anak, cuaca yang menyiksa dan makanan halal yang sukar didapati. Paling menyiksakan ialah berpisah dengannya yang baru dua minggu melahirkan anak kedua kami. Pada kelahiran anak kedua ini, aku hanya sempat menjaganya berpantang selama hanya dua minggu. Tentu seorang isteri merasa terpukul, ditinggalkan pada saat paling perlu perhatian suami.

Wajahnya muncul lagi di ruang fikir seolah-olah mengikutiku sampai di negara Uncle Sam. Sepasang mata bundar bergenang air mata menangisi perpisahan di luar balai berlepas Lapangan Terbang Bayan Lepas dua hari lalu. Kukesat air matanya dengan tanganku. Kusapu keningnya yang terlukis indah dengan jariku. Kusentuh pipinya yang pucat dengan telapak tanganku. Kurasakan tubuhnya bergetar dan bergetar. Sebak membungkam dalam dadaku. Ketika itu kurasa seperti mahu memeluknya erat-erat. Tapi nanti apa pula tanggapan orang, maka terpaksa kubatalkan niatku. Ingin sekali kukucup dahinya, keningnya juga pipinya. Ah! betapa perpisahan ini adalah penyiksaan yang terlalu berat. Dua hari berpisah terasa seperti dua tahun lamanya. Aku terlalu merinduinya; moga dia hadir lagi, walau cuma dalam mimpi.

*

Segala tentang dirinya bergentayangan di ruang fikirku. Masih segar diingatan ketika satu hari di sekolah, dia melintas di hadapanku dan Baser, teman sekampung dan sekelasku. Dia sungguh menawan dengan wajah eksotik dan gaya yang tersendiri, aku terpukau dan mulutku ternganga seketika. Baser tersedar akan keadaan lalu menyuruhku menutup mulut.

“Buat malu kaumlah awak ni, tengok perempuan sampai ternganga mulut. Ha ha ha!” Baser tergelak besar hingga mengalir air mata.

“Baser, inilah gadis idamanku. Suatu hari nanti pasti aku akan menikah dengannya.” Kataku dengan yakin.

Entah dari mana kata-kata ini muncul, begitu mendadak. Baser terus tertawa dan tertawa mendengar ucapan dariku. Mungkin kerana pada pandangan Baser antara kita seperti beauty and the beast!

Selepas lima tahun, ketika aku menjemput Baser ke majlis pernikahan kami, dia sungguh terkejut dan tidak percaya. Sungguh dia tidak menyangka bahawa kami benar-benar akan menikah. Inilah yang dinamakan jodoh. Tuhan telah tetapkan jodohku dengannya. Aku tetap konsisten sepanjang tahun untuk cuba mendekatkan diri dan memenangi hatinya.  Walaupun dia hanya menganggapku sebagai teman biasa, aku tetap berusaha keras menawan cintanya. Alhamdulillah! Perkara yang bermula dengan impian telahpun jadi kenyataan….

*

Ruang tidur Hawthorn Hotel yang luas kurasakan sempit. Nafasku tersekat; tenggorokan kering. Air mata yang kutahan menitik ke pipiku. Aku terlalu rindu kepadanya. Aku sepi tanpa kehadirannya di sisi. Aku ingin segera pulang untuk bersamanya. Jika aku bisa terbang, pasti kurentasi dunia ini untuk kembali kepangkuannya. Ya Tuhan, sakitnya menanggung rindu. Ini baru dua hari, bagaimanakah caranya akan kuhadapi dua puluh lapan hari lagi berjauhan dengannya?

“Tuhan, tolonglah aku. Aku benar-benar rindu kepadanya.”

Oleh:

Ibnu Din Assingkiri.
Pulau Pinang.

-tamat-