10 tahun yang lalu, penulis yang masih bersekolah ketika itu dikejarkan ke
sebuah hospital kerajaan kerana mengalami demam panas. Ketika itu umat Islam
sedang berpuasa di bulan Ramadhan. Penulis ditahan di dalam wad khas yang
menempatkan beberapa orang pesakit dan kami berkenalan sesama sendiri meskipun
di dalam wad itu menempatkan pelbagai bangsa dan budaya.
Suatu hari, apabila penulis tersedar dari tidur, kelihatan beberapa mubaligh Kristian
berbangsa India mengadakan sesi lawatan terhadap pesakit-pesakit di situ.
Penulis melihat mereka berbual dengan seorang demi seorang. Kemudian mereka
berbual dengan pesakit India yang sebelah katil penulis ketika itu. Akhir kalam
sebelum mereka beredar, kedengaran seorang mubaligh tersebut berkata “May Jesus
bless you”. Lalu mereka bersalaman dan seterusnya Mubaligh tersebut datang ke katil
penulis.
Pada mulanya mereka berbahasa India dengan penulis sendiri. Mungkin juga kerana
fizikal penulis yang agak berkulit gelap.
Lalu dengan nada yang tertahan kerana sedikit geli hati, penulis pun cakap “Maafkan
saya puan, saya Melayu”.
Terpampanglah di mata penulis betapa terkejutnya mubaligh tersebut. Mereka agak
terperanjat sebab tidaklah mereka sangka penulis adalah seorang orang Melayu. Lalu
mubaligh memohon maaf. Tapi penulis juga tidak kisah, itu bukanlah kali pertama
penulis “disalah teka bangsa” sebegitu.
Lalu kami berbual-bual mengenai tahap kesihatan, serta faktor penulis ditahan di wad
tersebut. Mubaligh tu sempat mendoakan penulis dengan ucapan “Moga Jesus
merahmati anda” ketika itu penulis terkesima dengan ucapan tersebut dan penulis
sekadar tersenyum mengangguk sahaja. Belum sempat penulis hendak menanyakan
lebih lanjut, golongan Mubaligh terebut berlalu pergi.
Setelah mereka beredar, penulis termenung memikirkan apa yang dilakukan oleh
Mubaligh Kristian sebentar tadi. Dakwah mereka penuh dengan kelembutan dengan
disertai kunjungan mereka kepada pesakit. Sempat juga mereka mengedarkan buah
tangan berbentuk buah-buahan kepada pesakit di situ.
Melihat pada keadaan ini, penulis terfikir mungkin ini menjadi penyebab masyarakat
non Muslim lebih tertarik untuk menganut agama Kristian berbanding Islam kerana
kelembutan cara mereka. Setiap insan pasti akan tertarik dengan keindahan akhlak
dan sifat perihatin Mubaligh Kristian. Namun setakat yang penulis tahu, banyak juga
usaha dari pendakwah Islam menyebarkan risalah kebenaran Islam terutamanya
mereka yang berdakwah pada masyarakat pedalaman orang asli.
Suatu harapan yang terbayang di minda penulis, moga ada ilmuwan muda
Islam(terutamanya penulis sendiri) atau yang menuntut ilmu pengajian agama di
dalam atau luar negara berdakwah mengikut cara yang sama. Selain itu, penulis juga
memuji usaha golongan pihak berkuasa dalam bidang agama, yang rela turun padang
seperti usaha pihak autoriti di Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM), dan Yayasan Dakwah yang menziarahi masyarakat orang asli di Taman
Negara Endau Rompin, Johor. Namun alangkah lebih indah jika pihak berkenaan
boleh menziarahi pesakit di hospital dan turut menyebarkan dakwah serta silaturrahim
bersama pesakit yang berbilang bangsa dan agama. Seperti yang penulis dan seluruh
kaum juga turut tahu, insan seperti Ustaz Ebit Lew juga turut menghulur bantuan ke
seluruh tempat tanpa mengenal bangsa dan agama. Dengan cara inilah banyak kaum
dan bangsa mula mengenal erti Islam yang sebenar.
Tuntasnya, moga dengan usaha-usaha dakwah ini dapat membuka mata golongan
golongan non Muslim menilai Muslim dari segi keperibadian yang ada pada penganut
Islam itu sendiri, serta memperbetulkan pandangan yang serong terhadap Islam, dan
juga perpaduan berbilang kaum serta agama dapat dipereratkan.
Oleh:

TAMAT.