Aku noktahkan senja di kepala malam
selepas meniti di atas remang cahayanya
kelana memeluk resah sebagai teman
mencongak-congak jarak perjalanan
agar mampu ku tiba di purnama
melalui kejora yang mulai menyilau.
Justeru aku berpesan kepada buana
yang merangkak sipu menuju kelam
agar jangan terlalu memuja suria
hangat cahayanya bukan seabadiat
sampai masa akan ditewas pawana
atau diganti fenomena lebih hebat.
Maka aku menjadi pelangi malam
pesona indah diserakkan di tujuh warna
ternyata sekadar hamparan zulmat
tatkala yang amat dikagumkan
hanya ilusi cincin pada bayang bulan
yang asyik menyirna fatamorgana minda.
Oleh:

AudeaFreya.
TMM2KB.
14 Februari 2021.
TAMAT.