1.
Sungguh rimas berjerawat batu,
lagi perit sakitnya gigi:
kini kita berhari Minggu,
Assalamualaikum dan Selamat Pagi.
2.
Mandi bagalau di dalam kulah,
sabun cap ayam penggosok daki:
kita memohon ke hadrat Allah,
panjangkan umur murah rezeki.
3.
Sinar terang pancaran suria,
mega berarak ingsut jajaran:
badan sihat hidup ceria,
hati senang meskipun berhujan.
4.
Di tengah laut mencari ikan,
puting beliung nampak berpusing:
Bandarku Ceria tetap diteruskan,
terserah kepada cara memasing.
5.
Telur masin simpan di tajau,
bahan hitam jadi pelumur:
musim kini selalu paujan,
subuk tinjau mahu menjemur.
6.
Tanak beras di dalam kawah,
cukup masaknya menjadi nasi:
air banyak melimpah ruah,
terjadi banjir menyusah hati.
7.
Buah pirapat bukannya pidada,
kedua-duanya mempunyai biji:
banjir merosakkan harta dan benda,
banyak tak boleh digunakan lagi.
8.
Burung tempua bersarang rendah,
bila terbang kumpul sebaya:
banjir melimpah di tempat rendah,
awas binatang menimbulkan bahaya.
9.
Cakap tak tentu kekadang melatah,
jika diganggu amat bahaya:
banjir lalu membujur patah,
awas lemas melanda manusia.
10.
Ikan belanak si ikan kurau,
badannya licin diturap lendir:
tanpa hujan terjadi kemarau,
seharian rimas mendapatkan air.
11.
Bulan terang jelasnya nampak,
pungguk menunggu merindu bulan:
betapa air terlalu mustahak,
kehidupan seharian ia diperlukan.
12.
Bunga jambu warnanya merah,
sedap dimakan manis rasanya:
hujan batumpuk tak tentu arah,
rahmat Tuhan ada hikmatnya.
13.
Masak sayur tak tinggal belacan,
bubuh sira penyukup rasa:
kita terima seadanya hujan,
pasrah kepada Yang Maha Esa.
Oleh:

Haji Mariat bin Haji Abdullah.
MERAK KAYANGAN,
24 Januari 2021 Minggu/Ahad.
TAMAT.