Saat menerima surat jawatan
Lantas kau berteriak dan berikrar
menjunjung keadilan dan mempertahankan kebenaran
menentang rasuah dan kronisme sebagai amalan
Ikhlas bekerja kerana tuhan dan negara.
Ingatlah! Jawatan tertanggung beserta amanah
Bukan tahta untuk bersuka-suka
Bukan kerusi empok idam enaknya
Bukan mimpi indah dibuai asyiknya
Bukan ganjaran dan sanjungan
Bukan juga kemuliaan dan kehormatan
Tapi terletak pada kesempurnaan akhlak dan imannya
Waspada dengan sempadan nafsu
Menyelimuti naluri untuk berbakti untuk rezeki suci.
Jangan sesekali sahabatku,
Mencari akal merayap mengintai habuan
Menutup mata untuk durjana yang meracun
Mengunci mulut untuk penyelewengan kolar putih
Membahang kepercayaan membakar naluri
Menjunam ikrar ke tanah lesu
Demi kelazatan yang tidak hakiki
Lalu kau redha perbuatan terkutuk itu terjadi.
Marilah kita tatang jawatan ini
Dengan rasa cinta sifat mulia
Adil jujur dan saksama
Berintegriti dengan jiwa halus
Agar terukir tinta-tinta syurga nikmat selamanya.
Tuhan
Bimbinglah hati dan nafsu ini
Bekerja dengan keikhlasan dan kesempurnaan iman
menghimpun zarah-zarah pahala buat bekalan
Untuk istiqamah bertanggungjawab dan beramanah
Melayari kedudukan dijawatan ini hingga ditakdir untuk kembali.
Oleh:

AM. Fairus.
UUM, Sintok.
TAMAT.