Mohd Shukri bin Hussin dilahirkan di Bera, Pahang Darul Makmur.
Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Felda Tementi, Triang, Pahang. Kemudian, beliau meneruskan pendidikan menengah di SMK Bandar 32 Bera, Triang, Pahang. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, beliau menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang. Selepas itu, langkah terus maju diorak apabila beliau menyambung lagi pencarian ilmu di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Kelantan Darul Naim dan Universiti Teknologi Mara Kampus Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua Dengan Kepujian ataupun Bachelor of Education (Hons) in Teaching English As A Second Language (TESL).
Beliau juga aktif menulis puisi baik dalam blog peribadinya ataupun dengan menyertai pelbagai penghasilan antologi puisi. Antologi puisi yang terkini beliau sertai ialah Antologi Puisi Guru Malaysia (2020) terbitan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Antologi Puisi Covid-19 : Betapa Berat (2020) terbitan Wacana MBM. Pada tahun 2019, sajak beliau yang berjudul “Warkah Cinta Buatmu Felda” telah merangkul tempat ke-3 dalam Sayembara Puisi Belia Felda Peringkat Kebangsaan. Puisi beliau yang berjudul “Kisah Barisan Hadapan” juga telah terpilih sebagai Peserta Terbaik dalam Pertandingan Deklamasi Puisi Suara Jiwa 2020 anjuran Universiti Teknologi Mara dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak di bangku sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dan juga ketika beliau telah berkerjaya, beliau sering terlibat dalam pelbagai aktiviti ko-akademik Bahasa Melayu seperti debat Bahasa Melayu ala-Parlimen, pementasan drama, pidato, forum, syarahan, deklamasi puisi, bicara berirama, pesta pantun dan sebagainya.
Kini, beliau begitu aktif terlibat sebagai peserta, jurulatih, dan juri bagi pertandingan ko-akademik Bahasa Melayu di peringkat daerah, negeri, parlimen dan kebangsaan. Beliau kini diberikan amanah sebagai Ketua Pegawai Teknikal Ko-Akademik Bahasa Melayu, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
KARYA DI PORTAL E-SASTERA VAGANZA ASEAN
PUISI:
. Nuzul Quran (Pantun) .
TAMAT.