xxxxx

KUMPULAN CERPEN

IRWAN ABU BAKAR

Penyapu lidi bertangkal berhulu | coconut leaf broom with handle | | Shopee  Malaysia

PENYAPU

 © eSastera Enterprise, 2020

xxxxx

KATA PENERBIT

xxxxx

CERPEN

KUMPULAN CERPEN IRWAN ABU BAKAR YANG TELAH TERSIAR DI MAJALAH E-SASTERA.NET.

JUDUL:
(1) Penulis Profesional. (2) Tuan Presiden. (3) Adat. (4) Penyapu Baharu Yang Rosak.

1.

PENULIS PROFESSIONAL

Tulisan ini bukan sebuah iklan tetapi sebuah cerpen dalam format iklan. Namun anda boleh juga menganggapnya sebagai iklan kerana semua maklumat yang di dalamnya adalah benar. Dalam zaman “‘tv realiti” sekarang ini, sangatlah sukar untuk membezakan antara perkara sebenar dengan perkara rekaan. Begitu juga dalam era penulisan kini yang cenderung kepada penulisan eksperimental, karya fiksyen dengan karya bukan fiksyen seolah-olah sudah diuli menjadi suatu adunan yang sebati. Sukar dibezakan antara ramuan-ramuannya, mana yang fiksyen dan mana yang sebenar. Cerpen ini bergerak atas landasan itu.

Cerpen ini sengaja saya hantarkan ke sini kerana saya tahu bahawa komuiti eSastera.com sangat responsif terhadap inovasi dalam pengkaryaan kreatif.

ii

Saya seorang penulis kreatif amateur. Nama pena saya Irwan Abu Bakar. Kalau anda seorang peminat tulisan kreatif, terutamanya sajak dan cerpen, tentu anda pernah mendengar nama saya. Kalau anda peminat sastera siber, besar kemungkinan anda pernah mendengar nama saya kerana saya menerbitka tiga buah majalah sastera siber, iaitau esastera.com di http://www.esastera.com, majalah siber Bulanan E-Sastera (BESt) di http://www.majalahBESt.com, dan majalah siber sastera-SMS di http://www.sasteraSMS.com. Kalau anda belum pernah mendengar nama saya, barangkali anda bukan peminat karya kreatif yang serius.

Saya menulis sajak dan cerpen. Banyak sajak saya yang telah tersiar di media perdana. Cerpen-cerpen saya pernah tersiar di media perdana, termasuk di majalah Dewan Sastera yang merupakan terbitan elit untuk sastera Melayu Malaysia. Saya juga pernah terlibat dengan penulisan “novel bersama”, iaitu novel yang ditulis oleh lebih daripada seorang penulis. Novel yang ebrkenaan ialah Hostel: Debaran Kedua yang ditulis oleh 12 orang penulis, mulanya di internet, kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk cetakan keras. Semasa diskusi novel itu di Kota Bharu baru-baru ini, sarjana Rusia, Dr. Victor Pogadaev, telah menyatakan bahawa eksperimen penulisan novel itu merupakan “yang pertama di Malaysia, mungkin yang pertama di dunia”. Sasterawan Negara S. Othman Kelantan pula menyatakan bahawa novel ini merupakan “salah sebuah novel terbaik di alam Melayu yang pernah saya baca”. Kalau dapat kita andaikan bahawa, sebagai Sasterawan Negara, S. Othman memang rajin membaca novel, maka bererti novel Hostel: Debaran Kedua ini merupakan sebuah novel yanag bermutu. Anda tahu, saya bukan sahaja seorang penulis tetapi merupakan penyelaras bagi novel ini! (Untuk makluman anda, novel itu boleh dibeli di Kedai E-sastera di url: http://www.esastera.com/kedai dengan harga berdiskaun RM15.00).

iii

Di sini saya mahu mengemukakan suatu gagasan baru dalam penulisan kreatif. Lebih tepat jika dikatakan bahawa saya ingin menawarkan suatu perkhidmatan yang unik, yang belum pernah ditawarkan penulis kreatif lain secara terbuka. Apa perkhidmatan itu?

Begini. Jika anda ingin menjadi penulis kreatif tetapi, atas beberapa sebab, anda tidak dapat menuliskan karya anda ke kertas, saya akan menuliskan karya itu untuk anda dan anda boleh menerbitkannya atas nama anda!

Apa yang anda dapat? Anda dapat menghasilkan karya dan menjadi penulis dengan lebih mudah. Apa yang saya dapat? Saya menjadi penulis profesional yang mengambil upah menghasilkan karya kreatif dan dapat duit dari pekerjaan saya itu.

iv

Perkhidmatan yang saya tawarkan ini bukan main-main. Ada justifikasi teoritikal di sebaliknya. Tidak ubah seperti perkhidmatan menuliskan ucapan bagi pemimpin-pemimpin politik. Kalau pemimpin politik boleh menggaji seseorang untuk menuliskan ucapannya, kenapa penulis kreatif tidak boleh mendapatkan perkhidmatan yang serupa untuk memudahkan kerjanya?

Di atas tadi saya ada menyatakan tentang “justfikasi teoritikal” untuk perkhidmatan yang saya tawarkan ini. Begini. Daripada pengalaman saya sendiri dan daripada kajian (tiadk rasmi) yang saya lakukan di kalangan penulis-penulis mapan, proses yang paling sukar dalam menghasilkan karya kreatif adalah memindahkan idea atau ilham (di minda, berbentuk abstrak) ke dalam tulisan (pada kertas, berbentuk konkrit). Maknanya, proses paling sukar dalam menghasilkan karya kreatif adalah untuk “melahirkan” draf pertamanya. Sebab itulah orang Barat ada menyatakan bahawa “the best ideas never got written down”.

Hendak mendapatkan ilham yang baik memang sukar, namun untuk memindahkan ilham itu ke kertas (dalam betuk konkrit, untuk bacaan orang lain) adalah lebih sukar. Sebab itulah banyak idea dan ilham yang baik-baik tidak sampai kepada pembaca kerana tidak berjaya diturunkan ke kertas. Di situlah peranan saya. Saya akan pasiikan bahawa ilham anda yang amat berharga itu akan dipindahkan ke kertas.

v

Penawaaran perkhidmatan ini pernah saya bincangkan dengan rakan-rakan penuis siber, sdr Mohd. Dahri Zakaria dan sdr Anbakari di Kota Bharu, selepas majlis “Bicara Karya dan Malam Baca Puisi” tempoh hari. Mereka senyum-senyum sahaja, seolah-olah tidak setuju. Saya berasa mereka tidak setuju kerana idea ini ialah idea baru (baca inovatif) yang belum pernah diusahakan oleh orang lain. Dan orang macam Dahri dan Anbakri tidak mungkin akan terkifirkan perkara ini.

Salah satu isu yang mereka timbulkan ialah isu etika penulisan. Apakah boleh seorang penulis karya kreatif “menswasatkan” kerja penulisan karya kepada orang lain seperti yang dilakukan dalam penulisan ucapan?

vi

Karya yang dihasilkan melalui perkhidmatan in, milik siapa? Milik saya atau milik anda? Pada Dahri dan Anbakri, itu isunya. Pada saya, tidak ada dolak-dalik lagai dalam hal ini. Karya itu ialah karya anda. Sebabnya, idea asalnya ialah idea anda dan bentuk akhirnya anda yang garap. Saya hanya menuliskan draf pertam kaarya itu. Memanglah dari segi undang-undang, idea atu ilham tidak boleh dituntut haknya, iaitu anda tidak boleh memohon hak cipta atau paten untuk idea anda. Perkhidmatan yang saya tawarkan ini adalah untuk membantu anda “mengesahkan” hak anda terhadap idea anda itu. Saya tidak setuju dengan perbuatan “mencuri” idea kreatif orang lain dan memindahkannya ke bentuk tulisan sebagai karya sendiri semata-mata keran pemmilik idea itu tidak dilindungi undang-undang. Tambahan pula, draf pertama yang saya sediakan untuk anda itu akan anda edit semula. Dalam proses pengeditan itu, anda akan berpeluanag memasukkan bahasa dan stail anda. Maka bentuk akhir karya itu nanti bukan lagi bahasa dan stail saya.

vii

Natijahnya begini. Sekiranya anda ada sesuatu idea atau ilham yang baik untuk sebuah karya kreatif, sama ada novel, cerpen, atau sajak tetapi tiada masa atu keupayaan, hantarkan kepada saya di alamat e-mel drirwan@esastera.com.

Bayaran? Oh ya, bayarannya boleh dirundingkan. Namun, sebagai panduan kasar, saya kenakan caj RM5,000 untuk sebuah novel setebal 500 halaman, RM500 untuk sebuah cerpen sepanjang 6 halaman A4 langkau sebaris (double spaacing), dan RM100 untuk sebuah sajak. Masa yang diperlukan masing-masing ialah empat bulan untjk novel, dua minggu untuk cerpen, dan lima hari untuk puisi. Kalau anda mahu cepat, saya boleh bentuk satu pasukan lebih daripada seorang penulis untuk menangani tugas itu tetapi cajnya akan meningkat. Misalnya, kalau anda hendak menulis novel untuk Sayembara Mengarang Novel Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yanga akan tutup Disember ini, saya boleh siapkan novel itu dalam bulan November dengan caj RM5,000 dan dalam bulan September dengan caj RM10,000. Syaratnya, anda buat tempahan sekarang. Hadiah yang mungkin anda menangi ialah RM50,000. Bayangkan keuntungan kewangan yang akan anda peroleh (di samping keuntungan moral sebagai penulis)!

Katalah anda mahu menyertai sayembara DBP itu tetapi anda tidak ada idea untuk dijadikan plot novel yang berkenaan. Bagaimana saya dapt membantu anda? Jawabnya, maaf, saya atidak dapat membantu anda. Perkhidmatan yang saya tawarkan adalah untuk memindahkan cerita di minda anda ke kertas. Saya tidak akan mencarikan anda bahan untuk ditulis. Saya komited kepada etika profesional saya ini. (Untuk perhatian, anda boleh belajar mencari idea untuk karya anda dengan bantuan bahan di dalam Kursus Berfikir Untuk Penyair di http://www.esastera.com/kursus).

Penerbitan? Anda mahu karya anda (saya tegaskan: karya anda, bukan karya saya) itu diterbitkan? Oh, itu bukan urusan saya lagi. Saya hanya menghasilkan karya kreatif untuk anda. Tugas saya tamat di situ. Namun jika anda mahu bantuan untuk menerbitkan karya itu, anda bolehlah menghubungi syarikat Esastera Enterprise (e-mel: esastera@esastera.com); URL: http://www.esastera.com/esastera). Syarikat ini ada menyediakan khidmat profesional untuk tujuan ini (dengan bayaran yang sangat berpatutan).

viii

Untuk makluman anda, tulisan ini bukanlah cerpen pertam ayang dibuat dalam format iklan. Menurut laman web “Rekod Sastera” (URL: http://www.esastera.com/rekod), cerpen pertama dalam format iklan ialah cerpen berjudul “Mari Lawan” tulisan Md Zainuddin di ruangan cerpen e-majalah sastera.com pada tahun 2003. Namun cerpen “Penulis Profesional” ini ialah yang pertam ditulis dalam bentuk ‘realiti”.

ix

Anda masih bertanya, tulisan ini sebuah cerpen atau sebuah advertorial? Jawabnya, sebuah “cerpen realiti” dalam format iklan. Anda masih kurang yakin? Sila hubungi saya di drirwan@esastera.com atau telefon/sms saya di 0192-680086. Kita boleh bincang.

Kuala Lumpur, 2006.

TAMAT.

2.

TUAN PRESIDEN

Magan melabuhkan punggungnya pada kerusi nombor 17 di restoran E-Sastera. Dia seorang diri. Dia pemimpin politik tempatan yang datang untuk melarut resah dengan segelas teh tarik.

Sewaktu termenung sambil menunggu pesanannya tiba itulah dia menyemak di dalam poket seluarnya sama ada dia benar-benar membawa dompetnya untuk membayar harga minuman itu. Bisik hatinya: Alangkah enaknya minuman sekiranya tidak perlu dibayar. Pemikiran itulah yang secara tiba-tiba mendesirkan idea kreatif di mindanya.

Ideanya mudah tetapi memang kreatif. Katanya, Tuhan menyediakan udara, tanah, api, dan air untuk makhluk-Nya. Tanah untuk tempat berpijak. Udara untuk bernafas. Api untuk kegunaan biasa, siang dan malam. Air untuk minuman. Manusia tidak boleh hidup tanpa empat unsur ini. Maka adalah menjadi hak setiap individu di muka bumi ini untuk mendapat keempat-empat perkara yang tersebut. Dalam konteks dunia moden, hanya udara sahaja yang masih diperoleh secara percuma, dan tanpa halangan. Tiga lagi unsur tidak dapat diperoleh secara percuma, iaitu tanah (dalam konteks dunia moden “tapak rumah”), api (“tenaga elektrik”), dan air (“bekalan air paip yanag telah diproses”).

Kerajaan Tuhan ialah kerajaan Maha Baik dan Maha Adil. Maka kerajaan manusia harus mencontohi Kerajaan Tuhan, fikirnya. Maknanya, kerajaan manusia mesti membekalkan keperluan asas tanah, api, dan air secara percuma kepada setiap rakyatnya. Itulah asas pemikirannya.

Semasa dia mula-mula mengemukakan cadangan itu kepada rakyat Malaysia, banyak pihak yang menentangnya dan memperolok-olokkan idea itu.

“Mustahil untuk dilaksanakan…”

“Kerajaan akan muflis…”

“Negara akan hancur dan mundur…”

“Rancangan gila…”

Itulah antara komen-komen yang diterimanya dari pelbagai pihak mengenai ideanya. Namun Magan gigih mengembangkan ideanya itu kerana dia tahu bahawa cadangan itu akan mendapat sambutan positif daripada orang awam. Kerana dia tahu bahawa membayar bil elektrik dan bil air ialah cabaran yang sangat menyeksa rakyat pada setiap bulan. Kerana dia tahu bahawa untuk membeli sebidang tanah tapak rumah sendiri ialah cabaran yang sangat getir untuk kebanyakan rakyat biasa.

Melalui majlis-majlis percambahan minda yang diadakan secara tertutup, partinya telah berjaya menghalusi idea kreatif itu dan mengeluarkan cadangan praktikal bagaimana hendak melaksanakannya. Kertas dasar yang memperincikan cadangan itu dan program pelaksanaan telah disediakan dengan teliti dan dikeluarka sebelum pilihan raya umum.

Perincian cadangan itu pun bukanlah sesuatu yang kompleks. Melalui nasihat pakar, mereka telah menetapkan kuantiti minimum air sebagai 15 meter padu dan tenaga elektrik sebagai 50 unit yang diperlukan oleh seorang rakyat pada setiap bulan untuk kehidupan yang biasa. Jumlah itulah yang diberikan secara percuma. Selebihnya rakyat perlu membayarnya seperti biasa. Bayaran yang tinggi dikenakan kepada kuantiti yang melebihi kuantaiti asas itu. Melalui proses itu, rakyat rata-rata berjimat air dan tenaga elektrik. Rakyat yang mampu pula membayar harga tinggi untuk kuantiti yang melebihi “kuantiti asas”. Bayaran lebihan inilah yang digunakan untuk menampung kos air dan tenaga elektrik yang percuma. Akhirnya, jumlah perbelanjaan kerajaan tidak bertambah dengan begitu ketara.

Dari segi tanah (untuk tapak rumah) pula, setiap orang rakyat, termasuk yang baru lahir, diberi 0.5 hektar secara percuma. Tanah yang diperuntukkan itu adalah di lokasi yang paling sesuai dengan tempat tinggal masing-masing. Sebahagian besar tanah milik kerajaan dikhususkan untuk tujuan itu. Ada pula ditetapkan syarat-syarat bagaimana tanah itu (yang dinamai “tanah milik wajib”) tidak boleh dijual dan bagaimana lokasi boleh ditukar secara suka sama suka antara rakyat.

Apabila kertas dasar itu diedarkan, semua pihak yang menentang atau membodoh-bodohkan ideanya itu menjadi kelam-kabut kerana ternyata ada cara yang praktikal untuk melaksanakannya. Kertas dasar itu kemudiannya dijadikan manifesto pilihan raya partinya sehingga dalam sedikit masa sahaja sokongan terhadap partinya melonjak naik secara mendadak dan akhirnya berjaya menumbangkan pemimpin sedia ada lantas dia dilantik sebagai Perdana Menteri, Magan menjadi orang pertama yang dilantik sebagai pemimpin utama negara kerana sebuah idea yanag kreatif.

Magan menguruskan sebuah pemerintahan yang stabil dan aman damai. Nyatalah bahawa rakyat yang mempunyai tapak rumah serta tidak perlu membayar bil air dan bil elektrik pada setiap bulan ialah rakyat yang berpuas hati. Mereka tidak menimbulkan banyak masalah kepada pemerintah.

Dalam keadaan pemerintahannya yang stabil dan dia mendapat sokongan yang padu dari pelbagai lapisan kepemimpinan partinya dan masyarakat awam, Perdana Menteri Magan telah pergi bersantai sambil bertemu penyokong akar umbi di kampung asalnya. Dia juga mahu lari sebentar daripada para pengampu dan pembodek yang berkeliaran di sekeliling pinggang. Dia mahu mendapatkan idea-idea yang segar. Dia tahu adalah mustahil untuk mendapatkan idea-idea segar daripada kalangan pengampu dan pembodeknya kerana orang yang mempunyai kematangan intelektual tidak pernah menjadi pengampu atau pembodek. Sekali sekala, dia perlu membebaskan dirinya daripada pengaruh para pengampu dan pembodek yang berlagak pandai itu.

Pada suatu pagi, semasa bercuti di kampung asalnya itu, Magan ke Restoran E-Sastera untuk membancuh ria pada secawan teh tarik. Secara kebetulan, dia duduk di meja nombor 17. Pada hari itu, di meja 17 itu, ada bekas air minuman yang tertumpah. Apabila direnungnya lama-lama, bekas tumpahan yang telah kering itu kelihatan seperti peta negara Amerika pada pandangan Perdana Menteri Magan. Dia terlihat suatu “kekosongan”, suatu yang tidak lengkap, pada peta negara Amerika itu. Tiba-tiba muncul di kepala Magan satu lagi idea yang “gila”!

“Tidak mungkin…” kata semua orang.

“Kita tidak mahu dijajah lagi…” kata semua orang.

“Kenapa kita mahu menjual kemerdekaan kita?” kata semua orang.

“PM sudah mabuk…” kata semua orang.

Idea terbarunya memang kreatif (baca “gila”). Dia mahu memohon kepada negara USA supaya Malysia diterima sebagai negeri yang ke-52 dalam Persekutuan Negeri-negeri Amerika (USA)!

Magan terus berusaha mempromosikan ideanya itu kepada rakyat Malaysia dan kepada pemimpn-pemimpin USA walaupun pelbagai pihak menentangnya. Kepada rakyat Malaysia, dia meneegaskan bahawa Amerika ialah negara yang sangat gagah dan sangat kaya. Kita harus berbaik-baik dengannya, malah beraung di bawahnya! Kepada pihak Amerika, dia cuba melobi dan meyakinkan mereka bahawa Amerika akan mendapat banyak manfaat jika menerima Malaysia sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Katanya, Amerika boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancongan alam semula jadi, boleh belajar gaya hidup bersopan santun ketimuran yang mementingkan rasa hormat-menghormati sesama insan, boleh belajar hidup dalam suasana pelbagai budaya. Amerika juga boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat strategik ketenteraan bagi dunia sebelah sini, katanya.

Amat sukar untuk meyakinkan rakyat Malaysia tetapi akhirnya dia berjaya juga mendapat sokongan majoriti rakyat apabila dia meyakinkan mereka bahawa “kita sebenarnya yang akan menakluki USA melalui percantuman itu”! Amat sukar untuk melobi pemerintah Amerika tetapi akhirnya dia mendapat sokongan majoriti Dewan Senat apabila ramai yang percaya bahawa Amerika akan kehilangan pengaruh di bahagian timur dunia kecuali mempunyai wilayah sendiri di situ, terutamanya di Malaysia. Malaysia pun diterima menjadi negeri ke-52 bagi negara USA.

Tidak lama kemudian, Magan mencapai apa yang orang Malaysia lain tidak pernah fikirkan. Dari Kuala Lumpur, dia mula mengembangkan pengaruh politiknya ke seluruh USA. Melalui idea tanah, air, dan api yang percuma, dia berjaya memenangi hati rakyat Amerika. Partinya berkembang cepat. Dalam masa lima tahun setelah Malaysia menjadi sebahagian daripada USA, Magan telah dilantik sebagai Presiden USA!

Magan menjadi orang pertama yanag berjaya merebut jawatan Presiden negara paling berpengaruh di dunia itu, melalui pemikiran yang kreatif dan inovatif.

Perkara pertama yang ditaklimatkan oleh pegawai-pegawai kerajaan kepada Presiden Magan adalah tentang sistem pertahanan negara, khususnya sistem senjata nuklear. Tegas mereka, peperangan zaman moden di USA tidak lagi bergantung kepada kekuatan bala tentera. Kekuatan dan kemenangan bergantung semata-mata kepada siapa yang berjaya mengambil alih pengawalan senjata nuklear negara.

“Senjata ini sangat berpengaruh tetapi sangat berbahaya, Tuan Presiden,” tegas Ketua Angkatan Tentera.

“Macam durian?” tanya Magan, berjenaka. Dia tahu bahawa para pegawainya yang rata-rata terdiri daripada warga Amerika berketurunan orang putih memang “takut” kepada buah durian yang sesekali dibawa oleh Magan ke Rumah Putih. Para pegawai yang hadir tergelak besar mendengar jenaka Presiden mereka itu.

Pemerintahan Magan sangat berjaya dan mendapat sokongan rakyat Amerika secara menyeluruh. Juga sokongan warga dunia secara menyeluruh. Dunia menjadi aman damai. Namun dasar luarnya yang mempromosi kehormonian sejagat dan perdamaian antara budaya tidak disukai para pelobi Yahudi. Para pelobi ini telah mempengaruhi parti pembangkang utama supaya bersama-sama mereka menjatuhkan kerajaan pimpinan Magan.

Pada suatu pagi yang hening, Presiden Magan telah didatangi Penasihat Politik Presiden, Dr. Walter Bluehouse. “Tuan Presiden, kita ada masalah besar,” kata Dr. Bluehouse. Pada masa itu, Magan sedang berada di pejabatnya di Rumah Putih, Washington D.C.

“Masalah?”

“Ya, Tuan Presiden,” sambung Penasihat Presiden dengan gugup. “Ada pemberontakan tentera yang dikepalai Ketua Pembangkang!”

“Oh, si tali barut Yahudi itu?”

“Ya, Tuan Presiden. Paling teruk, mereka telah mengepung logi senjata nuklear negara. Kita tidak dapat melawan mereka lagi.”

Memang peperangan moden di USA tidak lagi bergantung kepada kekuatan bala tentera. Kekuatan dan kemenangan bergantung semata-mata kepada siapa yang mengambil alih pengawalan senjata nuklear negara.

“Apa yang harus kita lakukan, Tuan Presiden?”

“Sediakan jet eksekutif Presiden. Saya mahu terbang ke Malaysia.”

“Tuan mahu lari ke Malaysia?”

Jet Presiden disediakan dan Magan serta orang-orang kanannya terbang ke Kuala Lumpur. Dalam masa beberapa jam sahaja, mereka sudah sampai di Kuala Lumpur. Malah penerbangan keluar mereka itu tidak sempat dikesan oleh pasukan pemberontak.

Di Malaysia, mereka semua berkumpul di “Rumah Putih Hinggap” di Cyberjaya. Rumah Putih Hinggap ini sebenarnya jarang-jarang dikunjungi. Walaupun dikatakan sebagai pejabat cawangan Presiden USA, umum mengetahui bahawa peranannya lebih merupakan “pusat pengumpulan buah durian” untuk memenuhi selera Presiden Magan terhadap raja buah-buahan itu. Pada musim tertentu, Presiden dengan orang-orang kanannya yang tertentu akan ke situ untuk “berpesta durian”. Mereka menjamu selera dengan menikmati buah durian yang dibawa oleh rakyat dari kalangan orang Malaysia. Akibat imej duriannya, tidak ramailah orang kulit putih yang mahu mengunjungi Rumah Putih Hinggap itu, termasuk daripada kalangan pemimpin kerajaan dari parti Magan sendiri.

“Tuan Presiden, negara kita sedang mengalami krisis kepemimpinan sekarang. Loji senjata nuklear kita telah ditawan. Pemberontak kini berada di bilik kawalan suis-suis senjata nuklear itu. Kita harus bertindak segera. Kenapa tuan bawa kami ke Kuala Lumpur?” tanya Ketua Angkatan Tentera.

Rasa panik Ketua Angkatan Tentera telah membuatkan suasana menjadi tegang. Semua yang hadir di situ menunggu respons daripada Presiden mereka.

Magan tergelak. “Mereka boleh menawan bilik kawalan senjata nuklear kita. Tapi apa yang boleh mereka buat? Kau lihat tu…” Magan menudingkan jari telunjuk kanannya kepada dinding di hadapan mereka. Semua yang hadir memandang serius kepada dinding itu.

“Ini idea nuklear-dan-durian saya,” kata kata Presiden Magan. Dia meletakkan lima jari tangan kanannya pada sudut kiri mejanya. Dinding di hadapannya terbelah dan bahagian yang sebelah kanan bergerak untuk mendedahkan suatu papan suis yang menyala-nyala di sana sini.

Kata Magan lagi, “Suis-suis pengawalan senjata nuklear di Washington itu ialah dumi semata-mata. Semua suis hidup yang mengawal senjata nuklear telah dipindahkan ke Cyberjaya ini. Apabila saya tekan ibu jari kaki kanan saya ke suis merah dan ibu jari kiri ke suis jingga itu, seluruh benua Amerika Utara akan menjadi debu dalam msa kurang daripada lima minit. Apabila mereka mengetahui hal ini, pemberontak-pemberontak itu akan menyerah diri.”

Terlopong mulut pemimpin-pemimpin kanan USA yang berada bersama-sama Magan.

Videofon tangan Magan tiba-tiba berbunyi. Semua orang mendengar dengan teliti suara yang keluar dari videofon itu. Suara itu ialah suara Penasihat Tentera yang berada di Washington. Katanya, “Tuan Presiden, para pemberontak telah menyerah diri.”

Semua yang hadir bertepuk tangan.

TAMAT.

3.

ADAT

Pemuda itu tersenyum manis sambil menganggukkan kepalanya. Amri membalas dengan tersenyum dan menganggukkan kepalanya pula. Pemuda itu berhenti di meja 17 dan menghulurkan tangannya kepada Amri yang sedang duduk. Mereka bersalaman. Persalaman itu mengeratkan ukhwah. Ukhwah antara dua pemuda sebaya. Amri dan Amni. Dan mulai hari itu, terbentuklah suatu persahabatan yang sangat kukuh antara dua lelaki sebaya itu. Setiap pagi mereka bersarapan bersama. Kalau Amri daang dahulu, dia akan memesan dua keping roti canai dan dua gelas teh tarik, satu untuknya dna satu algi untuk Amni. Jika Amni yang datang dahulu ke restoran itu, dia akan memesan dua keping roti canai dan dua gelas teh tarik, satu untuknya dan satu lagi untuk Amri. Akhirnya, Amri dan Amni adalah seperti isi dengan kuku. Malah lebih daripada itu. Mereka berjanji sanggup mati untuk sahabat.

ii

“Sekian lama kita berkawan tapi setakat ini persahabatan kita hanya di restoran ini sahaja,” kata Amni pada suatu pagi yang damai. “Apa kata kalau engkau mengikut aku balik ke kampungku untuk bertemu dengan suku kaumku?” pelawa Amni kepada Amri.

“Usahkan ke kampungmu, ke laut api pun aku sanggup bersamamu, sahabatku,” jawab Amri.

Mereka beredar dari meja 17 dan berjalan ke kereta Amni di tepi jalan di hadapan restoran itu. Amni naik di hadapan di tempat duduk pemandu tetapi Amri disuruhnya duduk di belakang. “Maaf, keretaku hanya ada satu tempat duduk di hadapan,” katanya sambil tersenyum bersalah.

“Tak apa,” jawab Amri dengan senyuman juga. Dia membuka pintu belakang kereta Amni dan terus duduk di tempat duduk belakang yang di sebelah kiri sekali.

Amni menghidupkan enjin keretanya. Sebaik-baik sahaja enjin dihidupkan, tiba-tiba kereta itu terkunci, naik jeriji besi di sekeliling tempat duduk belakang, dan Amri terperangkap dalam sebuah kandang. Amni terus memecutkan keretanya laju menuju ke jalan besar.

Amri kurang faham apa yang sedang berlaku sehinggalah Amni bersuara, “Wahai sahabat setia sehidup sematiku. Kita bersahabat baik, bukan?”

“Ya, kita bersahabat baik dan sanggup mati untuk sahabat.”

“Dan aku sanggup mati untukmu,” sambung Amni, “dan kau juga sanggup mati untukku, bukan?”

“Ya, sahabatku; begitulah akrabnya persahabatan kita.”

“Kalau begitu biarlah aku jelaskan kepadamu apa yang akan berlaku,” kata Amni. “Aku kini berumur 27 tahun dan mahu berkahwin. Sudah ada gadis yang kuidam-idamkan. Namun adalah menjadi adat suku kaumku bahawa aku mesti terlebih dahulu membuktikan kelelakianku dengan membawa pulang jantung seorang pemuda dari suku kaum lain. Dan engkaulah korbanku untuk mendapatkan jantung itu.”

Berderau darh Amri. Amni tidak kelihatan bergurau. Amni serius. Dan Amri ketakutan di dalma penjara besi kecil yang sedang mengekang pergerakan bebasnya.

Pada masa itu, Amri teringat akan sebuah cerita rakyat yang dipelajarinya semasa dia berada di sekolah rendah dahulu. Ceritanya begini:

Seekor penyu besar berkawan dengan seekor monyet. Pada suatu hari, penyu mengajak monyet ke rumahnya di tengah lautan. Monyet bersetuju dan naik ke atas belakanag penyu. Tiba di tengah lautan, penyu membocorkan rahsia bahawa sebenarnya isterinya sedang mengandung dan mengidam untuk makan hati monyet. Katanya, dia membawa monyet sahabatnya itu pulang untuk membunuh dan mendapatkan hatinya. Monyet yang cerdik itu secepat kilat memikirkan jalan untuk melepaskan diri dengan berlagak selamba dan memberitahu penyu itu bahawa kaum monyet meninggalkan jantung mereka di rumah apabila berjalan-jalan keluar. Maka penyu bersetuju dengan cadangan monyet supaya penyu menghantar monyet ke pantai dan mengambil jantungnya yang ditinggalkannya di atas pokok di pantai itu. Akhirnya selamatlah di monyet apabila dia terus melarikan diri memanjat pokok setibanya di pantai.

‘Aku mesti mencari jalan keluar seperti monyet itu,’ fikir Amri. Setelah berfikir sebentar, Amri pun berkata kepada Amni, “Sahabatku Amni, sebenarnya aku terlupa hendak memberitahu sahabatku bahawa…”

“Hah,” sergah Amni, “janganlah engkau hendak menggunakan helah monyet dengan penyu itu…”

‘Dia tahu cerita itu rupanya,’ fikir Amri. Amri berfikir pantas lagi. “Sebenarnya sahabatku, apa yang hendak aku katakan adalah tentang hartaku yang banyak itu…”

“Kenapa dengan hartamu itu?”

“Aku telah meninggalkan wasiat bahawa, seandainya aku mati, semua harta itu akan diserahkan kepadamu, sahabatku.”

“Oh, begitu?” terbeliak mata Amni.

“Tapi sayang…” Amri bunyi seperti menyesal.

“Sayang? Kenapa?” tanya Amni ingin tahu akan apa yang mengusarkan hati sahabatnya itu.

“Bukankah engkau pernah memberitahu akau yang engkau ingin berbulan madu ke Paris?”

“Ya, kenapa?”

“Itu yang aku berasa agak terkilan. Syarikatku baharu sahaja membeli sebuah kondominium mewah di tangah-tengah kota Paris. Dokumen-dokumen telah siap untuk aku wasiatkan kondominium mewah tiu kepadamu sekadarkan belum sempat kutandatangani lagi.”

“Oh, di mana dokumen-dokumen itu?” tanya Amni. Dia kelihatan berminat kerana naluri kemanusiannya yang tamak itu.

“Dokumen-dokumen itu ada pada peguam aku. Dan kalaulah boleh kita singgah sebentar di pejabat peguamku itu, sebentar sahaja, tentu akan dapat kutandatanmgani dokumen-dokumen itu sebelum kita berdua meneruskan perjalanan ke kampungmu, Amni.”

“Oh, boleh. Bukankah katamu tempat tinggalmu berada di pertengahan jalan menuju ke kampungku?”

“Betul,” Amri mengesahkannya.

“Mari kita ke sana.”

Dan sebentar kemudian Amni memberhentikan keretanya di hadapan pejabat peguam Amri. Amni dipelawa menanti di bilik tunggu pejabat itu sementara Amri kelihatan sibuk dengan peguamnya.

Sedang Amni tertunggu-tunggu, tiba-tiba bilik tunggu tempat dia berada itu terkunci dan Amni terperangkap dalam sebuah bilik penjara berpagar besi. Dia terperanjat tetapi tidak mengesyaki apa-apa sehingga Amri tiba menjenguk dari luar pager besi itu.

“Selesai?” tanya Amni kepada Amri.

Amri merapati Amni. “Sahabatku, biarlah aku jelaskan kepadamu apa yang akan berlaku. Aku kini berumur 27 tahun dan mahu berkahwin. Sudah ada gadis yang kuidam-idamkan. Namun adalah menjadi adat suku kaumku bahawa aku mesti terlebih dahulu membuktikan kelelakianku dengan membawa pulang kepala seorang pemuda dari suku kaum lain. Dan engkau ialah korbanku untuk mendapatkan kepala itu.”

Amni menjadi panik. “Oh,” katanya, “kenapa tidak kau beritahu dari tadi? Sebenarnya adalah menjadi adat suku kaumku bahawa kami akan meninggalkan kepala kami di rumah apabila kami keluar.”

Amri tersenyum. “Tak apalah dengan kepala-kepala yang tertinggal itu. Aku cuma mahu mengambil kepala yang berada di hujung atas lehermu itu.”

TAMAT.

4.

PENYAPU BAHARU YANG ROSAK

Malam itu apa ajak kami semua membaca surah Yasin. Aku rasa, masalah yanag dihadapinya ialah masalah besar. Aku katakan begitu kerana jarang-jarang papa mengajak kami sekeluarga berkumpul membaca surah Yasin kecuali pada malam Jumaat. Malam ini malam Rabu. Kalau papa ajak membaca Yasin pada malam yang bukan malam Jumaat, tentu dia hendak mencuba menyelesaikan suatu masalah besar.

Papa sangat percaya kepada “kuasa” surah Yasin. Oleh sebab itu, kalau kami menghadapi masalah, papa akan ajak kami baca surah Yasin dan membaca doa Yasin, diikuti oleh doa khusus untuk memohon apa-apa yang kami mahu daripada Allah.

Aku juga percaya akan kuasa surah Yasin semenjak Uncle Ahkarim cerita kepada kami tentang peristiwa kecurian sekerap getah di kampungnya di Alor Setar. Kisahnya, pada suatu malam, pencuri telah datang dengan sebuah lori dan memungut sekerap getah dari pokok-pokok getah di kampungnya itu. Orang kampung kerugian banyak wang kerana mereka biasanya tidak mengutip sekerap pada setiap hari, sebaliknya mengutipnya tiga hari sekali untuki dijual. Malah ada yang menunggu selama seminggu, baru mengutip sekerap getah mereka. Kerana sedih dengan kecurian itu, orang kampung telah mengadakan majlis baca Yasin selama tiga malam berturut-turut di masjid kampung dan berdoa kepada Allah supaya orang yang menganiaya mereka akan dibalas Allah dengan balasan yang setimpal. Beberapa hari kemudian, kata Pak Ahkarim, anak bujang Imam masjid kampung itu telah mengadu kepada ibu bapanya bahawa badanya kepanasan. Dua atiga hari ibu bapanya mengusahakan rawatan doktor dan bomoh tetapi tidak juga sembuh. Akhirnya, anak Imam itu telah terjun ke sungai kerana tidak tertahan rasa badannya yang terlalu panas. Dia mati dihanyutkan arus deras. Kemudian daripada itu, peraih sekerap getah kampung itu mendedahkan bahawa anak lelaki Imam itu ada menjual selori sekerap pada pagi orang-orang kampung kehilangan sekerap daripada pangkal pokok getah mereka sedangkan anak Imam itu tidak ada pun menoreh mana-mana kebun getah.

Papa duduk bersila di ruang solat rumah kami. Mama duduk di kanan papa. Aku, Abang Afiq, Kak Muna, dan Abang Ngah duduk sekali membentuk bulatan. Abang Zul di Sydney dan Abang Cik di Liverpool juga bersama kami di majlis itu melalui telepersidangan yang dipasang oleh Abang Ngah di komputernya. Walaupun masa itu waktu Maghrib, abanag Zul kata, di tempatnya sudah pukul 11.00 malam sementara Abang Cik pula kata, di tempatnya baru jam 10.30 pagi.

Sebelum majlis baca Yasin dimulakan, papa memberikan sedikit taklimat kepada semua. Kami semua mendengar taklimat papa dengan teliti, termasuk abang Zul di Sydney dan Abang Cik di Liverpool.

Kata papa, kami hendak baca Yasin untuk berdoa kepada Allah akan keselamatan kami kerana ada orang yang sedang menganiayai mama. Orangnya, menurut papa, ialah Pengetua baru di sekolah tempat mama sedang mengajar.

Mama sudah mengajar di sekolah itu selama 25 tahun. Perkhidmatan mama cukup cemerlang sehingga mama mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang tiga kali di bawah tiga orang Pengetua yang berlainan. Apa tidaknya, mama amat setia akan sekolah itu. Setiap pagi, selama 25 tahun, pad hari-hari persekolahan, mama akan bangun npagi-pagi lagi, dalam pukul 5.30, untuk bersiap-siap pergi ke sekolah. Sepanjang 25 tahun bertugas di sekolah itu, mama tidak pernah datang lambat ke sekolah walaupun mama tidak boleh memandu. Papa atau Pak Cik Zakaria (pemandu keluarga kami) yang hantar mama ke sekolah. Walau apa pun masalah yang mama hadapi di rumah, dia akan tinggalkan masalah itu di rumah untuk menuju ke sekolah pada waktunya, pada setiap pagi.

Pengetua baru ini ialah Pengetua keempat yang mama bertugas di bawahnya.

Mama tidak menjadi Pengetua mahupun Penolong Kanan sekolah walaupun umur mama sudah 51 tahun dan sepatutnya sudah layak di lantik ke jawatan itu. Sebabnya adalah kerana mama Guru Cemerlang (GC) dan, mengikut syarat perlantikan GC, mama tidak boleh memegang jawatan pentadbiran seperti Pengetua atau Penolong Kanan.

Sebab sebenar mama tidak memegang jawatan Pentadbiran adalah kerana mama tidak berminat dengan jawatan yang sedemikian. Mama lebih berminat menjadi guru yang mengajar murid-murid di dalam kelas. Mama pernah diminta oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) supaya menjadi Guru Penolong Kanan di SMK Bukit Bintang, Petaling Jaya. Mama menolaknya walaupun sekolah itu dekat sahaja dengan sekolah mama yang sekarang dan tidak begitu jauh pula dari Universiti Malaya, tempat papa bekerja. Mama kata, dia mahu melakukan kerja yang dia seronok melakukannya, iaitu mengajar murid-murid pengetahuan yang belum mereka ketahui. Memang mama kurang berminat dengan hal-hal pengurusan pejabat.

Walau apapun, lima tahun yang lalu, atas permintaan Pengetua pada masa itu, mama telah dilantik ke jawatan berelaun RM120 sebulan, iaitu Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) Bahasa. Pada masa itu, mama menolak permintaan Pengetua itu atas alasan mama GC dan tidak boleh memegeang jawatan pentadbiran. Namun, kata Pengetua, dia sudah menyemaknya dengan Kementerian dan nyata mama boleh dilantik ke jawatan itu atas keperluan sekolah. Mama pun terpaksa menerima pelantikan itu, dipindahkan tempat duduk dari bilik guru ke pejabat sekolah, dan terpaksa menguruskan hampir 30 orang guru lain di bawahnya.

Pagai tadi, Pengetua baru sekolah mama memanggil mama ke pejabatnya. Pengetua menyatakan bahawa mama sebenarnya tidak boleh memegang jawatan GKMP Bahasa yang sedang mama sandang kerana mama seorang GC. Maka, katanya, mama kena bayar balik elaun RM120 sebulan yanag telah mama terima selama lima tahun mama memegang jawatan GKMP di sekolah itu. Lebih kurang, dia minta mama pulangkan RM7,500. Yang mama sangat sedih, Pengetua telah pun menulis surat kepada JPS meminta dilantik seorang guru lain ke jawatan GKMP Bahasa yang sedang mama sandang itu.

Pagi tadi, kata mama, dia mengamuk di sekolah dan menegaskan bahawa dia tidak akan keluar dari pejabatnya keraena dia dilantik secara sah oleh JPS. Mama bertanya Pengetua, siapa akan membayar kos keringatnya yang telah mengalir selama lima tahun sebagai GKMP jika dia dikehendaki membayar balik elaun RM120 sebulannya itu. Pengetua memberitahu mama yang dia sedang menyiasat sama ada Pengetua terdahulu mengisytiharkan kepada JPS bahawa mama ialah GC semasa meminta mama dilantik sebagai GKMP. Katanya lagi, dia akan menghubungi Pengarah untuk membatalkan pelantikan mama itu. Dia juga menegaskan, untuk sekian kalinya, bahawa dia sangat akrab dengan dengan Pengarah. Kalau dalam ilmu pemikiran kritis, argumen ini dinamai falasi bergayut pada autoriti, iaitu falasi yang sentiasa digunakan orang yang atidak mempunyai kewibawaan mahupun keyakinan diri. Mama tahu hal ini.

Kami semua tidak tahu kenapa Pengetua baru itu sentiasa memandang serong terhadap mama. Menurut mama, hal ini berlaku apabila mama dinaikkan pangkat DG52 daripada DG48 sedangkan selama ini hanya Pengetua seorang sahaja di sekolah yanag berpangkat DG52. Biasanya, apabila mana-mana kakitangan naik pangkat bos mereka akan mengucapkan tahniah atas kejayaan itu. Itu ilmu motivasi asas untuk mereka yang bernama pengurus. Namun, dalam kes mama, usahkan Pengetua hendak mengucapkan tahniah kepada mama atas kenaikan pangkat itu, malah dia marah-marah dan menuduh mama memohon naik pangkat tanpa melaluinya. Dua orang Penolong Pengetua juga tidak sepatah pun mengucapkan tahniah kepada mama kerana, kononnya, mama naik pangkat secara tidak sah, tidak melalui prosedur yang betul, tidak memohon melalui sekolah. Mereka tidak tahu bahawa mama tidak pernah pun memohon kenaikan pangkat itu. Mama naik pangkat secara top-down, atas arahan pihak kementerian, berdasarkan skim kenaikan pangkat GC.

Oleh sebab Pengetua sendiri bukan GC, barangkali dia tidak dapat menghargai akan akan keistimewaan mama. Mama menjadi GC setelah diperakukan oleh Pengetua tedahulu berasaskan prestasi kerja mama yanag cemerlang, dinilai oleh tiga orang Nazir secara lawatan lapangan, kemudian dinilai oleh 30 orang guru dan 30 orang pelajar sekolah itu. Selepas lulus semua langkah itu, barulah mama dilantik sebagai GC. Malah hingga kini, setelah tujuh tahun mama meyandang jawatan GC, belum ada seorang pun guru lain dari sekolah itu yanag dilantik sebagai GC.

Masalahnya, kata mama, sekolah itu sekarang dikuasai oleh tiga orang perempuan yang baru menopause, putus haid. Pertama, Pengetua yang gila kuasa dan sentiasa menegaskan bahawa guru-guru perlu mematuhinya. Dialah yang berkuasa menentukan apa yanag guru boleh buat dan apa yang tidak, tegasnya. Misalnya, apabila guru meminta pelepasan untuk melakukan tugas lain secara sambilan di Kementerian, dia akan berkata, “Saya ada hak untk menolak permohonan anda, tahu?” Oh, sebab Pengetua ada hak itulah guru memohon kebenarannya! Tidak perlulah ditekankan lagi, membuat orang naik bosan sahaja. Kedua, Penolong Kanan yang tidak lulus PTK untuk naik pangkat dari DG48 ke DG52. Dia ini manusia tanpa emosi yang atidak boleh dibuat berkira. Malah pernah dia berkata kepada guru-guru di hadapan perjumpaan aterbuka, “Kalau cikgu ambil MC, beritahu saja saya yang cikgu MC. Tak perlu beritahu kenapa ambil MC, apa sakitnya. Saya hanya hendak MC itu. Saya tidak berminat dengan masalah cikgu.” Dan ketiga ialah GKMP berpangkat DG48 yanag jadi kaki gosip dan kaki ampu Pengetua kerana kurang kerja atau sebab guru di bawahnya ada hanya lima orang, tidak seperti GKMP yang lain, yang mentadbir sekurang-kurangnya 15 orang guru. Mereka bertiga bersekongkol menguruskan sekolah ini. Sekolah menjadi kelam-kabut kerana, kata mama, perempuan-perempuan yang baru putus haid, pemikiran mereka tidak begitu mantap. Mereka mentadbir mengikut akta dan pekeliling yang ditafsir secara literal, tanpa menggunakan otak dan kebijaksanaan.

Mama tidak pernah mengalami pentadbiran jenis samseng seperti ini dengan tiga orang wanita putus haid bersatu menekan dan memusuhi guru-guru lain. Sebelum ini, semua Pengetua sekolah ini bekerja dengan membentuk satu pasukan utuh, terdiri daripada serendah-rendah Pembantu Am Pejabat hinggalah ke peringkat Pengetua. Dengan sebab itu, mama sangat tidak selesa bekerja sekarang, malah untuk ke sekolah pun mama berasa tidak mahu.

Kata papa, hanya jauhari yang mengenal manikam. Papa telah meminta mama memohon bersara awal. Kata papa lagi, tidak guna mama terus menjadi bunga yang diuruskan oleh beruk menopause.

(ii)

Selesai baca Yasin, papa membacakan doa Yasin yang panjang itu. Kami semua mengaminkannya. Selepas itu, papa membaca doa peribadinya, meminta keluarga kami, terutamanya mama, selamat daripada perbuatan hasad dengki orang yang mempunyai dengki tahap tinggi. Selepas itu, papa meminta kami, seorang demi seorang, untuk membaca doa peribadi kami pula.

Dalam sedih, mama mendoakan keselamatan keluarga kami dan keselamatan dirinya daripada orang yang sakit hati kepadanya. Aku rasa doa mama akan dimakbulkan Allah kerana mama memang teraniaya. Menurut Ustaz Ernis yang mengajar kami mengaji Koran, Allah sentiasa makbulkan doa orang yang dianiaya.

Tiba giliran aku membacakan doa peribadi, aku minta Allah bahangkan badan orang yang menganiaya mama, macam anak Tok Imam yang terjun ke sungai, dalam cerita Pak Ahkarim.

TAMAT.

TAMAT.