
Bukannya aku pakar sangat dalam bidang prostetik dan ortotik (pno). Aku faham secara umum akan kepentingan dan keperluannya. Juga kegunaan dan penggunaannya. Dari aspek teknikal, manalah aku hendak tahu. Kelulusan akademikku bukan dalam bidang rehabilatasi. Aku pakar mekanik tisu, salah satu bidang utama kejuruteraan bioperubatan. Hal-hal seperti jenis dan saiz soket prostesis yang diperlukan oleh seseorang amputi misalnya, aku serahkan kepada pakarnya, para prostetis. Kami ada hampir 10 orang prostetis bertauliah (atau certified prosthetist and orthotist, ringkasnya CPO) yang bertugas di klinik rehabilitasi kami ini. Dalam dialek harian, prostesis itu dinamai anggota buatan atau anggota gantian. Juga dinamai anggota palsu. Ortosis pula ialah anggota sokongan (atau pendakap) untuk menyokong anggota badan yang mempunyai ketaksempurnaan.
Aku hairan apabila lelaki separuh umur itu beria-ia mahu bertemu dengan aku secara peribadi di dalam pejabat. Terasing dari patien lain yang berada di klinik pno kami pagi itu. Malah dia minta anak lelakinya yang berada bersama-samanya, yang berumur kira-kira 15 tahun itu, untuk menunggu di luar bilik pejabatku. Dia memang mahu bertemu dengan aku secara satu sama satu sahaja.
Aku faham penjelasannya. Aku mengerti keperluannya. Namun Datuk Ilhami tidak mahu menerima nasihat dariku. Aku memang faham apa yang dikehendakinya. Memang boleh dibuat. Kami punya kepakaran yang diperlukan. Namun jarang sekali orang buat hal itu dalam keadaan dan latar yang dikehendakinya. Mahal pula kosnya. Dan tidak natural.
Datuk Ilhami mahu kami potong kedua-dua tangan anak lelakinya Azam, dan menggantikannya dengan tangan bionik. Dia memang sudah membaca banyak tentang hal itu. Dan dia memahaminya. Dan dia tahu betapa mahal kosnya. Namun dia sanggup untuk membayarnya. Dia terlampau berlebihan wang. Dan dia sudah mengetahui banyak hal tentang tangan bionik moden. Tangan palsu yang kelihatan seperti tangan asli dan berfungsi seperti tangan asal tetapi dapat diolah supaya pemiliknya menjadi gagah. Itu isu pertama yang dihadapinya – untuk mengelakkan anak lelakinya itu terus-menerus dibuli di sekolah kerana lembab dari segi fizikal.
Hampir setahun selepas kami pasangkan tangan bionik kepada Azam, anak lelaki Datuk Ilhami itu, barulah Datuk Ilhami datang semula untuk bertemu dengan aku. Sebenarnya, selepas Azam menerima sepasang tangan bionik, Datuk Ilhami dan Azam kerap juga ke klinik kami itu tetapi bertemu dengan para CPO kami sahaja. Tidak perlu berjumpa dengan aku. Aku bos di situ… dan lebih kepada membuat keputusan untuk melayan permintaan khusus para pelanggan kami. Bukannya menguruskan hal-hal teknikal.
Pertemuan aku dengan Datuk Ilhami pagi itu makin membingungkan aku. Katanya, dengan tangan bioniknya, Azam tidak lagi dibuli di sekolah. Dan di luar sekolah juga. Malah, secara sosial, Azam sudah bangkit menjadi hero. Budak-budak samseng tidak berani mengusik atau mencabarnya lagi. Mereka takut menerima tamparan aku buku lima dari tangan bionik Azam yang penuh bertenaga dan logaritmik gerakan yang super.
Namun, pada penglihatanku, Datuk Ilhami kelihatan rungsing. “Kenapa Datuk runsing?” tanyaku. “Bukankah Azam sudah mencapai apa yang diperlukannya?”
“Ya, alhamdulillah,” jawab Datuk Ilhami tegas. “Namun…”
Dia terhenti sejenak. Kemudian dia menceritakan kepadaku akan keperluan Azam yang terkini. Azam kini pelajar yang ditakuti di sekolahnya. Dia dihormati dari segi itu. Namun Azam tidak ada pencapaian yang dapat dibanggakannya kepada masyarakat…” tambah Datuk Ilhami.
“Apa yang Azam perlukan sekarang?” tanyaku, sambil memikirkan ratus ribu ringgit wang yang akan berpindah ke akaun syarikat kami sekiranya kami dapat memenuhi keperluan semasa Azam.
Aku benar-benar terperanjat apabila Datuk Ilhami menjelaskan kehendaknya. Lebih terperanjat daripada semasa kau mendengar dia mahu kami menggantikan kedua-dua tangan Azam dengan tangan bionik kira-kira setahun yang lalu.
“Datuk pasti?” soalku ragu.
“Pasti,” jawabnya pasti. Adam tidak ada sebarng pencapian sosial yang dapat dibanggakan sekarang…” tambahnya. Agak sedih ekspresinya semasa dia semasa menyatakan hal itu.
Aku persoalkan niatnya. Namun Datuk Ihami menegaskan yang dia telah membuat keputusan. Terpaksa aku ikut kehendak klien. Tambahan pula, wang yang akan masuk ke akaun syarikat kami adalah sukar diperoleh melalui bisnes kami yang rutin. Dan permintaan Datuk Ilhami itu boleh sahaja dilaksanakan. Dia mahu kedua-dua kaki Azam dipotong ke pangkal paha dan digantikan dengan kaki bionik. Hal ini akan mampu menjadikan Azam seorang ahli sukan yang gagah, dapat berlari dan melompat untuk mengalahkan para ahli sukan yang sedang menjulang nama mereka di sekolahnya sekarang.
Aku dan rakan-rakan pakar di klinik BioGo Sdn Bhd terus menggunakan kepakaran profesional kami untuk memenuhi permintaan Datuk Ilhami dan keperluan anaknya Azam.
Setahun berlalu. Selepas itu, baharu Datuk Ilhami masuk ke bilik pejabatku di Klinik BioGo semula. Dia bercerita kepadaku betapa sepasang kaki bionik yang kami pasangkan ke tubuh Azam telah meningkatkan prestasi Azam sebagai ahli sukan di sekolahnya. Azam mempunyai kedudukan yang sangat dihormati dari segi sosial.
Selesai bercerita, Datuk Ilhami kelihatan rungsing pula.
“Ada masalah lagi dengan Azam, Datuk?” tanyaku. Aku membayangakan aliran wang yang akan masuk ke akaun syarikat kami sekiranya Azam perlukan lagi apa-apa peranti yang dapat kami bekalkan.
“Sebenarnya, Azam sudah okey sekarang,” jelas Datuk Ilhami. Tambahnya, “Dari segi sosial, Azam amat dihormati oleh rakan-rakan dan guru-gurunya di sekolah. Dia tidak dibuli orang. Dan pencapaiannya dalam bidang sukan luar biasa cemerlangnya.”
“Jadi,” kataku, ” Azam sudah tidak ada masalah lagi di sekolah sekarang?”
“Ada,” jawab Datuk Ilhami, dengan nada yang rungsing.
“Apa lagi masalah Azam?” tanyaku, sambil membayangkan berapalah wang yang akan mengalir ke akaun bank BioGo tak lama lagi dari akaun bank Datuk Ilhami.
Kata Datuk Ilhami, “Azam terkenal dan dihormati di sekolahnya dari segi sosial. Dan sukan. Namun dia jauh ketinggalan dari segi akademik. Kami mahu BioGo tukarkan kepala Azam dengan kepala bionik!”
Aku rebah ke lantai. Pengsan.

Oleh;

Irwan Abu Bakar.
Kuala Lumpur, 2021.
TAMAT.
Secara ringkasnya, cerpen ini sangat berkesan dan berguna bagi kegunaan perniagaan.
LikeLike