Kerana aku tahu bahasamu
setiap pagi di sini
berderet menunggu di pagar rumahku
sambil bermain di pohon rambutanku

Kau tidak pernah meminta,
sekadar mengambil hakmu
dari taburan di lantai saban pagi
sambil becok bercip-cip khabarkan kehadiran
bercerita tentang nyenyak tidurmu diganggu
tentang kerengga dan tupai melintas lalu

Kelmarin kau tidak kelihatan
hatiku terbang mencari suaramu
oh, rezekimu juga ada di bendang menguning padi
mengejar belalang, memagut serangga di pucuk mangga mudaku

Burung, kamu adalah rajaku
sekadar sekilo beras sepurnama
tidak terhakis kantungku
aku tidak perlu biaya kendali istanamu
aku tidak perlu menghias menyisir bulu sayapmu
aku tidak perlu mengangkat sembah sujud di kakimu
murka, bukan kebiasaan bangsamu

Seratus kerabatmu itu
bawalah ke pagar rumahku
buatlah seperti istanamu
bermain bercanda berseloka bercerita
tentang manusia
tentang apa saja

Burung, kerana kau itu rajaku
maka akulah jadi hambamu.

Oleh:

Ahkarim.
14 J’awal1442/291220.
Bukit Tampoi, Kuala Nerang, Kedah.

TAMAT.