xxxxx

kumpulan cerpen

Abdullah Awang

Wind Blow Pictures | Download Free Images on Unsplash

MENONGKAH BADAI

© eSastera Enterprise, 2020

xxxxx

BIODATA PENULIS

ABDULLAH AWANG atau ADUKA PUTRA ialah nama komersil bagi Abdullah bin Awang Kechik. Beliau ialah calon Doctor Of Philosophy dari Asian e University (AeU). Dalam bidang penulisan, beliau turut menggunakan beberapa nama pena – Atma Rindu, Putra Arjuna, dan Awang Al Darwisi. Beliau telah menghasilkan sebanyak 30 buah buku, artikel untuk kesemua majalah terbitan DBP, dan beberapa buah novel, antaranya termasuklah empat buah novel remaja – Dua Haluan (Teks KOMSAS Tingkatan 1 selama 10 tahun), Pendekar Sabri, dan Rahsia Lubok Menangis (Buku ini adalah salah sebuah daripada karya 10 orang sasterawan Malaysia yang dipilih untuk diterjemahkan ke dalam huruf Braille bagi kegunaan orang cacat penglihatan) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, serta novel Api Cintaku, novel remaja diterbitkan oleh Tempo Publishing. Beliau juga terlibat dalam penerbitan 10 antologi cerpen oleh Oscar Book Internasional, antologi puisi bersama dunia di Pulau Pinang, antologi puisi dan cerpen bersama Bah Kuning (DBP), antologi puisi bersama Kanang Anak Langkau (DBP), antologi puisi bersama Numera (KEMALA), antologi puisi bersama R Hamzah Dua, antologi puisi bersama PUSPA, antologi puisi bersama Cakar Nanar (NUMERA), serta antologi cerpen dan puisi Numera Bersayap (NUMERA-KEMALA), antologi puisi persendirian Sukma Angin – 3 Jilid mengandung 700 buah puisi (UUM PRESS) dan antologi puisi persendirian Sempadan Rindu (ITBM), antologi puisi Suara Kekasih (ATMA PRESS), antologi cerpen Gerigis-Gerigis Duka (ATMA PRESS), kumpulan esei Apabila Allah Mendidik Manusia (ATMA PRESS). Kumpulan cerpen Menongkah Badai ialah karya pertama melalui media maya di bawah E-Sastera Vaganza ASEAN atas inisiatif Dr. Irwan Abu Bakar. Selain itu, beliau menghasilkan karya eceran berbentuk cerpen, rencana, skrip drama radio, dan sudah barang tentu juga puisi yang merupakan genre paling diminatinya. Dalam lapangan kerjaya, beliau terlibat dalam lapangan perguruan dan kewartawanan. Kedua-dua lapangan ini berserta minat mendalamnya dalam lapangan penulisan, khususnya puisi, membuka laluan untuknya berkarya secara lebih prolifik.

CERPEN

SENARAI TOPIK:
(1) Cembul Emas. (2) Di Luar Mungkin. (3) Matahati. (4) Pada Satu Bicara. (5) Genta Alam. (6) Menongkah Badai. (7) Hidup Adalah Perjudian. (8) Mana Bulan, Mana Matahari. (9) Dedalu. (10) Godaan Al Sayati. (11) Dari Brema Ke Vequeque.

11. DARI BREMA KE VEQUEQUE

Boeing 737 yang dinaiki, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dili, ibu kota Timor Laste, tepat jam 9:00 pagi. Aku sebagai pengikut rombongan dakwah ini tidak perlu tergesa-gesa. Cuaca ketika berada di negara muda remaja ini agak berbeza dengan suasana di Malaysia. Di negara tercinta Malaysia, kesibukan dan bangunan-bangunan pencakar langit telah tumbuh bercerakah, tetapi di sini pembangunan masih tetap awal. Sebagai ahli jemaah, aku tidak boleh duduk diam seperti anak raja, mahu atau tidak, aku memaksakan diri membantu kumpulan yang sama-sama bersusah membawa bagasi ke dalam bangunan sebelum dibawa oleh pengangkutan ke sebuah markas, sebagai penginapan sementara.
Dalam kesibukan itu, tiba-tiba telefon aku berdering seketika kerana mendapat pesanan ringkas dari seorang taiko yang sudah sering ke negara Timor Laste ini. Mengikut pesanan ringkas itu, pagi esok seramai lima orang dari kami akan di bawa ke kampung Brema dalam daerah Vequeque. Brema ialah sebuah perkampungan terpencil, terletak di lereng-lereng gunung. Dalam kepala aku, tergambar segala dugaan dan cabaran. Cerun dalam. Kala jengking. Ular berbisa. Harimau. Gajah. Semua datang mencongak dalam kepala. Aduh, betapa mencabar, hebat, dan lasaknya perjalanan jauh pertama kali aku lalui pada keesokan hari. Rasa gementar pun ada.
Tidak terfikir aku akan sampai ke sebuah daerah bergunung-ganang ini. Sebuah perkampungan yang dihuni oleh warga pagan dalam negara baharu merdeka, yang dahulunya terdapat begitu ramai penganut Islam, tetapi disebabkan oleh keberkesanan pendakwah Kristian, mereka berjaya dimurtadkan. Tinggal hanya dua orang sahaja yang masih memegang kalimah ‘laaillahaillallah, Muhammadurasulullah’.
Mendengar jawapan dari taiko itu sahaja membuatkan aku terfikir, bagaimana keadaan itu boleh terjadi. Seramai-ramai jumlah penganut Islam, akhirnya tinggal dua orang sahaja lelaki dan perempuan tua lagi uzur mempertahankan kalimah tauhidnya. Aku biarkan sahaja kesah itu bermain-main dan berterbangan dalam otakku.
Nama tempat itu ialah kampung Brema, terletak di lereng-lereng gunung dalam daerah Vaqueque. Aku bersama rombongan memasuki ke kampung terpencil itu dengan menaiki trak pik-up 4×4. Dipandu oleh seorang pemandu cekap yang biasa masuk dan keluar hutan. Tuan Haji Ibrahim adalah antara jemaah dakwah yang cukup kental dan lasak. Beliau baharu sahaja pulang dari mengerjakan umrah.
“Baik-baik, Haji Him…” kataku kepada Haji Ibrahim, bertugas sebagai pemandu kereta jip empat roda itu. Dia tersengih. Jawab pun tidak. Para jemaah yang lain, juga berdiam diri. Mereka menguatkan pegangan tangan pada alang-alang besi di atas dek kereta.
Haji Ibrahim memandu tidak laju seperti di jalan raya berminyak tar. Dia bergerak dalam 20 hingga 30 kilometer sejam. Jalan berkerikil batu merah itu kira-kira berada tinggi di atas puncak bukit. Silap hari bulan, tayar jip mengelungsur turun ke cerun dalam. Aku menahan debar tidak terkira. Sejam perjalanan, kami sampai di sebuah kawasan tanaman padi, dan agak lapang. Lega rasanya. Sawah padi itu tidak begitu luas tetapi sudah cukup menzahirkan suasana asli desaku.
Sesekali aku ternampak rumah-rumah di kiri kanan jalan berbatu di lereng gunung itu. Beberapa ekor anjing menyalak-nyalak kehadiran kereta kami di situ. Seolah-olah mereka tahu, kumpulan kami ialah orang asing dan baharu sampai ke daerah Vaqueque. Warga berambut kerinting, hitam, dan berbibir tebal, mencerlungkan matanya kepada jip kusam yang sarat dengan barangan itu.
“Berapa lama lagi kita akan sampai, Haji?” tanyaku, untuk memecah kesunyian.
“Dalam dua jam lagi. Sebab perjalanan lambat kerana jalannya yang bengkang-bengkok dan berbatu, becak. Kita terpaksa merempuh semuanya ini,” jelas Haji Ibrahim.
Aku terdiam. Haji Ibrahmi kelihatan ceria. Dia pernah sampai berdakwah ke daerah Vaqueque, tetapi belum sampai ke kampung Brema. Haji Ibrahim pernah mendengar kampung murtad ini tetapi masih belum ada masa untuk sampai ke situ. Dia persis mahu berkata sesuatu kepadaku.
“Tuan pernah dengar nama kampung Brema?” katanya.
“Baru semalam,” jawabku.
“Oh… maksud saya, tuan belum tahu kisahnya?” sambung Haji Ibrahim.
“Belum, Haji…” Aku mahu mendengar lebih jelas lagi.
“Desa ini dimiliki oleh orang-orang pagan. Mereka telah didatangi oleh seorang pedagang Arab dan meng-Islamkan mereka. Kemudian ditinggalkan tanpa memantapkan lagi pegangan akidahnya,” jelas Haji Ibrahim.
“Jadi, kita akan ke situ dan tinggal di mana?” tanyaku.
“Ya, kita akan ke kampung Brema, tinggal di madrasah. Banyak benda yang hendak kita lakukan di sana nanti, termasuk membaik pulih madrasah berkenaan, menambah pembesar suara, dan mengajak penganut Islam sedia ada berjemaah di musalla.”
“Kata, dua orang sahaja yang masih Islam!” kataku dengan suara sedih.
“Ya, tetapi kampung jiran semakin ramai kembali kepada Islam. Kita pergi jemput mereka berjemaah di surau tu.”
“Jauh ke?”
“Dalam jarak antara 3 hingga 10 kilometer.”
“Huiii… jauh amat.”
“Sebagai pejuang Islam, kita jangan putus asa. Kita lagi jauh, datang dari Malaysia, hanya untuk berdakwah di Brema. Di Malaysia masih banyak yang hendak dilakukan.”
“Benar juga tu. Di kampung saya ada seorang bangsa Cina, tetapi masih lagi beragama Buddha. Mereka dijaga oleh orang-orang Islam. Kecuali anak-anak dia sahaja yang memeluk agama Islam,” jelasku.
Pacuan empat roda memasuki kawasan bukit dan pergunungan kembali. Kawasan sawah padi ditinggalkan. Apabila teringatkan sawah padi, aku bagaikan kembali ke kampung halaman nun jauh di sana. Bendang padi yang hijau menguning terhampar dengan luasnya. Di kaki Gunung Brema ini tidaklah begitu luas kawasan tanaman padi tetapi sudah jenuh menerbangkan haruman aroma padi ke lubang hidung.
Mata asyik memandang ke bawah bukit; di bawah sana aku ternampak sebuah saliran sungai mempunyai pemandangan cukup indah. Air terjun yang berjuntaian menerjah batu-batan di dataran tasik. Membuatkan aku terpesona. Tergaman dengan ciptaan Ilahi. Pohon-pohon hijau segar menutup permukaan bukit dan gunung menerbitkan suara alam.
“Ya, Allah…cantiknya ciptaan-Mu,” seru batinku.
“Haaa, tuan dah tidur ke?” tegur Haji Ibrahim.
“Eh, tak… tak… Saja mengelamun,” jawabku pantas.
“Okeylah. Esok jemaah kita akan menziarahi penduduk kampung Brema, Broga, Atok-Atok, Ribu-Ribu. Di setiap kampung itu, sudah bertambah jumlah saudara Islam kita,” jelas Haji Ibrahim.
“Baik, ustaz.”
“Kampung Brema masih lagi dalam 15 minit. Kita akan sampai ke musalla itu. Di situ nanti, kita bawa turun kesemua peralatan dan barang-barang ini semua. Jangan takut, Allah bersama kita.”
“Kenapa takut, ustaz?” Tiba-tiba ada suara menyampuk dari belakang.
“Anjing banyak. Babi banyak.”
“Waduh, ada anjing dan babi pulak?”
“Ya, dulu mereka bukan pemakan babi, tetapi sekarang, babi menjadi makanan mereka selepas mereka berjaya dimurtadkan. Ini tugas kita. Kita mesti tahu bagaimana hendak menghadapi suasana begitu, bukan?”
“Ya, ya, ya… Pengalaman ketika bersama orang-orang asli di pedalaman Taman Negara, bersama kaum minoriti di Afrika Selatan. Kita sudah lalui di banyak tempat,” jawab Syukur, yang entah berapa kali berdakwah ke serta dunia.
“Tuan sudah berapa kali keluar negara?” Soalan itu diajukan kepadaku. Aku faham dan maklum.
“Ini pertama kali. Di Malaysia saya sudah ke seluruh negara. Terutama pusat tarbiah Petaling. Pertama kali sampai di Dili, kemudian ke daerah Vaqueque dan terus ke kampung Brema,” kataku.
Mereka tersenyum simpul. Mereka tahu pengalaman aku masih tidak cukup banyak dalam menghadapi suasana kegelapan begitu. Berhari-hari dan berminggu-minggu meninggalkan desa tercinta, sudah tentu mengalamai perasaan tertekan yang terlalu hebat. Mereka seolah-olah menyedari bagaimana gelombang jiwaku sekarang.
‘Adakah runtunan perasaan yang melanda diriku ini sudah mengalir keluar dan terbit melalui percakapan dan emosi aku?’ getus suara hati dari dalam. Jika sekiranya benar, aku mesti padamkan. Aku terpaksa pasrahkan diri kerana Allah. Hidup dan mati di mana-mana pun boleh berlaku. Kesemuanya di tangan Allah. Apabila Allah berkata ‘kun fayakun!’ maka terjadilah apa yang hendak terjadi.
Sebetulnya, bergerak secara berjemaah ini adalah bekerja secara berkumpulan. Konsep saling membantu dan bertanggungjawab terhadap ahli kumpulan adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Kita bersaudara! Kata seorang mualim di pusat tarbiah di Kuala Lumpur. Melalui kaedah ini, kita boleh berjimat dalam semua perkara. Jimat makan. Jimat tambang. Jimat semua hanya kerana Allah.
“Kita bukan memburu darjat dan kekayaan, tetapi kita mengejar keredaan Allah. Kalau hendak mencari kekayaan, jadilah seorang ahli perniagaan yang bijaksana. Rasulullah juga asalnya seorang peniagaan yang amanah, sidik, tabligh, dan fatonah,” ujar khalifah bagi sebuah kumpulan pendakwah itu.
Aku fikir ucapan dan kata-katanya sangat menarik perhatian. Seperti yang dijanjikan, 15 minit lagi kami akan sampai di sebuah surau terletak di hujung kampong Brema dalam daerah Vaqueque. Surau uzur yang berwarna pudar. Sarang labah-labah di mana-mana sahaja. Sampah sarap dan rumput rampai hampir menenggelamkan surau berusia hampir 40 tahun itu.
Tidak jauh dari surau itu, terdapat sebuah rumah kecil. Penghuninya dua orang insan tua yang masih mengekalkan kopiah dan jilbab atas kepalanya. Dialah pak cik Mamat dan mak cik Sepiah. Mereka berdua turun mendapatkan kami. Dan dibawa naik ke atas surau kecil itu. Tanpa berlengah-lengah lagi, kami pun melakukan kerja-kerja membersih kawasan, dan juga surau serta memasang pembesar suara.
Aku ditugaskan sebagai tukang masak untuk makan malam. Malam itu, surau berjaya dibersihkan. Sebuah generator dihidupkan bagi membekal elektrik untuk surau dan juga rumah pak cik Mamat. Malam itu kami makan sama-sama. Solat pun sama-sama. Keesokannya, kami akan menziarahi penduduk kampung berdekatkan yang masih kuat imannya.

10. GODAAN AL SAYATI

Imam Haji Nawi menjadi waswas secara tiba-tiba. Ketika dia bangkit dari sujud, bilangan rakaat masih lagi tidak bersisa diingati sejelas-jelasnya, seperti pancaran sinar matahari di dalam kepala, hangat dan bercahaya, tetapi setelah kembali membaca surah Al-Fatihah, pada rakaat pertama lagi, dia sudah tenggelam dan hilang pertimbangan.

Khayalan sewaktu melafazkan bacaan bismillahi rahmani rahim melangut berlanjutan, tidak boleh difokuskan kepada maksud dan pengertian di sebalik yang tersurat pada bunyi sebutan patah-patah bicaranya dengan Tuhan.

“Adakah aku sudah tua dan tidak sesuai lagi menjadi kepala iman solat kerana sering terlupa…” Datang lagi bisikan hati dari dalam arus perasaan yang tersembunyi itu. Tidak sesiapa yang tahu dan sedar perkara ini, kecuali dia, syaitan, dan Tuhan.

“Tidak, aku masih kuat dan gagah, ingatan masih hebat dan bergeliga. Aku tidak boleh mengalah kepada orang muda. Mereka masih tidak boleh diharapkan untuk mengepalai sembahyang dan syof perjuangan…” Syaitan muncul kembali di dalam kiannya, mengadu-domba fikiran dan perasaan yang berkecamukan.

SOP solat berjemaah diperhalusi untuk perkenan Agong, raja-raja - ismaweb

Alhamdulillahi rabbi ‘alamin… Arrahmani rahim…”

Belum pun habis bacaan surah Al-Fatihah, pari-pari halus menunda gelembung rasanya ke dalam dengan mampat, kata bisikan itu; Tuhan tahu apa yang aku buat dan Tuhan tahu apa yang berlaku. Niat aku adalah jujur untuk menegakkan Islam, Islam agama yang benar lagi hak dan aku mesti tetap teguh beristiqomah.

Haji Nawi tidak tersedar, dalam kelantangan mulutnya menyebut susunan ayat-ayat Quran itu, fikirannya meracau-racau dan merayau-rayau. Semakin lama khayalan begitu menerjah ke dalam benak minda dan batiniahnya. Hairan juga Haji Nawi yang berserban bulat besar membungkus kepala dan berjubah itu, dikeronyok oleh fatamorgana lamunan. Kekerapan waswas mendatangi setiap sel otaknya cukup menakutkan, semakin hari semakin banyak tisu sel otak yang rosak oleh jangkitan virus waswas itu.

Subha nalloh…” Tiba-tiba ada suara makmun menegur dari belakang, menegur dengan sebutan memuji Tuhan bagi memperbetulkan keadaan supaya solat pada malam itu tidak terbatal angkara kealpaan Haji Nawi.

“Ah, di mana aku?” Khayalan Haji Nawi tergendala oleh seruan nama Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Agung itu. Syaitan-syaitan berwarna gelap, berkumis tebal dan syaitan-syaitan bermata sepet berkulit putih, melepaskan dakapannya.

Bismillahi rahmaa nirahim… Wa Dhuha (Demi waktu pagi…), Wallailiizasaja (Demi malam, apabila telah sunyi…)”.

Ada lagi pelukan erat membungkus layaran nalurinya dalam memahat istiqomah yang mengikut fikirannya betul.

Haji Nawi mulai menangkis serangan-serangan bertubi oleh sebuah kumpulan yang mengatakannya dia sudah tua dan uzur. Hidup mati dalam perjuangan untuk menegak Islam mesti diteruskan juga, walaupun sudah ada dalam syofnya bibit-bibit pertengkaran berhubung dengan pemikiran mujadid untuk membina semula perpaduan dan persefahaman ummah yang bertambah porak-peranda.

Maa wada’akarobuka wamaqola… (Tuhanmu tidaklah meninggalkan engkau, ya Muhammad dengan begitu sahaja kerana dia lebih mengetahui setiap kejadian yang nyata dan tersembunyi, dan Dia tiada sekali-kali membenci kepada engkau dan hamba-Nya yang lain kerana dia bersifat dengan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…)”.

Haji Nawi terharu apabila teringatkan firman Tuhan yang ini; malah diulanginya dalam hati maksud yang amat menyayat hati.

Dan ketika limun-limun pagi subuh itu, dalam gelap kelam malam masih bersemi, muncul kelibat wajah dan suara hero yang memecah pentas roadshow hingga mencacatkan keharmonian bangsa ummah Islam di tanah air sekangkang kera ini. Janji mesti ditunaikan walaupun datang apa bala, kata orang; membujur lalu, melintang patah. Getus bisikan halus dalam hati kecil kejadian Latiffah Rabbaniyah itu.

Walal aa khiratukhairun lakaminal uula… (Sesungguhnya, akhirat lebih baik daripada dunia)”.

Haji Nawi tersedu dan terkedu dengan mafhum ayat ini. Ia membusar ke dalam dadanya yang semakin kurus dan kecil montel.

“Tidak fahamkah geng-geng yang menentang pemikiran aku sekarang. Tidak fahamkah maksud dan niat hati kecilku bahawa aku bukan tidak mahu bercampur-aduk dengan gerombolan satu lagi, sekiranya aku bersetuju bermakna aku mungkir janji dan tidak istiqomah sedangkan istiqomah dengan pegangan ialah pakaian orang wali-wali.” Getus bisikan jahat yang menyamar sebagai bisikan warak menyelusuri tebing-tebing jiwa seni di dalam gua sanubari yang tiada bertepi itu.

Walasaufayuk’ Tti karobuka fatardhoo… (Nanti Tuhanmu akan memberi engkau, lalu engkau menjadi suka)”.

Suaranya terus mendayu-dayu dengan penuh perasaan dan kehibaan, apatah lagi apabila Haji Nawi mengenangkan nasib rakyat dan anak bangsanya yang semakin bercempera, tetapi apakan daya, dia terpaksa mengorbankan apa sahaja termasuk diri dan keyakinan makmum terhadap dirinya, demi menegakkan kebenaran mengikut fahaman dan idealismenya.

“Jangan biarkan mana-mana ahli syof kabilah kita termakan pujukan saudara seagama kita yang menjadi musuh sepanjang zaman. Mereka hanya bakal menjadi karak pembakar api neraka kerana bersikap munafik dan bermuka-muka menegakkan Islam,” seru Haji Nawi ketika menghadiri suatu ceramah terbuka untuk orang-orang Utara.

Alamyajidkayatimannfa aawa… (Bukankah engkau maklum bahawa Ia memilih engkau dari seorang anak yatim, kemudian ia melindunginya?)”.

Dan ini bagi Haji Nawi suatu contoh yang baik, bahawa dia tidak bersendirian dalam usaha meninggikan syiar Islam, dipegangnya kejap-kejap bait-bait ayat ini, kerana inilah kekuatan spiritual yang boleh bertukar menjadi miracle.

Ketakjuban Haji Nawi pada dirinya sendiri bertocang dalam diri kerana ada orang berbicara tentang keunggulannya beramal ibadat sepanjang malam. Mereka melahirkan rasa keanehan kerana Haji Nawi tidak tidur malam, paling banyak tiga jam merehatkan diri di perbaringan.

“Tuhan memilih aku sebagai pembawa cahaya kegemilangan Islam untuk zaman ini, sementara orang lain hanya meniru cara orang kafir belaka. Bukankah mereka tidak terfikir bagaimana teguhnya pendirianku dan mengapa mereka tidak mahu menerima idea yang aku hamburkan pada setiap ceramah dan siri pengajaran agamaku?” Suara hati Haji Nawi merenggek halus mendesus kalbu.

“Aku tidak akan tunduk dengan tekanan perpecahan, kerana ini hanya suatu cubaan Tuhan untuk menguji kekuatan imanku. Tuhan, lindungilah aku dari puak-puakku dan puak-puak satu lagi yang mengasak perjuangan.” Getus khayalan dan bisikan syaitan laknatullah lagi.

Wawajadaqodhaa lannfahada… (Dan engkau didapati-Nya dalam kesesatan [belum mendapat petunjuk], lalu ditunjuki-Nya)”.

Air mata Haji Nawi terburai-burai hiba menghayati firman Allah ini. Dalam hati kecilnya berkata: mereka itulah yang sesat, aku tetap benar kerana aku menolak untuk bersama mereka walaupun mereka mempelawa untuk bermusyawarah.

Para maklum yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, tidak kurang daripada 5,000 orang yang berada dalam syof barisan solat itu, berasa kehairanan mendengar kelunakan suara Haji Nawi mengimankan solat fardu Isyak berjemaah pada malam itu. Mereka juga turut mendengar dengan teliti ayat-ayat yang dibaca oleh Haji Nawi dari surah Add-Dhuhaa dengan penuh tertib-terni.

Udara dingin dari kipas dalam khemah besar itu menyimbah ke batang tubuh para jemaah yang berdiri tidak bergerak menghadap ke kiblat Mekatulmukaqoramah, manakala hati masing-masing memancarkan laser secara terus-menerus ke Baitul Makmor, suatu tempat yang entah di mana letaknya.

Mereka sedang asyik diulit kenikmatan memanjat kehadirat Allah Yang Maha Tinggi, tetapi Haji Nawi terus membaca surah yang sederhana panjang itu, supaya para jemaah memahami hasrat dan tumpuan yang sedang diberikan.

Wawajadaka ‘aa ilann fa’aghna… (Dan engkau didapatinya seorang yang miskin, lalu diberikannya kekayaan)”.

Memang Haji Nawi tidak berasa hebat kepada sesiapa, kerana dia memang sudah ditentukan Tuhan sebagai pemimpin agama dari Timur pada abad ini. Mungkin inikah imam Mahadi yang dimaksudkan? Kalaulah tekaan itu benar, ia mungkin suatu kenyataan, kerana dia sedang terus berjuang tanpa memikirkan apa terjadi pun jadilah, dia tetap berpegang pada Islam, orang lain bukan Islam.

“Haji, saya sokong pendirian Haji. Saya datang ke sini pun untuk memperlihatkan keyakinan bahawa hanya Haji sahaja orang yang sesuai dilantik menjadi kepala untuk semua bangsa,” ujar seorang rakan dari negara jiran yang tiba-tiba datang menemui Haji Nawi. Dia mengapu Haji Nawi supaya terus tegas mengikut kefahamannya, sedang motif utamanya hanya untuk melihat bangsa ini berpecah, kemudian menjadi lemah dan lenyap ditelan zaman.

Haji Nawi cukup bangga menerima kunjungan-kunjungan parawisata sebelah sana yang terang-terangan menunjukkan bahawa dia sudahpun berada di pihak yang benar. Orang lain Dajjal belaka; rasuah bermaharajalela, materialistik, individualistik, kemaruk, dan haloba untuk mengaut kekayaan yang sementara.

Fa ammaliati mafala taq har… (Adapun anak-anak yatim janganlah engkau paksa)”.

Haji Nawi faham bahawa anak-anak yatim memang perlu diberikan perhatian melalui bantuan dalam pelbagai bentuk disegerakan termasuk mengukuhkan pegangan supaya misionari yang lain, di mana sekarang, mereka berlumba-lumba datang menggoyahkan kepercayaan dan keyakinan iman.

“Jadi, sehingga kini, apa yang telah aku buat dan lakukan untuk membanteras gejala-gejala itu? Termasuk penagih dan pengedaran dadah yang berleluasa dalam kalangan pemuda dan pemudi Islam?” Meremang bulu roma Haji Nawi apabila teringat kepada bencana yang menimpa anak bangsa Melayu Islam ini.

“Inilah dosa-dosaku… Aku tidak mampu Tuhan memulihkan kembali generasi muda Islam kepada iqtikad Islamiah yang kukuh hingga memenuhi pusat-pusat Serenti dan yang mati diserang AID dan HIV.” Air mata Haji Nawi terus berguguran, tetapi malangnya tiada keputusan yang boleh dijadikan panduan.

Kalau boleh mahu Haji Nawi gelengkan kepala ke kiri dan ke kanan sebagai tanda penyesalan. Tiba-tiba dia teringat bahawa sekarang dia berada dalam solat fardu Subuh yang menghendaki patuh dan akur kepada peraturan. Pergerakkan hatinya yang melampau-lampau begitu pun sudah boleh membatalkan kerana solat memerlukan kepatuhan kepada perundangan zahir dan batin.

Setelah tersedar dari hanyutan-hanyutan akibat asakan syaitan yang memasuki melalui pintu-pintu yang ampuh diroboh itu, Haji Nawi kembali kepada asas solatnya. Dia cuba menghabiskan bacaan pada posisi kedudukan kian itu. Tetapi halangan bagi mendapatkan kekusyukan dan menikmati kemanisan sukar diperolehi; ia bukan sekali hari itu yang terjadi, malah semenjak akhir-akhir ini sudah sering, malah berulang beberapa kali.

Wa ammasaa ilafalatanhor… (Dan orang yang meminta [bertanya atau berbincang] janganlah engkau herdik atau menolaknya)”.

Haji Nawi mematikan suaranya pada akhir ayat tersebut. Entah mengapa hati dan perasaannya tidak seronok meneliti maksud firman ini, semacam Tuhan menyindirnya pula.

“Adakah aku silap membaca surah Add-Dhuha pada pagi subuh ini? Atau benarkan perpaduan dan kerukunan ikatan rapuh yang memang diketahui orang ini, tidak boleh memberi kebaikan?” Soal naluri halus menggila dalam dirinya.

Wa amma bini’mati robika fahaddith… (Adapun nikmat Tuhanmu hendaklah engkau beritakan, jangan disembunyikan)”.

Tiba-tiba tubuh Haji Nawi menggeletar. Dia seakan-akan diterjah ketakutan.

Allahuakhbar…”

Cepat-cepat Haji Nawi rukuk, iktidal, sujud, dan kembali pada rakaat kedua hingga akhirnya. Salam.

Assalamu’alaikum warah matullah…”

Haji Nawi memandang ke kanan, kedengaran pada kuping telinganya suara makmum yang tidak sehaluan. Dia memberi salam ke kiri; Haji Nawi mendapati para makmum di sebelah kiri juga masing-masing membawa haluan solat sendiri-sendiri.

9. DEDALU

Tuan Haji Pok Ya melangkah terus semak-samun dalam kebun getah milik pesaka turun-temurun itu. Dia mendengar cerita dari datuk neneknya, tanah pesaka itu diwarisi semenjak zaman-berzaman lagi. Pantang keturunannya menjual tanah kebun getah itu. Bukan menjual, tetapi dia mahu membeli lebih banyak tanah-tanah pesaka Melayu itu, supaya menjadi miliknya.

‘Datuk nenak aku ajar, jangan sekali-kali menjual tanah sekangkang kera ini, kalau tidak mahu menderita dan merempat di bumi kelahiran sendiri!’ Begitulah amanah datuk nenek Haji Pok Ya dari satu keturunan ke satu keturunan.

“Tetapi tipu muslihat datang silih berganti. Tahun ini tak jual, tahun depan, belum tentu kekal di tangan anak bangsa!” getus hati kecil Haji Pok Ya lagi.
“Tahun ini, aku boleh baca gerak muslihat mereka, tahun depan ada sampai tektik lain pula. Dulu datang cerita hendak bangunkan tanah menjadi kilang, lepas itu, buat projek perumahan.” Bermacam-macam ragam tipu-daya datang membelit anak bangsa. Jadi bercelaru habis fikiran warga dengan agenda jahat imperialis.

Haji Pok Ya melepaskan keluhan demi keluhan apabila teringatkan semakin sedikit tanah pesaka Melayu digonggong oleh golongan pemodal asing dan tempatan atasan alasan mahu memajukan tanah terbiar menjadi tapak pembangunan.

Sakit kepala Haji Pok Ya memikirkannya. Dia mengatur langkah dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Matanya akan terus mengintai setiap batang pokok getah dara sedang subur itu. Mahu dipeluknya batang pokok getah gemok, gebu, serta basah itu. Berdirinya tegak mencacak bumi. Daunnya menghijau memayung tanah seluas dua hekter itu. Haji Pok Ya menepuk-nepuk batang getah. Kemudian mendongak ke atas.

“Cissss! Menatang ni sudah ada!” Suara Haji Pok Ya marah melengking dalam dadanya. Persis bergema membengkak. Dia mengejapkan seluar jerutnya. “Tak boleh biarkan dia hidup di situ. Dalam sebulan sahaja, pokok getah aku menjadi kurus! Tak boleh jadi.”

Dedalu | Kujie2.com

Haji Pok Ya memanjat ke atas pokok getah itu. Sampai di cabang pokok, ada sepohon Nnalu yang bercabang dua. Akarnya mulai berselirat mencengkam ke kulit batang getah, dan mula menghisap makanan dari dalam batang subur itu.

“Ini akibat kejahatan burung-burung jerijit. Bukan sahaja datang mencari ulat, tetapi melepaskan najisnya ke sini. Dalam najis jerijit ada butir Nnalu. Jatuh ke ranting, dahan dan cabang pokok getah. Terus hidup. Membesar di tempat penginapan baru. Hidup Nnalu hanya menumpang, tetapi jika dibiarkan, Nnalu ini akan menjadi parasit pembunuh,” kata hati kecil Haji Pok Ya. Haji Pok Ya menilik pokok Nnalu dari atas ke bawah, sekarang Nnalu di tangannya. Dia sudah tanggalkan tapak persinggahannya. Dia licinkan tapak singgahsana Nalu yang baru nak hidup itu.

“Jika dibiarkan hidup, pohon getah ini akan mampus!” bisik naluri Haji Pok Ya.

Burung jerijit ialah sejenis burung hijau kecil, bunyi berdecit-decit, terbang dan singgah dari ranting dan dahan. Mereka datang untuk mencari buah Nnalu dan ulat-ulat sebagai makanannya. Jika terdapat banyak ulat di situ, ia akan memakannya sampai kekenyangan. Jika tidak ada, ia akan mencari buah Nnalu, dan memakannya. Inilah agen penyebaran pokok Nnalu. Burung jerijit seperti kolonialis yang menjajah negara bangsa. Selepas kenyang, burung jerijit tentu membuang najisnya dan meninggalkan kekotoran di situ. Dalam najis kotor jerijit, ada parasit yang dibiarkan akan membunuh kesemua pohon getah.

“Jadi, tak boleh biarkan!” bentak Haji Pok Ya, geram. “Ketika kecil, Nnalu ni okey lagi. Apabila akarnya kukuh bertapak atas pokok, kesemua pokok ini akan mati. Kalau tak mati pun tinggal tunggul sahaja. Aku mesti buang kesemuanya!” Setelah jelas kepastian bahawa pohon Nnalu sudah tidak ada, Haji Pok Ya, menggelongsor turun ke bawah.

Dari atas pokok getah sebesar paha itu tadi, Haji Pok Ya dapat melihat kedudukan banjar-banjar tanaman tersusun cantik, pokok emas itulah yang banyak membantu kehidupan dan keluarganya. Apabila matanya memandang ke sebelah selatan, banjar pokok getah nampak lurus barisannya persis satu garisan sahaja. Tengok ke sebelah utara pun sama. Ke barat dan ke timur, tanaman menghasilkan emas itu, boleh menyenangkan hatinya. Dari situ, Haji Pok Ya dapat mengesan juntaian daun-daun hijau kecil ke bawah. Itulah pokok Nnalu, musuh kesemua hidupan bernama tumbuh-tumbuhan. Jika dia diterkicikkan oleh burung jerijit, maka tumbuhlah ia di situ dengan suburnya. Mula-mula menumpang, tetapi akhirnya mahu jadi raja. Di mana? Di mana-mana, asalkan benihnya boleh melekat dan tempat menumpang itu sejenis tumbuhan yang hidup. Nnalu tidak akan menumpang di pohon yang mati.
Jika tahi burung jerijit melekat di daun, maka pokok Nnalu akan bergantungan di daunlah pada permulaannya, kemudian, akar Nnalu akan menjalar, mengkerabat julai, ranting, dahan, batang dan akhirnya, pokok tempat dia hinggap akan kurus kering. Apabila najis warna kelabu mengandungi biji benih Nnalu, diterberakkan oleh burung jerijit di atas ranting, maka di situlah tempat dia bernaung, kemudian menjadi raja. Seandainya, si jerijit membuang sisa dalam perutnya ke dahan dan batang pokok, sudah tentu, pokok Nnalu akan tumbuh membesar serta menjadi raja di situ.

“Sebelum dia menjadi raja, aku nak buang kesemua pohon Nnalu tu…” bentak hati kecil Haji Pak Ya.

RED Door To Hunt: Cadangan Sub-Spesies Baharu Jerijit Suria Belakang-Hijau  zaitun~Nectarina jugularis aur

“Cicit Cicit Hahahahaha…” Seekor burung jerijit datang berterbangan mengelilingi Haji Pok Ya. Ia mendecit-decit kuat.

“Haaaa… inilah keturunan imperialis! Bukan sahaja singgah di pohon getah aku, kemudian ditinggalkan pula tahi. Dalam tahi dia ada pula benih Nnalu,” Getus hati kecil Haji Pok Ya, marah sungguh dengan burung hijau sebesar ibu jari itu.

“Cit cit cit cit … Hai, kenapa Tok Aji nak buang sarang aku?” tanya jerijit.

“Hah, dah jumpa. Bukan sarang kau saja aku nak buang, dengan kau-kau sekali aku bunuh. Kerana perbuatan kaulah, habis tanaman orang kampung aku kurus dan mati.”

“Tu dah biasa, kan Aji? Aku datang ke pohon-pohon itu untuk cari makan; apabila kenyang, kami buang. Ke mana singgahnya sisa najis aku, aku tak peduli. Bukan masalah aku nak berak kat mana. Sebab pohon-pohon itu bukan aku punya!” jawab Jerijit. Selamba sahaja jawapannya.

“Telur aku! Telur aku! Jangan musnahkan!” pinta jerijit betina. Meminta simpati dari Haji Pok Ya.

“Aku peduli apa… Kau bangsa kolonilis! Kerana kedurjanaan kaulah, kami tak boleh hidup senang di bumi kami sendiri,” bentak Haji Pok Ya tanpa belas kasihan lagi. Marah betul dia. Memang bangsa Nnalu tak boleh diberi muka. Beri betis mahukan paha. Dapat paha, mahu miliki keseluruhannya.

“Kami tak ganggu manusia, Tok Aji. Bila kami ganggu kehidupan Tok Aji? Agama dan adat resam Tok Aji, kami tak sentuh, tak usik pun,” balas jerijit. Dia terbang keliling.

“Pandai kau berdalih ya? Nah… Ambik ni!” Haji Pok Ya ‘memekong’ burung Jerijit dengan dahan pokok getah mati beragan.

“Hahaha… cit cit cit cit. Aku terbang, kau memanjat. Mana hebat?” Burung Jerijit menyindir Haji Pok Ya. Si jerijit hijau terbang tinggi dan rendah. Melayah marah kerana sarangnya akan dimusnahkan oleh Haji Pok Ya.

“Aku tak akan tertipu lagi oleh dasar penjajah. Jerijit memang membawa dasar kapitalis ke pohon getah aku ni. Mula-mula hidup menumpang, kemudian habis harta aku, kau ambil. Kau hisap, kau sedut.”

“Mana bukti aku hisap dan sedut?”

“Ini buktinya; pengggg!” Haji Pok Ya memukul burung jerijit dengan ranting getah mati beragan. Terkena tubuh jerijit. Dia terbabas, jatuh ke tanah. Kemudian, burung kecil molek itu, menggerak-gerakkan sayapnya. Hidup kembali. Terbang menjauh pergi, tetapi berpusing semula ke sarangnya.

“Hei, Tok Aji! Jangan usik sarang aku! Citttt… Citcitcit…”

“Ini sarang kau?”

“Ya, itu sarang aku. Aku mahu perbanyakkan zuriat aku.”

“Kau nak jajah hutan rimba ni? Dasar burung jerijit!”

“Kau bodoh, Tok Aji. Kalau bodoh mengaku saja bodoh. Kalau dah tak cerdik nak memajukan tanah airmu, serahkan kepadaku!”

“Serahkan kepada pohon Nnalu? Biar semua pokok-pokok habis mati?”

“Itu kata kau, Tok Aji. Kataku adalah mematikan kesemuanya itu untuk memudahkan kami.”

“Mulai hari ni, haram batang tubuh pohon Nnalu hidup atas pohon yang aku tanam!”

“Tapi, aku tetap meneruskan membuang benih-benih Nnalu ke dalam kebun kau.”

“Ini tanah airku. Aku akan bakar habis kesemua jenis Nnalu.”

Haji Pok Ya meneruskan usahanya mencantas pokok-pokok Nnalu dari tumbuh bergantung nasib pada pokok getahnya. Dia memotong dahan-dahan tempat Nnalu tumbuh. Dia membuang kesemua tapak pertumbuhan pokok parasit itu. Sebelum Zohor, Haji Pok Ya mesti menghentikan kerja-kerja membersihkan kebun getahnya dari diserang oleh sekumpulan Nnalu. Selepas solat zohor, Haji Pok Ya meneruskan kembali. Berhenti ansar. Selepas ansar dia kembali membersih pokok getah yang kian membesar itu.

Kalau tidak siap hari ini, esok dia datang lagi. Kalau tidak siapa esok, lusa dia sudahkan. Kalau tak siap lusa, tulat dia kembali membersih pohon Nnalu dari menjarah pokok getah di kebunnya. Kini sudah ada lima tompok Nnalu terkumpul di antara pohon-pohon getah itu. Lima tompokan yang dikumpul tadi, akan dikeringkan. Apabila Nnalu itu sudah betul-betul kering, Haji Pok Ya akan membakarnya.

Pohon Nnalu kering akan dibakar. Api semarak menyala memakan daun, ranting, dahan Nnalu yang sudah mati. Haji Pok Ya akan mengawal kemarakan api itu. Dia mahu pastikan, kesemua Nnalu itu hangus dijilat api. Dia tak redha pohon itu berada dalam kebun getahnya. Kadang-kadang terfikir juga, kenapa dia terlalu marah kepada pokok Nnalu itu, sedangkan yang membawa sekumpulan pohon parasit itu ialah burung Jerijit.

Sepatutnya, burung Jerijit datang menyelesaikan masalah yang dia tinggalkan. Kenapa pula Nnalu jadi mangsa Haji Pok Ya. Haji Pok Ya pemilik tanah getah dua hekter itu. Sudah tentu dia berhak menjaga apa sahaja yang berlaku dalam kebunnya. Burung jerijit sekadar lalu, dan singgah mencari makan. Apabila habuannya sudah berjaya dibawa balik, apa tertinggal dan ditinggalkan perlu bermastautin di situ.

Haji Pok Ya berhenti rehat. Dia ke pondok kecil di penjuru kebun. Haji Pok Ya masuk ke dalam pondok untuk memakai pakaian basahan. Dia mandi, solat Zohor, dan kemudian Haji Pok Ya makan bekalan yang disediakan oleh isterinya.

Nasi berlauk gulai kari ayam. Budu cap ketereh. Ulam pucuk mengkudu. Ikan kering goring. Lada burung. Sambal tempoyak. Makanan kegemarannya. Di luar pondok itu, Haji Pok Ya sudah ternampak pucuk Mata Ayam, pucuk Serai, pucuk Kayu Arang, pucuk Tukkar Benang, memang banyak.

Sebelah timur kebun getah itu tadi dia ada ternampak pucuk laka, pucuk balik adat, pucuk jenerih. Pucuk-pucuk ini ialah hasil tumbuhan semula jadi terdapat dalam kebun getah subur itu. Pucuk-pucuk itu juga mempunyai khasiat besar untuk kesihatan. Jika pokok Nnalu singgah dan membesar ke atas pohon ulam-ulaman itu, alangkah ruginya.

Haji Pok Ya mempunyai sejuta perancangan dengan pokok-pokok ulam berkenaan. Kesemua pokok berguna itu akan diusahakan secara komersial. Dia mahu membuka pusat memproses pembenihan pokok-pokok yang sukar diperolehi sekarang.

Haji Pok Ya menyimpan hasratnya itu dalam-dalam.

8. MANA BULAN, MANA MATAHARI

Buli-buli air yang gugur semenjak dua minggu lalu membuatkan langit sentiasa teduh oleh mendung awan tanpa memperlihatkan wajah bulan dan matahari. Sesekali bunyi runtunan air berjatuhan ke atas atap rumbia rumah begitu menguyurkan perasaan. Mahu berbuat apa aku sekarang? Mahu membongkar sampah-sarap di dalam tong-tong sepanjang jalan? Atau ke tapak pelupusan sampah di pinggir Bukit Beruntung, pedalaman daerah tercinta. Semuanya dalam dilema.

Mujur beras masih penuh ‘genak’ boleh menyenangkan isteri dan anak-anak memasak nasi. Mujur gula masih ada tiga kilogram lagi dalam botol plastik untuk kacau air kopi pahit. Nasib baik teh uncang telah aku isi sepenuhnya dalam bekas terletak atas kabinet dapur bagi membuat air teh tarik. Begitulah persediaan awal sebelum tiba bulan November dan Disember setiap tahun, telah aku selesaikan hasil jualan tin-tin kosong terkumpul dalam sepuluh guni plastik. Nilainya dalam seribu rial. Tidak termasuk lagi plastik-plastik, kotak-kotak, besi-besi buruk siap diasingkan dalam bekas. Pepejal komersil ini sengaja aku simpan bagi menghadapi risiko di luar jangkaan.

Kehidupan aku tidak ubah kata pepatah Melayu: kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebelum aku menutup mata setiap malam, untuk esoknya, aku siap merancang dalam kepala untuk mencari dan mengumpul bahan buangan tadi. Seperti biasa, tempat yang menjadi sasaran hanyalah tong-tong sampah sepanjang jalan, kawasan-kawasan pelupusan sampah yang sentiasa dipindahrandahkan ke kawasan jauh sedikit dari pandangan mata dan tebaran bau hampak, busuk, hampak, hanyir penduduk kota raya.

“Sampai bila abang nak buat kerja ni?” kata isteriku. Kadang-kadang dia ikut sama ke tempat pembuangan sisa berkenaan untuk membantu aku mencari sebanyak mungkin bahan-bahan untuk dikitar semula.

Aku tak segera menjawab pertanyaan dikemukakannya. Aku biarkan persoalan itu berlalu. Sehingga hari ini, itulah kerja mulia pernah aku lakukan untuk membesarkan anak-anak seramai empat orang. Membeli pakaian. Menyediakan duit saku sekolah. Membeli beras. Gula. Kicap untuk dimakan setiap pagi, tenga hari, dan malam. Tidak pernah terjejas pun perut mereka diisi dengan makanan. Kalau penduduk di Taman Indera Mahkota itu boleh beli KFC untuk anak-anak mereka, aku juga boleh beli untuk disantap oleh anak-anakku.

“Abang tau tak, kerja ini jijik dan hina, bang…” sambung isteriku sambil memegang bahu ketika aku hendak membelokkan haluan ke jalan kecil menuju cerun bukit.

Dari situ aku sudah nampak, sudah ramai orang merangkak atas busut sampah, sambil menguis-nguis timbunan mencari bahan-bahan yang mereka kehendaki. Di sebelah kiri sudah ada Thambala Singgan, Mutusamy, Kadir, Kiah asyik mengaut dan menarik besi yang baharu dicurahkan oleh lori banda raya. Sebelah kanan, ramai lagi pencari bahan pepejal terbuang.

‘Ah, semakin bertambah ramai rupanya kerja ini dilakukan oleh penduduk marhain di perut kota kosmopolitan ini rupa-rupanya!’ getus hati kecilku.

Mataku melilau ke batang tubuh memenuhi rimbunan rezeki itu.
“Hahahaha… Bukan sahaja manusia yang ada, selain manusia juga ikut sama berpesta ke situ mencari makanan,” tambah bisikan dalamanku. Kawasan rahmat itu menjadi kawasan perburuan ramai. Pendapatan lumayan!

“Kita dah terlambat!” kataku separuh kesal. Tetapi tidak pernah berasa putus asa. Terus sahaja ke kawasan yang dikata jijik dan kotor oleh isteriku tadi. Dia juga ikut segera ke tempat itu. Isteriku seperti sudah maklum, apa yang hendak dicari. Dia terus mengheret dua batang besi sebesar jari kelingking. Kemudian dilipat-lipatkan menjadi kecil seperti kerawat gulung, kemudian dicampak ke dalam bakul motosikal roda tiga.

“Prennnnnggggg…..” Bunyi hantukan besi sesama besi menyebabkan aku terperanjat, begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain.

“Oooi, Munah, rezeki kau tu. Kami datang awal pun tak nampak besi buruk tu…” laung Syamsiah, atau aku panggil Syam sahaja, bermakna ‘matahari’, dia yang sedang menunggengkan punggungnya ke celah sampah di hadapan. Munah, isteriku hanya mampu tersengih. Munah aku panggil dia Moon sahaja, bermakna bulan. Ah… Bulan dan Matahari… Hehehe.

“Dua minit kau sampai, dapat 30 rial. Kami sudah sejam, masih terhendap-hendak mencari rezeki, baru dapat 10 ringgit,” tambah Syam. Dia memperbetulkan pakaian tebal menutup mukanya. Syamsiah hanya boleh dilihat dari luar bungkusan pakaian yang tebal sahaja. Baju dipakainya mungkin dua atau tiga lapis. Penutup kepala, bukan sahaja dibungkus dengan talkung, tetapi dibungkus dengan plastik lut sinar.

Mantap Syamsiah janda bergetah beranak dua itu sangat manis, manis seperti tebu. Dia ditinggalkan oleh suaminya dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis.

“Apa kau dapat pagi ni, Syam?” sampukku kepada Syamsiah. Aku menyucuh rokok daun. Sedut dan hembus asap. Tembakau Jawa yang aku beli di kedai Mamak kelmarin cukup lembut.

“Dapat tin-tin kosong je, bang…” Lembut suara Syamsiah. Getaran suaranya meluru terus menikam ke tangkai jantung hatiku. Tersirap darah lelaki membangkitkan nafsu serakah yang sudah lama menaruh harapan pada Syamsiah.

“Mesti ada lagi tu… Dapat lagi dalam 30 ringgit… tu… tu… besi, ambillah!” kataku kepada Syamsiah, melemparkan senyum penuh makna.

“Terima kasih, bang…” balas Syamsiah.

Aduh… Pedihnya ulu hatiku menyambut suara manja Syamsiah. Dua tahun suatu waktu agak lama, bukan sahaja untuk Syamsiah, untuk wanita-wanita janda lain juga begitu. Mereka terasa sunyi dan kesunyian itu perlu diisi oleh seorang lelaki. Ke situ pula aku pagi ini. Bukan datang untuk mencari rezeki yang halal, tetapi khayal melalut melihat punggung Syamsiah di hadapan. Sedangkan Munah, masih lagi mengcekau beberapa keping kotak, kemudian di susun ke atas lingkaran besi, botol-botol, dalam bakul motosikal roda tiga.

“Hari ni kita dapat 200 ringgit cukuplah,” kata Munah. Dia begitu tekun melakukan kerjanya. Tidak pernah buruk sangka kepadaku yang lebih banyak melilau ke arah Syamsiah sebelah sana. Sesekali, aku melontarkan tin kosong bekas air Coke, kemudian tin tu terkena punggung Syamsiah. Syamsiah tersenyum lebar. Geram betul aku melihat lontaran senyuman manis bibir Syamsiah.

“Abang cari apa tu? Bekas air ke? Bekas tu ada di sini, bang!” tegur Munah.

“Tak, tak, tak… Aku tengah menyikul timbunan sampah tu, Moon,” jawabku tergagap-gagap. Pandai pula Munah menyindir aku.

“Moon kata cari kerja lain, tak nak jawab…” balas Munah bersahaja.

“Kita bukan mencuri, Moon. Kerja ni mulia, walaupun dalam keadaan kotor.”

“Betullah… Tapi orang akan lihat abang tak berdaya. Tak kuat berfikir untuk mencari kerja lebih baik daripada yang ini.”

“Di sini, kota raya ni, apa kerja yang baik untuk kita?”

“Laaa, banyak bang. Tengok orang Indon datang sini dapat bawa balik wang berjuta-juta dengan hanya menjual air saja, masakan kita tak dapat. Kerajaan kita mesti menjaga hak dan kepentingan warganegara…” Leteran Munah agak panjang.

“Gerai tepi jalan tu, orang Indon punya,” katanya. “Restoran depan itu, Mamak punya…” tambahnya.

“Kita, mana? Selagi abang tak nak berubah, bagilah berbilion peruntukan mendapatkan pun, bangsa kita tak akan berubah!” sambung bebelan Munah.

“Buang tabiat ke datuk ni?” ngomel hati kecilku. “Bukan nak cari rezeki, tetapi banyak berleter pula dia. Kalaulah dia jadi ketua rumahtangga, baharu dia tahu betapa susahnya hendak mengendalikan kehidupan penuh mencabar ini. Usahkan hendak fikir tentang masa depan, nak cari makan sesuap pagi dan petang pun, macam ulat dalam batu.”

“Sampai bila, bang? Malulah kepada bangsa pendatang tu!” Suara Munah persis ekor buaya datang membedal otaknya.

“Malulah kepada bangsa Indon. Malulah kepada bangsa Mamak. Malulah kepada bangsa Bangla… Mereka datang ke sini sehelai sepinggang je, bang.”

Aku jadi lemas. Selama ini, Munah tidaklah menghabiskan masa dengan mulut becoknya. Apa kejadah Munah tiba-tiba jadi seperti langau menghurungi sampah. Dia tidak pernah meminta Munah ikut sama melakukan kerja-kerja itu. Baik Munah tinggal di rumah, membesarkan perut. Munah bukan perempuan janda macam Syamsiah. Dia ada suami. Suami dia adalah aku.

Malaysiakini - Hutan jadi tempat buang sampah

“Brooommmmmm…”

Terkejut aku bukan kepalang apabila terdengar bunyi dengungan kuat seperti itu. Aku nampak timbunan sampah bergerak turun dari busut yang tinggi ke arah cerunan bukit yang dalam. Orang lain juga ternganga. Mereka berdiri sambil memandang ke arah bunyi kencang itu. “Sampah runtuh.” Hanya itu kata-kata tertangkap dalam fikiran. Belum lagi melihat siapakah mangsa yang terperangkap di bawah sampah itu.

“Eh, mana Moon? Mana Syamsiah?” Aku terkapai-kapai mencari sosok badan mereka.

“Lari!… Naik ke atas!” perintah pemandu buldozer sambil melompat turun dari kereta bebal itu.

Aku terpinga-pinga. Mana Munah? Mana Syamsiah? Mereka sudah tidak ada. Manakala yang lain sudah bergegas ke atas bukit. Aku dipapah oleh seseorang, heret sama ke atas. Dia berkata kepadaku:

“Bulan dan Mataharimu sudah tidak ada. Mereka terkambus dalam sampah itu!”

7. HIDUP ADALAH PERJUDIAN

​Mustafa sedar. Mustafa insaf. Hidup ini mesti ada keberanian! Dia akan membuat perubahan supaya kehidupan papa kedana dalam keluarganya akan terbebas!​Dan, kata Mustafa, kalau Salwa memberi perhatian yang sungguh-sungguh kepada kelas jahitan itu, dia akan dapat menguasai kemahiran menjahit yang tidak dimiliki oleh orang lain yang sama baya dengannya. Maka Salwa akan menjadi anak gadis yang lebih baik dari yang lainnya.​Dan sepanjang masa cuti sekolah begitulah Salwa boleh mencari ilmu tambahan. Sekurang-kurang hendak menjahit baju sendiri tidak payah bersusah-susah mengupah tukang jahit, malah boleh ambil upah sebagai sumber pendapatan tambahan. Fikir Mustafa lagi.​“Mmm, abang tu, bila nak pergi buat ujian bagi mendapatkan lesen memandu?” tanya Salwa. Dia bangkit dari situ kemudian memetik suiz kipas. Kipas berkelabu di siling berputar. Mula-mula perlahan, semakin ligat dan pantas. Menghamburkan angin ke ruang tamu menjadi sedikit dingin. Salwa kembali ke kerusinya tadi. “Dah lulus pun.” Jawab Mustafa ringkas. “Aiiik, bila abang pergi ke sana?” “Minggu lepas.” “Dah berjaya? Cepat benar!” Salwa kaget. Tidak tersedar dia bila abang Mustafa pergi memasuki ujian memandu. Rajin betul abang Mustafa. Getus hati kecilnya. Mustafa hanya tersenyum sumbing. Sekurang-kurangnya, cara tindakan dia macam itu menyebabkan adik-adiknya kagum dan akan meniru cara berfikir dan bertindak yang dilakukannya. “Wa tak mengaji Quran hari ni?” tanya Mustafa. “Wa uzur syar’elah bang, tapi adik Ma pergi.” Jawab Salwa pantas. “Berapa jus lagi nak khatam?” “Satu juzuk saja lagi.” “Dah berapa kali khatam?” “Tahun ni dah tiga kali.” “Tiga? Hoiii, rajin betul adik abang ni.” “Abang Mus macam mana?” “Baru sekali. Itupun pada bulan puasa. Abang fikir Tok Guru dah kurang menegur bacaan tajwid. Hanya ada beberapa tempat saja lagi.” “Kalau kita bersungguh-sungguh semuanya dapat dicapai, bang.” “Betul tu. Adik Ma bagaimana?” “Entah, dia tak cakap pun.” Jawab Salwa. Muslim diam. Dia bangun dari situ. Berjalan mendekati almari antik. Di atas almari itu terletak beberapa naskah kitab. Dia ambil dua diantara kitab-kitab yang ada. Dia membaca kitab itu sehelai demi sehelai. “Kitab apa tu bang?” tanya Salwa. “Kitab tentang sembahyang.” “Oh, kitab yang diajar oleh Ustaz Pirdaus tu ke?” “Ya lah.” “Bagus keterangannya ya, bang!” “Memang bagus. Semua kitab agama bagus. Tak ada yang mengajar perkara yang tidak baik. Apatah lagi kalau diamalkan. Lagi elok. Dapat membentuk personaliti pembacanya.” Jawab Mustafa. “Berapa kali Tuan Guru Haji Firdaus mengajar di masjid?”tanya Salwa lagi. “Tiap-tiap malam.” “Ramai orang menelaah kitab?” “Tentulah.Ada yang sudah membuat pondok dekat masjid tu.” “Semakin besar,semakin maju.” “Dia pun semakin terkenal.” “Orang-orang di sekitar sini semuanya datang ke sini semuanya datang ke sini untuk belajar agama.Penduduk kampung Chempaka Wangi sendiri,kampung Banggol Mak Lara, kampung Tempua Bersarang,kampung Bechah Nyenyak, kampung Kubang Gatal.” “Orang jauh-jauh pun ikut datang belajar,Wa tau abang memang seronok ikut menelaah kitab dengan Tuan Guru Haji Firdaus tu…”sambung Mustafa. Bila bercakap tentang itu Muslim bagaikan tidak mahu berhenti.Kalau bercakap sampai berbuih mulut pun,tidak mengapa.Tambah-tambah lagi semenjak akhir-akhir ini, Muslim selalu benar ke masjid.Dia masuk ke masjid sembahyang sunat iktikaf dan duduk berzikir sambil menunggu waktu sembahyang zohor.Hatinya senang dan tenang.Entah mengapa dia suka begitu. “Ilmu agama ini semakin banyak yang dipelajari semakin banyak pula yang dirasakan tidak tahu….” Mustafa teringat kata-kata Tuan Guru Haji Firdaus suatu malam.Kata-kata itu bagaikan mengajak Muslim supaya meneruskan cita-citanya. “Pelajaran agama tidak sahaja belajar tentang sembahyang dan berzikir,agama juga ada sangkut-paut dengan ekonomi, sosial dan politik. Kehidupan beragama tidak boleh dipisahkan daripada orang islam…”sambung Tuan Guru lagi. Mustafa ingat dengan jelas ucapan itu. Hanya dengan cara itu sahaja Mustafa dapat menghalau rasa sunyi yang terapung dalam perasaannya sekarang. Sunyi kerana putus kasih dan hilang sayang dengan ibu, dan sunyi kerana rimbunan tempat berteduh sudah patah terkulai layu. Dia mesti bekerja lebih tekun, rajin dan kuat mulai sekarang demi untuk meneruskan perjuangan hidup yang entah di mana hujungnya itu. Sehekter kebun getah yang sedang ditoreh. Sebidang tanah tanah sawah yang belum disemai padi. Sebidang tanah tapak rumah yang ditinggalkan oleh arwah bapanya. Dan sebuah rumah yang didudukinya kini bersama adik-adik dua orang itu juga peninggalan orang tuanya. Sebanjar rumah kedai lima pintu itu mempunyai sejarah yang begitu panjang. Mustafa cuba membilang setiap orang penghuni yang tinggal di dalamnya. Dia dapat mengenali kesemuanya. Di kiri dan kanan jalan berderetan kedai demikian. Di penghujung jalan ada sebuah balai polis dengan sebuah bangunan pejabat dan lokap, dua bangunan quarters atau berek polis. Ke hadapan bangunan balai polis itu terletak stesen keretapi yang uzur yang hendak roboh. Mustafa sempat menghidu baun udara pekan kecil Tok Uban yang penuh dengan sejarah panjang itu. Udara dari baroh sawah padi meruap ke permukaanBumi dan bercampur-baur dengan udara longkang. Kadang-kadang suasana pekan kecil ini kelihatan begitu menarik. Di sebelah utara terletak dua buah sekolah. Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Di sekolah itulah Salwa dan Salma belajar dari darjah satu sampai tingkatan lima. Sementara Mustafa tidak sempat belajar di situ, dia Cuma belajar dari darjah satu hingga darjah enam dan tingkatan satu sampai tiga. Manakala tingkatan empat, lima dan enam beliau belajar di Sekolah Datok Paduka di bandar Pasir Mas. Tingkatan empat, lima dan enam belum ada di sekolah dekat dengan pekan Tok Uban ketika itu.Sama ada berjaya atau tidak. Mustafa terpaksa berhenti belajar. Mustafa mahu memberi peluang kepada adik-adiknya yang dua orang itu. Mungkin pelajarannya hanya dapat dicapai hanya setakat itu sahaja. Tetapi dalam diam-diam, dalam hati kecil Mustafa, dia akan terus belajar. Bentaknya keras. Bentakan hati kecilnya itu keras dan pejal memangkah perdu hati. Dia bertekad akan belajar bersungguh-sungguh. Belajar dalam apa sahaja bidang ilmu yang dapat dipelajari. Dia akan belajar agama di masjid. Dia mahu menadah kitab dengan Tuan Guru di masjid. Sebab Mustafa fikir, ilmu agama yang dia perolehi tidak sebanyak mana. Dia dapat ilmu pun melalui keturunan. Mustafa melihat ke arah jam di dinding yang kelihatan bersendirian dengan ayunan bandulnya ke hulu dan ke hilir. Jam antik kesayangan bapa, bisik hatinya. Jam dinding itu juga bagaikan faham terhadap pemergaian bapa Mustafa dan kesedihan yang mengepung perasaan mereka. Tepat pukul tiga, penukul besi yang terletak sebelah dalam mengetuk tiang besi dengankuat dan kedengar bunyi detingan sebanyak tiga kali. Pancaran matahari yang segar, mulai meluntur dan pudar apabila bebola api itu bergolek merendah ke atas kampung. Minggu hadapan Mustafa akan memulakan kerjaya yang sudah dirancangkan. Dia terpaksa bangun lebih awal, sebelum matahari terbit diufuk timur, dia mesti menunggang motosikal ke bandar sejauh sepuluh kilometer dari situ. Sebelah pagi, ikan-ikan dari Selatan Thailand, Genting, Pantai Sabak dan Tok Bali akan sampai. Ikan segar waktu pagi akan dibelinya. Diasing-asingkan ke dalam beg plastik dengan harga yang berpatutan. Ditambah lagi dengan sayur-sayuran. Kueh-mueh. Ulam-ulaman. Penuh di atas motorsikalnya. Bubuh dalam tong dan disangkut pada bingkai tong. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Itulah prinsip Mustafa. Dia akan menjaja ke sekeliling kampung. Masuk kampung keluar kampung. Horn motorsikal dibunyikan setiap kali melalui rumah penduduk kampung. “Pong! Pong! Pong!” Begitulah bunyinya. Dia nekad dengan pelan kerjanya. Dia kena bersusah sedikit sebelum mendapat kesenangan.

6. MENONGKAH BADAI

Hanya Maksu sahaja tempat dia mengadu. Ayah sudah tujuh hari meninggal dunia. Ibu Muslim memang sudah lama berpisah dari mereka tiga beradik itu. Dua tahun lalu . Tentu jarak dua tahun begitu lama. Bibit – bibit rindu dan kasih masih terasa melekat dilubuk hati. Tiba – tiba ayah mereka pula pulang ke rahmatullah buat selama – lamanya.​ “Muslim…” kata Tih Lijah memecah kesunyian itu. Muslim berpaling, memandang Tih Lijah dengan wajah yang ngilu.​“Tih ….” Suaranya lemah.​“Kau tinggallah di rumah ini. Kau tak payah bayar sewanya. Kalau ada apa – apa beritahulah kepada Tih.” Kata Tih Lijah yang bertubuh gemuk itu.​“Allahuakhbar!” Muslim seakan – akan mahu meraung begitu. Tetapi kerana masih menyedari bahawa dia belum hilang akal, maka perkataan itu hanya terkeluar dengan lembut sahaja.​“Mengapa, Mus?” Tanya Tih Lijahnya. Mak saudara yang dipanggil Tih Lijah itu mendekati Muslim dan membelai bahu Muslim yang tidak berbaju itu. Muslim geleng kepala.​“Terserahlah!” keluh Muslim.​“Terserah apa, Muslim?” Tanya Tih Lijah lagi.​“Adik-adik.” Jawab Muslim.​“Kenapa?” Ulang Tih Lijah. Tangan Tih Lijah masih membelai bahu Muslim yang berkulit sawo matang itu.​“Adik-adik Mus perlu meneruskan persekolahannya. Mus terpaksa berhenti belajar…. Barangkali cukup setakat ini pelajaran Mus, Tih.” Jelas Muslim.​“Hmm, aku pun tak dapat berbuat apa – apa Mus. Mus jangan fikir Tih tidak mahu menolong kamu adik-beradik. Keluarga Tih juga besar Mus. Bayangkan sepuluh orang anak, sedangkan yang bekerja hanya Paktih kau seorang sahaja. Tih tak boleh bekerja penat. Roslan tentu perlukan wang untuk pendaftaran di Universiti kalau dia berjaya dalam STPM nanti. Lepas itu adik-adiknya. Hendak itu, hendak ini. Maafkan Tih, Mus.” Tih Lijah menangis. Dia cukup kesal kerana tidak dapat menolong Muslim. Tih Lijah mencapai perca kain batik lepas kemudian menyapu air matanya cepat-cepat.​“Mus faham Tih. Jangan khuatirkan kami , Mus berjanji akan berusaha untuk menyara hidup kami adik-beradik.” Jawab Muslim cuba menenangkan perasaan Tih Lijah yang terkilan. Muslim tahu benar keadaan Tih Lijah yang bekerja sebagai Tok Peraih itu. Jika musim rezeki murah, banyaklah mereka dapat untung. Jika tidak hutang keliling pinggang. Hendakkan harapkan Pak Tih seorang manakan cukup hendak tanggung keluarga. Desis hati Muslim.​“Cuma Tih Lijah boleh cakapkan kau orang begini; jika kau ada apa-apa maslah tolong beritahu Tih. Jika Tih boleh tolong Tih akan tolong. Jika tidak kita berserah kepada Allah sahaja.” Mata Tih Lijah kelihatan merah dan berair.​“Insyallah Tih. Tetapi Tih usah khuatir, selagi tubuh Muslim sihat dan segar, Muslim akan berusaha. Muslim akan bekerja untuk mencari wang untuk membiayai persekolahan adik-adik.” Kata Muslim dengan yakin dan berani.​“Apa kerja yang hendak kau buat, Mus?” Tanya mak saudaranya.​“Entah, motosikal arwah ayah ada tapi lessen memandu pula tak ada. Kalau tidak Mus boleh menjaga ikan dan sayur sekeliling kampong.” Kata Muslim. Mak saudaranya termenung sebentar. Kemudian dai memandang kepada Muslim.​“Dulu aku pernah berhutang dengan arwah ayahmu sebanyak dua ratus ringgit. Kalau kau mahu ambillah.” Beritahu Tih Lijah.​“Elok juga tu, Tih. Boleh Mus gunakan untuk belajar memandu. Belanjanya sebanyak seratus limapuluh ringgit sahaja. Bila dah dapat lesen memandu nanti, senanglah sikit Muslim cari kerja. Sekarang orang pergi kerja tak naik basikal atau jalan kaki. Hendak naik bas tak cukup.” Muslim memandang kepada Tih Lijah.​“Kalau macam tu, eloklah. Nanti Tih pulang dan beritahu kepada Pak Tih. Dia bawa ke sini esok atau lusa.”​“Tak payah nak gopoh-gopoh, Tih. Selepas empat puluh hari ini pun baik. Masa ini Mus hajatnya nak menziarahi kubur. Mus hendak menghadiahkan pahala Al-Fatihah sepatah selidah.”​“Alhamdulillah… ingat juga kau pada ayahmu. Begitulah yang sepatutnya, Mus. Pergilah… Pergilah menziarah kubur ayah dan ibumu,” kata Tih Lijah sambil menepuk-nepuk bahu Muslim memuji sikap Muslim yang masih ingat kepada arwah ayah dan ibunya.​“Terima kasih, Tih. Dorongan Tih itu Mus hargai.”​“Hanya itu sahaja yang dapat Tih berikan…”​“Itupun lebih dari cukup Tih!”​“Oh, Tuhan… Tolonglah anak yatim piatu ini. Berikanlah kekayaan dunia dan akhirat untuk kami… Amin.” Muslim berdoa ngilu, Tih Lijah tidak dapat menahan perasaannya. Suara ucapan doa Muslim begitu menusuk kalbunya.​“Terima kasih, Tih!” Ulang Muslim melihat telatah mak saudaranya itu, kalau mak saudara Muslim yang dua orang lagi macam Tih Lijah alangkah baiknya? Fikir Muslim. Tetapi kata orang tua-tua; banyak orang semakin banyak ragamnya, kalau tidak di mana kekayaan Allah. Itulah tandanya Tuhan itu Maha Kaya, menjadikan sesuatu tidak menyerupai antara satu sama lain. Fikir Muslim dalam hati.​“Jadi bila kau nak belajar memandu tu, Muslim?” Tanya Tih Lijah lagi cuba mempastikan. Muslim tidak menjawab. Dia hanya diam sahaja. Dia tunduk ke bawah mencebek-cebek hujng tikar mengkuang yang kian lusuh itu.​“Tengoklah sehari dua ni…” “ Kalau macam tu, biarlah Pak Tih cari wang yang kau nak tu lebih awal. Dapat kau bayar belajar memandu tu.” “Mus ikut Tih aje.” Jawab Muslim guntai. “Tih pun takda wang, tapi kita ikhtiarlah Mus. Hidup zaman moden ni kena banyak berikhtiar. Tak boleh berpelok tubuh aje…” “Betul cakap Tih tu. Mus yakin, Mus boleh hidup macam orang lain juga. Mus yakin suatu hari nanti Mus dan adik-adik Mus akan mengecap kebahagiaan.” “Baguslah tu, Mus. Payah hendak cari budak yang bersemangat macam kau ni… Hm! Tengoklah si Anuar tu…Eee, manja! Macam orang perempuan aje.” “Jangan cakap macam tu Tih. Anuar ada kelebihan tersendiri Tih…” “Entahlah, aku tak nampak apa kelebihan si Nuar tu…” “Aii, Tih bukan tak tau, kalau dalam bilik darjah si Anuarlah jagoh. Dengan cikgu, dengan professor yang datang buat motivasi, dalam dialog budaya di sekolah, dialah yang bangun berbahas, bercakap dan berbincang!” Bentak Muslim. “Entahlah Muslim, Tih tak faham-faham…” “Ha.ha..Tih…Tih…” Muslim tarik nafas. Dia mendekati mak saudaranya itu dengan lemah-lembut. Muslim membelai manja dan katanya; “Anuar pelajar pintar Tih. Idea dan hujahnya menyebabkan ahli penal tegang dan terpaksa menghurai dengan panjang-lebar.” Jelas Muslim bangga dengan sepupunya. “Iyalah, iyalah…” Tih Lijah diam sahaja mendengar penerangan Muslim mengenai anaknya itu. Tetapi wajah Tih Lijah cukup gembira mendengar pengakuan Muslim itu. Senang hati kecilnya. Sejuk perut ibu mengandungkan Anuar. “Tih tau tidak?” “Apa dia?” “Kalau Anuar dapat keputusan cemerlang macam si Siti Azalina tu, bukankah bertuahnya kita…” “Hah!” “Ya, Tih… Mus ni apalah yang ada. Tak sempat hendak meneruskan pengajian. Harapan Mus mahu terus belajar tapi apakan daya…” “Sabar ajelah Mus. Sabar tu separuh dari imam. Sabar tu bantera hidup!” “Mus percaya dan cukup yakin, Anuar akan dapat memasuki Universiti. Beliau seorang pelajar yang rajin Tih..” Kepala lelaki yang bersemutal dengan kain batik lepas itu kelihatan terjengok-jengok ke atas rumah. Dia cuba memastikan salamnya dijawab. Suasana rumah yang berlatarkan pokok-pokok bunga yang tengah kembang itu cukup sunyi. Latar warna hijau pohon-pohon rambutan, duku, langsat dan pohon-pohon getah cukup menyuburkan fikiran. Tertarik pula Muslim berada lama di situ.

5. GENTA ALAM

KETIKA usianya sudah genap lima puluh tiga tahun, semenjak Mat terbebas dari belenggu yang merantai kemerdekaan dirinya, Mat diterkam oleh rasa menyesal bertubi kali. Mat membelek. Mat menilik. Mat menimbang. Mat melihat. Mat berfikir betapa dirinya sudah terhias dengan segala kecantikan dan kemudahan.Ruang laman yang luas menjangkau sebuah lautan yang berpotensi sebagai laluan kapal-kapal dagang, hatta lanun moden berkeliaran membina kebobrokan. Dalam sebuah diri dan sebuah istana, sebuah impian dan angan-angan, begitu juga sebuah mimpi mahupun ilusi, tercatatan gurisan hidup kepada dua unsur iaitu unsur jahat dan unsur baik.Mat juga teramat faham tentang semuanya itu. Dan manusia seluruh dunia sudah mengenali siapa dia. Barak Obama, Osama bin Laden, atau sesiapa yang menjadi pemimpin dunia sesekali menyatakan kekagumannya sebagai makhlok yang hidup dan menjadi juara buat masa ini. Juara kemakmuran. Juara kesejahteraan. Juara perpaduan. Juara dalam segala juara.Dan Mat juga sedar lagi insaf bahawa kesemuanya terjadi atas usaha titik peluhnya yang dipugarkan dari tanah, kebun, dusun, sungai, tasik, paya, laut, gunung-ganang, bukit dan bukau. Mat mewarisi harta dari datok neneknya yang cukup luas; tanah pamah yang subur, hutan hujan tropika yang nyaman, tasek dan sungai yang jernih, laut yang kaya dengan sumber rezeki, bukit-bukau dan gunung-ganang yang tinggi serta indah pada pandangan mata. Mat bahagia. Mat tidak menghiraukan kepada sesiapa yang melobi kekuatan dan kuasa!Mat dengan segala kehebatannya, membengahkan kepalanya, sambil menyedut bayu laut yang berpuputan mendaki ke kawasan tinggi melalui lurah, bukit dan gunung. Mat berasa teramat segar pula terbaring di ranjang dunia, di atas pelantar selat dan laut dan dikatakan terbebas dari lingkaran gunung berapi. Dia menghembus udara keluar perlahan-lahan. Hembusannya terhalang oleh sebuah pulau yang sendat dengan kehidupan manusia.Pandangannya tertampang lagi pada rimba batu yang bercambah dan tumbuh semakin meninggi menggapai awan-gemawan di pulau itu, yang sudah menjadi terasing dari tubuhnya. Suasana kalut, gelojoh, sibuk, semuanya mahu cepat, pantas, laju, bangat, lekas, menjadi sifat kendiri kepada manusia yang tinggal dan dikenali sebagai wargakota dalam rimbunan hutan batu.“Hello, kawan! Kenapa kau nampak runsing? Sepatutnya aku yang lebih banyak memikirkan tentang kejadian durjana yang seringkali menimpa ke atas diriku… Dan kau juga selalu membantu anak buah aku bagi meringankan beban penderitaan itu.” Tiba-tiba Muliawan, temannya dari pinggir laut Pasifik, menarik kakinya dari terjulur bermain batu-batu karang yang kian pupus ke jurang dalam. Dia kegelian apabila misai jerung menggeletek betisnya.“Cuba kau lihat apa yang sudah terjadi kepada duniaku dan duniamu. Kita tidak serupa tetapi ada persamaannya. Aku ada rimba tropika, rimba batu, kaupun apa kurangnya. Rimba ciptaan manusia kelihatan semakin panas dan hampak, sementara rimba keaslian dan semulajadi kian dibotakkan. Inilah yang membimbangkan aku. Aku risau kepada pewarisku yang sedang dilahir dan akan dilahirkan!” Jawab Mat, dengan suara sang juara yang sering mendapat kemenangan dan kesenangan.“Apa bezanya denganku? Cuma engkau mungkin lebih goblok, sedang aku agak perlahan-lahan dibangunkan melalui kerja-kerja penerokaan yang tidak berhati perut. Ditebas-tebang hutan belukarku, dibakar hangus kayu-kayan hingga asapnya mengepung se Nusantara. Hebat jugakan?” kata Muliawan dari jauh. Dia memerhatikan sekumpulan ikan lumba-lumba berwarna kebiruan membuat lompatan dipermukaan laut Pasifik yang kelabu.“Hai, entahlah… Pada aku tiada apa yang hebatnya. Cuba kita tengok tu, hutan-hutan merbau, meranti bukit, cengal, habis ditumbangkan hingga tiada apa lagi menjadi penaung pada sekumpulan hidupan liar yang sudah memasuki perkampungan manusia dan mereka bermaharajalela membunuh tanpa belas kasihan.” Mat melontarkan pandangannya ke tengah Laut China Selatan, pandangannya melilau membilang kapal dagang yang semakin bertambah.“Apa lagi sepanjang Selat Melaka yang menjadi tempat sepermainan kita sejak dahulu kian sibuk dengan kenderaan. Apakah kita mesti membina sebuah lampu isyarat di muka kuala selat? Sekurang-kurangnya kita ada kawalan keselamatan. Bagaimana dengan teman-teman kita yang lain?” cadang Muliawan sambil menyeringaikan giginya yang kelihatan jarang-jarang dan wajahnya kelihatan pucat serta kering.“Aku setuju. Dan atas budi bicara kita juga, kita perlu melibatkan rakan-rakan sepermainan yang lain. Chiew di atas Pulau Temasik, Awang di Sungai Begawan Solo perlu diajak berunding. Ini untuk masa depan kita. Air laut sudah menjadi cemar. Sisa toksid yang dibuang atau tersengaja dibuang, atau tidak sengaja terbuang membunuh habitat laut. Sampah-sarap, daki-daki minyak hanyut dipermukaan air membenteng oksigen untuk hidupan itu. Tidak lama lagi… Tidak lama lagi kita kehilangan sumber rezeki yang tidak boleh diciptakan oleh teknologi!” Mat terkedu. Wajahnya berkerut. Ngeri dia mengenangkan masa hadapan yang cukup kelam untuk pewaris alam.“Jadi, bila? Bila majlis perundingan itu hendak diadakan?” gesa Muliawan. Dia memandang Mat yang kemurungan mengerahkan segenap benaknya untuk mencari idea.“Apa yang masih kita takutkan?” desak Muliawan lagi.“Kita jemput sama New York, London, Tokyo, Beijing menghadiri mesyuarat itu.” Mat tidak menjawab, tetapi meminta kepastian dari Muliawan.“Tidak perlu! selat dan laut ini milik kita. Kita ada hak terhadap beberapa batu nautika. Dan laluan ini adalah di hadapan halaman rumah kita. Marilah kita ceriakan taman Nusantara ini untuk anak cucu kita.” Ujar Muliawan, tidak sabar-sabar lagi. Dia bangkit dari pentas Sunda yang sudah beberapa kali bergoncang oleh gegaran gempa.Genta alam semakin reput dan bertambah tua. Teras genta dimakan usia yang entah berapa trillion tahun dicipta oleh Rabbul Jalal yang bersemayan di atas Arasy Yang Maha Tinggi. Sekali gegaran hanya 9.5 skala richter paling kuat, sudah menghancurkan berpuluh daerah kehidupan manusia seantero dunia dan beratus ribu nyawa terbang melayang. Diikuti oleh getaran-getaran kecil yang lain, telah menganjak kedudukan kerak bumi dari alam asli kepada peta dunia yang baru.“Baiklah, aku faham apa yang dihasratkan olehmu Mulia, aku akan hantar surat kepada kawan-kawan kita di Nusantara ini. Kita bincang di kotaku. Kita bentuk suatu jawatankuasa penaja awal, kemudian diikuti oleh siri-siri temubual bagi mendapatkan pandangan supaya kawalan di pintu laluan dapat diadakan segera. Sebab ini adalah tanggungjawab kita bersama.” Mat menjawab dengan nada suara yang penat serta meletihkan.Belumpun selesai memikirkan tentang rimba hutan hujan tropika miliknya, sudah diwartakan pula oleh Muliawan ceritera selat dan laut yang semakin tidak selamat untuk dihuni oleh berjuta hidupan spesies ikan. Gejala ini perlu segera diusahakan, tidak boleh memandang sebelah mata dengan membiarkan angkara perbuatan manusia rakus memusnah hidup mereka sendiri.“Seandainya dibiarkan… setahun demi setahun pencemaran dibuang ke dalam laut. Minyak dan sisa toksid terhampar di atas lambungan ombak. Bayangkan bagaimana keperluan kita semakin tiada dan hilang? Bayangkan!” Suara Muliawan merayu-rayu kepada Mat supaya memanggil semua yang ada bercakap dalam sebuah persidangan membicarakan khusus perkara itu untuk masa depan.“Benar! Sekaranglah masanya kita bertindak; memulihkan semula anugerah Tuhan kepada asalnya, agar hayat manusia boleh dipanjangkan oleh kemurnian dan kesejahteraan. Tapi apakan daya, siapakah kita? Inilah persoalannya.” Mat terduduk di atas lambung negara sebelah timur.Tangan kiri ditekankan pada Pulau Borneo yang masih segar dengan kehijauan. Dia memerhatikan beburung wallet berterbangan di pinggiran gunung-ganang, berkicauan, kemudian melayah ke dinding gua membuat sarang baru dengan airliornya. Dua orang pemajak gua itu memanjat sigai (tangga buluh) yang dibina bertingkat-tingkat semenjak sepuluh tahun lalu, tangga itu sering ditukar baru untuk mempastikan ianya kukuh dan boleh diguna lagi.Mat terasa senang hati memerhati gelagat pemungut sarang burung wallet itu. Kemudian Mat melihat rumah Awang di pinggir sungai Begawan Solo. Air sungai Begawan sejuk kedinginan meruap ke udara. Arus jernih mengalir dari hulu ke muara dengan tenang. Awang masih tidur, Mat tidak bercadang hendak mengejutkannya. Awang mudah dibawa berunding, biarkan dia menghabiskan sisa hari dengan tidur yang lena.Dari situ Mat menyapa Prasit yang sedang meratah sup babi di tepi sungai Menan Cho Praya, di tengah-tengah kota Bangkok. Dia tersengih tetapi tidak berkata apa-apa. Prasit kelihatan sibuk dan kalut dalam suasana tegang dan pening. Mungkin dia minum terlalu banyak arak dari anggur hitam dari Dataran Korat. Biarkan dia, untuk sementara kerana bila api ammarah mulai reda, Prasit boleh dijemput semula.Mat perlu segera. Muliawan sedang menunggu berita perkhabaran di Bukit Siguntang. Dari situ Mat ke tasek Tonle Sap. Singgah di kampung Melayu Cham dan makan nasi berlauk gulai ayam kampung. Mat pergi melihat pagoda-pagoda lama yang ditinggalkan sebagai pewaris dunia seperti juga Chandi Borobodur. Mat ceritakan kesah sebenar dia ke situ. Semuanya mengaminkan.Dan Mat tiba di Sungai Mekong. Dia berasa sedikit terasing, suasananya dirasakan baru dibangunkan dari pengalaman pedih menyiksakan. Seperti juga di tasek besar Tonle Sap, kelihatan debu-debu masih berterbangan dijalanan. Suasana sepi dan sunyi lagi muram hinggap di mana-mana, tidak seperti di sungai Klang yang kian hilang identitinya. Kata-kata Muliawan masih terngiang-ngiang dalam fikirannya. Pada isi ucapan memang bertenaga tetapi Mat tahu, Muliawan juga dalam kepenatan kemiskinan yang melata. Mereka terlalu mengharapkan Mat melakukan perubahan untuk Nusantara ini. Cuma sedikit teruja apabila berhadapan dengan Chiew.Tiba-tiba langkah Mat terhenti. Dia termenung panjang di puncak Banjaran Titi Wangsa. Bukan Genting Highland yang kelihatan kesamaran dalam litupan kabus dan kedinginan malam. Wajah Chiew seperti jin Bota Mahwajawana dalam cerita wayang kulit. Mat perlu bersiapsiaga menghadapi Chiew kerana berbicara dengannya perlu kepada suatu pendirian, perhitungan dan berhemah.Inilah satu-satunya manusia degil yang susah diajak berbincang! Kata Mat diam-diam. Mat menarik nafas hingga kelihatan dadanya bergerak naik ke atas, gagah. Setiap manusia tiada lebih dan tiada kurang diantara satu sama lain, kecuali budi bahasanya yang bermula dari hati kecil, boleh menutup segala kemegahan. Getus fikiran Mat.‘Sidang Kelautan agenda penting untuk keselamatan dunia dan alam!’ ulang Mat bertali-temali dalam kotak fikirnya. Segala isi perut laut, selat dan sungai perlu di selamatkan dari pupus dan hilang sebagai sumber makanan.Mat semakin terharu, kelu, dan ngilu ketika akalnya singgah menyaksi nasib alam buana yang bertambah malap dan suram. Dia menangis tanpa sedu.

4. PADA SATU BICARA

Suara hati nan luka.Aku merayu kepadamu yang menghilangkan diri entah ke mana, engkau membawa diri tanpa jiwa persis sang margastua pada habitatnya kering gersang, tanpa wap dan udara membawa awan-gemawan. Panas seluruh qalbu tersiksa oleh duka nestapa yang menjelekit luka pada dinding sanubari tercalar-balar.​Wahai, tiada jua darah merah menitis pada jalanan kembara hidup ini, biarpun sejuta kali daging dilapah nan parah. Engkau biarkan aku bersendirian memburu kasih dan cintamu yang entah ke mana menghilang. Hanya namamu bermain dalam istanaku, juga tanpa wajah dan dirimu.​Mungkinkah engkau hanya menjelma pada saat aku memerlukanmu. Maka kasihmu tiba-tiba jatuh pada vakuman sunyi istana seorang biduanda. Pada lapaz dan harokat ayat-ayat cintamu ketika sama-sama berkhalwat di wad kedi yang suci, terbening sejuta lembayung harap membayangi perasaanku.​Benarlah, engkau tiba-tiba menghilangkan diri ketika aku mengintai sekujur tubuh mogelmu dari kamar jiwa ini. Aku menyaksikan arus perasaanmu bergetaran dalam alur rasa yang sengaja ditahan. Ternyata semuanya sudah membengkak. Tiada siapa yang tahu longlainya langkah yang kita aturkan dan masing-masing terpenjara dalam perangkap sir cinta yang rahsia.​Aduh, sakitnya qamar jiwaku menahan bengkaknya rahsia hati ini. Engkaupun juga sama, dari wajah pucat lesimu, terkuak seribu citra aroma munajat kasih pada seorang aduka, sedang sekujur diri sudah lama terkesima dalam dakapan seorang suami. Apa dayaku putera Sang Persata Nala yang kecundang, terkising-kising dan tersengih-sengih membawa cuka nestapa ke gua persembunyian memasang kemenyan di dalam dupa.​Kelih ke kiri, kelih ke kanan, tiada siapa yang muncul membisikkan berita gembira buat mengubat luka ini. Hanya angin berkisar dalam siratan berahi senja bagai malu mengatakan bahawa engkau sedang terlena oleh keletihan menganyam sebu dari kejauhan. Siapa berani membuka langkah untuk keluar dari taman terlarang ini? Di sini mulai kita sedar betapa nilai kasih seorang isteriku dan seorang suamimu yang setia diluar batas kemampuan yang terhukum.​Memang perit aku merentasi lautan api ini. Tiada rasa untuk aku nikmati. Tiada sinar untuk aku pandangi alam maya ini. Tiada. Aku menjadi kosong seperti huruf pada cetakan kertas yang dilipat-lipatkan dan aku yang kosong itu berada di dalamnya. Betapa keras panahan ini memangkas perdu rindu hingga tertutup hijab pada cintaku terdekat, sebaliknya memandang sebuah fatamorgana hipokrit nan jauh.​“Nyah kau dari jiwaku! Aku sudah bosan dengan kedatanganmu. Di dalam diriku tiada apa-apa yang hendak kau carikan. Hanya seorang aku yang kau kenal. Seorang aduka dilahirkan pada jagatraya dan bernama. Pergi berambus kau!” lemah aku di ranjang istana ini. Tiada siapa yang datang, apa lagi engkau yang ketakutan untuk menghulurkan tangan, apatah lagi suara perempuanmu.​“Aku tak boleh pergi, aku sudah menyukaimu aduka, biarkanlah kasih berada dalam kota hatimu. Aku senang dengan bahtera yang kau naiki. Biar gelombang setinggi langit, aku tetap berpaut pada tiang layar utamamu. Dan aku harap kau tidak menembak hayatku.”“Ya, Allah, mengapa kau datang lagi ke dalam hatiku? Aku sudah tidak bermaya. Tolonglah aku. Aku insan biasa seperti suamimu juga. Dan aku takut untuk memberikan sebuah pengorbanan buatmu.”​“Dan tiada siapa yang tahu kecuali aku, kau dan Tuhanku. Ini hanya getaran sirru sir di dalam dada yang tiada tertahan.Cinta kasih yang tiba-tiba berketak di dalam qalbu ini menjelma sedemikian pantas dan terus melekat pada kebun subur di dalam jiwamu.”​“Aku tidak berdaya…”​“Bagaimana seorang satria dan adi demikian tidak sanggup menoleh kembali sejarah batin tersiksa ini. Aku dipersada bumi bernama perempuan, sanggup menongkah arus yang berhalang, apa lagi maut!”​“Hah, hentikan sandiwara ini. Cukup hanya setakat ini sahaja. Semakin lama antara kita pendamkan khayalan, dalam ilusi ngeri, akhirnya ianya menjadi kenyataan. Segalanya aku rasa mudah sahaja.”​“Bagaimana? Nyatakan kata ‘mudah’mu itu. Aku juga mahu menyaksikan betapa mudahnya sebuah luka sembuh oleh sebuah rangkap nyanyian. Aku rasa bukan begitu. Ini hanya suatu ujian belaka kepada diriku dan kepada dirimu.”​“Tidak bisa. Kian aku lontarkan dia dengan takbir sekuat mana sekalipun, suara hati tetap datang memasuki qalbuku.” Aduh, betapa siksanya luka kerinduan ini. Rupa-rupanya begini wajahmu, begini kelakuanmu, begini perangai dan sifatmu. Inilah rahsia yang Allah bukakan kepadaku…Suara alam jagat.Ketika aku menjelajah dari segenap alamraya, aku mencari namamu di mana-mana. Dari banjaran ke banjaran tinggi aku melihat namamu timbul pada susukbentuk permukaan bumi dan terhampar wajahmu, aduka. Betapa engkau wujud dalam sunyi, hadir dalam kelam, muncul dalam nista.​Aku adalah nafasmu yang menyongsong keluar dari rongga dada, terbebas dari penjara jasadi dan terbang menuju jagatraya. Aku ketawa hilai dinuansa alam yang tidak ketahuan tengah dan tepinya ini. Aku mendengar ratap sendumu dari persada buana bersama-sama kerdipan bebintang.​Aduhai, ratapan batini dicelah jeriji hari menggegarkan nota-nota kuliah kehidupan yang kalian tulis pada tesis kedoktoran. Apa bicara jagatraya ini hanyalah mencipta sengketa belaka. Aku adalah angin. Dan angin adalah taufan yang bisa mengganas seperti seekor naga menjelirkan ekornya ke perut bumi sambil memutarkan kudratnya untuk meranap isi penghuni sewaktu tekanan panas dan sejuk terbikin diantara dua dinding seni itu.​“Siapapun kau, bawalah aku ke hadiratmu. Kau tahu aku sedang rindu pada seseorang. Dan kerinduan ini tidak mungkin terjadi. Hanyalah sebuah imaginasi yang tidak pernah menjadi kenyataan.”​“Kau boleh tanyai tanahmu, airmu, apimu. Mereka juga sebahagian dari alam jasadimu. Tidak adil jika kau memberatkan aku untuk mengubati sakitmu, aduka. Persilakan meredah angkasaraya ini. Jangan terlalu angkuh seperti aku. Kau adalah khalifah di mukabumi. Maka kau adalah kejadian yang terbaik dan yang tersempurna.’​“Marilah turun bersamaku, kita sama-sama berbicara di kaki bukit, di sana ada bebatu dan air terjun dingin yang lebih selesa. Mungkin api tidak suka begini, tetapi aku mohon dia ikut sama.”​“Baik aduka… Turunlah dengan langkah dan limbai seorang laksamana. Dengan paluan gedombak, gong, nafiri berbunyi mengiringi kau ke taman astaghina. Di sana kita teruskan bicara untuk mengangkat tabik wau beremas…”​Angin pun berhenti. Aku turun melayang-layang dipuput udara dingin. Tiada akal mengarang syair mahupun pantun asmaraloka. Aku masih kegeringan seperti hari-hari yang lalu. Di kaki bukit itu, aku nampak api sedang menunggu, tanah dan batu-batu juga tersenyum dari jauh. Air bersorak kegirangan sambil menepok-nepok ke pipi tebing anak sungai yang jernih airnya itu.​“Ahlan wasahlan, aduka! Ini taman kita. Mari kita lenangkan hayat kita di kedinginan alam ini. Di sini tiada siapa yang lebih dan tiada siapa yang kurang. Kita sama-sama ada kekuatan satriawan.” Kata bebatu yang bertenggek di tebing anak sungai itu.​“Yah, simpuhkan silamu di bawah sana supaya ruapan bebuli air yang berjuntaian boleh melembapkan dirimu. Aduka perlu menghamparkan karpet mutmainah di dalam jiwa nan kalut itu. Aku menasihatimu supaya jangan sekali-kali mendekatiku kerana aku adalah api.”​“Maka itu aku menjemputmu kemari. Kita sama meredah belantara jiwa yang sakit ini. Apakah perencah yang perlu kita ramukan dari sumber keaslian alam buana? Maka di mana silapnya hingga istana wadi ku bergetar dan bergoncang oleh tusukan kasih Sita Dewi yang sudah menjadi milik Dewata.” Aku melangsirkan diri di atas batu kehitaman itu, sambil menongkat kepalaku dengan tangan.​“Adakah engkau mahu mencari sengketa lagi? Sedangkan sudah dua kali api ammarah bisu’ memasuki dadamu? Pecah berkecai sel-sel murni di dalam kotak akalmu oleh pergeseran itu.” Tingkah api yang kesejukan. ​“Engkau tahu?” kataku.​“Mana tidak. Aku lah satu-satunya membakar nafsu jiwamu, hingga kejilahan sinar yang terbit dari dalam cerminan dirimu tersirna.” Dia berhenti, menyambar daun-daun dan ranting-ranting kering untuk menutupi dirinya. Api kian marak menyala.​“Betul, ketika itu kau di buai oleh kehebatan kewalian yang sufi. Martabat kau berada ditahap keempat, api membuka nafsumu dengan berselera dan menutupi sebelah pandangan ukhrawi, hingga kau tersasar ke lembah terhina lagi terkutuk.” Air dari kolam menyokong ceritera itu. Katanya lagi, bahawa itu kenyataan bukan sandiwara.​“Aku tahu petaka itu dan kini ianya menjengah kembali pada permukaan qalbuku. Bagaimana ini boleh terjadi. Tidak disangka dan dengan tiba-tiba. Aduh, letih aku…” Mataku berpinar-banar oleh silau-kemalau kekacauan hati.​“Hanya satu, kau lawan dan berjalan menentang arus keberahian diri. Tiada yang murnian disebalik igauan dan mimpi.” Pinta bebatu di hadapan air terjun yang bergulong-gulong itu.​Aku terdiam. Alam Jagatraya juga diam. Beburung berterbangan di ruang legar yang terdedah kepada pancaran suria pagi. ​​ KOSAKATA:1. vakuman – seolah-olah tiada apa-apa hatta udara.2. harokat – kepanjangan bicara.3. wad kedi – tempat persembunyian atau pertapaan para budish.4. sir – rahsia (sirru sir – yang teramat rahsia) – alam sufiah.5. terkesima – tercengang-cengang/ tergaman.6. dupa – tempat baker kemenyan.7. jagatraya – alam dunia8. berketak – terbuku dalam hati.9. jasadi – fiizikal10. nuansa – kelainan atau perbezaan yanh paling halus atau paling kecil lagi seni.11. tabik – ucap selamat, salam dan sebagainya.12. wau beremas – jiwa manusia.13. asmaraloka – alam percintaan.14. mutmainnah – nafsu yang tenang.15. ammarah bisu’ – nafsu jahat.16. sirna – musnah terpadam.

3. MATA HATI

ENTAH mengapa emosinya tertarik dengan lagu nahwan pada hari itu tidak melodi sobar, bayati atau sikah. Melalui irama nahwan dia melontarkan suaranya keluar semahu-mahunya. Ayat-ayat suci Al-Quran yang dihafalkannya semenjak tiga puluh tahun yang lalu itu terbang mendayu-dayu di bawa oleh udara dingin.Sesekali suara mengajinya mengatasi suasana riuh-rendah dan hiruk-pikuk, bersatu menjadi nada dengungan yang kuat. Pelbagai ragam, pelbagai tujuan, pelbagai impian bersimpang-siur dilorong-lorong jalan pasar dengan baun juga pelbagai aroma.​Memang jiwa Arun sebu. Ketika suaranya memuncak menyampaikan baris ayat-ayat yang menekankan keagungan Tuhan, maka bertambahlah keterharuannya sehingga buli-buli jernih dari kolam berjatuhan melelih ke pipi, tetapi tidak pula dia merasa susah menahan sedu-sedan yang bertali-temali itu, supaya tidak kelihatan kesyahduan hati yang menyerlah kehadirat Rabbul-Jalallah.​Jarum jam menunjukkan pukul sepuluh tiga puluh pagi. Perut anak jari hantu tangannya merasai pergerakkan jarum jam tangan yang terlekat kejap pada lengan tangan sebelah kiri. Memang jam berhuruf brill itu memberi erti yang besar dalam kehidupannya. Tanpa airlogi itu, dia tidak dapat memahami dan mengerti ketepatan waktu, sama ada pagi, petang, malam dan subuh, sebab kepada Arun, baik siang atau malam adalah sama sahaja.‘Terima kasih Tuhan! Teknologimu memudahkan orang-orang seperti Arun meneruskan kehidupan.’ Getus hati kecilnya dari sanubari halus yang dikatakan kejadian Latiffah-Rabbaniah itu..​Dunia memang sentiasa gelap. Tetapi hati Arun terbuka hijab melepasi sejuta pintu-pintu rahsia duniawi dan ukhrawi. Dari tempat dia duduk di atas kerusi kecil yang dibeli buat kali kesepuluh itu, hanya dapat memuatkan tubuh dan punggungnya duduk. Secara diam-diam, Arun cuba membilang batang tubuh yang sama-sama membentangkan tikar dan meja keramat memanggil rezeki di sepanjang jalan kecil di pasar itu.​Di hadapannya terletak sebuah kole plastik dengan warna kebiruan yang semakin pudar dan luntur. Dengan kole itu Arun menjelajah Malaysia dari satu negeri ke satu negeri, dari satu bandar ke satu bandar yang lain. Kadang-kadang dia tinggal seminggu di Ipoh, seminggu di Alor Setar, seminggu di Shah Alam, seminggu di Kuantan, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Seremban, Melaka, Kota Bharu, dan kembali ke rumah.Itulah rutin Arun selepas dia berkahwin dan hidup bersama dengan seorang wanita yang dipanggil isteri. Hanya itulah isteri yang disayanginya walau ke mana dia pergi. Orang kata isterinya cantik, tetapi dia tidak tahu benarkah si Azimah memang cantik seperti orang cakap.​Bermodalkan keupayaannya menguasai ilmu hafazan, tarranum dan asset sebuah suara merdu yang dianugerahi Allah itulah, Arun menjadi popular dan terkenal di pekan-pekan dan bandar-bandar. ​Arun sedar, sejauh mana dia terbang, ke atas belakang kerbau juga dia akan hinggap. Nah, sekarang, sebelah kanan, bermula dari Rohimah, perempuan setengah umur menjual keropok lekor dari Genting, diikuti oleh Hamzah penjual seruding, Makcu Kiah penjual ikan darat, kemudian Cik Senah Janda, lagi Meli Kangkong, Rozak Tok Deh, Mek Urai Tok Sangkut dan mereka tidak pernah berkelahi, sebaliknya setiap pagi datang membuka kandi rezeki dengan harapan mendapat limpahan yang lebih daripada hari-hari sebelum ini.​Begitu juga dengan Mek Ani yang menjual bunga di sebelah kirinya. Tidak pernah berhenti datang ke pasar itu untuk menaruh harapan bagi meraih rezeki yang bakal diperolehinya. Persekitaran Arun duduk, di bawah lembayung khemah buatan sendiri itu, tiba-tiba semerbak baun pelbaga aroma bunga seperti cempaka telor, cempaka kuning, cempaka putih yang dikarang pada benang-benang halus dari kelopak batang pisang.​‘Hari ini mana ada lagi tradisi membuat karangan bunga oleh wanita-wanita Melayu untuk tujuan mendapatkan aura kekuatan batiniah seperti lain-lain kaedah menerbitkan lapisan kehebatan nafsiah diri melalui mandi bunga, garam bukit, garam gunung, atau mandi di bawah air terjun.’ Fikiran Arun melayang-layang bagaikan kapas yang ditiup angina berguling-guling di ruang udara.​‘Hanya aku tidak menjual apa-apa, kecuali mendendangkan senikata rabbi melalui lagu-lagu bayati, sobar, nahwan, sikah dan hajrikah. Aku tidak menjual, tetapi menyampaikan firman Tuhan dalam kelunakan suara melalui rentak lagu itu…’ bisik hati kecil Arun bangga setelah menyedari hanya itulah kemampuan dan kelebihan yang dia ada.​“Arun… Arun nak keropok lekor ni? Kalau nak, Imah simpan.” Tiba-tiba Rohimah bertanya dari sebelah kanan dengan nada lembut.​“Mmm, nak juga, simpan tiga batang cukuplah. Anak dari Kuala Lumpur nak balik malam ni. Dia selalu bertanya keropok lekor Imah. Sedap katanya.” Jawab Arun.​“Dia kerja dekat sana?” Tanya Mek Ani, si penjual bunga sebelah kiri.​“Masih belajar di Universiti Malaya.” Ringkas tapi padat jawapan Arun​“Berapa orang sedang belajar?” celah Rohimah.​“Kelima-lima anak saya sedang belajar, Cuma tiga duduk di U, dan dua lagi sekolah menengah.” Jelas Arun.​“Tak ada sekolah tahfiz?” Rohimah ingin tahu.​“Tak tahu lah yang bongsu tu, kalau didengar pada kebolehannya, dia mampu hafal Quran. Insyaallah, biarlah dia seorang tu dapat mewarisi bakat saya, ya?!” Arun mahu memberitahu sesuatu tetapi tidak berdaya.​“Tapi susah juga nak belajar Quran ni, ya?” Mek Ani mula memecah kebuntuan.​“Mek Ani belajar Quran dah sampai setakat mana?” tanya Arun.​“Malu nak cakap, malu pada Arun…” Suara Mek Ani dirasakan lemah.“Cakap sajalah, tak payah nak malu-malu. Kalau dah setakat tu, nak buat macam mana.” Kata Arun. Arun sedar bukan mudah hendak mengingati 30 juz Al-Quran di dalam dada. Boleh pula menyampaikan bacaan dalam lima irama lagu yang menarik.“Terima kasih Tuhan. Terima kasih ibu dan ayah…” Getaran barisan bicara ini bergelendangan dalam jiwanya. Kerana Tuhan membuka pintu hatinyalah, maka dia seperti orang sasau, bersusah-payah mempelajari Al-Quran, walaupun matanya tidak nampak apa-apa. Kerana kesungguhan ibu dan ayahnya, menyebabkan Arun mengecap nikmat kesenangan seperti hari ini.​“Tak berkesudahan Mek Ani… Kita wajib belajar juga, belajar jawi dulu, belajar huruf-huruf hijaiyah, belajar makhraj. Kalau boleh kuasai sebutan makhraj pun sudah memadai sebelum tajwid.” Nasihat Arun selemba. ​“Tu lah, Arun… Saya ni dah tak nampak huruf dah!” sapok Rohimah, nada suaranya sudah cukup buat Arun membaca makna yang tersirat.​“Apa yang nampak? Nampak duit? Saya ni betul tak nampak, macam Mek Ani dan Rohimah bukan tidak nampak huruf, tetapi malas!” Nada suara Arun agak tinggi. Dia kelihatan marah apabila mendengar jawapan dari Rohimah dan Mek Ani begitu.​Arun membetulkan kedudukan tubuhnya. Dirasa sedikit berpeluh halus memercik batang tubuhnya. Mereka terdiam seketika. Mek Ani menjeling kepada Rohimah. Rohimah senyum termemeh-memeh. Mereka tersinggung dengan lontaran kata Arun tadi, tetapi mereka juga faham, Arun memang macam itu. Pantang ada orang mempersendakan bacaan Quran, terus dia menerkamnya dengan sindiran pedas hingga tidak terkata.​“Tapi suara Arun sedap pagi ni… Ani dengar rasa sedih dan tertarik sangat.” Puji Mek Ani. Suaranya perlahan tetapi jelas.​“Itu lagu nahwan… Memang lagu nahwan mendayu-dayu. Apa lagi kalau Mek Ani dapat baca sendiri ayat-ayat dengan lagu tarranum tu. Penghayatan terhadap senikata dan maksud yang tersembunyi disebaliknya akan dirasa dan dinikmati lebih hebat lagi.” Ujar Arun bersungguh-sungguh.​Mek Ani diam lagi. Dia menyelok tiga putong jari tangannya ke dalam gelok air, kemudian direnjis ke atas karangan bunga yang dibuatnya. Dalam kepala Mek Ani, tergambar seribu liku hidup Arun yang dikenalinya. Dia sudah hampir sepuluh tahun berkawan dengan Arun, si peminta sedekah pinggiran, yang berasal dari kampung. ​Arun pernah memberitahu Mek Ani, tahun lalu, dia baru selesai membaiki rumah berjumlah tiga puluh ribu ringgit. Sebelum ini, Arun membeli sebuah kereta Honda Prelude, tiga buah motosikal untuk tiga orang anak-anaknya. Hebat juga Arun. Orang celik seperti rakan sejawatnya tidak dapat menandingi Arun. Dengar cerita terbaru. sekarang Arun sudah jual kereta itu, untuk membeli kereta Exora pulak.​“Memang payah hendak belajar Run…” tambah Mek Ani, setelah menyedari kelemahan dirinya berbanding Arun. Peminta sedekah yang bukan calang-calang peminta sedekah tetapi manusia murni yang terbuka matahatinya.​“Ani belajarlah. Jangan kata payah… Bukankah dalam tv dan radio kita pernah mendengar lagu Yakin Boleh, kita akan boleh… Yakin menang, kita akan menang! Ani hanya perlu tukar sahaja pendirian dan sikap Ani tu. Fikirkan boleh, maka Ani tentu akan boleh punya…” nasihat Arun penuh yakin. Meremang bulu roma Arun sewaktu dia menyusun rangkaian bicara tadi.​“Tak sempat Arun, nak fikir macam tu… Nak fikir tentang anak-anak sekolah lagi, nak fikir tentang makan minum lagi. Arun tak apalah, rumah besar, kereta ada, anak belajar sampai U. Kita ni, anak jadi kacang hantu.” Balas Rohimah.​“His, jangan kata anak macam tu. Anak kita baik buruk, anak kita juga. Sedang haiwan sayangkan anak, inikan pula kita manusia. Dahsyatnya manusia tak sayangkan anak. Bukan manusia lah tu, sudah menjadi syaitan! Matahatinya sudah tertutup.” Kata Arun kepada Rohimah dan Mek Ani.​“Saya pun naik takut mendengar cerita budak-budak muda hari ini. Bunuh anaklah, buang anaklah, lempar anak dalam tong sampah lah… Eee, gerun!” Mek Ani menghulurkan tiga karangan bunga kepada pembeli.​“Mek Ani pernah tak dengar kesah baginda nabi Muhammad ketika saat dia hendak wafat?” Tanya Arun. Masing-masing menelopong, menunggu huraian Arun selanjutnya.​“Tak, apa dia?” Rohimah berpaling kepada Arun, menarik pula perbualan Arun pagi itu.​“Disaat akhir baginda Rasulullah hendak menghembuskan nafasnya buat kali terakhir, baginda berkata ‘ummati…ummati…solat…solat! Adakah kita faham apa yang dimaksudkan oleh baginda tu?” Tanya Arun kepada Mek Ani, Rohimah dan entah sesiapa yang mendengarnya, entah siapa yang berada di hadapan Arun ketika itu, dia tidak kesah, yang penting bicaranya pagi itu penuh berisi hikmah dan pengajaran.​‘Memang Arun seorang yang celik hati. Matahatinya melebihi daripada matahati orang-orang yang celik. Inilah keajaiban kejadian Tuhan.’ Kata hati kecil Rohimah dan Mek Ani, dan kawan-kawan peraih yang asyik kalut mengadakan urusan jual-beli dengan pelanggan pagi itu.​“Maksudnya; baginda meminta umat dia belajar bersungguh-sungguh ilmu dunia dan akhirat, terutama solat. Hayati sembahyang lima waktu itu sepenuh jiwa dan raga. Inilah kekuatan kita yang hakiki. Dari kegelapan kepada cerah dan terang! Daripada kekalahan kepada kemenangan! Solat mencegah semua kemungkaran!” Arun berhenti. Dia tidak mahu mengajar agama di situ, dia mahu memperdengarkan bacaannya melalui lagu Nahwan.​Arun juga tidak kesah sama ada manusia yang lalu-lalang itu menghulurkan wang atau tidak. Kalau untung batu timbul, untung sabut tenggelam. Dia menyerahkan dirinya kepada takdir Tuhan, namun Arun ada suatu keyakinan yang tidak dimiliki oleh orang lain.KOSAKATA:Bayati, sobar, nahwan, sikah dan hajrikah – rentak-rentak lagu yang digunakan bagi membaca ayat-ayat Al-Quran secara berlaku.Lagu Nahwan – Adalah lagu yang disampaikan secara melankolik, lembut dan mendayu-dayu.Kole – sejenis bekas air bertangkai seperti teko, tetapi mulutnya agak luas.Hafazan – menghafal sesuatu seperti ayat-ayat Al-Quran.Tarranum – bentuk-bentuk lagu yang diguna pakai membaca Al-Quran.Asset – modal anugerah Allah.Kandi rezeki – sumber rezeki.Nafsiah – kebatinan.Senikata Rabbi – ayat-ayat Al-Quran.Rabbul Jalallah – Allah yang Maha Agong Menguasai sekelian alam.Huruf Brill – Huruf yang diguna oleh orang cacat penglihatan untuk membaca.Airlogi – jamtangan, dahulu orang panggil ‘airlogi’ bukan jam.Gelendangan – merayap di jalanan atau pasar.Gelok air – bekas air seperti baldi.Latiffah Rabbaniyah – sesuatu yang kejadiannya bersifat seni.

2. DI LUAR MUNGKIN

DIA meletakkan punggongnya di atas dahan rambutan sebesar lengan, dengan membiarkan ekor sepanjang dua setengah kaki berwarna keperangan itu berjuntaian dan sesekali berayun-ayunan ke kiri dan kanan. Sementara tangannya yang kental diselimuti bebulu mencapai dahan bercabang dua, sambil ditarik sehingga hujung ranting berbuah lebat itu rapat membedal mukanya.​Sebagai ketua yang bergelar si Raja Merah, tiba-tiba dalam rongga naluri naturnya bergetar rasa sifat bertanggungjawab ke atas keselamatan anak buahnya seramai lima belas ekor itu. Sebelum ini, ketika gemulah Jinggo menjadi Maharaja Berokera, langsung tidak terbit beningan rasa tanggungjawab.Timbalannya pula, si Raja Putih menjadi kepala haluan dan perintis jalan sewaktu penghijrahan mencari laman habitat dan terpaksa berada di hadapan sekali. Raja Putih adalah berokera jantan yang mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi dia tidak boleh mengatasi Raja Merah yang mempunyai keseluruhan ciri-ciri ketua jemaah berokera.​Zoom pandangannya diluaskan mengikut kapasiti mega pixel haiwan sepertinya. Dia mesti sentiasa berwaspada pada setiap masa. Kecuaiannya menerima maklumat pergerakan musuh yang menghampiri kumpulnya, adalah suatu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan.​Pohon-pohon rambutan yang ditanam dalam dusun milik seorang hartawan itu memang rajin menghasilkan buah. Buahnya lebat dan masak ranum kemerah-merahan, hampir menyamakan warna tubuh si Raja Merah dengan suasana persekitaran itu. Kalau tidak diamat-amati, batang tubuh Raja Merah tidak kelihatan. Dia umpama seorang jeneral tentera yang sedang mengawasi daerah dan sempadan negara.​Mula-mula dia ternampak sebuah jeep pacuan empat roda masuk ke kawasan itu. Dari jauh jeep berwarna hitam lusuh itu bergerak mengikuti jalan pinggiran bukit seolah-olah seekor berokera tua berjalan terhanggok-hanggok di bawah pohon buah-buahan. Kemudian, kereta pacuan empat roda itu berhenti di luar pagar dusun rambutan.Dan selepas itu kedengaran “preennnggg!” suara besi bergeselan dengan gugusan rantai mangga yang baru dibukakan. Pintu pagar ditarik orang, dan jeep itu meluncur masuk dan singgah di bawah garaj hadapan rumah persinggahan yang sunyi itu. Sepasang suami isteri turun dari perut kenderaan tua itu. Berjalan ke belakang. Memaut setangkai rambutan, dan cuba merasai kenikmatan lundu yang terlindung disebalik kulit merah itu.Raja Merah memberi isyarat perlahan-lahan supaya anak buahnya berhenti melompat dan memaut ranting dan dahan pokok buah-buahan dekat situ. Sebaiknya, mereka bergerak perlahan-lahan meninggalkan tempat penuh berkat itu. Keadaan sudah tidak selamat. Pemilik dusun buah-buahan sudah datang. Bahaya kepada kumpulannya. Getus Raja Merah sendirian.“Ayuh, lari!” perintah Raja Merah. Dia juga ikut melompat untuk keluar dari dusun tersebut setelah Raja Merah dapat mengesan pemilik dusun berperut buncit itu menyedari kehadiran warga sekumpulan berokera yang semakin bertambah ramai.“Peng! Peng!” Dua das letupan bergema di celah dahan rambutan. Hampir sahaja mengenai sasarannya. Kira-kira dua jengkal lagi, letupan mercun berdentum seperti halalintar singgah ke atas buntutnya.“Sialan!” kata Raja Merah. Dia menyengehkan taringnya kepada anak buah yang sudah bertempiaran melarikan diri ke dalam hutan bersebelahan dusun berkenaan. Salah seekor cucu Raja Merah berusia tiga puluh hari tiba-tiba melayah turun ke bawah apabila pautan tangannya terlucut dari dakapan ke badan ibunya.“Kieyeeehhh…kieyeeehhh…” si kuning manja memberang, dia memusingkan badannya sambil melayah turun ke bawah, menyambar dahan demi dahan sehinggalah sampai ke tanah. Dengan tangkas Kuning Manja menokak anaknya, kemudian mengendong ke atas serta terus hilang ke dalam hutan. Hebat tingkah Kuning Manja membuat tindakan pantas untuk menyelamatkan anak kesayangannya.Raja Merah tersenyum tiba-tiba. Dia teringat pada kejelitaan Kuning Manja yang menjadi buruan berokera jantan yang ganas dan liar. Tetapi Raja Merah tidak pasti, dengan berokera yang mana satu, kemudian Kuning Manja terpikat, bercinta, hingga melahirkan anak secomel itu.‘Ah, kadang-kadang dengan Raja Putih juga Kuning Manja pernah berpelesiran di dalam semak dekat kaki bukit ketika mencari air untuk diminum. Entah-entah anak comel Kuning Manja itu tadi adalah hasil hubungan sulit dengan Raja Putih.’ Bisik hati kecil Raja Merah.Empat jam kemudian, dusun yang menjadi lubuk rezeki keturunan Raja Merah kedengaran membising lagi. Suara manusia membobel sendirian sesekali kuat dan sesekali perlahan tidak henti-henti berselang-seli dengan lagu daerah dan Hindustan dibuai oleh tiupan angin. Perkembangan terbaru menarik perhatian kumpulan berokera yang saling memandang antara satu sama lain.“Macam mana dusun buah-buahan itu menjadi gegak-gempita dengan suara manusia dan muzik? Adakah manusia sedang berpesta di dusun yang satu-satunya menjadi sumber makanan kita?” Raja Merah bertanya Raja Putih dengan nada bimbang.“Entah, tapi jom kita intai… Betulkah manusia memetik buah-buah rambutan itu? Kalau benar, habislah rezeki kita…” Jawab Raja Putih.Mereka melompat turun ke bawah. Dan berada di atas cabang dengan tanah. Ternyata tidak ada manusia di dalam dusun itu. Raja Merah mengerling Raja Putih, dia tidak mengerti suasana itu. Dia memberi isyarat untuk menghampiri kawasan itu lagi. Raja Putih melompat seiring dengan Raja Merah.“Lihat tu… Suara manusia keluar dari kotak. Apa tu? Radio?” Sapok Raja Putih.“Ya, radio… Manusia cuba menakut-nakutkan kita. Rupa-rupanya bukan manusia tetapi suara radio saja. Kita pernah dengar dan lihat benda ni. Dah biasa benar… Tidak membahayakan. Jom, ajak kawan-kawan kita serbu buah rambutan itu pagi esok.” Perintah Raja Merah kepada Raja Putih menampakkan kesukaan yang amat sangat.Seperti yang dikata, pagi esok, pagi lusa, tulak dan tulen Raja Merah benar-benar menyerang dusun seluas tiga ekar itu sehingga ranap. Tiada lagi buah-buahan yang masak, malah buah yang kuning serta hijau habis disapu mereka. Ranting kelihatan berdiri keras bercerangcangan seperti baru digomol.Dua minggu kemudian, hartawan itu datang lagi. Kali ini bukan sahaja buah rambutan yang habis dikebas kumpulan berokera, tetapi tiga biji radio yang siap dipasang dengan wayer dicuri oleh mereka. Radio itu ditemui dalam anak sungai berdekatan.Marahnya bukan kepalang. Esok sebuah bulldozer datang menumbangkan beratus pohon rambutan yang sudah sepuluh tahun ditanam. Dalam masa dua minggu, dusun rambutan tiga hekter bersih. Bukan itu sahaja, siap dengan parit saliran air dibina dalam kawasan berpagar itu. Dan kelihatan benih pokok getah diatur dari hujung ke hujung.Rajah Merah dan anak buahnya terpinga-pinga. Ngeri yang teramat sangat melihat tindakan manusia secara tiba-tiba itu. Mereka melilau kesedihan. Tiada lagi rimbunan tempat mereka berteduh. Tiada lagi dapur rezeki yang sentiasa membuncitkan perut mereka.Kepanasan menjerang tanah-tanah yang baharu dipugar oleh mata bulldozer. Lima orang pekerja yang diupah sedang mengambus anak-anak benih getah ke dalam lubang. Mereka memakai topi berselimut dengan terbus menutupi wajah. Rajah Merah sambil dikelilingi anak buahnya memandang dari jauh.“Itu makanan kita juga. Pucuknya yang baru tumbuh memang sedap. Nanti petang, kita serbu dan makan semahu-mahunya.” Kata Raja Merah kepada seluruh keluarga berokera yang berada di situ.“Bukan kita sahaja yang terkejut, burung jerijit juga meracau bersama si murai kerana habis sarang dan telor mereka hilang dalam ungun api. Sekarang apa rancangan kita? Adakah kita mesti cari kawasan lain sebagai punca rezeki?” kata salah seekor ibu berokera.“Tentu, untuk sementara kita mesti bersedia menggantikan tempat itu, kita tidak boleh biarkan perut kita lapar.” Jawab Raja Merah.Empat puluh hari kemudian, benih-benih getah yang ditanam mulai berpucuk. Pucuknya lembut, lemak dan manis. Nah inilah masanya. Pada petang itu, ketika cahaya matahari merah di dada langit, sekali lagi Raja Merah memerintahkan kumpulannya masuk ke situ.“Huk! Huk! Huk!” Kedengaran suara tiga ekor si pemburu memangkas perdu telinga mereka ketika kaki kumpulan berokera melangkah masuk melepasi parit saliran air yang baru dibina. Tengkingan muncul secara mendadak dari dalam sebuah bangsal di tengah ladang (kawasan itu sudah diperluaskan kepada sepuluh hekter). Berlari-larian kencang tiga ekor anjing perburuan yang terlatih menuju ke tempat berokera sedang meniarap di atas tanah kering pada setiap anakbenih getah.“Lari! Lari! Lari!” Kata Raja Merah memberi arahan. Dia terkial-kial menunjal tanah kering berhampiran dengan umbi anak benih getah yang mulai hidup segar itu. Masing-masing melompat ke luar dan tiga ekor anjing itu tidak berjaya menangkap mereka.“Huh, sial lagi puak-puak kita!” Raja Putih melahirkan rasa kesal. Dia menyengih-nyengihkan giginya yang tajam kepada alam keliling.“Tapi… cuba tengok! anjing-anjing itu bertali. Mereka tidak boleh memburu kita melepasi tali itu. Tengok? Kita boleh jinakkan mereka. Kita berupaya menjinakkan mereka.” kata Raja Merah sambil dipersetujui oleh kawan-kawannya.“Jom, mari kita permainkan mereka!” Tingkah berokera betina yang pernah berjantan dengan Raja Merah. Memang Raja Merah hebat! Kehebatan Raja Merah sukar ditemui dari jantan-jantan yang lain. Getus hati berokera betina itu.Diketuai Raja Merah, kemudian Raja Putih, mereka berlari dan melompat keliling kawasan berparit itu. Mereka mengacah-acah ke arah anjing buruan yang ditambat. Kemudian mereka kembali ke dalam semak berdekatan. Tidak cukup satu hari, perbuatan yang sama diulangi hamper setiap hari. Ianya berlangsung selama berhari-hari dan berminggu-minggu, sehingga akhirnya, kawasan itu menjadi lengang dan sepi.Suara anjing pemburu yang menyalak tidak segarang dahulu lagi. Berokera kelihatan berkeliaran mematahkan pucuk-pucuk getah yang semakin pucat dan mati. Anjing yang mulai bosan dan memahami telatah berokera, akhirnya diam. Sebaliknya semakin rapat, dekat dan menjadi kawan.Hartawan itu kembali ke ladangnya. Dia termenung kehairanan. Pandangannya singgah pada tiga ekor anjing itu yang digunakan untuk memburu berokera di ladangnya. Suatu peristiwa yang diluar kemungkinan sudah terjadi. Dia menyaksikan peristiwa realiti; tiga ekor anjing membaringkan diri sambil menghela dengkur yang panjang, sementara beberapa ekor berokera bergilir-gilir datang mencari kutu di atas kepalanya.Hartawan itu geleng kepala dan hatinya berkata‘Alangkah hebatnya kejadian Tuhan…’

  1. CEMBUL EMAS.

RESAH ibu bergentanyangan di alam fikir. Entah mengapa, pertanyaan demi pertanyaan menerawang ke segenap gumpalan ingatan yang berpintal-pintalan di dalam sel-sel otak ibu Aishah yang semakin tua itu. Dalam usia yang begitu lanjut dan sekarang sudah masuk tujuh puluh tahun, ibu Aishah merasakan pita-pita rakaman dalam kepalanya masih segar dan tidak rosak. Sekiranya berlaku kehilangan dan kesensoran, hanya kejadian-kejadian biasa yang hanya memerlukan selawat serta istighfar sebanyak-banyaknya, agar Tuhan mengampuni dosa-dosa lama. Ibu merasakan begitu. Tetapi tidak mungkin pula ianya ghaib begitu sahaja oleh sebab kealpaannya akibat sudah lama tidak menjaga tertib-terni ‘cembul emas’ yang masyhur dengan keindahan dan kecantikan ukirannya itu. Ibu merasakan begitu bahawa semenjak beberapa tahun kebelakangan ini hadir kesalahan menerpa bertubi kali. Hanya itulah satu-satunya milik ibu yang masih tersimpan di dalam kamarnya yang sepi itu. Hanya cembul emas itulah satu-satunya yang diwarisi dari mak, datok, nenek, moyang, moyeng, miyuk, miyat yang dikatakan tujuh generasi, tujuh keturunan. Tiba-tiba setelah sampai kepada generasi kelapan, iaitu ibu, sebagai pemilik dan pewaris yang sah dipertanggungjawabkan, cembul emas peninggalan zaman berzaman itu hilang entah ke mana. “Aduhai… malang sungguh nasib aku… aku anak yang tidak pandai menjaga warisan zaman. Harta warisan yang tiada nilainya yang berada pada diriku boleh lenyap dalam sekelip mata. Aduh sakitnya hatiku, ketika aku sedang membuat penilaian terhadap anak-anakku yang datang dari zuriatku, untuk menerima hadiah pesaka nenek-moyang, tiba-tiba ianya …. Ah entah, adakah aku yang hilang ingatan?” demikianlah barisan-barisan ujaran ayat yang wujud dalam gelembong-gelembong khayalan. “Kau jaga cembul emas ini, Aishah. Hanya ini sahaja harta bernilai yang ibu serahkan kepadamu. Yang lain-lain itu hanyalah sementara sahaja. Tetapi cembul emas ini, sekiranya engkau jaga dengan baik, nescaya baik seluruhnya. Sekiranya engkau gilap ia setiap detik, maka akan menerbitkan pancasinar yang hebat dan disukai orang.” Ibu masih lagi mengingati pesanan nenek. Tetapi sekian lamanya cembul emas itu dimiliki ibu, dan tidak pula menganugerahkan kepada sesiapa. Mengapa? Inilah persoalan yang tersengkang dalam rongga kepalanya. Kenapa dia melambatkan proses penyerahan warisan itu kepada kesemua anak-anak perempuan seramai lima orang, sehingga dua daripadanya sudah pergi meninggalkan dunia fana ini. “Nah, sekarang sepuluh orang cucu-cucu perempuan hasil keturunan dari anakku yang sudah meninggal dunia itu tidak menerima cembul emas lagi. Mereka kini hilang harga dan nilai diri. Mereka tidak mengenali genetic keturunan yang mempunyai susurgalur sehingga sampai ke dasar akar umbi. Semuanya itu hanya boleh ditemui dalam cembul emas itu.” Bisik hati kecil ibu Aishah, sambil melepaskan hembusan udara yang lembab. Ibu Aishah geleng kepala lagi. Penyesalan yang tidak berkesudahan. Kosong idea hendak menjawab perkara itu, kerana jawapan tidak juga terkeluar dari celah-celah minda akliahnya. Sedangkan cembul emas ini sudah ramai yang memilikinya dan dipecahkan oleh ibu-ibu kepada anak-anak perempuannya. “Aku terlewat untuk perturunkan wasiat ini. Silap aku juga. Cembul emas ini seharusnya aku bahagi-bahagikan sewaktu mereka masih lagi kecil secara sementara. Biar mereka kenal bahawa setiap seorang boleh dan perlu menjaga cembul emas yang begitu berharga dan bernilai itu. Tapi, aku tersilap…” Ibu Aishah mengomel lagi. Dia terus bersendirian. Dia masih mencari cembul emas yang di simpannya semenjak enam puluh tahun yang lalu. Suasana dingin menerpa ibu Aishah yang terbongkok-bongkok mengatur telapak kakinya menyusur bendul dan dinding sambil pandangan matanya yang semakin berselaput dan kelihatan kelabu itu mengesan setiap objek yang masuk ke dalam kepalanya. “Kenapa kau tidak serahkan kepada mereka Aishah? Kan aku sudah pesan semenjak awal-awal lagi, kamu jangan sekali-kali cuai menyerahkan cembul emas ini kepada anak-anak perempuan mu biar mereka dapat menghargai betapa cembul emas itu begitu berguna kepada mereka. Tanpa cembul emas, mereka bukan lagi seorang wanita sejati yang menepati ciri-ciri kewanitaannya.” Kata nenek kepada ibu Aishah ketika nenek masih lagi hidup. Tidak lama selepas itu nenekpun menghembuskan nafasnya untuk berhijrah ke alam barzakh. “Entah lah mak, Aishah pun tidak dapat hendak fikirkan perkara itu. Budak-budak zaman sekarang, bukan hendak ambil tahu sangat tentang cembul emas, mak. Kalau Aishah cakap, mereka akan pantas menjawab. Kata mereka, alaaah, zaman sekarang orang dah bersekolah dah pandai membaca. Cembul emas mak tu boleh ditemui di mana-mana. Aishah pun jadi malaslah mak…” jawab ibu Aishah lemah dalam monolognya. Ibu berhenti betul-betul di atas kepala bendul, menghadap ke arah laut lepas. Dia menghirup nikmat terpaan angin masin yang datang dari pupukan ombak-ombak yang semakin menderas mendaki pelantar bumi ke daratan, pergerakannya bermula dari tengah laut dalam. Dia seakan-akan nampak kelibat bayangan Haji Derasa, suaminya, yang hilang di tengah lautan luas sana . Hilang dalam gelombang besar musim Tengkujuh sewaktu keluar bersendirian mengail ikan demi untuk mengisi tembolok dan menutup mulut lapan orang anaknya yang sedang membesar. Dengan seribu kepayahan pada masa itu, ibu Aishah bangkit dari kepahitan, dan kegundah-gulanaan sedang melata di tepi pantai, terpaksa kembali memikul pendayung sampan, mengisi pukat ke buritan, menyimpul kejap ikatan sanggul dan sandal terendak bulat daun nipah di atas kepala, bagi menggantikan naungan yang hilang ditelan ombak. “Bagaimana Aishah boleh menyerahkan segala cembul emas itu kepada anak-anak Aishah emak… Sedang kehidupan Aishah dengan abang Derasa tidak sampai ke penghujung kebahagiaan, mak!” seru suara jiwa ibu Aishah seolah-olah berkata kepada maknya yang sudah bertahun hancur bersebati menjadi tanah. “Aku tahu Aishah… Dan aku mengharapkan anak-anakmu akan menemui cembul emasnya sendiri suatu masa nanti dalam suasana kalut pemodenan keturunan.” Boleh jadi itulah suara nenek, atau suara moyang, atau suara piyut, atau suara piyat. Ibu Aishah memaut kelubung batik lepas warna biru laut, berbunga daun padi halus yang terlondeh ke atas bahunya. Dia duduk termenung di muka pintu atas bendul semin menghala ke laut itu lagi, masih tidak beralih. Sesekali dia mengunyah sirih yang lumat di dalam mulutnya. Kelihatan ibu Aishah menelan air sireh mengeliot masuk ke dalam perutnya. Dikunyah lagi sepiak sireh yang baru digotelnya. Dia tidak terus mengunyah, sebaliknya memanjangkan lehernya ke depan, sambil piak sireh masih tersepal dicelah bibirnya. Dia memandang tajam ke pinggir Pantai Dasar. “His, bukan Derasa. Aku silap. Tapi susuk tubuhnya yang sasa dan tegap memang macam abang Derasa!” Kata ibu Aishah. Dia mengeluh perlahan. Kalau bukan Derasa, suaminya yang tidak pernah mungkir janji dan tetap setia kepada Aishah, siapa lagi? Yang seiras dengan lelaki pujaan hatinya, hanyalah anak lelaki ibu Aishah bernama Daud. Langkah Daud tetap memijaki butiran pepasir pantai satu persatu menuju ke arah banjaran rumah penduduk Pantai Dasar yang hanya tinggal beberapa buah sahaja akibat ditendang oleh kepala ombak yang menghempaskan diri ke situ. Sudah banyak lingkaran sejarah silam berada jauh ke tengah laut untuk dikalungkan dengan bunga mawar. Kubu-kubu perang milik tentera British yang diduduki oleh tentera upahan Sikh dan Gurkha juga sudah lenyap, kalau adapun cuma antara satu atau dua buah sahaja lagi, manakala yang lain menjadi uncang-uncang ikan atau tertanam ke dalam pasir di perut lautan sana. “Bu, bu buat apa dekat situ, bu?” Tanya Daud melontarkan senyuman manis kepada ibunya yang asyik merenung jauh ke dalam fikiran Daud. Daud terasa serbasalah kerana ditatap oleh ibunya sedemikian rupa. Jarang sekali ibu Aishah berkelakuan begitu, tetapi hari ini, lain pula jadinya. Fikir Daud sendirian apabila melihat gelagat ibunya luar biasa. “Daud…” sapok ibu tidak disangka. “Ya, bu?” Daud memandang tepat kemuka ibunya, bunga-bunga pahala berguguran dalam catatan Tuhan, sambil mendekati dan meletakkan pendayung dari kayu cengal itu ke celah lambung rumah. “Anak-anakmu di mana sekarang?” Tanya ibu. Dia menundukkan pandangannya ke bawah. Ibu terkedu oleh tusukan kehilangan itu. Tetapi fahamkah Daud tentang kehilangan ‘erti dan makna’ diri seorang wanita seperti isteri dan anak-anaknya? Fikiran ibu Aishah berterbangan lagi. “Mereka ke sekolah, bu. Kenapa, bu?” Daud mendaki seputong anak tangga, kemudian menghempaskan punggongnya ke kepala bendul kira-kira sejengkal dari ibu Aishah “Bimbing anak-anakmu, Daud. Jangan biarkan mereka hilang oleh perubahan zaman, Daud. Aku sudah tua dan kau mampu melakukannya. Supaya kau sekeluarga diberkati Allah. Jangan biarkan mereka hilang hargai diri dan nilai-nilai kewanitaannya, Daud…” Ibu Aishah terasa puas bila buakan yang berbusar dalam dadanya itu sudah boleh dikeluarkan. Itulah rahsia cembul emas yang diwarisinya semenjak berzaman. “Ya, bu… Daud faham bu…Ibu seorang yang warak, dan anak-anak Daud bukan seperti sangkaan ibu. Mereka ok saja bu. Kuat sembahyang, belajar Quran, dan menghormati orang tua…” kata Daud. Ibu Aishah tidak menjawab. Dia menatap kembali wajah anaknya, Daud. Ibu tersenyum dan hatinya berkata; aku sudah serahkan cembul emas itu!GLOSARI:1. Cembul – cepu atau cembul ialah sejenis bekas yang digunakan mengisi sesuatu. Pelbagai jenis dan bentuk cepu; kecil besar, berlorek dan sebagainya. Cepu diperbuat dari pelbagai jenis besi, tembaga, perak, emas, kayu, mengkuang dan tanah liat. Cepu adalah menggantikan tas atau beg tangan sekarang. Cepu sekarang kalau ada hanya dijadikan perhiasan hasiltangan generasi lampau, sebagai warisan zaman.2. terendak – sejenis penutup kepala daripada panas pada zaman dahulu dibuat daripada daun sagu atau daun nipah.3. tersepal – hampir terkeluar dari mulut tetapi masih terlekat di bibir.4. Pantai Dasar – kawasan di mana Jepun mendarat ke Tanah Melayu.

TAMAT.