
OLEH : ABDULLAH AWANG
Imam Haji Nawi menjadi waswas secara tiba-tiba. Ketika dia bangkit dari sujud, bilangan rakaat masih lagi tidak bersisa diingati sejelas-jelasnya, seperti pancaran sinar matahari di dalam kepala, hangat dan bercahaya, tetapi setelah kembali membaca surah Al-Fatihah, pada rakaat pertama lagi, dia sudah tenggelam dan hilang pertimbangan.
Khayalan sewaktu melafazkan bacaan bismillahi rahmani rahim melangut berlanjutan, tidak boleh difokuskan kepada maksud dan pengertian di sebalik yang tersurat pada bunyi sebutan patah-patah bicaranya dengan Tuhan.
“Adakah aku sudah tua dan tidak sesuai lagi menjadi kepala iman solat kerana sering terlupa…” Datang lagi bisikan hati dari dalam arus perasaan yang tersembunyi itu. Tidak sesiapa yang tahu dan sedar perkara ini, kecuali dia, syaitan, dan Tuhan.
“Tidak, aku masih kuat dan gagah, ingatan masih hebat dan bergeliga. Aku tidak boleh mengalah kepada orang muda. Mereka masih tidak boleh diharapkan untuk mengepalai sembahyang dan syof perjuangan…” Syaitan muncul kembali di dalam kiannya, mengadu-domba fikiran dan perasaan yang berkecamukan.

“Alhamdulillahi rabbi ‘alamin… Arrahmani rahim…”
Belum pun habis bacaan surah Al-Fatihah, pari-pari halus menunda gelembung rasanya ke dalam dengan mampat, kata bisikan itu; Tuhan tahu apa yang aku buat dan Tuhan tahu apa yang berlaku. Niat aku adalah jujur untuk menegakkan Islam, Islam agama yang benar lagi hak dan aku mesti tetap teguh beristiqomah.
Haji Nawi tidak tersedar, dalam kelantangan mulutnya menyebut susunan ayat-ayat Quran itu, fikirannya meracau-racau dan merayau-rayau. Semakin lama khayalan begitu menerjah ke dalam benak minda dan batiniahnya. Hairan juga Haji Nawi yang berserban bulat besar membungkus kepala dan berjubah itu, dikeronyok oleh fatamorgana lamunan. Kekerapan waswas mendatangi setiap sel otaknya cukup menakutkan, semakin hari semakin banyak tisu sel otak yang rosak oleh jangkitan virus waswas itu.
“Subha nalloh…” Tiba-tiba ada suara makmun menegur dari belakang, menegur dengan sebutan memuji Tuhan bagi memperbetulkan keadaan supaya solat pada malam itu tidak terbatal angkara kealpaan Haji Nawi.
“Ah, di mana aku?” Khayalan Haji Nawi tergendala oleh seruan nama Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Agung itu. Syaitan-syaitan berwarna gelap, berkumis tebal dan syaitan-syaitan bermata sepet berkulit putih, melepaskan dakapannya.
“Bismillahi rahmaa nirahim… Wa Dhuha (Demi waktu pagi…), Wallailiizasaja (Demi malam, apabila telah sunyi…)”.
Ada lagi pelukan erat membungkus layaran nalurinya dalam memahat istiqomah yang mengikut fikirannya betul.
Haji Nawi mulai menangkis serangan-serangan bertubi oleh sebuah kumpulan yang mengatakannya dia sudah tua dan uzur. Hidup mati dalam perjuangan untuk menegak Islam mesti diteruskan juga, walaupun sudah ada dalam syofnya bibit-bibit pertengkaran berhubung dengan pemikiran mujadid untuk membina semula perpaduan dan persefahaman ummah yang bertambah porak-peranda.
“Maa wadda ‘akarobuka wamaqola… (Tuhanmu tidaklah meninggalkan engkau, ya Muhammad dengan begitu sahaja kerana dia lebih mengetahui setiap kejadian yang nyata dan tersembunyi, dan Dia tiada sekali-kali membenci kepada engkau dan hamba-Nya yang lain kerana dia bersifat dengan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…)”.
Haji Nawi terharu apabila teringatkan firman Tuhan yang ini; malah diulanginya dalam hati maksud yang amat menyayat hati.
Dan ketika limun-limun pagi subuh itu, dalam gelap kelam malam masih bersemi, muncul kelibat wajah dan suara hero yang memecah pentas roadshow hingga mencacatkan keharmonian bangsa ummah Islam di tanah air sekangkang kera ini. Janji mesti ditunaikan walaupun datang apa bala, kata orang; membujur lalu, melintang patah. Getus bisikan halus dalam hati kecil kejadian Latiffah Rabbaniyah itu.
“Walal aa khiratukhairun lakaminal uula… (Sesungguhnya, akhirat lebih baik daripada dunia)”.
Haji Nawi tersedu dan terkedu dengan mafhum ayat ini. Ia membusar ke dalam dadanya yang semakin kurus dan kecil montel.
“Tidak fahamkah geng-geng yang menentang pemikiran aku sekarang. Tidak fahamkah maksud dan niat hati kecilku bahawa aku bukan tidak mahu bercampur-aduk dengan gerombolan satu lagi, sekiranya aku bersetuju bermakna aku mungkir janji dan tidak istiqomah sedangkan istiqomah dengan pegangan ialah pakaian orang wali-wali.” Getus bisikan jahat yang menyamar sebagai bisikan warak menyelusuri tebing-tebing jiwa seni di dalam gua sanubari yang tiada bertepi itu.
“Walasaufayu’ Tti karobuka fatardhoo… (Nanti Tuhanmu akan memberi engkau, lalu engkau menjadi suka)”.
Suaranya terus mendayu-dayu dengan penuh perasaan dan kehibaan, apatah lagi apabila Haji Nawi mengenangkan nasib rakyat dan anak bangsanya yang semakin bercempera, tetapi apakan daya, dia terpaksa mengorbankan apa sahaja termasuk diri dan keyakinan makmum terhadap dirinya, demi menegakkan kebenaran mengikut fahaman dan idealismenya.
“Jangan biarkan mana-mana ahli syof kabilah kita termakan pujukan saudara seagama kita yang menjadi musuh sepanjang zaman. Mereka hanya bakal menjadi karak pembakar api neraka kerana bersikap munafik dan bermuka-muka menegakkan Islam,” seru Haji Nawi ketika menghadiri suatu ceramah terbuka untuk orang-orang Utara.
“Alamyajidkayatimannfa aawa… (Bukankah engkau maklum bahawa Ia memilih engkau dari seorang anak yatim, kemudian ia melindunginya?)”.
Dan ini bagi Haji Nawi suatu contoh yang baik, bahawa dia tidak bersendirian dalam usaha meninggikan syiar Islam, dipegangnya kejap-kejap bait-bait ayat ini, kerana inilah kekuatan spiritual yang boleh bertukar menjadi miracle.
Ketakjuban Haji Nawi pada dirinya sendiri bertocang dalam diri kerana ada orang berbicara tentang keunggulannya beramal ibadat sepanjang malam. Mereka melahirkan rasa keanehan kerana Haji Nawi tidak tidur malam, paling banyak tiga jam merehatkan diri di perbaringan.
“Tuhan memilih aku sebagai pembawa cahaya kegemilangan Islam untuk zaman ini, sementara orang lain hanya meniru cara orang kafir belaka. Bukankah mereka tidak terfikir bagaimana teguhnya pendirianku dan mengapa mereka tidak mahu menerima idea yang aku hamburkan pada setiap ceramah dan siri pengajaran agamaku?” Suara hati Haji Nawi merenggek halus mendesus kalbu.
“Aku tidak akan tunduk dengan tekanan perpecahan, kerana ini hanya suatu cubaan Tuhan untuk menguji kekuatan imanku. Tuhan, lindungilah aku dari puak-puakku dan puak-puak satu lagi yang mengasak perjuangan.” Getus khayalan dan bisikan syaitan laknatullah lagi.
“Wawajadaqodhaa lannfahada… (Dan engkau didapati-Nya dalam kesesatan [belum mendapat petunjuk], lalu ditunjuki-Nya)”.
Air mata Haji Nawi terburai-burai hiba menghayati firman Allah ini. Dalam hati kecilnya berkata: mereka itulah yang sesat, aku tetap benar kerana aku menolak untuk bersama mereka walaupun mereka mempelawa untuk bermusyawarah.
Para maklum yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, tidak kurang daripada 5,000 orang yang berada dalam syof barisan solat itu, berasa kehairanan mendengar kelunakan suara Haji Nawi mengimankan solat fardu Isyak berjemaah pada malam itu. Mereka juga turut mendengar dengan teliti ayat-ayat yang dibaca oleh Haji Nawi dari surah Add-Dhuhaa dengan penuh tertib-terni.
Udara dingin dari kipas dalam khemah besar itu menyimbah ke batang tubuh para jemaah yang berdiri tidak bergerak menghadap ke kiblat Mekatulmukaqoramah, manakala hati masing-masing memancarkan laser secara terus-menerus ke Baitul Makmor, suatu tempat yang entah di mana letaknya.
Mereka sedang asyik diulit kenikmatan memanjat kehadirat Allah Yang Maha Tinggi, tetapi Haji Nawi terus membaca surah yang sederhana panjang itu, supaya para jemaah memahami hasrat dan tumpuan yang sedang diberikan.
“Wawajadaka ‘aa ilann fa’aghna… (Dan engkau didapatinya seorang yang miskin, lalu diberikannya kekayaan)”.
Memang Haji Nawi tidak berasa hebat kepada sesiapa, kerana dia memang sudah ditentukan Tuhan sebagai pemimpin agama dari Timur pada abad ini. Mungkin inikah imam Mahadi yang dimaksudkan? Kalaulah tekaan itu benar, ia mungkin suatu kenyataan, kerana dia sedang terus berjuang tanpa memikirkan apa terjadi pun jadilah, dia tetap berpegang pada Islam, orang lain bukan Islam.
“Haji, saya sokong pendirian Haji. Saya datang ke sini pun untuk memperlihatkan keyakinan bahawa hanya Haji sahaja orang yang sesuai dilantik menjadi kepala untuk semua bangsa,” ujar seorang rakan dari negara jiran yang tiba-tiba datang menemui Haji Nawi. Dia mengapu Haji Nawi supaya terus tegas mengikut kefahamannya, sedang motif utamanya hanya untuk melihat bangsa ini berpecah, kemudian menjadi lemah dan lenyap ditelan zaman.
Haji Nawi cukup bangga menerima kunjungan-kunjungan parawisata sebelah sana yang terang-terangan menunjukkan bahawa dia sudahpun berada di pihak yang benar. Orang lain Dajjal belaka; rasuah bermaharajalela, materialistik, individualistik, kemaruk, dan haloba untuk mengaut kekayaan yang sementara.
“Fa ammaliati mafala taq’ har… (Adapun anak-anak yatim janganlah engkau paksa)”.
Haji Nawi faham bahawa anak-anak yatim memang perlu diberikan perhatian melalui bantuan dalam pelbagai bentuk disegerakan termasuk mengukuhkan pegangan supaya misionari yang lain, di mana sekarang, mereka berlumba-lumba datang menggoyahkan kepercayaan dan keyakinan iman.
“Jadi, sehingga kini, apa yang telah aku buat dan lakukan untuk membanteras gejala-gejala itu? Termasuk penagih dan pengedaran dadah yang berleluasa dalam kalangan pemuda dan pemudi Islam?” Meremang bulu roma Haji Nawi apabila teringat kepada bencana yang menimpa anak bangsa Melayu Islam ini.
“Inilah dosa-dosaku… Aku tidak mampu Tuhan memulihkan kembali generasi muda Islam kepada iqtikad Islamiah yang kukuh hingga memenuhi pusat-pusat Serenti dan yang mati diserang AID dan HIV.” Air mata Haji Nawi terus berguguran, tetapi malangnya tiada keputusan yang boleh dijadikan panduan.
Kalau boleh mahu Haji Nawi gelengkan kepala ke kiri dan ke kanan sebagai tanda penyesalan. Tiba-tiba dia teringat bahawa sekarang dia berada dalam solat fardu Subuh yang menghendaki patuh dan akur kepada peraturan. Pergerakkan hatinya yang melampau-lampau begitu pun sudah boleh membatalkan kerana solat memerlukan kepatuhan kepada perundangan zahir dan batin.
Setelah tersedar dari hanyutan-hanyutan akibat asakan syaitan yang memasuki melalui pintu-pintu yang ampuh diroboh itu, Haji Nawi kembali kepada asas solatnya. Dia cuba menghabiskan bacaan pada posisi kedudukan kian itu. Tetapi halangan bagi mendapatkan kekusyukan dan menikmati kemanisan sukar diperolehi; ia bukan sekali hari itu yang terjadi, malah semenjak akhir-akhir ini sudah sering, malah berulang beberapa kali.
“Wa ammassaa ilafalatanhor… (Dan orang yang meminta [bertanya atau berbincang] janganlah engkau herdik atau menolaknya)”.
Haji Nawi mematikan suaranya pada akhir ayat tersebut. Entah mengapa hati dan perasaannya tidak seronok meneliti maksud firman ini, semacam Tuhan menyindirnya pula.
“Adakah aku silap membaca surah Add-Dhuha pada pagi subuh ini? Atau benarkan perpaduan dan kerukunan ikatan rapuh yang memang diketahui orang ini, tidak boleh memberi kebaikan?” Soal naluri halus menggila dalam dirinya.
“Wa amma bini’mati robika fahad dith… (Adapun nikmat Tuhanmu hendaklah engkau beritakan, jangan disembunyikan)”.
Tiba-tiba tubuh Haji Nawi menggeletar. Dia seakan-akan diterjah ketakutan.
“Allahuakhbar…”
Cepat-cepat Haji Nawi rukuk, iktidal, sujud, dan kembali pada rakaat kedua hingga akhirnya. Salam.
“Assalamu’alaikum warah matullah…”
Haji Nawi memandang ke kanan, kedengaran pada kuping telinganya suara makmum yang tidak sehaluan. Dia memberi salam ke kiri; Haji Nawi mendapati para makmum di sebelah kiri juga masing-masing membawa haluan solat sendiri-sendiri.
KARYA DI PORTAL E-SASTERA VAGANZA ASEAN
Kumpulan Karya: Cerpen. Klik SINI.
TAMAT.