
Buli-buli air yang gugur semenjak dua minggu lalu membuatkan langit sentiasa teduh oleh mendung awan tanpa memperlihatkan wajah bulan dan matahari. Sesekali bunyi runtunan air berjatuhan ke atas atap rumbia rumah begitu menguyurkan perasaan. Mahu berbuat apa aku sekarang? Mahu membongkar sampah-sarap di dalam tong-tong sepanjang jalan? Atau ke tapak pelupusan sampah di pinggir Bukit Beruntung, pedalaman daerah tercinta. Semuanya dalam dilema.
Mujur beras masih penuh ‘genak’ boleh menyenangkan isteri dan anak-anak memasak nasi. Mujur gula masih ada tiga kilogram lagi dalam botol plastik untuk kacau air kopi pahit. Nasib baik teh uncang telah aku isi sepenuhnya dalam bekas terletak atas kabinet dapur bagi membuat air teh tarik. Begitulah persediaan awal sebelum tiba bulan November dan Disember setiap tahun, telah aku selesaikan hasil jualan tin-tin kosong terkumpul dalam sepuluh guni plastik. Nilainya dalam seribu rial. Tidak termasuk lagi plastik-plastik, kotak-kotak, besi-besi buruk siap diasingkan dalam bekas. Pepejal komersil ini sengaja aku simpan bagi menghadapi risiko di luar jangkaan.
Kehidupan aku tidak ubah kata pepatah Melayu: kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebelum aku menutup mata setiap malam, untuk esoknya, aku siap merancang dalam kepala untuk mencari dan mengumpul bahan buangan tadi. Seperti biasa, tempat yang menjadi sasaran hanyalah tong-tong sampah sepanjang jalan, kawasan-kawasan pelupusan sampah yang sentiasa dipindahrandahkan ke kawasan jauh sedikit dari pandangan mata dan tebaran bau hampak, busuk, hampak, hanyir penduduk kota raya.
“Sampai bila abang nak buat kerja ni?” kata isteriku. Kadang-kadang dia ikut sama ke tempat pembuangan sisa berkenaan untuk membantu aku mencari sebanyak mungkin bahan-bahan untuk dikitar semula.
Aku tak segera menjawab pertanyaan dikemukakannya. Aku biarkan persoalan itu berlalu. Sehingga hari ini, itulah kerja mulia pernah aku lakukan untuk membesarkan anak-anak seramai empat orang. Membeli pakaian. Menyediakan duit saku sekolah. Membeli beras. Gula. Kicap untuk dimakan setiap pagi, tenga hari, dan malam. Tidak pernah terjejas pun perut mereka diisi dengan makanan. Kalau penduduk di Taman Indera Mahkota itu boleh beli KFC untuk anak-anak mereka, aku juga boleh beli untuk disantap oleh anak-anakku.
“Abang tau tak, kerja ini jijik dan hina, bang…” sambung isteriku sambil memegang bahu ketika aku hendak membelokkan haluan ke jalan kecil menuju cerun bukit.
Dari situ aku sudah nampak, sudah ramai orang merangkak atas busut sampah, sambil menguis-nguis timbunan mencari bahan-bahan yang mereka kehendaki. Di sebelah kiri sudah ada Thambala Singgan, Mutusamy, Kadir, Kiah asyik mengaut dan menarik besi yang baharu dicurahkan oleh lori banda raya. Sebelah kanan, ramai lagi pencari bahan pepejal terbuang.
‘Ah, semakin bertambah ramai rupanya kerja ini dilakukan oleh penduduk marhain di perut kota kosmopolitan ini rupa-rupanya!’ getus hati kecilku.
Mataku melilau ke batang tubuh memenuhi rimbunan rezeki itu.
“Hahahaha… Bukan sahaja manusia yang ada, selain manusia juga ikut sama berpesta ke situ mencari makanan,” tambah bisikan dalamanku. Kawasan rahmat itu menjadi kawasan perburuan ramai. Pendapatan lumayan!
“Kita dah terlambat!” kataku separuh kesal. Tetapi tidak pernah berasa putus asa. Terus sahaja ke kawasan yang dikata jijik dan kotor oleh isteriku tadi. Dia juga ikut segera ke tempat itu. Isteriku seperti sudah maklum, apa yang hendak dicari. Dia terus mengheret dua batang besi sebesar jari kelingking. Kemudian dilipat-lipatkan menjadi kecil seperti kerawat gulung, kemudian dicampak ke dalam bakul motosikal roda tiga.
“Prennnnnggggg…..” Bunyi hantukan besi sesama besi menyebabkan aku terperanjat, begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain.
“Oooi, Munah, rezeki kau tu. Kami datang awal pun tak nampak besi buruk tu…” laung Syamsiah, atau aku panggil Syam sahaja, bermakna ‘matahari’, dia yang sedang menunggengkan punggungnya ke celah sampah di hadapan. Munah, isteriku hanya mampu tersengih. Munah aku panggil dia Moon sahaja, bermakna bulan. Ah… Bulan dan Matahari… Hehehe.
“Dua minit kau sampai, dapat 30 rial. Kami sudah sejam, masih terhendap-hendak mencari rezeki, baru dapat 10 ringgit,” tambah Syam. Dia memperbetulkan pakaian tebal menutup mukanya. Syamsiah hanya boleh dilihat dari luar bungkusan pakaian yang tebal sahaja. Baju dipakainya mungkin dua atau tiga lapis. Penutup kepala, bukan sahaja dibungkus dengan talkung, tetapi dibungkus dengan plastik lut sinar.
Mantap Syamsiah janda bergetah beranak dua itu sangat manis, manis seperti tebu. Dia ditinggalkan oleh suaminya dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis.
“Apa kau dapat pagi ni, Syam?” sampukku kepada Syamsiah. Aku menyucuh rokok daun. Sedut dan hembus asap. Tembakau Jawa yang aku beli di kedai Mamak kelmarin cukup lembut.
“Dapat tin-tin kosong je, bang…” Lembut suara Syamsiah. Getaran suaranya meluru terus menikam ke tangkai jantung hatiku. Tersirap darah lelaki membangkitkan nafsu serakah yang sudah lama menaruh harapan pada Syamsiah.
“Mesti ada lagi tu… Dapat lagi dalam 30 ringgit… tu… tu… besi, ambillah!” kataku kepada Syamsiah, melemparkan senyum penuh makna.
“Terima kasih, bang…” balas Syamsiah.
Aduh… Pedihnya ulu hatiku menyambut suara manja Syamsiah. Dua tahun suatu waktu agak lama, bukan sahaja untuk Syamsiah, untuk wanita-wanita janda lain juga begitu. Mereka terasa sunyi dan kesunyian itu perlu diisi oleh seorang lelaki. Ke situ pula aku pagi ini. Bukan datang untuk mencari rezeki yang halal, tetapi khayal melalut melihat punggung Syamsiah di hadapan. Sedangkan Munah, masih lagi mengcekau beberapa keping kotak, kemudian di susun ke atas lingkaran besi, botol-botol, dalam bakul motosikal roda tiga.
“Hari ni kita dapat 200 ringgit cukuplah,” kata Munah. Dia begitu tekun melakukan kerjanya. Tidak pernah buruk sangka kepadaku yang lebih banyak melilau ke arah Syamsiah sebelah sana. Sesekali, aku melontarkan tin kosong bekas air Coke, kemudian tin tu terkena punggung Syamsiah. Syamsiah tersenyum lebar. Geram betul aku melihat lontaran senyuman manis bibir Syamsiah.
“Abang cari apa tu? Bekas air ke? Bekas tu ada di sini, bang!” tegur Munah.
“Tak, tak, tak… Aku tengah menyikul timbunan sampah tu, Moon,” jawabku tergagap-gagap. Pandai pula Munah menyindir aku.
“Moon kata cari kerja lain, tak nak jawab…” balas Munah bersahaja.
“Kita bukan mencuri, Moon. Kerja ni mulia, walaupun dalam keadaan kotor.”
“Betullah… Tapi orang akan lihat abang tak berdaya. Tak kuat berfikir untuk mencari kerja lebih baik daripada yang ini.”
“Di sini, kota raya ni, apa kerja yang baik untuk kita?”
“Laaa, banyak bang. Tengok orang Indon datang sini dapat bawa balik wang berjuta-juta dengan hanya menjual air saja, masakan kita tak dapat. Kerajaan kita mesti menjaga hak dan kepentingan warganegara…” Leteran Munah agak panjang.
“Gerai tepi jalan tu, orang Indon punya,” katanya. “Restoran depan itu, Mamak punya…” tambahnya.
“Kita, mana? Selagi abang tak nak berubah, bagilah berbilion peruntukan mendapatkan pun, bangsa kita tak akan berubah!” sambung bebelan Munah.
“Buang tabiat ke datuk ni?” ngomel hati kecilku. “Bukan nak cari rezeki, tetapi banyak berleter pula dia. Kalaulah dia jadi ketua rumahtangga, baharu dia tahu betapa susahnya hendak mengendalikan kehidupan penuh mencabar ini. Usahkan hendak fikir tentang masa depan, nak cari makan sesuap pagi dan petang pun, macam ulat dalam batu.”
“Sampai bila, bang? Malulah kepada bangsa pendatang tu!” Suara Munah persis ekor buaya datang membedal otaknya.
“Malulah kepada bangsa Indon. Malulah kepada bangsa Mamak. Malulah kepada bangsa Bangla… Mereka datang ke sini sehelai sepinggang je, bang.”
Aku jadi lemas. Selama ini, Munah tidaklah menghabiskan masa dengan mulut becoknya. Apa kejadah Munah tiba-tiba jadi seperti langau menghurungi sampah. Dia tidak pernah meminta Munah ikut sama melakukan kerja-kerja itu. Baik Munah tinggal di rumah, membesarkan perut. Munah bukan perempuan janda macam Syamsiah. Dia ada suami. Suami dia adalah aku.

“Brooommmmmm…”
Terkejut aku bukan kepalang apabila terdengar bunyi dengungan kuat seperti itu. Aku nampak timbunan sampah bergerak turun dari busut yang tinggi ke arah cerunan bukit yang dalam. Orang lain juga ternganga. Mereka berdiri sambil memandang ke arah bunyi kencang itu. “Sampah runtuh.” Hanya itu kata-kata tertangkap dalam fikiran. Belum lagi melihat siapakah mangsa yang terperangkap di bawah sampah itu.
“Eh, mana Moon? Mana Syamsiah?” Aku terkapai-kapai mencari sosok badan mereka.
“Lari!… Naik ke atas!” perintah pemandu buldozer sambil melompat turun dari kereta bebal itu.
Aku terpinga-pinga. Mana Munah? Mana Syamsiah? Mereka sudah tidak ada. Manakala yang lain sudah bergegas ke atas bukit. Aku dipapah oleh seseorang, heret sama ke atas. Dia berkata kepadaku:
“Bulan dan Mataharimu sudah tidak ada. Mereka terkambus dalam sampah itu!”
Oleh:

Abdullah Awang.
Malaysia.
TAMAT.