Kekasihku
telah aku biarkan detik dan waktu itu terus beredar
agar ku temui hari yang bahagia bersama mu
hari yang menyatukan kau dan aku.

Saat itu nanti
sudikah kau mencemari jemarimu
biar ku tumbuk sendiri dedaunan hayat.

Moga ia tertangis air mata kemerahan
sebagai tanda kunci kamar kita berdua
saat malam menjemput lena.

Wahai isteriku
maafkanlah aku andai kamar cinta itu
tidak semewah keinginanmu nanti.

Aku tidak punya harta dan kemewahan
agar dapat aku menghiasi kamar kita berdua
dari bantal empuk yang berjenama
mahupun selimut dari sutera.

Aku hanya ada kedua tangan
tempat kau beradu mimpi yang indah kelak
meskipun tidak seempuk bantal di rumah ayahmu.

Aku hanya ada sekujur tubuh
tempat kau berteduh dari panas dan kedinginan
meskipun ia tidaklah selembut selimut di rumah ibumu.

Jika kau sabar wahai isteriku
tangan dan tubuh ini adalah kekayaan ku
yang pasti akan dapat memberikan kebahagiaan
buatmu dan anak anak kita kelak.

Aku rela wahai isteriku
demi sebuah yang bernama cinta
atas nama cinta.

Andai suatu hari kelak kau bersedih
di atas nama cinta yang kekurangan
kerana kekurangan ku.

Maafkanlah aku wahai kekasihku
bukan bermakna kita tidak memahami
antara satu dengan yang lain.

Namun takdir yang cemburu
kerana melihat kebahagiaan kita berdua
sering mengusik kau dan aku.

Hanya ingin ia melihat
seteguh mana cintamu
dan cintaku.

Oleh:

Nur Firdaus Faris Fitri.
Johor, MALAYSIA.
05.08.2020.

Dari kami sahabat penamu
selamat melangsungkan perkahwinannya
pada 09.08.2020, doa kami semoga
Berbahagia selalu sampai jannahnya

AAMIIN YA RAB.

TAMAT.