xxxxxxxxxx
kumpulan puisi
ZULKIFLI BAHARUN

SECANGKIR PUISI UNTUK TETAMU
© eSastera Enterprise, 2020
ooooo
BIODATA PENULIS

Zulkifli Baharun dilahirkan di Parit 9, Sekinchan, Selangor pada 10 Julai 1970 dan dibesarkan di tanah rancangan Felda Mayam, Bera, Pahang. Ayahanda beliau ialah Allahyarham Baharun bin Senawi dan bonda pula ialah Jumaliah binti Ahmad. Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Felda Mayam ( 1977 – 1982). Pendidikan peringkat menengah pula disempurnakan di SMK Felda Purun, Bera, Pahang (1983-1987). Seterusnya, Zulkifli Baharun meneruskan pengajian di Tingkatan 6 di SMK Abu Bakar, Temerloh (1988-1989).
Kerjaya sebagai pendidik melatari kehidupannya sehingga kini. Zulkifli Baharun memperoleh latihan perguruan di Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit ( 1991 – 1993). Perkhidmatan sebagai guru bermula di SK Felda Mayam, Bera dan seterusnya menumpahkan khidmat baktinya di SMK Felda Purun, Bera. Zulkifli Baharun melengkapkan pengajian di peringkat ijazah pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ). Kini, beliau masih berkhidmat di SMK Felda Purun, Bera.
Zulkifli Baharun mula berkecimpung dalam dunia kesusasteraan tanah air pada tahun 1993. Karya pertamanya dalam bentuk sajak yang berjudul “Coretan Untuk Remajaku” tersiar di majalah Al-Islam pada Oktober, 1993. Puisi-puisinya turut dimuatkan dalam Mingguan Malaysia, Berita Harian, Berita Minggu, Pelita Bahasa, Mastika, Ummi, dan Utusan Melayu Mingguan.
Di samping itu, Zulkifli Baharun turut menyumbangkan karya khususnya puisi dalam beberapa antologi puisi bersama, iaitu Ulung: Puisi Mengenang Negarawan (Lembaga Muzium Negeri Pahang, 2003), Hijrah Musafir (Dewan Persuratan Melayu Pahang, 2008), dan Kampung Pagi (Majlis Teater Negeri Pahang, 2013 ). Kini Zulkifli Baharun turut bersama-sama memeriahkan dunia kesusasteraan alam siber menerusi portal E- Sastera Vaganza ASEAN.
Lihat PROFIL di SINI.
KARYA (PUISI)
SENARAI TOPIK
(50) Sirnakan Dendam Itu. (49) Sesuatu Yang Kita Miliki. (48) Saat Menatapmu. (47) Pelita Di Halaman Ini. (46) Pantun Mencari Ilmu. (45) Pada Suatu Pagi Januari. (44) Pada Setiap Kali Aku Pulang. (43) Melentur Pekerti. (42) Kisah Seorang Anak. (41) Jam Tua Itu.
(40) (39) Aku Tetap Ingat. (38) Aku Di Perjalanan Insaf. (37) Adik Ingin Memetik Bintang. (36) Terpasung. (35) Taati Pemimpin. (34) Suburkan Makna Merdeka. (33) Sebuah Pengalaman. (32) Sabar Yang Hilang. (31) Rimbun.
(30) Perahuku. (29) Pencarian. (28) Pelita Yang Kehabisan Minyak. (27) Peranti Di Alam Baharu. (26) Mencari Kasih. (25) Keelokan Akal. (24) Pada Kicauan Burung Petang. (23) Nota Untuk Bonda. (22) Maafkan Aku. (21) Kukunci Kata-kata.
(20) Ke Dalam Diri. (19) Kanvas Lebuh Raya. (18) Menyambut Aidilfitri Musim Ini. (17) Embun Di Hujung Rumput. (16) Dia Nakhoda Kekal. (15) Ceritera Rama-rama. (14) Berlari Di Atas Padang Keyakinan. (13) Bekal. (12) Abah. (11) Secangkir Puisi Untuk Tetamu.
(10) Menanti Terang. (9) Dia Yang Masih Berdiri Di Situ. (8) Gedung Rahmat. (7) Melewati Perkebunan Bahasa Nenda. (6) Memanjat Pokok Kejayaan. (5) Pantun Menghayati Ramadan. (4) Menginsafi Kealpaan. (3) Saat Hujan Mencurah. (2) Selagi Nadi Masih Berdenyut. (1) Antara Yang Terhidang.
000000
50.
SIRNAKAN DENDAM ITU
Kala dendam itu membesar
kian kejaplah belati nafsu
mengikat hati mati
tertutuplah minda sedar
dalam menjunjung kebaikan.
Sirnakan dendam itu
sebelum kian membarah dan berdarah
siramlah hati dengan suci kalimah ketuhanan
akan terbukalah pintu akal dan kalbu
melorong kebenaran.
Bera, Pahang.
49.
SESUATU YANG KITA MILIKI
Sesuatu yang sering bersama kita
yang kita cintai
yang kita mesrai
di halaman sentosa ini
tidak selalu kekal ada
usah biarkan kesal memenjara hati
yang manis itu bukanlah selamanya dikecapi
umpama bulan yang mengambang penuh
benderang di langit malam nan indah
akan beredar pergi jua
pabila siang menghampiri.
Sesuatu yang kita miliki ketika ini
bisa bertukar menjadi milik orang
lantaran kita dipinjamkan cuma
malah diri yang berdiri di takah usia ini
akan kembali jua kepada pemiliknya
yang hakiki.
ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang.
15 Mei 2020
48.
SAAT MENATAPMU

Saat menatapmu
sambil meniti dari baris ke baris kata
adalah menyusuri rimbunan ilmu
dengannya kelopak minda terbuka
dengannya tangkai rasa melayup tinggi
di lembah penghayatan
menggamit jutaan ilmu
sepadang damai hamparan hidup
akan berseri dihiasi warna-warna
pelangi kebijaksanaan.
Biar halaman manfaat terbentang
biar padang keajaiban terhampar
keindahannya hanyalah dendangan
terbiar jauh di benua kebenaran
selagi obor wawasan tidak marak menyala
di persada nurani.
Ayuh
kita bina tamadun bestari
bertemankan selaut buku
yang tidak pernah menghampakan
sekalipun musim berubah.
ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang.
47.
PELITA DI HALAMAN INI
Pelita yang kita letakkan di persada laman indah ini
biarlah yang penuh minyaknya
dari telaga moyang
elok pula sumbunya dari benang terpilih
yang tersimpan di peti adat sejak berkurun dulu
tidak pula ada kebocoran di mana-mana
agar pelita yang kita nyalakan nanti
terang cahayanya memenuhi segenap ruang laman
elok dan cantik pula liuk apinya
dan tidak mudah terpadam
dek hembusan bayu liar
atau berjelaga hitam yang menyesakkan nafas kita.
Bimbang juga nanti
kita akan teraba-raba dalam gelap berpanjangan
lalu mencari pelita lain
yang muncul tak diundang
dalam saat yang serba sukar.
Pilihlah pelita terbaik
dengan sejauh kebijaksanaan
sebelum kita letakkan di halaman tercinta ini
ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang.
46.
PANTUN MENCARI ILMU
Mawar rimba celahan temu,
Dipetik jari kuntumnya tiga;
Ilmu ditimba janganlah jemu,
Pendinding diri menuju syurga.
Jala ditebar menangkap kelah,
Sayang sekali hasil sedikit;
Ilmu dikejar sehingga lelah,
Umpama mencari intan di bukit.
Rumpun tebu di pangkal beksa,
Dibaja penghulu berkain pelekat;
Santuni guru sepanjang masa,
Supaya ilmu beroleh berkat.
Pasang belat di alur rumpai,
Airnya berlumpur sukar diredah;
Banyak tempat ilmu digapai,
Wang dilabur bertahun sudah.
Kisah anbia bonda berperi,
Asyiknya putera tiadalah jemu;
Akhlak mulia menghias diri,
Itu tanda insan berilmu.
Ke hujung desa naik pedati,
Berkebun duku di tanah rata;
Ilmu diguna menabur bakti,
Bersama memaju negara tercinta.
Menuju kuala jalannya redup,
Berbekal nira di dalam raga;
Ilmu di dada panduan hidup,
Doa bonda azimat berharga.
BERA, PAHANG
7 Mei 2020.
45.
PADA SUATU PAGI JANUARI

Kokok ayam di tanah
kicau merbah di pelepah nyiur
silir bayu dingin
selepas hujan pagi
bergetar di kelopak zikir
mercup dan bening
dalam basah Januari.
BERA, PAHANG
13.1.2021
44.
PADA SETIAP KALI AKU PULANG
Pada setiap kali aku pulang ke rumah emak
ada simpati yang mengalir
di siratan darah seorang anak ini
yang menyatu di tubuhmu emak
nafasmu adalah nafasku
yang dihela sepanjang jalan kehidupan.
Pada saat ini
kesakitan telah merapati dirimu
yang kian renta
meskipun untuk bangun dari pembaringan
emak perlu dibantu
lena tidur sering pula terganggu.
Titis air mata yang tumpah
ke tasik kasih yang jernih dan luas
mengocakkan rasa sesal yang panjang
lantaran tak berupaya menghamparkan
permaidani khidmat yang tekal dan kudus padamu.
Emak, izinkanlah diri seorang anak ini
diguyuri air mawar dari rimbun redamu
kerana keredaanmu adalah keredaan-Nya.
Pada setiap kali aku pulang
jambangan doa mewangi tetap aku hulurkan
semoga emak tabah dan reda
menatang derita sementara ini
menuju syurga abadi.
ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang (15 Mei 2020)
43.
MELENTUR PEKERTI

Aku masih ingat saat menebang buluh
untuk memagar kebun sayur
ayah mengetuk-ngetuk belakang parang
pada keras batang buluh
yang melingkungi ruang kosong di dalamnya
serba gelap dan tertutup.
Lantas ayah menukilkan kata berbunga makrifat
andai ingin membentuk cantik pekerti
bermulalah dari lembut rebung yang putih bersih
ya, itu memang kiasan yang cukup biasa
singgah di telinga ketika di sekolahku.
Kini saat berlari di batas kedewasaan
kata-kata ayah adalah permata kebenaran
yang bergemerlapan menghiasi lembut tangan kepatuhan
pada seluruh detik kehidupan yang menguji.
ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang.
2020
42.
KISAH SEORANG ANAK
Setiap sore
si kecil itu tercari-cari sebutir kasih
yang hilang di celah-celah waktu
betapakah kemilau duniawi
mengusung kasih ayah
mengheret cinta mama
menyusuri hiruk-pikuk pembangunan.
Saban malam
si kecil menunggu
kerdip bintang telah mendengar sendu tangisnya
wajah rembulan kian memancar simpati
namun siapakah tahu
duka anak lenyap tika lelap
tatkala lelahnya menanti
untuk merebut kasih ayah
untuk memetik cinta mama
bernilai mahal.
Betapa si anak itu
didewasakan hari
kasih yang murah pun dipetik di mana-mana
di kaki-kaki lima gedung
atau di lorong-lorong nafsu
mengharungi era inflasi kasih sayang.
1994
41.
JAM TUA ITU
Jam tua itu
seperti selalu
tidak pernah tersasar waktunya
tidak juga pernah jemu berdenting
biarpun bertahun lama di dinding sepi
maka kesetiaannya tetap utuh
seperti yang ditakdirkan.
Jam tua itu
walau usiamu tiga puluh
walau jasad tak bernyawa cuma
pun lebih manusia dari manusia
dan tuan jam itulah sering tewas
rebah memapah amanah khalifah
dalam lelahnya bumi berputar.
Betapa
jam tua dan tuan itu
tidak pernah akrab
meskipun dinobat bergelar sahabat
lantaran seringnya tidak sehaluan.
Barangkali
jam tua itu sedang menanti husnul khatimahnya.
ZULKIFLI BAHARUN
1994
40.
BELAJARLAH ANAKKU
Belajarlah wahai anakku
di meja kukuh nusa berdaulat
saat hijau usiamu
dan bugar bersih jiwamu
dari jelaga dunia
yang menyesakkan nafas.
.
Belajarlah wahai anakku
tafsirlah aksara berjuta makna
di buku ketamadunan
pangkalnya tauhid lantas berkembang mekar
di tanah saujana subur ladang keilmuan
dan di situ nanti
akan kautemui siapakah dirimu yang sebenar.
Sebelum kauhirup kopi pengetahuan
nyalakanlah dahulu pelita budi
bersumbu kudus peribadi murni
agar terbukalah pintu-pintu makrifat
di kota nirmala nuranimu.
Di luar jendela kedewasaan
mawar bertangkai duri kian melebat
di pasu globalisasi
untuk kaupetik dengan tangan perkasa!
BERA, PAHANG
39.
AKU TETAP INGAT
Desaku merpati yang putih
melengkungi merahnya mentari pagi
hujanmu adalah benang rahmat
mengulit mimpi petani
ke hujung pelangi.
Aku tahu
bumimu masih hangat bagai dulu
mencerna mesranya para penghuni
mengorak tradisi dulu
yang tak bakal hilang.
Aku tetap ingat
gamatnya keriuhan anak-anak
di halaman rumah kenduri
dan orang tua tak lekang senyumnya
sambil tangan mencedok nasi minyak.
Doaku
antara kita terakrab
saat aku berlari di batas-batas rindu
meski kini menjarak di perkebunan waktu
membajai impian
memikul kewajiban.
1996
38.
AKU DI PERJALANAN INSAF
Tak tahu bagaimana
sering kali duri-duri alpa menghiris batiniah
dan sepanjang perjalanan menelan madu kehidupan
lantas sesaat itu lumpur-lumpur hitam kian memalit waktu
sekalipun kucuba meramahi irama kudus zaman
yang menyusup di cuping nurani
bisikan-bisikan syahdu duniawi
tak pernah goyah menghunjam nanar akalku.
Kukira akulah yang semakin tewas
memacu makna hidup
dengan serakah roda-roda noda
walau kalamullah dan sunah
sejak dulu memahat keyakinan.
Untuk sekian kalinya
kucuba menukil pengertian
antara harumnya bebunga hayat
yang semakin layu
dan manisnya buah-buah ukhrawi
sehingga kugapai jua sebuah pengertian hidup
di perjalanan penuh insaf.
Bera, Pahang.
37.
ADIK INGIN MEMETIK BINTANG
Kudengar katamu pada satu malam
ayah, cantiknya bulan di langit
begitu wajah adik terlalu riang
bagaikan mahu terbang ke bulan
meneroka sang ciptaan nan indah
aku hanya tersenyum.
Kata adik lagi
bintang juga cantik
tangannya tergawang-gawang ke angkasa
bagaikan ingin memetik bintang
untuk disemat di kalbu yang putih.
Aku hanya tersenyum
membayangkan limpah cahaya bulan
dan kerdip gugusan bintang
adalah cahaya hati adik
yang akan menerangi gelap jalan
di persada keinsanan.
Bera, Pahang
8 Mei 2020
36.
TERPASUNG
Andai digali berhari-hari
semakin dalam kejahilan
yang bersarang tanpa sedar
sekian abad terpasung kelalaian
yang menghunjam di sungai waktu.
Jangan lagi ruang diri
gelap terkepung nafsu
mati sebelum mati
tenggelam di dalam kelam!
18 November 2020.
35.
TAATI PEMIMPIN
Rumpai di huma mari diterang,
Tangkas ditebas putera berlima;
Wabak Korona bukan sembarang,
Patut dibanteras bersama-sama.
Dahan beringin jangan dikerat,
Jadi peneduh panas mentari;
Jika ingin tercapai hasrat,
Taati sungguh pedoman jauhari.
Kalau berperahu ke tengah segara,
Hendaklah tahu pantang dan tegah;
Kalau mahu kembali sejahtera,
Norma baharu usah disanggah.
Tumbuh besar dedalu di dahan,
Lekas dicantas orang Langkat;
Rakyat ingkar pada arahan,
Tindakan tegas patut diangkat.
Campuran rempah di atas piring,
Biar sebati dalam hidangan;
Kalau tingkah tidak seiring,
Hasil meninggi diimpi jangan.
BERA, PAHANG.
34.
SUBURKAN MAKNA MERDEKA
Meskipun tenang langkahan kaki
menyusuri permatang indah nusa
janganlah dibiarkan kembang kebahagiaan
dihembus angin kelalaian
menggugurkan gugus bugar makna merdeka
dari jantung kehidupan warga
yang telah kejap melekat sekian waktu
melewati zaman kesentosaan
telah bersama- sama kita mengejar
warna- warni pelangi kemajuan
berlari bebas di padang sejahtera
lantas berserakan lampu- lampu maruah
memancarkan cahaya benderang keyakinan
di atas persada ketamadunan di jagat raya.
Roda kemerdekaan itu jangan terbiar sendiri
bergerak tanpa haluan
dimaknakan secara nafsi- nafsi
oleh si haloba bertopeng hero pembelaan
melaungkan kalimat-kalimat pesona
di hitam lidah pembaharuan
sedang di dada berselirat dedalu yang
berakar kesumat berzaman
sejauh ingin mengoyak lembar sejarah
dari kitab pusaka bernama perlembagaan.
Ayuh
suburkanlah kembali makna merdeka
oleh tangan- tangan kudus perkasa dan berjiwa ikhlas
kerana di sini dan selamanya
tempat kita bernaung di bawah payung berdaulat
tidak akan dibiarkan lagi
darah dan air mata pejuang- pejuang bangsa
mengalir kembali !
Temerloh, Pahang.
22 Ogos 2020.
33.
SEBUAH PENGALAMAN
Sebuah pengalaman
adalah guru
adalah sendu
adalah diriku.
Engkaulah itu
mengalir tanpa henti
di sungai waktu
tanpa jemu tanpa ragu
meskipun riak gelombang airmu
memukau
dan akulah yang bernama sang tewas.
Engkaulah yang mengajar
dalam perjalanan panjang
mengisi maknanya kehidupan
akur pada ketentuan
qada dan qadar.
1993.
32.
SABAR YANG HILANG
Betapa sering kali kesabaran kita begitu kering
tak mampu bertahan
dalam ruang sempit kewarasan
mengasak-asak dalam debu kesombongan dan kerakusan
akal dan rohani telah menjauh
maka kita menjadi jelaga
yang terawang-awang
di langit kerugian.
Bera, Pahang.
2020.
31.
RIMBUN
Bersama bekal cekal
sekental titipan doa ayah ibu
kau meredah lelah belantara ilmu
secerah wajah ceria
mencari akar maklumat
memetik dedaun teknologi
menuruni lembah payah
sekali gus mencipta jejak-jejak pengalaman
agar kau bisa memikul seberkas wawasan
terhimpun dari belantara pertiwi.
Ah
usah kau terhumban di jurang waktu
menguliti bisikan-bisikan nafsi
adalah sebenarnya lelumpur hitam
selamanya memukau waktumu
dan mengheret erti derita.
Seharusnya
anak-anak ceria
tegak rimbunlah
menjadi dedaun ilmu
lalu memayungi nusa
menghiasi
halaman
negara.
Bersama hijau alammu yang damai
warnailah taman hidup
dengan rimbunan akhlak
sambil disambut sorak-sorai penghuni alam
mengiringimu menyusuri denai ilmu
dan mengharap perteduhan rimbunan
semarak anak-anak bangsa maju.
30.
PERAHUKU
Ya Rabbi
perahuku selalu pecah
air madu asyik kian meresap
antara rekah-rekah nafsu
aku tak mampu menampan
gelodak godaan liar yang merusuh.
Ya Rabbi
perahuku bagaikan karam
ombak duniawi membadai sering
aku bagaikan lemas di laut alpa
nyaman kasih-Mu kian menjauh.
Ya Rabbi
hamba-Mu ini memohon keampunan
hamba-Mu ini memohon perlindungan
hamba-Mu ini mengharap pasrah.
Ya Rabbi
Ya Rabbi
Bera, Pahang.
29.
PENCARIAN
Kucari butiran permata
dalam kemilau kehidupan
yang selalu memancarkan
jalur kepalsuan di kertas kealpaan.
betapa aku tak mampu
menepis kerlipan -kerlipan asyik
mengulit ke akal
yang berselirat duniawi
menusuk tajam ke seluruh urat- urat nadi.
kucari roh ilmu
yang terawang- awang
di gelap perjalanan
dalam mencari-Mu.
Sesungguhnya
aku memugar langkah silamku
yang menyusuri denai tenang
ditumbuhi warna- warni
bebunga fikrah dan mahmudah
di madrasah kehidupan.
14 November 2019.
28.
PELITA YANG KEHABISAN MINYAK
Sinar pelita kejujuran
di rumah keinsanan itu
tidak lagi menyala seperti selalu
untuk menerangi ruang nurani
tatkala kekeringan minyak
dari telaga fitrah
lantas setiap denyutan nadi di sini
seakan terhenti kaku
hanya jelaga rawan semakin
bermaharajalela
menyesakkan nafas kemanusiaan!
Temerloh, Pahang.
27.
PANTUN PERANTI DI ALAF BAHARU

Silau mentari menyinar cerang,
Anggerik tersuluh tampak memikat;
Sungguh berguna peranti sekarang,
Benua yang jauh menjadi dekat.
Pasir berlanar di dulang buruk,
Rupanya terselit intan jernih;
Maklumat melebar segenap ceruk,
Nurani bersih bijak memilih.
Pohon kandis berdaun lebat,
Tempat hinggap burung merpati;
Jualan laris untung berlipat,
Promosi digarap merentas peranti.
Air terusan di tanah rendah,
Mengair padi subur meninggi;
Setiap urusan menjadi mudah,
Sistem peranti bersendi teknologi.
Tajam sekali jarum peniti,
Sakit tak sudah tidak terkata;
Jari menari atas peranti,
Jangan fitnah jalar merata.
BERA, PAHANG.
26.
PANTUN MENCARI KASIH

Kalau mencari biji selasih,
Pilih di taman tempat menjadi;
Kalau mencari tempat berkasih,
Hulurlah jambangan pada yang sudi.
Bersama rakan memburu rusa,
Denai dilalu bukan sehari;
Kasih bukan dipaksa-paksa,
Kenali dahulu hati dan budi.
Naik andur ke pangkal titi,
Bawa belat menahan sepat;
Andai menabur kasih sejati,
Pilihlah tempat betul dan tepat.
Beli kelubi dari seberang,
Tampak masak pahit dirasa;
Usah diharap kasihnya orang,
Jika tidak menjaga bahasa.
Bera, Pahang.
25.
PANTUN KEELOKAN AKAL
Tampak cantik anyaman terendak,
Dipakai petani menuju huma;
Nikmat akal ternilai tidak,
Kalimat syukur menghias sukma.
Putih berseri kuntum kemboja,
Dipandang indah dari seberang;
Akal bestari perlu dibaja,
Makanan dijamah bukan sembarang.
Subur pinang pinggiran ara,
Tumbuh di kelok jalan berliku;
Akal tenang hidup sejahtera,
Fikiran yang elok bersemi selalu.
Sulaman tekat berona suasa,
Benang merah menghias segi;
Akal yang sihat diguna sentiasa,
Membangun ummah bertamadun tinggi.
BERA, PAHANG.
24.
PADA KICAUAN BURUNG PETANG

Sesejuk air hujan
yang rembas di dedaun hari
meredakan gejolak rasa
di penjara kesibukan.
Kicauan burung petang
di ranting pohon rendang
memanggil aku datang
ke pucuk zikir
yang tinggi tak terpandang
oleh lesu mata
pada rusuh ruang di tanah kehidupan.
Padamu Tuhan
tetapkanlah aku di atas sejadah zikir.
1.1.2021.
23.
NOTA UNTUK BONDA
Terima kasih
itu yang mampu diucap
walau tak terungkap di lidah
betapa besar budi yang tercurah
tatkala kami dilahirkan
untuk mengharungi luas kehidupan
antara kita tiada pemisah
itu yang telah tertulis di azali
tak terpadam selamanya.
Izinkan aku bonda
menulis kata cinta dan kasih
di persada hatimu
yang terhampar permaidani keikhlasan
menenangkan hidup kami
dalam segenap pengorbananmu.
Semoga budimu
mengangkat darjatmu
hingga ke taman keredaan-Nya.
10 November 2019.
22.
MAAFKAN AKU
Maafkan aku Tuhan
andai tak mampu menurut
segenap perintah
maafkan aku
andai tak usai menggalas
seberkas tanggungjawab
Maafkan aku Tuhan
izinkan aku berjalan di bumi-Mu
menyusuri luas hikmah alam
dan memintal lagi ilmu bertemali
untuk kutambat iman
agar kekal di sanubari
bisa menyuluh gelap kehidupan
untuk berjalan lurus
menuju puncak ketakwaan.
Bera.
12 Jun 2018.
21.
KUKUNCI KATA-KATA

Kukunci kata-kata
andainya liar tanpa ihsan
bimbang terluncur amarah bicara
melukakan jiwa-jiwa
yang telah tertaut persaudaraan
selamanya.
Akan kubuka kunci itu
tatkala waras akal
berpaksi iman
menguntum wangi
di jalan hikmah.
10 November 2019.
20.
KE DALAM DIRI
Kerap kali ia hampir
membelai gemalai cindai
jiwa-jiwa
kosong bagai lorong-lorong
ke neraka.
Menjeritlah aku
dari mimpi-mimpi asyik
sekujur nurani
bersalut selut egoistik
tak terungkai
tanpa sedar kecilnya diri.
Atas kesedaran terdampar
semakin kucuba
menghampari permaidani iman
ke dalam diri
yang putih memulih sujudku
kerana aku dilahirkan begitu.
19.
KANVAS LEBUH RAYA

Warna ria bersatu di dada
adalah tempias sinar suria
berkaca di biru warna.
Hayatilah
ada deru enjin
terpalit di telinga
adalah pancawarna
di hijau kemakmuran
nyanyian riang antara bebayang kuning.
Dan
ada merah darah
tercalit ke wajah
ada air mata
pecah di pipi.
Triang.
18.
GURINDAM MENYAMBUT AIDILFITRI MUSIM INI

Apabila Syawal datang menjelma,
marilah sambut gembira bersama.
Usahlah kita berhati walang,
supaya ceria tidak terhalang.
Biarlah musim kelam cahaya,
di rumah sendiri tetap diraya.
Elok memakai busana indah,
agar lebaran terusir gundah.
Alunlah takbir menggema laungan,
itulah zikir tanda kemenangan.
Solat sunat mari kerjakan,
di situ terserlah erti kesyukuran.
Sederhana sambutan di desa dan bandar,
pasti pembaziran dapat dihindar.
Juadah sederhana jamahlah bersama,
ikatan mesra menghias sukma.
Ikuti sunah di Aidilfitri,
moga berkat kekal terpateri.
Felda Mayam, Bera.
1 Syawal 1441H.
17.
EMBUN DI HUJUNG RUMPUT

Ketika kaki masih gagah melangkah
menyusur pantas masa
di bilah-bilah hari
berilah sedikit tenaga mudamu
menghampar budi dan kasih
pada insan kerdil dan lara
di pinggir moden kehidupan.
Andai longlai langkah
menapak padang takdir
yang kian kering dan terbiar
usah berputus harap
jadilah seperti embun di hujung rumput
tetap berseri memercik sinar
walau sebentar indah dipandang
sebelum luruh ke bumi.
16.
DIA NAKHODA CEKAL
Tidaklah mudah mengemudi bahtera ini
di atas muka laut yang membadai
perlu bijak membaca gerak angin
dan kekarang keras tak terduga
dengan firasat ilmu dan pengalaman
agar tidak goyah tiang pendirian
yang telah tegak kukuh
mengibarkan panji maruah
dan kedaulatan berzaman.
Dia harus berani melontarkan
tegas arahan dalam lembut kata
sabar melentur taat sang kelasi
agar bahtera tidak terumbang- ambing
walau berkali-kali desir bujukan
menerpa kompas perjalanan.
Dia nakhoda cekal
menanti ketika
untuk sauh sejahtera dilabuhkan
di dermaga sentosa.
Bera, Pahang.
15.
CERITERA RAMA-RAMA

Rama-rama di taman itu
seperti selalu berterbangan riang
dari sekuntum bunga ke sekuntum bunga
merasai betapa manisnya madu
dari sarat kemakmuran lembah kesyukuran.
Di sini desir angin menyisih hiba
dan limpahan terang cahaya mentari
adalah sahabat setia selama-lamanya.
Di sini jua rama-rama pelbagai warna
bebas bermain kemilau mentari pagi
mengecap merdu kicau burung di hujung dahan
saat embun luruh di celah-celah rumput terhampar
dibelai ribuan rona-rona maya mempesona
semuanya bersatu dalam degup kedamaian mendambakan.
Tiba-tiba
musim sejahtera bertukar rupa
seekor rama-rama mengibar sayap
dalam rentak berbeza
kabut cuak menyelubungi wajah alam
awan melitup mentari
dan gemuruh hujan pun luruh
dalam sendu rama-rama
kehilangan arah!
Bera, Pahang.
14.
BERLARI DI ATAS PADANG KEYAKINAN

Biasan cahaya mentari
yang muncul di pagi hari
di padang permainan menghijau
bagai luas padang kehidupan
lantas diserkup ribuan nikmat bertandang
di hamparan rohani.
Dari sudut ini
aku ingin terus berlari laju
ke hujung tuju
dengan kejap utuh keyakinan
bersama bisik angin inspirasi
menepis tajam duri kejahilan
gagah menggalas segugus amanah khalifah
di padang dugaan.
Biarkan jerit momokan liar
dan terik kedengkian
yang menggugah pintu istiqamah
aku mahu terus berlari
memacak panji kejayaan sejati.
Bera.
2.1.2021.
13.
BEKAL

Sungguh
itulah bekal yang kauperlukan
saban waktu
susunan bejana pesanan
dan bening kata-kata
menyegarkan putih bersih nurani
dari tulus siraman kasih
ayahanda dan bonda.
Melewati perjalanan panjang
hujungnya mekar harum pengharapan
meski terpanah rembang duga
betapa bekal yang dijunjung
tak pernah mungkir
menghilangkan lapar dan haus
di lurah dendam dan kepura- puraan!
Bera, Pahang.
12.
ABAH
Dalam wajah hati
tersulam kata
-ilmu penyuluh gelita
akulah anakmu mendengar setia
saat usia seruas genggam cuma.
Kini kedewasaan kuharungi
terdengar kembali kata itu
membuah kebenaran
meruntun kesyukuran
di jalan indah ini.
Abah
terima kasih kukalungkan
kata hikmatmu
menjulangku ke mercu ini.
11.
SECANGKIR PUISI UNTUK TETAMU

Secangkir puisi yang kubancuh
dari desir rasa yang menyelinap
dari gejolak fikir dan deru pengalaman
sebati di air manis imaginasi
dan bebuih keilmuan
lalu menyerakkan aroma jujur
untuk dihirup aksara maknanya.
Secangkir puisi setulus nurani
yang kuhidang di meja sang pembaca
biarlah enak dihirup tetamu
menghilangkan kehausan
di tengah rembang hidup
seribu duga.
ZULKIFLI BAHARUN.
2020.
10.

9.
DIA YANG MASIH BERDIRI SI SITU
Dia masih berdiri di situ
lebih 20 tahun sudah
di halaman pendidikan yang subur menghijau
di bawah langit kemerdekaan nusa
memesrai bugar tunas pohon bangsa
dengan siraman kasih
dari kendi keilmuan dan pengalaman
yang sebati dari setanggi peradaban.
Dia masih berdiri di situ
menguliti bencah, alur, bukit dan lembah
berkali- kali juga terkait onak kerenah
dari nakal si kecil berakal sejengkal
dan gelisah sang remaja ingin bebas
lantas tergores jua lengan kesabaran
namun itu hanyalah seketika
luka sedikit terbebat
dengan baldu kecekalan dan keredaan.
Dia masih berdiri di situ
menyerakkan haruman makrifat
dari kudus tanggungjawab
hanya ingin menyalakan cahaya sejahtera
menerangi persada akal budi
di tanah kemakmuran yang berdaulat.
Dia sekadar ingin menghimpun sejuta harapan
agar nanti ada yang sudi
menitipkan kuntuman doa tulus mewangi
saat diri berkelana ke seberang sana.
Bera, Pahang.
8.
GEDUNG RAHMAT
Tirai Ramadan akan kembali tertutup
setelah hampir sepurnama
membuka gedung rahmat
untuk dikecap manis pahala
yang menggunung di sini
cahaya kasih dari Tuhan
bergemerlapan indah
menyinari taman hati
insan kerdil yang penuh pengharapan.
Di sini syahdu tartil lafaz kitabullah
adalah bintang-bintang maghfirah
yang menjadi selaut emas tulen
tatangan insan untuk menghadap
pencipta seluruh semesta alam.
Tirai kemuliaan ini
akan tertutup beberapa ketika nanti
peluang dan ruang sementara
hadiah dari Tuhan Yang Maha Pengasih
tangisan taubat biarlah membanjiri
semoga kita diredai dan diberkati.
Bera, Pahang.
29 Ramadan 1441H.
7.
MELEWATI PERKEBUNAN BAHASA NENDA
Saat kususuri denai aksara berjuta makna
kumesrai hembusan mulus peradaban bangsa
mengelus jiwa-jiwa murni sang warga
huluran bahasa nenda tak pernah mungkir
menebarkan haruman dari serbat adat pusaka
melebarkan wilayah silaturahim
ke segenap hamparan luas kehidupan
di tanah budaya gemerlap kesantunan.
Saat kurenung pohon sejarah
yang mekar sepanjang perjalanan ini
betapa pucuk ketamadunan menjulang tinggi
mengakar dari luhur amanah para penguasa
dalam menjaga maruah nusa tidak ternilai
bahawa negara berdaulat ini telah berdiri teguh
dari tunjang bahasa nenda yang bermain-main
di bibir fasih sang pedagang mewah
lancar terucap di lidah pendakwah mulia
menjadi wadah tinta perutusan di warkah para adipati
melewati negara jauh dan ufuk serata
mengapung megah bahasa nenda di mercu persada bangsa
mewarnai gemilang empayar kesultanan Melayu Melaka
kemilau indahnya terpancar sejauh Parsi dan China.
Tatkala melewati perkebunan bahasa ini
aku merindui halus bahasa pantun yang mengikat kejap
menyatukan rasa cinta teruna dan dara
di majlis bahagia bersaksi berwali
terdengar jua dendangan seloka dan gurindam
sayup-sayup menyampai pesan bersulam bahasa puitis
bagai meresap lembut ke seluruh urat nadi anak-anak watan
di sini bisa kita petik buah-buah aksara ilmu yang ranum tidak bermusim
dari kitab-kitab pendeta dan ilmuwan
bertunjang kembang kelopak bahasa di halaman merdeka.
Bahasa nenda seharusnya megah di tanah pusaka
bahasa nenda seharusnya dimartabat diperkasa
jangan nanti Keranda 152 diusung kembali
lantaran kemuliaan akta diinjak tanpa malu
aduhai
siapakah sang petualang umpama duri dalam daging
yang menanahkan luka bangsa
siapakah pula yang mencemari nirmala indah bahasa beratma
di celah-celah rumah istirahat penghuni
pelbagai keturunan dan warna kulit
dan siapakah yang membakar dupa durjana di perdu sejahtera.
Bahasa bermaruah ini biar kekal mewangi di bugar kemajuan
tak usah goyah dek hembusan bayu teknologi
yang kian mencemari lantas meracuni cantik bahasa
di lidah generasi alaf milenium.
Ayuh
usah gusar memacu nusa dengan usap tulus bahasa nenda
lantaran kekuatan kita pada hari ini
ada azimat bahasa memenuhi ruang jati diri
negara madani bernama Malaysia.
Bera, Pahang.
6.
MEMANJAT POKOK KEJAYAAN
Adik suka memanjat pokok rendang
di dusun datuk yang luas
dahan-dahannya menjulai
dan berbuah lebat.
Adik buat pondok atas pokok
seperti tidak ingin turun lagi
esoknya adik panjat pokok lagi
ibu tidak berkata apa-apa
ibu hanya berdoa
agar adik bisa pula memanjat pokok kejayaan
di lembah kebaktian yang subur
di negeri pusaka.
Bera, Pahang.
2020.
5.
PANTUN MENGHAYATI RAMADAN
Riuh-rendah orang di jeti,
Meraih udang bawal sembilang;
Berseri wajah insan menanti,
Kala bertandang Ramadan nan cerlang.
Jual bidara bersukat kati,
Isi di buntil tidak bertabur;
Syariat puasa harus tepati,
Sejak kecil ajaran disubur.
Gelang intan rapi dijaga,
Cantik berukir menghias tangan;
Bulan Ramadan detik berharga,
Lafazkan zikir dilalai jangan.
Usah dipepah lebah di sarang,
Sengatnya bisa susahlah reda;
Awasi lidah jangan sembarang,
Pancaindera tetap dijaga.
Mengail lampam bersama rakan,
Digulai kari enaknya rasa;
Bertarawih malam elok kerjakan,
Rendahkan diri pada Yang Esa.
Ke mana pergi tempua terbang,
Kalau tidak di dahan rendah;
Ke mana dicari pahala bertimbang,
Kalau tidak penuhkan ibadah.
Bera, Pahang, Malaysia.
4.
MENGINSAFI KEALPAAN
Usahlah dipersalahkan siapa yang hadir
mengetuk pintu kamar kehidupan kita
setelah lama kita dibuai mimpi
berselimut tenunan akal dan renda nafsi
di ranjang duniawi bermadukara.
Bukankah kita yang mengundang kehadirannya
walau tanpa undangan bermadah indah
segalanya membekas dari semaian kealpaan
mengulit generasi yang menyimpan kitab ajaran
ke peti hati yang kontang amalan
lantas menenggelamkan sabda junjungan
tentang erti bersih dan kesucian
lahiriah dan batiniah.
Pasaklah kembali
tingkah yang kudus bertatah sunah
ke tiang kukuh ketamadunan
di atas subur tanah kehambaan dan ketaatan.
Bera, Pahang.
25 April 2020.
3.
SAAT HUJAN MENCURAH
Hujan yang mencurah
dalam dakapan Syawal
menghantar silir kasih-Nya
berhembusan di celah-celah dedaun
yang kering dan berdebu
dalam musim kemarau yang panjang.
Tasik rindu pun penuh
mengocakkan salam persaudaraan
di lembah keinsanan yang subur.
Hujan yang mencurah
membasahi ruang kalbu
bagai terasa titipan kalimat doa
terangkat tanpa hijab
saat berbaring
di halaman munajat.
Bera, Pahang.
3 Syawal 1441H.
2.
SELAGI NADI MASIH BERDENYUT
Selagi nadi masih berdenyut
di rembang dan terik perjalanan
selagi itu kudrat yang dikurnia
bagai renjisan air mawar
akan terus mewangi
di bilah- bilah kesibukan
di relung- relung kepayahan
dalam menuntun hidup
yang masih berbalam penghujungnya.
Kudrat yang dipinjamkan ini
biarlah kelopaknya mengembang
lalu menyerakkan haruman kasih
mengelus lembut jiwa insan-insan
menyapa manis selumbar tajam
di celah- celah rumit bersalut duka
di alam yang sama dikongsi.
Selagi nadi masih berdenyut
biarlah darahnya mengalir
dalam tenang zikir
bagai embun suci yang menitis
ke persada kiblat.
2020.
1.
ANTARA YANG TERHIDANG
Sering kali terjamu di hadapan mata
pelbagai bentuk, warna dan rasa
yang terhantar dari puing-puing asyik
atau titipan ambar semerbak
dari daerah asing tak bernama
mahupun kilauan kata-kata tanpa roh
membawa sejuta pesona pujukan.
Aku harus mencerna pilihan
dari adunan ilmu tulen
dibasahi siraman madu wahyu
dibumbui bersih adat bersyariat
bukan sekadar serakah ingin
yang menggugah di siratan darah
selamanya.
Antara yang terhidang itu
pilihan ada di jiwa yang jernih
dihiasi bebunga pengharapan
haruman hidayah.
Semoga aku tak salah memilih.
Bera, Pahang.
2020.
TAMAT.