KUMPULAN PUISI
IRWAN ABU BAKAR

AM KE PM

© E-sastera Enerprise, 2020
ALU-ALUAN PENERBIT
SUKACITA kami menghidangkan kepada para peminat sastera Melayu, kumpulan 60 buah sajak karya Irwan Abu Bakar, dengan 55 buah ditulisnya pada tahun 2012 hingga 22.11.2020. Kebanyakan sajak tulisan Irwan sebelum tahun 2012 telah dikumpulkan ke dalam tiga buah buku yang berikut:
Semelar, 2003 (113 puisi).
Kuntom Ungu, 2012 (105 puisi).
Peneroka Malam, 2014 (25 puisi).
Grafiti Hati, 2016 (60 puisi).
Walau bagaimanapun, buku Peneroka Malam lebih memfokus kepada ulasan para penulis terkemuka Indonesia terhadap setiap puisi Irwan di dalam buku itu. Daripada 25 buah sajak di dalamnya, hanya sebuah sajak yang belum termasuk ke dalam kumpulan-kumpulan lainnya, iaitu sajak yang berjudul “Selayang Padang”. Selebihnya, telah dimasukkan ke dalam buku Semelar (3 puisi), Kuntom Ungu (19 puisi), dan Grafiti Hati (2 puisi).
Kami juga mendapati bahawa tiga buah sajak Irwan yang diterbitkan dalam buku APAS (2003) belum dimasukkan ke dalam mana-mana buku kumpulan karyanya sebelum ini. Sajak-sajak itu ialah “Anak Malam Gerhana”, “Menuju”, dan “Profesionalisme”. Juga sebuah sajak berjudul “Busuk Dan Wangi” dari laman Sastera @ Pustakamaya.net (tahun 2003). Begitu juga dengan sajak “Konflik” dalam buku Tunas Jiwa (Tajaan DBP, 2005). Maka, untuk melengkapkan kumpulan puisi Irwan, kami tambahkan puisi “Selayang Padang” dari buku Peneroka Malam ke dalam buku ini bersama-sama dengan empat buah sajak yang tersebut.
Puisi-puisi dalam buku AM Ke PM ini kebanyakannya kami peroleh dari terbitan bercetak, iaitu sebuah dari akhbar dan selebihnya dari antologi bersama. Karya terbaharunya kebanyakannya kami peroleh dari terbitan di alam siber, terutamanya dari portal E-sastera Vaganza ASEAN yang diterbitkan oleh eSastera Enterprise bagi pihak Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa). Juga dari grup Facebook, “E-Sastera @ Sajak” dan “Majalah E-sastera @ Facebook”. Grup-grup itu dikendalikan oleh Persatuan Aktivis E-sastera, Malaysia (E-SASTERA).
Semoga buku AM Ke PM ini melengkapkan kumpulan karya Irwan buat tatapan dan keseronokan masyarakat peminat sastera seluruhnya.
Ikhlas dari:

eSastera Enterprise.
Kuala Lumpur, 22.11.2020.
BIODATA PENULIS

Irwan Abu Bakar (atau Dr. Ir. Wan Abu Bakar bin Wan Abas) dilahirkan pada tahun 1951 di Segamat, Johor. Beliau bersekolah rendah dan menengah di Segamat serta mengikuti kursus Tingkatan 6 untuk empat bulan di English College, Johor Bahru, Johor. Kemudiannya beliau telah berpindah untuk mengikuti kursus diploma dalam bidang Kejuruteraan Mekanik di Maktab Teknik, Kuala Lumpur (kini UTM). Selepas itu, beliau telah melanjutkan pelajaran di University of Strathclyde, Glasgow, United Kingdom untuk mengikuti kursus Bachelor of Science (Mechanical Engineering) dan PhD (Bioengineering). Isterinya ialah Hasimah Harun dari Pasir Mas, Kelantan. Mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, lima lelaki dan dua perempuan. Kini mempunyai lima orang cucu.
Irwan mempromosi konsep “whole-brain thinking” sebagai jurutera yang terlibat secara aktif dalam bidang sastera. Beliau telah menerbitkan pelbagai karya sastera, termasuk novel, cerpen, puisi, dan artikel. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah sastera tempatan. Di samping itu, beliau diiktiraf di Malaysia sebagai pengasas kegiatan sastera siber (atau e-sastera) Melayu. Portal sasteranya dilanggani penulis dari pelbagai negara, terutamanya Indonesia. Beliau juga terlibat secara aktif dengan deklamasi puisi, terutamanya di Malaysia dan Indonesia.
Dalam gerakan penulis, Irwan ialah Presiden, Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) sejak didaftarkan pada tahun 2010. Irwan juga pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden, Persatuan Sasterawan Numera (Nusantara Melayu Raya), Malaysia dan juga pernah menjadi Bendahari, Jawatankuasa Protem, Persatuan Sasterawan Paksi Rakyat (PAKSI).
Pada tahun 2016, Irwan telah menubuhkan gerakan sastera pada peringkat ASEAN yang dinamai Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (GAKSA) serta pada peringkat global yang dinamai World Association of Literary Communities (WALC). GAKSA menerbitkan portal e-karya yang dinamai E-Sastera.Vaganza ASEAN (ESVA). Di samping itu. Gaksa juga menerbitkan buku hasil karya bersama oleh penulis lima negra ASAEN. Setakat ini, lapan buah antologi puisi dan dua buah antologi cerpen telah diterbitkan. Pada 2017, GAKSA membeli sebuah rumah di Cilegon, Banten, Indonesia dan menjadikannya pusat aktiviti sastera peringkat ASEAN dan dinamai Rumah Sastera ASEAN.
Kini Irwan meneruskan penerbitan e-majalah sastera (majalah sastera dalam Internet). Fokusnya pada masa ini ialah portal sastera Melayu peringkat rantau ASEAN bernama E-sastera Vaganza ASEAN terbitan Gaksa. E-majalah ini dikongsi ke grup Facebook, “Gaksa E-sastera vaganza ASEAN”. Beliau juga menerbitkan satu lagi e-majalah di grup Facebook. E-majalah kedua ini ialah terbitan eSastera Enterprise untuk persatuan E-SASTERA dan diberi nama Majalah E-sastera @ Facebook.
Bertarikh: 20.11.2020.
KARYA (PUISI)
SENARAI TOPIK:
2020. (1) Anugerah 2021. (2) Batu Cair. (3) A, B, C. (4) 20:02:20 20.02.20. (5) Mari Tulis Sajak. (6) Air Dari “Air”. (7) Bukan Punya Kita. (8) Serangkap Gelap. (9) Perginya Sebagai Bintang Yang Terang. (10) Dari AM Ke PM. (11) Terus Kunanti. (12) Aku Sendirian Memerintah Hahihu. (13) Forever 21. (14) 40 Tahun Bersama. (15) Satu Syawal Yang Sunyi. (16). Tutorial Bahasa Melayu Semasa: Suku Kata “-han”.
2019: (17) Haziq 27. (18) Melepas Rindu, Aku. (19) Sesak Otak. (20) Secawan Teh Tarik.
2018: (21) Sebuah Dron Nakal. (22) Kenapa Rabu? (23) Solat Beli-belah. (24) “Hari Ini Hari Aku,” Kata Puisi. (25) Pahala Zulhijah.
2017: (26) Sudah Dua Minggu. (27) Wakaf.com. (28) Hari Ini Sepember 11. (29) Makmum Di Saf Ke-1. (30) Hari 1, 2017. (31) Semangkuk Ikhlas Di Sudut Pulau.
2016: (32) Korban Sayang. (33) Gegar Di Hati. (34) Agamawan Nerakawan. (35) Sepipit Usaha. (36) Pemimpin Kaki Sebelah. (37) Aku Tak Mahu Merdeka. (38) Muka Di Depan Gelas. (39) Melangkah Masuk Sempadan 2016. (40) Aku Hanya Sebuah Teguran. (41) Nuzul. (42) Seorang Tua Di Kaki Masjid. (43) Konflik.
2012: (44) Selayang Padang. (45) Dari Resah Mahmud Ke Resah Asy-Syifa’. (46) Ke Khemah Hitam Ibu Susuan. (47) Tujuh Likur Yang Satu-satunya. (48) Perang Pertama: Ghazwa Badar. (49) Dendam Bilal. (50) Hamzah Rebah, Dadanya Dibelah, Hatinya Diratah. (51) Baiah Ridwan. (52) Perjanjian Hudaibiah. (53) ADL Contoh. (54) Abu Jahal Dan Abu Lahab Mati Hina Di Perang Pertama.
2005. (55) Aku Terus Melawan Dan Berserah.
2002: (56) Anak Malam Gerhana. (57) Menuju. (58) Profesionalisme. (59) Busuk Dan Wangi.
2020: (60) Ramadan 27
Kulit belakang: Ramadhan 27th.
KUMPULAN PUISI 2 (Etalase): Klik SINI.
2020
Sajak No. 1-19 dipetik dari:
Portal E-sastera Vaganza ASEAN
1.
ANUGERAH 2021
Sekian lama ditunggu-tunggu
harapan dinamai sebuah wawasan
dicapai kita membawa bahagia
pada 2020 tahun dinanti.
Tiba 2020
ia diiringi cabaran hebat
tidak terduga olehnya kita
virus halus datang menerpa
mengubah dunia, mengubah langkah
kita terkejut, terpaksa menyerah.
Kini
2020 melangkah nak pergi
2021 kita nanti
mohon ampun, minta berkat
dari Allah, pencinta insan.
-irwan abu bakar
kuala lumpur, 22.11.2020
2
BATU CAIR
Seketul batu
keras pejal
berdiri teguh
di pinggir tasik.
Hujan menitis
lembut melurut.
Masa berlalu
terolah batu
dibentuk sekehendak
titis yang lembut.
-Ipoh, Perak, Malaysia, 12.09.2020.
3.
A, B, C
Yang ada ialah A, B, dan C
tapi di sini banyaknya B
B pun sudah tak terlawan
terpaksa kita bertapa di rumah
satu amalan hidup yang asing
demi mengelakkan diri dan komuniti
dijangkiti penyakit dibawanya nanti.
Virus korona novel membawa
demam, batuk, dan sesak nafas
sehingga perkuarantinan menjadi perlu
demi mengelak pandemik merebak.
A, B, dan C virus korona
tak sama dengan gred SPM
ia menyerang di paru-paru
bukan ego di minda insan.
-Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 19.4.2020.
4.
20:02:20 20.02.20
Kunanti penuh debar
saat kita akan ber-2
seperti telah dipadu janji
harinya Khamis, malam Jumaat
pada 20:02:20 20.02.20
janji kita akan diikat
doa kita akan dikabul
engkau dan aku, kita bersatu
dari 01-01 menjadi 02
dan menanti lahirnya dia
si 03.
-IRWAN ABU BAKAR.
Kuala Lumpur, 25.01.2020.
5.
MARI TULIS SAJAK
Sekilas emosi, serangkap ilmu
Bentangkan, bentangkan dengan kata berseni
Mengusik otak mengusik hati
Ke minda dan jiwa.
Petik dan rangkai
Himpuan gugusan kata
Puji dan nista
Manis dan pedas.
Yang merasa ialah diri
Ketawa atau menangis
Atau tertegun sahaja.
Sajak menggerak
Atau membingung.
Tulis, tulis sajak
Apa sahaja
Suka dan duka
Apa sahaja
Bila sahaja.
-irwan abu bakar.
Kuala Lumpur, 15.11.2020.
6.
AIR DARI “AIR“
Air yang mengalir deras
atau yang bertakung tenang
terapung ke udara ditarik hangat
bergumpal membentuk awan
kemudian berderai terjun ke bumi
menjadi hujan pembekal air.
Kini ditangkapnya air
yang mengapung menanti menjadi awan gelap
digumpalnya di mesin cerdik
memadat air yang terapung menjadi awan gelap
di mesinnya, di dalam mesinnya itu.
Lantas dipetiknya awan gelap dari mesin itu
mencurah menjadi air
buat minuman insan yang dahaga.
Cerdik si insan ini
di otaknya
mengalir dan mencurah idea yang bijak.
NOTA: Kisah lelaki Israel yang mencipta mesin yang menukar udara kepada air jernih untuk minuman.
-IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 14.11.2020.
7.
BUKAN PUNYA KITA
Terbentang luas alam semesta
Kita bangun berdiri, berjalan, dan berlari,
Ke sana sini, ke mana sahaja
bebasnya kita.
Tetiba datang virus corona
Kita terpinga-pinga
Keluar rumah pun tidak berani.
Kita terpinga-pinga
Rupa-rupanya dunia ini bukan kita yang punya
Kita hanya penumpang pasif
Kita menikmati rahmat Pencipta
Sesekali bersyukur, sesekali terlupa
Dan memang tiada kuasa kita.
Datang corona membawa kita
Kembali berasa diri rendah, dan lantas pasrah
Semoga alam kembali seperti mula adanya
Tempat kita bisa berdiri, berjalan, dan berlari.
Corona membawa kita sedar
bahawa alam punya keperluannya sendiri
dan Allah hantarkan suntikan yang perlu
Untuk alam kembali segar
Tidak diceroboh, tidak dicemar
Dan hidup kita kembali harmoni.
Aduh…
Tersentak kita di dalam diri
Jasad kita ini juga bukan kita yang punya
Bukan milik dan kawalan kita
Kita hanya penumpang yang pasif
Maka apabila datangnya Ramadan
Kita pun berpuasa
Psiko dan fisio memerlukan efeknya
Seperti ditetapkan Maha Pencipta.
-Irwan Abu Bakar.
Kuala Lumpur, 05.05.2020
8.
SERANGKAP GELAP
Kusingkap kitab abad lepas
2020 tarikh tertera
zaman manusia majunya hebat
geraknya bebas, kehendaknya tak terbatas
tetiba turun serangkap gelap
muncul makhluk Allah, dari mana entah
berotak tidak bernyawa pun tidak
menyerang bertindak dengan membiak.
Terkedu manusia di seluruh dunia
musuh halus tak mampu dilawan
walau ilmu mampu membawanya melepasi awan
kini tak boleh keluar
walau dari rumah sendiri
takut diserang virus corona
insan yang lemah dan senangnya mati
hanya dihangati atau disabuni.
Kita yang hidup di zaman ini
2120 tarikhnya kini
tak mampu nak bayang apa terjadi
seluruh dunia ketika itu
kaku terkedu menunggu ubat
kalaulah Allah turuni rahmat.
Kuala Lumpur, MALAYSIA. 26.03.2020 11:33 PM.
—– ENGLISH VERSION —–
A BYTE OF DARKNESS
I flipped a book from the last century,
2020 was the date it displayed,
A time when the human advancement was great,
Their moves were free, their wishes unlimited,
Of a sudden a byte of darkness dropped in,
Appears a creation of God from a place not known,
Had no brain and no soul,
Attacking and acting by reproducing.
Stunned were men the world over,
A tiny enemy he could not defeat,
With knowledge that could sent him beyond the sky,
Then he could not go out even from his own house,
Afraid of being attacked by the corona virus,
A creature so tiny and would die easily,
Just by heat or soap.
We who now live at this time,
2120 being the current date,
Unable are we to figure out what really happened,
The whole world at that time,
Was stunned and shocked waiting for a cure,
If ever God decided to deliver his divine grace.
-Irwan Abu Bakar,Kuala Lumpur, 12.04.2020.
9.
PERGINYA SEBAGAI BINTANG YANG TERANG
(Buat penulis E-SASTERA, As Syramy)
Di awal pagi yang suci, dia pergi sebagai bintang yang terang di langit E-SASTERA
di situ dia terus bersinar menerangi langit sejak lahirnya karya kerana sentiasa dia mengetahui
yang dinilai akhirnya bukan karya di atas kertas atau di alam maya
yang dinilai Allah ialah niat suci di dalam hati.
Dia wujud di dunia sastera untuk menerangi langit E-SASTERA
datang dia untuk menumpang terang dan untuk menerangi
kini dia pergi terus tetapi cahayanya kekal menyinari
abadi di langit dan di jiwa-jiwa bintang yang setia.
“Kami semua juga tentu sekali akan bersamamu nanti, Ustaz Ramy
namun setelah engkau pergi
cahaya sinarmu masih terang di langit dan tidak padam di hati.”
AMBAHAN:
Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 10:00 pagi semalam.
Kuala Lumpur, Jumaat 3.04.2020.
10.
DARI AM KE PM
Kata Anwar ibrahiM:
Hahaha.

Kata Perdana Menteri:
Waa waa waa…

Kata Anwar ibrahiM:
Kena tolak. Kena letak la.
Kata Perdana Menteri:
Waa waa waa…
Kata rakyat: Jom.
Jawab Covid-19: Jom.
Kuala Lumpur, 25.10.2020.
11.
TERUS KUNANTI
Dari pagi PM kunanti
hingga tamat AM-nya hari
PM masih hanya di hati
di hatiku dan dihatimu
tidak muncul PM di dada
walau malam melepasi senja.
Pernah PM menghampiri diri
tapi diri diseret ke penjara
bukan sekali tetapi dua
kini nak masuk kali ketiga?
AM terus berlalu
tetapi PM tak tiba-tiba
entah salahnya siapa…
(Sajak tentang Anwar saya tulis atas permintaan Iman Jabilin).
Kuala Lumpur, 26.02.2020.
12.
AKU SENDIRIAN MEMERINTAH HAHIHU
Berhentikan hu ha hu ha, olehmu para ahli politik
aku kerajaan Malaysia, sendirian
tiada timbalan, tiada menteri, apa lagi timbalan menteri
aku sendirian perintah negara
yang lain duduk diam-diam ya
hanya di tangan kanan kiriku semua kuasa.
Terasa aku hendak ketawa pula
tak pernah Mahathir sendiri terfikir, katamu
memang Mahathir rancang begitu, katanya dia.
Oh, biarlah aku ketawa
aku PM interim, mana pernah ada…
hahihu hahihu.
Kuala Lumpur, 24.02.2020.
13.
FOREVER 21
Dia datang lagi
tak mungkir, setiap tahun tak mungkir
kita ternanti-nanti
21 kiranya hari
malam pertama itulah dia
daripada 10 di akhir Ramadan.
Dia calon pertama
malam istimewa membawa anugerah
nilai yang menyerupai 1000 bulan
sehari usaha dikira (30+29) x 500
dalam tahun ialah 83.3.
Malam 21 tidak pasti istimewa
namun ia calon pertama
mula insan membuka al-Quran
mula insan beribadat malam
kerana Lailatul qadar pasti dimiliki
sekiranya beribadat pada malam hari tanpa diselangi
mulai malam 21 ini.
-IRWAN ABU BAKAR.
Kuala Lumpur, 13.5.2020 = 21 Ramadan 1441.
14.

40 TAHUN BERSAMA
Sekelip mata terbangnya masa
40 tahun rupanya kini
berpasangan kita menari
ikut rentak limpahan Ilahi.
Langkah diatur menyusur rentak
turun naik pukulan ombak
Itulah pentas yang sentiasa menerima
percikan air mata kita berdua
air mata suka, air mata duka.
Empat abad sehingga kini
masihlah aku merindui
tak sanggup aku untuk menari
tanpa tanganku di pinggangmu.
IRWAN ABU BAKAR.
Kuala Lumpur, 24.04.2020.
15.

1 SYAWAL YANG SUNYI
Tahunnya 1441
dijumlah menjadi 10
paginya tarikh 1 Syawal
aku ber-(1+0)
duduk sendiri
tiada anak, tiada isteri, tiada sesiapa ke mari
ketupat sebiji dan sepiring rendang
yang memakannya aku seorang
perutku penuh, minda tak kenyang
tiada apa kuharap lagi
terus bersendiri.
Begitulah aku
1 Syawal di pagi hari
1441
1440
1439
1438
1437
1…
Begitulah aku
1 Syawal di pagi hari
setiap tahun, selama ini.
-IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 24.05.2020.
16.
TUTORIAL BAHASA MELAYU SEMASA: SUKU KATA “-HAN”

+Tahan.
-Tak tahu.
+Dahan.
-Tak tahu.
+Bahan.
-Tak tahu.
+Tuhan.
-Tak Tahu.
+Semua tak tahu… Wuhan?
-Tahu!!! Corona virus, Convid-19!!!
-Kuala Lumpur, 2020.
2019
17.
HAZIQ 27
Haziq, 17
ke Al Noor Mosque di kota Auckland
hilang diserang manusia binatang
akhirnya Haziq ditemui mati
21 Mac dikebumi
Syurga dituju.
Haziq, 27
dua bulan kemudian muncul dia
muncul di Santubong bervideo gelap
mengaku dia bersemburit berdua
terhantuk langkah seorang menteri
bergegar keutuhan sebuah parti
rakyat bingung, ternanti-nanti.
Kuala Lumpur, 23.06.2019.
18.
MELEPAS RINDU, AKU
Bersamamu, aku
tanpa henti, 30 hari
pabila terbenam mentari, kecuali.
Kini tidak bersamamu, aku
tiga hari sudah berpisah, kita
dalam ria engkau dilupai, aku.
Hari pertama haram bersamamu, aku
hari kedua khayal bergembira, aku
hari ketiga masih terleka, aku.
Insya-Allah esok bersama semula, kita
kerana telah ditentukan, Allah
enam hari bersama lagi, sebelum tamat Syawal, kita
dianugerah Allah yang Maha Pemurah pahala, Dia
seolah-olah bersamamu, aku
setahun lamanya.
KUALA LUMPUR, 7.06.2019 (3 SYAWAL 1440).
19.
SESAK OTAK
Dalam kesesakan trafik
hati berdebar, kaki terketar
jasad berengsot, emosi ribut
dan otak berkisar
melihat nombor kereta di hadapan: 9992
9×3+2, jumlahnya 29
oh, 9+9+2, bukankah 20?
patutlah jumlahnya 29!
dan bezanya 9-9-9-2, jadi negatif 11
hasil darabnya 9×9=81
81×9=729
729×2=1458, itu total hasil darab
hasil bahaginya tidaklah susah
9 bahagi 9 = 1
1 bahagi 9 = 1/9
1/9 bahagi 2, 1/18 jawabnya.
Oh, apa pula persamaan matematiknya, ada ke?
ya, ada: 9+9=9×2.
Kereta di hadapan terus berjalan
perlahan.
Kuala Lumpur, 29.04.2019.
Sajak no. 20-21 dipetik dari:
SAS Ruslina Mat Rakib (Citranalis) (Penyelenggara). Senaskhah Diri. Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2020.
20.
SECAWAN TEH TARIK
Secawan sahaja
teh sahaja
tertarik sahaja
tak dahaga pun.
Kuala Lumpur, 12.04.2019.
2018
21.
SEBUAH DRON NAKAL
Ia terbang
mata melilau
kiri, kanan, atas, dan bawah
entah siapa mangsa
di hati pengemudi.
Kuala Lumpur, 14.03.2018.
Sajak No. 22-25 dipetik dari:
Portal E-sastera Vaganza ASEAN
22.
KENAPA RABU?
Pilihanraya Umum 14
tarikh penamaan calon 28 April
2+8+4=14.
Pilihanraya Umum 14
eloklah Rabu
Ahad 1, 4 Rabu
gabungnya 14
kalau Selasa, baru 13
kalau Khamis, sudah 15.
Pilihanraya Umum 14
eloklah haribulan 9 Mei
9+5, jadi 14
kalau Selasa, baru 13
kalau Khamis, dah 15.
9052018 didarab tambah
9×0+5+2×0+1+8=14
hah, kan dah!
Yang penting PAKAT pangkah
yang bawa HARAPAN
masa depan.
PAKATAN, 7 hurufnya
HARAPAN, 7 hurufnya
jadinya 14
hah, kan dah!
Nota pasca-PRU 14: Parti Pakatan Harapan berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) selepas BN memerintah Malaysia secara berterusan sejak merdeka.
Kuala Lumpur, Rabu 11.04.2018.
23.
SOLAT BELI-BELAH
Imamnya berkemeja T
dan berseluar panjang
di kepalanya tersarung topi
yang sudunya terbalik ke belakang
makmumnya berbaju biasa
atau berkemeja T
berseluar panjang
dan tanpa apa-apa
penutup di kepala.
Bersolat jumaah di surau shopping kompleks
sangat sesuai untukku
dengan pakaian yang aku kenakan
untuk ke surau dan masjid
sejak pelajar lagi.
Kuala Lumpur, 7.04.2018.
24.
“HARI INI HARI AKU,” KATA PUISI
Hari ini hari aku
hormati
kau berhenti menulis puisi
kau berhenti membaca puisi
kau berhenti melagukan puisi
kau berhenti membincang puisi
kau berhenti mencincang puisi.
Hari ini hari aku
21 Mac
aku mahu rehat.
Kau duduk senyap-senyap
mengapresiasi.
Kuala Lumpur, 21.03.2018.
25
PAHALA ZULHIJAH
1 Zulhijah
hingga 10
hari-hari barakah
banyak pahala.
Pagi pertama
ramai berpuasa
kami sedekah makan
itu pun pahala.
Esoklah puasa
puasa Isnin
banyak lagi
ganjaran pahala.
Atau 9 Zulhijjah nanti
hari Ukuf @ Arafah
puasa
banyak lagi pahala.
Makan pun pahala
puasa pun pahala
barakah Zulhijah.
Kuala Lumpur, 12.08.2018.
2017
Sajak No. 26. Dipetik dari:
-Ruangan “Puisi Esastera”, akhbar Utusan Malaysia, 28.1.2017.
26.
SUDAH DUA MINGGU
14 hari sudah kita bersama
engkau dan aku baru berrkenalan
engkau bergerak, menoleh tidak
akan kususuri dirimu sepanjang perjalanan.
Dua minggu sudah kita bersama
engkau bergerak, aku pun bergerak
apa janjimu tidak kutahu
kepada Allah aku berserah
sahabat baharuku 2017
insya-Allah ramah dan tidak pemarah.
-Kuala Lumpur, 2017.
Sajak No. 27-28. Dipetik dari:
Kemala & Ilya Kablam (Penyelenggara). Antologi Puisi & Kertas Kerja Seminar Internasional Sastera Melayu Islam. Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2017.
27.
WUKUF.COM
9 Zulhijah dari gelincir suria
sampai 10 Zulhijah terbitnya fajar
hadir di Arafah walau sesaat
di luar khemah atu di dalam
menegaskan hamba sifatnya diri
kepada Allah Azzawajalla.
Wukuf di Arafah
tahap pertama dari tiga persinggahan
sebelum ke Muzdalifah dan Mna
dalam perjalanan insan beriman
menunai haji ibadah tuntutan.
Kita yang jauh, menginsafkan diri
berpuasa membesari kuasa Allah.
Kuala Lumur, 31.08.2017.
28.
HARI INI SEPTEMBER 11
Hari ini September 11
Isnin harinya, 2017 tahunnya
terkenang kita September 11
Selasa harinya, 2001 tahunnya.
Empat bauh pesawat penumpang
katanya dirampas orang
dua buah dikhabar melanggar
World Trade Center
Menara Utara dan Menara Slatqan
mencabut 2996 nyawa, mencedera lebih 6,000
merosak 10 bilion dolar strukktur.
17 kali sejak hari itu
September 11 kita lalui
dengan debar, dengan insaf
cerita zalim berselimut misteri
siapa sebenarnya empunya angkara?
Kuala Lumpur, 11.09.2017.
Puisi no. 29-38 dipetik dari:
Irwan Abu Bakar (Penyelenggara). Sekoia. Cilegon: Gaksa Enterprise, 2017.
29.
MAKMUM DI SAF KE-1
Aku tertolak ke saf pertama di solat subuh di masjid itu
tidak layak aku di situ
kiri kanan orang alim-alim belaka
mereka berjubah putih panjang dan berserban
sekurang-kurangnya berpelekat baharu dan bersongkok putih
pakaian dan badan harum baunya disembur pewangi dari Mekah
tidak layak di situ aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah.
Makmum di kiri kananku alim-alim belaka
amat bersistem duduk dan geraknya
tidak bangkit mereka untuk bersolat sebelum bilal berqamat menyebut “Hai ya alas solat”
tidak bergerak tunduk rukuk sebelum imam sempurna di kedudukan rukuk
dari berdiri tegak tidak mereka bergerak sebelum dahi imam sempurna sujudnya di sejadah
memang tidak bergerak mereka mengikut gerakan imam
sebelum imam sudah sempurna tiba di sesuatu kedudukan
lamanya sujud akhir mereka sehingga kusangka mereka telah terlelap tidur
tidak memberi salam kanan mereka, sebelum imam selesai salam kirinya.
Selesai solat mereka tidak bergegas bangun tetapi tekal di kedudukan
bersama imam berzikir sehingga tamat mengamimkan doa imam di akhir
lantas disalam tangan imam.
Selesai segala-galanya aku berdoa
“Ya Allah, tumpangkan aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah ini
bersama-sama mereka apabila kelak mereka diusung masuk ke syurga dan aku ditahan nanti.”
Selesai solat bergegas aku ke kedai Mamak menikmati sarapan
sekeping roti canai dan segelas teh tarik panas kupesan
datang orang-orang dari saf pertama solat subuh di masjid tadi
mereka berjubah putih panjang dan berserban, sekurang-kurangnya berpelekat baharu dan bersongkok putih
pakaian dan badan harum baunya disembur pewangi dari Mekah
duduk semeja dengan aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah
makan juga mereka tiap seorang roti canai sekeping dan teh tarik panas segelas.
Selesai makan aku ke kaunter dan aku bayarkan makanan untuk semua
tersentak mereka lalu mereka beramai-ramai berdoa
“Ya Allah, tumpangkan kami bersama-sama lelaki ini yang ikhlas sedekahnya
apabila kelak dia diusung masuk ke syurga dan kami ditahan nanti.”
Terpinga-pinga aku.
–Kuala Lumpur, 24.01.2017
30.
HARI 1, 2017
Awal-awal pagi telah kupandu kereta setia keluar rumah
hari pertama 2017
lima minit meninggalkan get rumah
meter petrol berdenting
amaran petrol tinggal sedikit, hanya sedikit adanya.
Oh, tahun 2017-ku bermula dengan sebuah tangki yang kosong!
Aku perlu mencari jalan
untuk mengisi tangki, dan mengisi tangki, dan terus mengisi tangki…
(Khabarnya petrol dah naik 20 sen lagi)
Kuala Lumpur, 2.1.2017.
31.
SEMANGKUK IKHLAS DI SUDUT PULAU
Sebiji mangkuk
di atas meja
di depan pintu
kamar kecil.
Mangkuk sendirian
duduk menadah
50 sen sahaja
tagihan upah.
Mangkuk bisu
berkata tak bisa
sekeping poster
wakil bicara.
Kosong kerusi
di sisi mangkuk
wang disumbang
siapa pemilik?
Dalam ragu
kuseluk saku
masukkan 50 sen
selepas kencing.
Kuah, Langkawi, 8.7.2017
P/s. Atas kesilapan yang tidak disengajakan, sajak ini telah diterbitkan sekali lagi dalam buku antologi puisi Senaskhah Diri (Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2020).
2016
32.
KORBAN $AYANG
Kerap kali aku menjadi Ibrahim|
dan kau kesayanganku menjadi Ismail
Ismail di sepi poketku, buah hati kesayangan, minta dikorbankan
namun tidak berjaya kupujuk diri menyerahkan
malah pandai kucari-cari alasan.
Kerap aku si Ibrahim terlupa
Ismail itu siapa yang punya
kerap aku si Ibrahim terleka
kenyang lapar di tangan Tuhan.
Kuala Lumpur, 13.09.2016.
33.
GEGAR DI HATI
Skala Ritchernya kudengari sayup-sayup sebagai 6.5
102 nyawa terkorban, khabarnya, di kejauhan bertiup
15,000 di Pidie Jaya bergelap, putus bekalan air diwartakan
aku terus membelek, merenung sebuah sajak cinta remaja terbaharu
yang disiarkan di grup Facebook, seksi imejnya.
Tetiba masuk mesej di Messenger, baru kusedar
“saya harus segera pulang ke Aceh, Bapak,” begitu bunyinya
“negeri Aceh, tepatnya di wilayah Pidie, mengalami bencana dan kehancuran besar. Lailahailallah
fasilitas umum rusak parah
semoga Allah selalu melindungi Aceh
dan seluruh negeri-negeri Islam di dunia.
Keluarga saya banyak yang berada di Aceh,” tambahnya
“hal itu membuat saya khawatir,” lagi tulisnya.
Mesej dari Iqbal membuat aku tesentak, tersedak
dia jaka Medan pilihan, 10 terbaik, di USU Medan dia sedang belajar
baharu sahaja kukenali dia di Jogjakarta, sebulan lepas
nyata dia lelaki bagus, hidupnya untuk Acheh dan hanya untuk Allah.
Hatiku berdebar, kerusiku bergetar, rumahku bergegar!
Kuala Lumpur, 10.12.2016.
34.
AGAMAWAN NERAKAWAN
Apa agama yang kamu pegang
membakar, menyembelih orang kamu tak tentang
agama apa yang kamu anuti
tindakan zalim bangsa, kamu pertahan.
Agama kami ni, tak ada Tuhan?
Kuala Lumpur, 3.12.2016
35.
SEPIPIT USAHA
Di muncung pipit
setitis air
di keliling Ibrahim
semarakan api.
Terbang pipit menggugurkan setitik air
setitik sekali
beratus kali.
Di hati pipit
bukannya marak api ditakuti
di hati pipit ditakutinya
murka Allah
jika dia hanya berdiam
di depan zalim Namrud
mata dipejam.
Kuala Lumpur, 26.10.2016.
36.
PEMIMPIN KAKI SEBELAH
Kami angkat dia menjadi pemimpin
kerana dia ada hanya sebelah kaki.
Berdirinya berhati-hati
jalannya tidak jauh
larinya tidak laju
duduk dia bersama rakyat
susah senang rakyat difahami
hatinya sarang rakyat.
Lalu menjadi dia pemimpin tinggi
terdedah kepada segala
datang tawaran dari semua arah
dengan duit rakyat
dibelikan tongkat
yang membantunya berdiri
kemudian dibelikan prostesis
yang membantunya berjalan
kemudian yang membantunya berlari
kemudian yang membantunya memanjat
kemudian yang membantunya terbang.
Kini dia sibuk berdiri, berjalan, berlari, dan terbang
dengan duit rakyat.
Rakyat kebuluran.
Kuala Lumpur, 4.11.2016
37.
AKU TAK MAHU MERDEKA
Dalam hangat dakapanmu
enak aku di situ
biarkan aku di situ terbelenggu
tanpa merdeka tidak mengapa.
Juga menjadi sebahagian Great Britain
atau satu negeri dalam USA
pada zaman moden yang bebas terbuka ini
itu tidak mengapa.
Nanti dalam pilihan raya akan datang
Melayu pun boleh menjadi
PM Britian atau Presiden USA
asalkan Melayu itu tak curi
berbilion wang negara.
Kuala Lumpur, 31 Ogos 2016
38.
MUKA DI DEPAN GELAS
Sebiji gelas yang penuh berisi
kebahagiaankah itu?
atau sebiji gelas yang kosong
itukah kebahagiaan?
Kuteliti muka di hadapan gelas
penuh gelasnya, berseri muka
menjangka keenakan
kosong gelasnya, berseri muka
nikmat kepuasan.
Penuh kosong gelas hanya lambang
di hati rasa bersarang.
Kuala Lumpur, 22.10.2016
Sajak No. 39-42. Dipetik dari:
Irwan Abu Bakar (Penyelenggara). 1000 Detik Perasaan. Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2017.
39.
MELANGKAH MASUK SEMPADAN 2016
Aku melangkah sempadan
masuk ke jajahan baru 2016
tinggalkan di belakang
suka sengsara negeri 2015.
Setibanya aku di 2016
daerah baharu yang dinanti-nanti
rupanya bertemu semula dengan kekawan lama
mereka tersenyum, sedia menunggu:
-hutang kad kredit
ansuran kereta
pinjaman perumahan
-yuran persekolahan anak-anak.
Oh!
-Kuala Lumpur, 1.01.2016.
40.
AKU HANYA SEBUAH TEGURAN
Aku hanya sebuah teguran
hanyalah sebuah teguran
aku datang di mana ada celaru atau keliru
aku datang di laman rumahmu
aku datang di taman rumahmu
aku datang di bilik tidurmu
di mana sahaja aku akan datang
di mana sahaja ada celaru atau keliru.
Kau boleh menghalau aku pergi
aku hanya sebuah teguran
taufik hidayah datangnya dari Allah.
“Jika mahu melihat bagaimana keadaan iman seseorang, lihatlah bagaimana dia ketika menerima taeguran” – Habib Ali Zainal Abidin.
Kuala Lumpur, 24.01.2016.
41.
NUZUL
Turun berpindah
dari atas ke bawah
bacaan atau himpunan
senaskhah.
Senaskhah yang padat
padanya segala terdapat, segala terjelas
tauhid dan ibadat
jinayat, muamalat, dan munakahat
sains dan teknologi
dan segala yang zahir
dan segala yang ghaib.
Kata Maha Empunya
…tidak Kami tinggalkan sesuatu pun
(segalanya ada) di naskhah ini…
Turun ia, turunnya hidayah
turun ia, turunnya rahmat
turun ia, turunnya syifa
turun ia, turunnya nur
turun ia, turunnya furqan
turun ia, turunnya penjelasan.
Malam ini turunnya al-Quran
turunnya al-Nur cahaya
turunnya al-Furqan pembeza
turunnya al-Zikr pemberi peringatan
padanya semua benar belaka.
Turun ia di kelam malam
membawa cerah kepada umah.
Kuala Lumpur, 22.06.2016 (17 Ramadan 1437).
42.
SEORANG TUA DI KAKI MASJID
Tidak!
dia bukan seorang tua yang biasa di minda kita
dia lulusan universiti terkemuka negara
ada sarjana dari negara Barat
dia bekas Ketua Pengarah kerajaan terkemuka
dia sedang menyasar PhD di hati.
Dalam dunia orang muda mabuk mendabik dada
oranag tua ini terus maju tanpa berbangga
dalam semua sektor, utamanya agama dan sastera
walaupun bahasa Inggerisnya sebaik Shakespeare.
Dia tua yang bukan biasa
memanjat gunung di serata dunia
harta miliknya bernilai ringgit berjuta
namun kepada kita dia masih mesra
kepada nasib para marhaen kelaparan dia peka
kepada nasib agama dia peka
ke serata dunia ke semua daerah
tak liat dia menyampaikan dakwah.
Dibinanya dusun dan sebuah rumah di kaki masjid sebuah desa
di situ tinggalnya dia dan bukan di tepi kota raya
setiap waktu berjemaah dia di situ
mengkhatami al-Quran sekerap mungkin
walau pelbagai geraknya setiap waktu
di hatrinya Allah dan tiada yang lain.
Aku bertuah
mengenali dia, Melayu satu dalam jutaan ribu
Ahkarim namanya itu.
*Keserupaan judul sajak ini dengan judul novel Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah adalah disengajakan kerana Allahyarham Azizi ialah kenalan baik kepada Ahkarim. Judul yang lebih gramatis untuk sajak ini ialah “Seorang Orang Tua Di Kaki Masjid” atau “Orang Tua Di Kaki Masjid”.
Dipetik dari anatologi 1000 Detik Perasaan (2017)
–Kuala Lumpur, 7.07.2016.
43.
43. KONFLIK
Sebatang ke kiri
sebatang ke kanan
tiada lagi titik temu
di domain hadapan.
Titik temu
telah kita tinggalkan
di silang dendam.
Kuala Lumpur, 28.03.2016.
2012
Sajak No. 44. Dipetik dari:
Irwan Abu Bakar. Peneroka Malam. Jakarta: E-sastera Management Enterprise, 2014.
44.
SELAYANG PADANG
Aku fikir, orang perempuan harus banyak bersabar
akan lelaki yang sibuk menekan-nekan butang telefon bimbitnya.
Aku fikir, isteri harus banyak bersabar akan suaminya
yang sibuk menekan-ekan butang telefon bimbitnya; seperti aku misalnya, yang perlu melayani 2,345 orang rakan di Facebook dan 5,678 orang pengikut di Tweeter.
Bang, kata isteriku kepadaku yang sedang sibuk menekan-nekan butang telefon bimbitku, esok kita akan ke Padang, Sumatera Barat. Ya, kita akan ke Padang esok, kataku, sambil menekan-nekan telefon bimbitku dan aku taipkan: Kami… akan… ke… Padang… esok… lantas aku tweetkan kepada 5,678 tweep pengikutku di tweeter.
…Dan tudungku sudah lusuh, nak beli yang baru, tambah isteriku. Ya, beli tudung yang baru, kataku. Lantas kami pun ke supermarket membeli sehelai tudung, dan sambil isteriku membeli tudung, aku menekan-nekan butang telefon bimbitku dan menaip: Kami… di supermarket… membeli… sehelai… tudung… dan aku tweetkan ke 5,678 orang tweep pengikutku di tweeter.
Bang, kata isteriku lagi, apabila dipadankan tudung baruku dengan bajuku, nampak tak cocok kerana bajuku nampak lusuh. Nak beli baju baru, sambung isteriku. Ya, beli baju baru, kataku, sambil menekan-nekan butang telefon bimbitku. Lantas kami pun ke supermarket membeli sehelai baju baru isteriku, dan sambil isteriku membeli baju, aku menekan-nekan butang telefon bimbitku dan menaip: Kami… di supermarket… membeli… sehelai… baju… dan aku tweetkan kepada 5,678 orang tweep pengikutku di tweeter.
Bang, kata isteriku lagi, apabila dipadankan baju baruku dengan kasutku, nampak tak cocok kerana kasutku nampak buruk. Nak beli kasut baru, sambung isteriku. Ya, beli kasut baru, kataku, sambil menekan-nekan butang telefon bimbitku. Lantas kami pun ke supermarket membeli sepasang kasut baru isteriku, dan sambil isteriku membeli kasut, aku menekan-nekan butang telefon bimbitku dan menaip: Kami… di supermarket… membeli… sepasang… kasut… dan aku tweetkan kepada 5,678 orang tweep pengikutku di tweeter.
Bang, kata isteriku lagi, apabila dipadankan kasut baruku dengan beg tanganku, nampak tak cocok kerana lari warnanya, harus beli beg tangan baru, sambung isteriku. Ya, beli beg tangan baru, kataku, sambil menekan-nekan butang telefon bimbitku. Lantas kami pun ke supermarket membeli sebuah beg tangan baru isteriku, dan sambil isteriku membeli beg tangan, aku menekan-nekan butang telefon bimbitku dan menaip: Kami… di supermarket… membeli… sebuah… beg… tangan… dan aku tweetkan kepada 5,679 orang tweep pengikutku di tweeter (yang kini sudah bertambah seorang lagi).
Beg tangan barunya sudah dibeli, bang, satu juta harganya, kata isteriku kepadaku yang sedang menekan-nekan butang telefon bimbitku. Apa… beg tangannya satu juta ringgit? jeritku mahu pengsan! Jangan pengsan bang, kata isteriku, bukannya satu juta ringgit tetapi satu juta rupiah! Oh, satu juta rupiah, tak mengapa, kataku sambil menekan-nekan butang telefon bimbitku.
Eh, kataku heran, kenapa beg tangannya dijual dalam rupiah pula?Tentulah, kata isteriku, bukankah kita kini sudah berada di Padang, bang!
Oh, kita sudah di Padang? kataku yang sedang menekan-nekan butang telefon bimbitku; lantas aku terus menekan-nekan butang telefon bimbitku lagi dan menaip: Kami… kini… berada di Padang, Indonesia… dan aku tweetkan ke 5,679 orang tweep pengikutku di tweeter.
Lantas aku duduk menunggu respons di telefon bimbitku.
Jam tiga seperempat pagi, di bilik hotel, aku kejutkan isteriku yang sedang lena dan aku bisikkan manja ke telinganya: “Sayang, kita sudah dapat 3,567 respons kepada tweetku tadi!”
[Puisi ini telah dideklamasikan secara impromptu oleh penulisnya di majlis Temu Sastrawan Nusantara Melayu Raya (Numera) di Padang, Sumatera Barat pada 18.3.2012]
–Padang, Indonesia, 18.03.2012.
Sajak No. 45-54. Dipetik dari:
Puzi Hadi dan Irwan Abu Bakar (Penyelengggara). Sirah Rasulullah dalam Puisi Siber. Kuala Lumpur: eSastra Enterprise, 2015.
45.
DARI RESAH MAHMUD KE RESAH ASY-SYIFA’
Mahmud terus duduk
mereka memukulnya bertalu-talu
namun terus gajah itu membatu
rela resah si gajah mengingkari Abrahah
demi tunduknya kepada Allah
Mahmud kaku, ke Mekah tak mahu
terus dia dipukul bertalu
sehingga melayang datang Ababil beribu
setiap satu membawa tiga batu
sebiji di paruh sebiji di setiap kaki
batu kecil bak kacang kuda
diguguri ke arah bala tentera
siapa terkena siapa binasa
bergelimpangan tentera di jalan, dahsyat matinya
Abrahah sendiri putus-putus jari-jemari
lantas mati setibanya di San’a
balasan Allah buat penderhaka
berniat jahat meroboh rumah-Nya.
Pada tahun gajah itulah
Nur berpindah wajah
dari Abdullah menyusup ke Aminah
apabila Nur Muhammad masuk ke rahim
malaikat membuka pintu Firdaus
tanah kontang Mekah menjadi subur
flora merimbun berbuah lebat
riuh-rendah bicara sang fauna.
Di tahun gajah itulah
resah si bidan Asy-Syifa’ di sisi Aminah
di subuh Isnin, 12 Rabiulawal
disambutnya bayi yatim, putera gemulah Abdullah
Ahmad namanya, malaikat mengarah
bakal nabi, bakal penghulu
utusan Allah di akhir zaman.
Istana Qisra retak bumbung, runtuh menaranya
api di kuil-kuil Parsi terpadam
berhala di Kaabah retak dan bergoncang
Nur Muhammad memancar terang.
Kuala Lumpur, 8.06.2012.
46.
KE KHEMAH HITAM IBU SUSUAN
Awal suatu pagi, tahun 570 CE
seorang lelaki Badwi bersama-sama isteri
meninggalkan kota Mekah menghala arah
ke timur laut, ke tapak berkhemah.
Mereka bergerak pulang ke Najd
kawasan gurun luas di tengah negara Arab
ke utara daerah Nefud dan Rub’al Khali
tempat terbentuk dataran tinggi.
Lelaki itu ialah Al-Harith bin Abd al-Uzza
daripada Bani Sa’d asalnya dia
sebahagian daripada kaum Bani Hawazin
bangsa Badwi pada masa itu
adalah bangsa Arab, golongan majoriti
Arab paling tulen dan paling bangsawan.
Al-Harith menunggang seekor unta
diekori isterinya , Halima binti Abdallah
duduk di atas seekor keledai
mendukung bayi lelakinya bernama Abdallah
juga seorang bayi kaum Quraisy
berumur lapan hari dan dari Mekah
dibawanya bayi itu untuk disusukan
Muhammad bin Abdullah nama si bayi.
Setelah berkembara sembilan hari
tibalah mereka di destinasi
khemah-khemah hitam Bani Sa’d di dalam wadi
sebuah lembah sungai yang kering
tumbuh di atasnya pohon-pohon akasia yang bersendiri
di padang rumput yang rata-ratanya botak.
Apabila Al-Harith dan Halima menghampiri khemah
meluru keluar dua anak perempuan remaja Halima
mereka ialah Unaisa dan kakaknya Judama (atau Syaina)
meluru mereka dengan jeritan gembira
menyambut kepulangan ibu dan bapa
meluru mereka dengan jeritan gembira
mengakrabi adik angkat yang baru.
Judama membantu ibunya
mendukung Muhammad di pinggangnya
pada hari-hari yang berikutnya.
Bayt asy-sya’ar, ‘rumah bulu’
khemah nomad gurun yang panjang dan rendah
diperbuat daripada perca kain yang kasar
ditenun para wanita daripada bulu kambing
warnanya hitam atau coklat gelap yang unik
dikenali para pengembara sepanjang zaman
itulah khemah perhunian Muhammad.
Udara gurun di dataran Najd yang kering dan bersih
angin segar yang bertiup malar
mentari menyihatkan yang melimpagkan sinar
khemah-khemah nomad gurun yang bebas penyakit
itulah sekitaran pembesaran Muhammad.
Semasa dia seorang kanak-kanak
Muhammad bermain-main dengan anak biri-biri
yang berkejaran sesama sendiri
anak biri-biri yang terlalu muda
untuk mengikut ibunya dipandu gembala
meragut rumput dan dedaun yang sesekali ditemui
dalam terik panas siang gurun.
Kekadang si kanak-kanak Muhammad bersendiri
duduk dia berdiam diri
di bawah naungan cucur atap khemah.
Muhammad meminati kambing-kambing yang tangkas
juga kucing-kucing gurun separa liar
yang mengejar kala jengking dan binatang lain-lain
musuh yang tak diingini di sekitar khemah.
Tinggal Muhammad dengan keluarga Halima
sehingga usianya lima enam tahun.
Bapa sebenar Muhammad telah wafat muda
ibu sebenar Muhammad telah wafat muda
meninggalkan Muhammad yatim piatu
sebelum berumur tujuh atau lapan tahun.
Atas pemergian awal ibu dan bapa
ibu Badwinya Halima Abdallah
menjadi manusia amat bererti
kepada Muhammad si anak susuan.
Kuala Lumpur, 1.07.2012.
47.
TUJUH LIKUR YANG SATU-SATUNYA
Cerita terlakar di luar carta fikir
duduk percaya akarnya di lubuk iman
27 Rejab malam satu-satunya
18 bulan sebelum Hijrah
tahun ke-11 kerasulan Muhammad
malam yang mendebar dan mencabar
terdahulu belum terjadi dan tak berulang lagi
kembara sekelip mata, kata Ummu Hani’ sepupu Baginda
Baginda pergi dan kembali
ke pembaringan yang masih panas berbahang
namun kembara fizikalnya amatlah jauh
dari Masjidilharam di Mekah dengan Buraq* bermula Israk
ke Majidil Aqsa di Baitulmuqaddis tujunya
dari Al-Aqsa berlakunya Mikraj
ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh, bahkan ke Mustawa
kemudiannya sampai di bawah Arasy Allah
demikian Allah memperlihatkan dengan besar tanda
luasnya pemerintahan dan kekuasaan-Nya.
“Aku telah didatangi Buraq
seekor binatang berwarna putih
lebih besar daripada keldai
lebih kecil daripada baghal…”
Abu Jahal tertawa mempersenda peristiwa
Abu Bakar As-Siddiq bangkit menegaskan percaya
pengikut Muhammad terbahagi dua
keimanan di hati benar-benar terduga.
Muhammad adalah bercakap benar
tak ada yang mustahil jika mukjizat namanya.
Israk Mikraj kembara yang hebat
ke Sidratul Muntaha diangkat Muhammad
demi menyampaikan perintah solat
50 waktu sehari semalam
diturun-Nya kerpada lima atas rayuan.*
- Penulis memahami akan wujudnya pertikaian pandangan tentang Buraq dan tentang 50 waktu solat diturunkan kepada lima.
-Kuala Lumpur, 12.06.12.
48.
PERANG PERTAMA: GHAZWA* BADAR
Di Mekah si Muhammad hanya rakyat biasa
Abu Sufyan, Abu Lahab, dan Abu Jahal ialah penguasa
namun kerana mendukungi ajaran yang mencabar tradisi
Muhammad dan grupnya berterusan dicaci, diugut, dan dikasari
hebat sekali tekanan kuasawan sehingga tidak lagi tertahan dek badan
lalu menyelinaplarilah Muhamad dan para sahabat pada suatu malam
mereka ke Madinah, meninggalkan mewah Mekah
mereka menstrategi sebuah tapak perjuangan
menginovasi tapak melancarkan balas serangan.
Muhammad dengan tiga Abu itu adalah sebangsa, Quraisy belaka
malah Abu Lahab ialah bapa saudaranya sebelah ayah
namun di sini isunya bukan hubungan darah sebaliknya akidah
tentang kepercayaan dan komitmen kepada perintah Allah
tentang menyelaraskan gaya hidup di sini demi sejahtera hidup di sana.
Hijrah muslimin ke Madinah menimbulkan marah penguasa Quraisy Mekah
terus-menerus mereka berusaha menggulingkan Muhammad dan memadam Islam
ke sempadan Madinah mereka menceroboh, memusnah tanaman, dan mencuri peliharaan
sehingga Muhammad terpaksa berindak, langkah ofensif bijak digerak.
Pada pertengahan Jamidul Awal tahun Kedua Hijrah di Madinah
Muhammad peroleh maklumat risikan tentang kekuatan dan lokasi musuh
bahawa kafilah diketuai Abu Sufyan sedang bergerak dari Mekah menuju Syria
dengan 40 orang mengawal dagangan bernilai 50 ribu dinar di atas seribu unta
dengan barang dagangan dikongsi seluruh Quraisy Mekah
ini adalah masa yang sesuai untuk Muslim merampas barang dagangan itu
demi menggantikan harta para Muhajirin yang dirampas di Mekah sepeninggalan mereka.
Muhammad menghantar Zatul Asyirah menjejaki kabilah Abu Sufyan
duduk menunggu sehingga permulaan Jamidul Akhir namun tak bertemu
Muhammad dengan 313 orang Islam meninggalkan Madinah tiga bulan kemudian pada bulan Ramadan
merampas harta benda Quraisy yang berkhemah di sisi telaga Badar
pada masa yang sama tentera Islam itu
menduduki kawasan jalan pulang kabilah Abu Sufyan
namun bijaknya Abu Sufyan, mengikuti jalan lain dan kabilahnya terlepas
dan kepada muslimin yang kecewa Allah jelaskan
(dalam Surah al-Anfal ayat tujuh) bahawa
bukanlah untuk mereka dengan kabilah yang tidak bersenjata
sebaliknya hendaklah dihancurkan para pengawalnya.
Abu Jahal melanggar perintah Abu Sufyan dan tidak pulang ke Mekah
sebaliknya berdegil ke Badar tiga hari membuat honar
membunuh unta, minum arak, dan mendengar nyanyian gadis-gadis
supaya kisah keberanian mereka sampai ke telinga orang-orang Arab
dan akan mereka dihormati selama-lamanya
namun mereka terkandas di sebalik bukit gurun akibat hujan yang turun
kemudiannya pada awal pagi Jumaat 17 Ramadan
Abu Jahal dengan 1,000 orang Quraisy perkasa, 700 unta, dan 100 kuda
keluar dari sebalik bukit pasir ke gurun Badar
lantas Muhammad yang ternampak peristiwa terus mengangkat tangan menengadah
berdoa memohon Allah supaya penyerang Quraisy dimusnah.
Pertempuran bermula mengikut adat dengan perlawanan peribadi
tiga orang dari puak Quraisy dan tiga Muslimin
Utbah dan Syaibah, dua anak lelaki Rabiyah, berserta Walid bin Utbah
tiga perwira lengkap bersenjata mewakili Musyrikin
ditentang Ubaidah, Hamzah, dan Ali yang dipilih Nabi
satu lawan satu mereka bertempur
sehingga ketiga-tiga pejuang Quraisy gugur.
Selepas itu bermulalah peperangan terbuka
Muhammad mengarahkan pasukan berpanahnya menahan musuh daripada mara
sambil merayu kepada Allah, akan lenyaplah Islam jika hari itu kami kalah
kemudian Nabi membalingkan segenggam kerikil ke arah musuh
lalu mengarahkan serangan umum
orang Islam berjuang dengan kekuatan iman
membunuh atau dibunuh , bagi mereka, ia rahmat Allah belaka
sambil 313 Muslim berlawan dengan musuh seribu
Allah turunkan malaikat tiga ribu datang membantu**
puak musuh ketakutan dan dan mula bertempiaran.
Pertempuran berakhir sebelum asar, dengan Islam menang besar
14 Muslim syahid, dengan 70 Quraisy dibunuh dan 70 ditawan
Ummayyah ibn Khalaf, penyeksa Bilal, mati dibunuh
Abu Jahal terkorban hina dipenggal si kerdil Muslim, Abdullah ibn Masud.
Abu Lahab tidak terlibat
dimintanya laporan daripada Abu Sufyan
terkejut dia mendengar cerita
mati selepas tujuh hari kemudian.
Perang Badar perang pertama, utama, dan ternama
ujian getir sulung yang muslimin hadapi
perang itu titik permulaan dalam perjuangan
mengalahkan Quraisy Mekah yang sangat degil dan menindas
para pejuang Badar dijulang tinggi darjah
diberi julukan ‘Badri’ dalam tulisan sejarah.
*Peperangan yang disertai Rasulullah sendiri secara peribadi.
**Surah al-e-Imran: 123-124.
-Kuala Lumpur, 28.07.12.
49.
DENDAM BILAL
Perang Badar berakhir dengan kemenangan besar buat Islam
70 Musyrikin terbunuh dan 70 tertawan, selebihnya lari bertempiaran
Bilal ternampak Umaiyah bin Khalaf dan anak lelakinya dikelilingi pejuang Muslim
mereka mahu menggunakan Umaiyah untuk mendapatkan tebusdan.
Umaiyah ialah bekas tuan Bilal semasa Bilal hamba abdinya
dialah yang menyeksa Bilal demi memaksa Bilal menolak Islam
ditelengtangkannya Bilal di pasir membara dan diletakkan batu besar di dada
lantas Bilal dijemurnya di terik panas mentari
namun Bilal yang amat kuat imannya
bertahan dengan mengucapkan “Ahad! Ahad! Ahad!”
Si Yahudi Umaiyah ini juga sentiasa menghina dan memaksa
mahu Bilal meninggalkan agama Islamnya
Bilal Arab Habsyi dicerca, dirotan, dan dibelasah
dilakukan dengan penuh penghinaan di sepanjang jalan kota Mekah
sehingga Abu Bakar datang membelinya, baru berhenti aniaya.
Apabila ternampak Umaiyah menjadi tahanan perang
Bilal melaung, “Umaiyah, ketua penyembah berhala!
Biar aku mati jika dia dibebaskan!”
lantas Bilal meluru ke arah Umaiyah, mahu membunuhnya.
Kaum Muslimin yang di sekeliling Umaiyah melindung Umaiyah
mereka lebih mahu Umaiyah dijadikan mangsa buat mendapatkan tebusan
namun Bilal menjerit kepada mereka dengan nyaringnya
“Wahai para pejuang agama Allah
ketua penyembah berhala Umaiyah inilah
biar aku mati daripada dia dibebaskan pergi!”
Bilal meluru lagi ke arah Umaiyah dengan geram dendam
Umaiyah mati di tangan mantan abdi yang dulu dia aniayai.
-Kuala Lumpur, 31.07.2012.
50.
HAMZAH REBAH, DADANYA DIBELAH, HATINYA DIRATAH
Perang Uhud, pertengahan Syawal tahun Tiga Hijrah
Hamzah ‘Asadullah’ si singa Allah telah rebah
ditikam curi oleh Wahsyi bin Harb si hamba suruhan
Jabir bin Mut’im tuannya yang berdendam
rebahlah bapa saudara Rasulullah itu
sebagai ‘Sayyidus Syuhada’, penghulu syuhada.
Perang Uhud, pertengahan Syawal tahun Tiga Hijrah
Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu
ketika Sayidina Hamzah sibuk berhadapan tentera Quraisy
Wahsyi melontarcurikan lembingnya dan terkena
dada Hamzah dan menembusi badannya
ke arah Wahsyi beliau menerpa
namun rebah tersungkir dia.
Setelah terbunuh, dadanya dibelah, hatinya diratah
oleh isteri Abu Sufyan, Hindun binti Utbah
kerana ingin membalas dendam
atas kematian bapanya, Utbah bin Rabi’ah.
Hamzah ini beraninya dia tidak terkira
di Uhud itu dia meluru
ke tengah-tengah barisan tentera Quraisy
banyak musuh dibunuhnya
dalam gerak kilat yang tiada bandingannya
dan pernah pula terdahulu di Perang Badar
dia menyahut apabila dicabar
dilawannya serentak dua tentera musyrikin.
Hamzah pemegang janji Islam dalam beberapa peperangan
pernah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman.
Pernah sekali di Bukit Safa
Abu Jahal telah menghina dan mencerca Rasulullah
pada ketika itu, Sayidina Hamzah sedang berburu
dalam perjalanannya pulang, beliau diberitahu
sangatlah marah Sayidina Hamzah
dipukulnya kepala Abu Jahal dengan busar panah
hingga berlumuran darah.
Sayidina Hamzah sentiasa didorong
rasa kasih dan cinta akan Rasulullah
serta kebenaran yang dibawa Baginda
dan dengan pengislamannya
umat Islam semakin kuat dan dihormati
pemimpin Quraisy mulai gentar
untuk sesuka hati terus menindas mereka.
Sayidina Hamzah sentiasa memberatkan persaudaraan
tanpa mengira pangkat kedudukan
banyak dia membantu perkembangan dakwah Islam
hingga dihormati masyarakat luar.
Perang Uhud, pertengahan Syawal tahun Tiga Hijrah
gugur Hamzah sebagai syuhada
dimakamkan berdekatan Bukit Uhud.
Sehabis perang dan kaum Quraisy kembali ke Mekah
orang Islam kalah kerana melanggar arahan
murung dan sedih Rasulullah
melihat keadaan jenazah Hamzah
lalu Baginda meminta Allah
melaknat para pemuka Quraisy.
Rasulullah dan para pengikutnya juga berazam
mencacatkan setiap mayat tentera Quraisy
dalam peperangan akan datang, demi membalas dendam
lantas Allah turunkan Surah an-Nahl sebagai garis panduan.
-Kuala Lumpur, 18.06.2012.
51.
BAIAH RIDHWAN
Pada musim Haji tahun Keenam Hijrah
Rasulullah dan 1,400-1,600 sahabat menuju ke Mekah
mereka dari Madinah, kembara untuk beribadat
namun disekat di Hudaibiyah
oleh kafir Quraisy bedebah.
Quraisy berasa tercabar, maruahnya tercalar
di hati bimbang dengan kegagahan Islam
bimbang Islam datang untuk berperang.
Rasulullah menghantar Uthman bin Affan
pergi menjelaskan tujuan kedatangan
namun datang khabar-khabar duka
kononnya Uthman dibunuh Quraisy
lalu Muslimin berikrar setia kepada baginda
akan berjihad memerangi kafir durjana.
Sebuah baiah melahirkan kekuatan
tanda merakyatnya sebuah pakatan.
Kerana bimbang akan kekuatan Islam
Uthman Affan Quraisy bebaskan
dihantar mereka perunding Suhail bin Amru
dengan Rasulullah dia bertemu
lantas termeterai Perjanjian Hudaibiah
genjatan senjata sedasawarsa.
-Kuala Lumpur, 29.07.2012.
52.
PERJANJIAN HUDAIBIAH
Nabi bersama 1,400 lebih sahabat
dari Madinah menuju Mekah untuk beribadat
menunaikan haji di Zulkaedah tahun Keenam Hijrah
Musyrikin Mekah gentar diserang melihat akan gagahnya Islam
lantas memohon perdamaian melalui persetujuan rasmi.
Dengan keputusan bijak, perdamaian cadangan dipersetujui Rasulullah
sebuah perjanjian ditandatangani di Hudaibiah
melibatkan genjatan senjata sedasawarsa antara Mekah-Madinah
dengan enam perkara diliputi
bersetuju Muslimin dibenarkan masuk ke Mekah tiga hari tapi senjata hendaklah bersarung
bersetuju bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik
bersetuju Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula
bersetuju orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan
bersetuju masing-masing boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak membantu untuk berperang.
Perjanjian Hudaibiah membawa lima kebaikan besar kepada Islam
pertama, berkembangnya syiar Islam
kedua, kehidupan masyarakat aman dan damai
ketiga, pengiktirafan Rasulullah dan negara Islam di Madinah
keempat, mencetuskan peluang ke arah pembebasan Mekah daripada Musyrikin Quraisy
kelima, orang Islam dapat membuat perhubungan dengan kabilah-kabilah Arab.
Perjanjian Hudaibiah punya lima kesan utama
pertama, Musyrikin Quraisy menjadi semakin lemah
kedua, Islam berkembang dengan meluas dan Madinah semakin maju
ketiga, mana-mana orang Yahudi yang khianat dapat diusir dari Madinah
keempat, Rasulullah mengajar kita cara membuat perjanjian dengan kaum kafir
kelima, terbangunnya corak politik Rasulullah yang lebih bersifat intelektual.
-Kuala Lumpur, 30.07.2012.
53.
ADL* CONTOH
Nabi Muhammad manusia seperti kita
begitu baginda sendiri mengaku
“Aku hanya hamba Allah”, sabdanya
dia bangun dan duduk, tidur dan jaga
makan dan minum, tidak dikecuali.
⦁ BENTUK FIZIKAL
Tidak Baginda terlalu tinggi
tidak pula terlalu rendah
tidak dia terlalu gemuk
tidak pula terlalu kurus
kulitnya tidak terlalu putih
tidak pula terlalu hitam
rambutnya bergelombang ikal
tidak rambutnya terlalu kerinting
tidak pula terlalu lurus
mukanya tak bulat dan tidak gemuk
sekadar benjolan tenbam di pipi
mukanya itu tak putih dan tak hitam
kemerah-merahan bak biji buah delima
belahan matanya adalah panjang
anak matanya amatlah hitam
bulu matanya molek melentik
dadanya berbulu halus hingga ke pusat
tapak tangan dan kakinya berisi
tumit nipis, sedikit dagingnya
jari-jemarinya adalah panjang
ruas tulang tangannya adalah panjang
telapak tangannya adalah lebar
lekukan telapak kaki tak menempel ke tanah
kedua-dua kakinya adalah licin
sehingga air pun gagal berpaut.
Cerah wajahnya bak bulan purnama
dahinya lebar, alis melengkung
bagaikan dua bulan sabit
mancung hidungnya, bercahaya di puncak
janggutnya tebal, pipinya gebu
mulutnya lebar serasi wajah
giginya agak jarang teratur rapi
badannya berisi, dada dan perut sejajar
dadanya bidang, tulang sendinya besar
kedua-dua dada dan perutnya bersih
berbulu hanya bagaikan garis
dari pangkal leher ke pusat
bahu dan bahagian atas dada berbulu halus
di antara bahu-bahunya ada tanda
sepotong daging timbul berwarna merah
ditumbuhi kumpulan bulu-bulu nipis
saiznya sebesar telur merpati
itulah Khatam Al-Nubuwah.
Kemaluan Nabi adalah berkhatan
ada diriwayatkan lahirnya sedemikian
ada menyatakan dikhatan Abdul Mutalib
pada hari ketujuh umurnya
ada menyatakan dia dikhatan
pada hari pembedahan oleh Jibrail
semasa dijaga Halimatussa’diah.
⦁ GESTUR DAN POSTUR
Berjalannya laju, bergoyang badan
seperti menurun di anak bukit
dengan badannya condong ke hadapan
pada kaki kiri dia menekan
langkahnya mantap, jalannya sopan
pandangan matanya terarah ke bawah.
Duduknya di masjid mengangkat dua lutut
lutut-lututnya dirapatkan ke dada
kedua-dua tangan memeluk betis
tidak pernah dia berlunjur.
Baginda tidak melakukan ketawa
namun senyumnya adalah lebar
berbicara dia jelas dan tegas
tidak dengan terlalu cepat
mengulang perkataannya tiga kali
agar si pendengar memahami
bercakap dia apabila perlu sahaja
buka tutup bualnya ber-Bismillah
tidak menghina dan memuji makanan.
Muhammad tak menangis terisak-isak
mengalirkan air matanya tanpa suara.
Baginda tidur dengan berpostur
meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanan
mengiring ke kanan berbentuk tulisan jawi “Muhammad”
kekadang menelentang di atas belakang
tidur meniarap adalah pantang
tidur setelah berdoa diikuti tiga Qul.
⦁ DANDANAN
Baginda gemar memakai Qamis
jubah ala Rom yang sempit lengan
lengan bajunya ke pergelangan tangan
digemarinya juga Hibarah, pakaian Yaman
warna putih jadi pilihan.
Dia menyikat rambut ke kanan hala
mula menyikat daripada kanan kepala
dengan kananlah dimulanya segala kerja
termasuk taharah dan menyarung pakaian kaki.
Kekadang rambutnya dibelahi dua
rambutnya tak melampaui daun telinga.
Rasulullah suka berminyak wangi
harum bau tanpa warna
malaikat gemar mendampingi
si pemakai minyak wangi, maklumnya.
Ubannya diinai, berwarna merah
di kepala 14 helai, 20 di janggut.
⦁ MAKAN
Rasulullah gemar minum susu
itu makanan dan juga minuman, katanya
paling digemari olerh Baginda
jika minuman manis dan sejuk.
Sebagai lauk, dia suka cuka
minyak zaitun juga baginda peraku
diminatinya juga manisan dan madu.
Baginda makan daging bakar
kambing panggang pernah diambilnya
bahagian kaki paling digemari.
Buah kurma dan sawiq antara kegemaran
buah labu juga disukai
di samping tembikai dan kurma basah
juga buah timun yang muda mentah.
Makannya diakhiri menjilat jari tiga kali
tidak dia makan bersandar
minum air zamzam dalam berdiri
kekadang minum sambil duduk.
Muhammad tak makan sehingga kenyang
kecuali Dhafaf dalam kumpulan
dalam kesusahan, pernah dia berlapar
diikat batu di perut untuk menahan.
Baginda tidak makan sedekah
namun sudi menerima hadiah.
⦁ PAKAIAN
Baginda memakai cincin perak
permatnya batu hitam Habsyi
tertulis di cincinnya sepatah sebaris, dalam tiga baris
“Muhammad Rasul Allah”
cincin didandan di kelengkeng kanan
permatanya sering di hadap ke tapak tangan
apabila ke tandas, cincin ditanggalkan.
Serban sering tersarung di kepala
ekor serbannya dijulurkan sehingga
melepasi di antara kedua-kedua bahunya
serban putih untuk beribadah
serban hijau ketika berdakwah
hitam ketika berhadapan musuh
ketika pembukaan kota Mekah
serban hitam baginda kenakan.
Baginda pernah berpakaian merah
ada disebut dalam riwayat
namun tidaklah aku tahu
pernahkah baginda berbaju biru?
Di kaki baginda memakai selipar
bertapak kulit, bertali dua
kasut yang sesuai dengan zamannya.
⦁ TABIAT
Tidak Muhammad berbuat keji
tidak dia menjerit di pasar
tak membalas kejahatan dengan kejahatan
pemaaf dia dan berlapang dada.
Rasulullah seorang pemalu
menundukkan wajahnya jika dipandang terlalu
tidak pula dia sendiri
menatap wajah orang dengan lamanya.
Apabila dipanggil dia menoleh
badannya akan turut berpaling
dia peramah, benar, dan lemah lembut
ditakuti orang yang pertama bertemu
dicintai mereka yang akrab mengenali.
Apabila ada sahabat berjalan
Baginda berjalan mengekor di belakang
apabila mereka berselisih
disapanya sahabat dengan salam.
Muhammad insan paling tawaduk
sentiasa dia merendah diri
melakukan sendiri tugas peribadi
merendam pakaian dan memerah susu kambing adalah seperti
baginda tak suka dipuji, terlalu dihormati
tak suka orang menghormati dengan bangun berdiri
baginda sanggup pula penuhi
undangan ke majlis seorang hamba.
Baginda berbekam tiga kali sebulan
membayar upah untuk perkhidmatan.
Muhammad dermawan, terutamanya Ramadan
tidak pemarah dan tidak pendendam
kecuali terhadap pelanggar larangan.
⦁ WATAK DAN JIWA
Orangnya tampan, sederhana perwatakan
Muhammad besar jiwa dan berwibawa
juga dia berjiwa pelindung.
⦁ IBADAT
Ibadat baginda tidak berputusan
bersolat sehingga bengkak kaki-kaki
demi mensyukuri anugerah Ilahi
solat malamnya 13 rakaat
tidur dan solat bersilih ganti
berpuasa beberapa hari dalam bulan tertentu
membaca al-Quran, dengan jelas
ayat demi ayat dan panjang bacaan.
⦁ DIA DAN KITA
Muhammad manusia serupa kita
begitupun dia permata dan kita batu biasa
ADL-nya model bagi kita contohi.
- ADL = Avtivity of daily living (Kegiatan kehidupan seharian)
-Kuala Lumpur 22.02.2012.
54.
ABU JAHAL DAN ABU LAHAB MATI HINA DI PERANG PERTAMA
Perang Badar perang besar pertama
Muslim Madinah dan Quraisy Mekah
bertempur sengit di padang pasir.
Abu Jahal yang sangat jahat
pahlawan hebat di medan Badar
mati ditikam dua remaja muda
kedua-duanya bernama Mu’adh
anak Ansar dari Madinah
tamatlah riwayatnya secara hina.
Abu Lahab bapa saudara Rasulullah
seorang lagi orang jahat Mekah
Islam dimusuh secara angkuh
tidak dia ke Perang Badar
namun mengamuk apabila mendengar
kufur kalah di tangan Muslim
dalam mengamuk itu kepalanya dikatuk
oleh iparnya Ummul Fadil
seorang perempuan yang bukan pun pahlawan
kepala yang terkatuk luka berkudis
membawa maut seminggu kemudian
“Tidaklah berfaedah kepadanya
harta benda dan segala yang diusahanya.”
Demikianlah sudah kehendak Allah
dua musuh Muhammad yang angkuh dan gagah
mati hina di mata dunia
di awal tempoh sengketa bersenjata.
-Kuala Lumpur, 9.09.2012.
2005
Sajak no. 55 dipetik dari:
Tunas Jiwa. Kuala Lumpur: Tajaan DBP, 2005.
55. AKU TERUS MELAWAN DAN BERSERAH
Ada debar pada damai laut, menanti perintah
datang perintah pada tanah
tanah menolak, tanah menerjah
tersentak laut, laut tertolak
apa dilanggar, apa rebah
siapa disentuh, siapa musnah.
Aku disentuh ombak yang patuh
dilawan mati ibu, menyerah mati ayah
aku melawan dan berserah
melawan dan berserah
ada umur, jumpa lagi
ada ajal, jumpa nanti.
Kita jumpa lagi, alhamdulillah
kutemu engkau yang simpati
terima kasih, kawan, terima kasih
berapa berat pada pandang matamu
berat lagi kupikul di bahu.
Kini laut kembali tenang
aku perlu terus melawan dan berserah
perlu kucari kehidupan yang hilang.
-Kuala Lumpur, 12.01.2005.
2002.
Sajak No. 56-58. Dipetik dari:
Irwan Abu Bakar & Hasimah Harun (Penyelenggara). APAS. Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2015.
56.
ANAK MALAM GERHANA
(ditulis semasa berada di Kelantan “dalam gerhana”)
Anakku
gelap kulitmu dan tidak cerah
seperti putih kulit ibumu dan hitam manis kulit ayah
ialah akibat persenyawaan di malam gerhana
maafkan ibu dan ayah, anakku.
Anakku
gelap kulitmu dan tidak cerah
seperti putih kulit ibumu dan hitam manis kulit ayah
ialah akibat persenyawaan di malam gerhana
dan sesungguhnya, anakku
gerhana itu
berlakunya tidaklah diketahui ibu dan ayah.
Anakku
gelap kulitmu dan tidak cerah
seperti putih kulit ibumu dan hitam manis kulit ayah
ialah akibat persenyawaan di malam gerhana
dan sesungguhnya, anakku
gerhana itu
ialah juga tanada kebesaran Allah.
–Pasir Mas ke Kota Bharu, 10 Sept 2002.
57.
MENUJU
Jalannya berbukit-bukit dan berliku-liku
seorangan diri aku menapakinya
ada kotoran di lorong pejalan kaki yang menanti alpa
ada anjing garang menyalak-nyalak dari halaman rumah berpagar
ada simpang jalan mati yang menjinak ragu kemudiannya memaksa aku berpatah balik
namun di langit mentari terang dan awan bertaburan mesra
di bumi cuaca cerah
ada angin dingin nyaman yang berterusan mengusap longlaiku
ada kerusi tua yang menghisap lelahku dari punggung
lalu aku terus gagah melangkah
hingga kutemui pintu.
Terang mentari, mesra awan, cuaca cerah, sepoian dingin bayu, dan kerusi tua
mengukuh langkahku.
-Caceres, Spain. 3 Jul 2002.
Sajak No. 58. Dipetik dari:
Pentas Dunia, Bil 125, 22-29.09.2002.
58.
PROFESIONALISME
Pemandu-pemandu eksi di Caceres dan Madrid
kudapati baik-baik belaka
(walaupun komunikasi tidak sempurna
kerana masalah bahasa)
yang penting ialah amanah dalam tugas
kalau cari sesuap nasi
dengan memandu teksi
jadilah pemandu teksi yang memandu teksi
(seperti mereka)
kalau mahu buat kerja sampingan
(seperti merompak dan merogol)
buatlah di luar waktu kerja
supaya terjaga profesionalisme.
-Madrid. Spain, 6 Jul 2002.
Sajak No. 59. Dipetik dari:
Laman Sastera @ Pustakamaya.net.
59. BUSUK DAN WANGI
Seorang pemuda Sepanyol
segak dan sihat
kotor dan berbau busuk
menghampiriku dan meminta
dalam bahasa Inggeris pelat Sepanyol
“Ada wang kecil untuk sarapan pagi?”
Seorang lagi pemuda Sepanyol
segak dan sihat
duduk di hujung kerusi panjang yang kududuki
membuka dan memakan sanwic daging
dan meneguk air sejuk dari botol plastik
semerbak wangi bau losyen cukurnya.
Di stesen bas Caceres, Sepanyol
seperti di mana-mana
kita boleh jadi busuk atau wangi
kita sendiri yang pilih.
Gracias, Espanoles
Kerana sempat mengajarku sedikit tentang hidup.
-Caceres, Sepanyol, 5 Julai 2002.
2020
(Versi bahasa Melayu bagi sajak di kulit belakang)
- RAMADAN 27
Lailatul Qadar, malam kemuliaan
amat dirindui orang beriman
di malam ini Allah sediakan
kemuliaan, anugerah, dan keampunan
juga rahmat, dan keberkatan
dengan satu ibadah di malam ini
lebih baik dan lebih utama
daripada ibadah 1000 bulan tanpanya.
Di Lailatul Qadar, para malaikat ke bumi
membawa rahmat, berkat, dan tenteram
menyatulah keamanan dan keselamatan
dalam diri orang beriman
mendapat mereka ucapan salam
langsung dari para malaikat
terasa mereka
tenteram hati dan lapang dada
serta lazat beribadah.
Tidak dapat lagi diragu
Lailatul Qadar memang berlaku
pada bulan Ramadan yang suci
malam yang dahulu dipilih Allah
malam mula menurunkan Al-Qur’an
sebagai petunjuk bagi manusia
pembeza antara hak dengan batil.
Lailatul Qadar pada malam 27
itulah pendapat banyak ulama
namun ada lebih 40 pendapat lain
dengan majoriti tetap yakin
Lailatul Qadar tak mungkir hadir
pada Ramadan 10 malam terakhir
boleh ia berpindah-pindah
terkadang malam 21, terkadang 23
terkadang 25, terkadang 29
di samping pada malam 27.
Kehadiran Lailatul Qadar dirahsiakan Allah
dirahsiakan dengan penuh hikmah
agar para hamba-Nya beribadah
bersungguh-sungguh setiap malam
beribadat dengan penuh harapan.
Kuala Lumpur, 2020.
INDEKS JUDUL
20:02:20 20.02.20 (Puisi No. 4).
40 Tahun Bersama (14).
A, B, C (3).
Abu Jahal Dan Abu Lahab Mati Hina Di Perang Pertama (53).
ADL Contoh (52).
Agamawan Nerakawan (34).
Air Dari “Air” (6).
Aku Hanya Sebuah Teguran (40).
Aku Sendirian Memerintah Hahihu (12).
Aku Tak Mahu Merdeka (37).
Aku Terus Melawan Dan Berserah (55).
Anak Malam Gerhana (54).
Anugerah 2021 (1).
Baiah Ridwan (50).
Batu Cair (2).
Bukan Punya Kita (7).
Busuk Dan Wangi (59).
Dari AM Ke PM (10).
Dari Resah Mahmud Ke Resah Asy-Syifa’ (44).
Dendam Bilal (48).
Forever 17 (13).
Gegar Di Hati (33).
Hamzah Rebah, Dadanya Dibelah, Hatinya Diratah (49).
Hari 1, 2017 (30).
“Hari Ini Hari Aku,” Kata Puisi (24).
Hari Ini Sepember 11 (28).
Haziq 27 (17).
Ke Khemah Hitam Ibu Susuan (46).
Kenapa Rabu? (22).
Konflik (43).
Korban Sayang (32).
Makmum Di Saf Ke-1 (29).
Mari Tulis Sajak (5).
Melangkah Masuk Sempadan 2016 (39).
Melepas Rindu, Aku (18).
Menuju (57).
Muka Di Depan Gelas (38).
Nuzul (41).
Pahala Zulhijah (25).
Pemimpin Kaki Sebelah (36).
Perang Pertama: Ghazwa Badar (47).
Perginya Sebagai Bintang Yang Terang (9).
Perjanjian Hudaibiah (51).
Profesionalisme (56).
Ramadan 27 (60).
Satu Syawal Yang Sunyi (15).
Sebuah Dron Nakal (21).
Secawan Teh Tarik (20).
Selayang Padang (54).
Semangkuk Ikhlas Di Sudut Pulau (31).
Seorang Tua Di Kaki Masjid (42).
Sepipit Usaha (35).
Serangkap Gelap (8).
Sesak Otak (19).
Solat Beli-belah (23).
Sudah Dua Minggu (26).
Terus Kunanti (11).
Tujuh Likur Yang Satu-satunya (45).
Tutorial Bahasa Melayu Semasa: Suku Kata “-han” (16).
Wakaf.com (27).
KULIT BELAKANG
RAMADAN 27TH
Lailatul Qadar, oh blessed night
much longed for, by those who do right
this night, God has promised
glory, rewards, and to forgive
as well as mercy, and all of the blessings
where an act, on this night
is better and much favoured
than the act of a thousand months, otherwise.
On Laitaltul Qadar, the angels descend
with mercy and blessings, and peace with them
so that calm and ease may lay rest
in the hearts of those who do their best
to be greeted with “Peace!”, by the angels
so they feel the calm and ease, and joy as well.
It is no longer a question
that Laylatul Qadar is to happen
during the blessed month of Ramadhan
on the night the Lord had decided
the night the Quran was first taught
as a guide for us who seek
to tell apart between good and deceit.
Laylatul Qadar is on the night of 27
many scholars had concluded thus
though there are more than 40 other opinions
with the majority still confident
that Laylatul Qadar won’t not come
on the last 10 nights of Ramadhan
though it can vary
on night 21, or night 23
sometimes 25, sometimes 29
besides on the night 27 itself, will just be fine.
When Laylatul Qadar will come, that’s Allah’s secret
kept with His utmost-wisdom
so that you and I will continue to perform
our best on every single night
with all our hopes, seeking His light.
-Kuala Lumpur, 2020.
TAMAT.