Sebening Pengharapan

Kiranya tertutup lorong di sini
masih terbuka lagi jalan yang lain
masih ada biasan mentari
di sela-sela daun kembang kehidupan
menyinari sebuah pengharapan
yang masih bertakung di kolam keimanan.
Di lorong yang kita lewati kini
rimbunan peluang tetap tumbuh mercup
di mana-mana
harus digalas tulus kesyukuran
lantaran kita masih dikurnia waktu
untuk mengisi haruman mahmudah
di bejana pengabdian berpanjangan.
Di hujung perjalanan nanti
akan tetap kita mengapung impian
bahawa kita bisa menjunjung jambangan keredaan-Nya
dalam sekebun warna-warni
kedamaian dan ketenangan hakiki.
Oleh:

ZULKIFLI BAHARUN.
22 April 2020.
TAMAT.