Akulah penoreh getah
Sentiasa basah dalam resah
Walau mata kekeringan air mata
Lenyai hati melilih basah
Kesegenap urat nadi dan darah
Mengiringi hujan yang mencurah.

Akulah penoreh getah
Yang enggan pulang
Melupakan empuk tilam
Terpaksa menoreh pagi dan petang
Menghitung ombak resah di dada isteri
Yang basah tersiram air mata
Menjahit seluar baju koyak di tubuh
Supaya anak-anak tidak kesejukan
Sambil mencatu nasi dan ikan kering di pinggan
Supaya anak-anak tidak kelaparan
Di musim hujan yang panjang.

Degup jantungku
Bukan getar orang yang mengaku kalah
Meski sentiasa berserah
Dalam keterbatasan kudrat dan iradat
Ibarat ikan-ikan dalam akuarium
Berenang tanpa henti
Terkurung di ruang lingkup suratan
Hidup dan mati
Tetap ketentuan Ilahi.

Oleh:
Yajuk.
Bukit jering, 15102019

@ Facebook:

https://www.facebook.com/groups/1830355190524815/permalink/2739338202959838/

TAMAT.