
Kamilah penoreh getah
sering resah dalam gelisah
kendati tangis tanpa esakan
kuyup seluruh rasa
meresap getar ke lingkar saraf
menadah lebat simbah.
Kamilah penoreh itu
istiqomah di perdu ini
menyisih selimut tebal
terus disini dari subuh tadi
mencongak gelisah penagih rezeki
menahan getar sebak
sambil memerah basah di ampaian
memanas badan di dingin malam
selepas menghadap semangkuk bubur kosong
mengalas perut yang sering memulas
besok mungkin lecun lagi.
Debar di dada ini
sekadar mengumpul cekal semula
hakikat kami yang biasa tunduk
namun tidak pernah tersungkur
umpama akar tunjang membenam
menghunjam dalam
mencari hingga ke dasar bumi
sisa-sisa tenaga
sambil pasrah berdoa.
Sajak ciplakcuplik
Oleh:
Ahkarim
Bukit Tampoi, 30102019.
TAMAT.