Oleh: IRWAN ABU BAKAR

Irfan sudah kenyang.  Dia baru sahaja makan pagi sebentar tadi. Isterinya Shima tidak sempat makan pagi, jadinya Syima sedang lapar. Selepas urusan di bank, mereka ke Restoran eSastera, duduk di meja 17. Syima memesan sepinggan nasi campur dan Irfan hanya memesan segelas teh O ais, sama seperti minuman yang dipesan Syima.

Datang pelayan restoran untuk mengira bayaran yang akan dikenakan. Pelayan itu bertanya, “Sorang jer makan ke?”

Irfan menjawab, bergurau, “Bajet cukup untuk sorang makan jer, jadi bagi isteri makan la…”

Sebentar kemudian, pelayan restoran itu datang semula membawa sepinggan lagi nasi campur dan meletaknya di depan Irfan: sepinggan nasi dengan lauk yang sama seperti di pinggan Syima.

“Eh, saya tak pesan pun…” kata Irfan kepada pelayan itu.

“Tak per, Encik. Tak perlu bayar. Percuma, tauke belanja…” kata pelayan itu.

Irfan berasa sebak. Mengalir turun air mata di pipinya.

TAMAT.

VERSI 2

Meja itu berbentuk empat segi sama. Meja kayu. Dua kaki sahaja kepanjangan di setiap sisinya. Maka keluasan permukaan meja itu ialah dua kaki darab dua kaki, iaitu empat kaki persegi. Meja itu bernombor 17. Itulah nombor yang tertampal di suatu sudut muka datar meja itu. Letaknya meja itu adalah di kedai Mamak  yang bernama “Teh Tarik Palace”. Kedai itu letaknya di dalam supermarket Tetero. Berhawa dingin. Amat popular kedai makan ini, selalu sahaja meja-mejanya penuh berpelanggan. 

Di meja 17 itu, duduk sepasang suami isteri.

Si suami, Irfan, sudah kenyang.  Dia baru sahaja makan pagi sebentar tadi. Isterinya Syima tidak sempat makan pagi, jadinya Syima sedang lapar. Selepas urusan di bank, mereka ke Restoran eSastera, duduk di meja 17. Syima memesan sepinggan nasi campur dan Irfan hanya memesan segelas teh O ais, sama seperti minuman yang dipesan Shima.

Maka duduklah mereka untuk menikmati makan pagi lewat (atau brunch). Dikatakan brunch kerana jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.00 pagi sedangkan mereka baharu sahaja memesan makanan dan kedua-duanya kelihatan agak kelaparan.

Pasangan suami isteri itu duduk bersebelahan tetapi menghadap 90 darjah antara satu sama lain, kau faham, bukan? Maksudnya, garis pandangan mereka berdua itu bersilangan antara satu sama lain untuk membentuk sudut 90 darjah. Maksudnya, mereka duduk di dua sisi meja itu yang berlainan dan dua sisi itu membentuk sudut 90 darjah. Maksudnya, mereka duduk di meja itu, di dua sisi  yang berlainan tetapi mereka berada sebelah-menyebelah antara satu dengan lain. Pasangan suami isteri itu sengaja duduk di meja bernombor 17 kerana kedua-duanya ialah peminat tegar bagi novel antiplot Meja 17 yang sedang laris di pasaran Malaysia dan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Si isteri sudah menerima pesanannya. Sepinggan nasi campur terletak di hadapannya. Teh O ais juga terletak di sisi dulang itu. Seorang pelayan kedai Mamak itu datang membawa segelas lagi teh O ais. Diletaknya teh O ais itu di hadapan sang suami.

Pasangan suami isteri itu itu terus menikmati juadah masing-masing. Sesekali mereka serius, sesekali mereka tersenyum, sesekali mereka mengerutkan kening dan dahi, dan sesekali mereka ketawa.

 Apa tanyamu? Bagaimana suasana dalam restoran itu pada masa itu? Oh, suasananya riuh dengan para pelanggan yang ramai, mencari-cari meja yang masih  kosong. Beberapa kumpulan pelanggan berdiri di tepi dinding, memerhati dari jauh jika ada meja yang ditinggalkan kosong oleh pelanggan terdahulu yang sudah selesai menikmati juadah masing-masing. Para pelanggan di meja juga terasa tertekan untuk menghabiskan makanan masing-masing dengan secepat mungkin kerana terus-menerus diperhatikan oleh pelanggan yang masih menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk. Pelayan restoran, ada dalam 10 orang kesemuanya, sibuk ke sana sini untuk mendapatkan helaian borang pesanan makanan yang dihulurkan oleh pelanggan yang baru duduk di meja dan mengisi helaian borang pesanan yang tersedia di atas meja masing-masing.  Sekali sekala, terdengar suara laungan pelanggan memanggil pelayan untuk mengambil borang pesanan daripada mereka atau untuk menukar pesanan yang tersilap hantar. Kekadang terdengar juga tukang masak di dalam kubikel dapur memanggil pelayan restoran itu untuk datang mengambil segera makanan yang telah siap mereka sediakan dalam dulang penghantaran. Di kaunter bayaran, kelihatan barisan yang panjang, dengan pelanggan yang masing-masing menunggu giliran untuk membuat bayaran di kaunter bayaran yang mempunyai hanya sebuah mesin bayaran dan seorang kasyier sahaja. Ya, begitu mencabar suasananya… Ala, sudahlah tu. Janganlah tanya lagi. Kamu bayangkanlah sendiri suasananya. Kita hendak fokus kepada ceritanya, kepada apa yang berlaku. Kalau sibuk bercerita tentang suasana sekitar, boleh merugikan tenaga, merugikan masa, malah merugikan kata-kata. Itu pembaziran, tahu? Allah marah orang yang boros, suka membazir tenaga, masa, dan kata-kata. Kelmarin, dalam khutbah Jumaat di masjid al-Ghufran, imam ada membaca dan menayangkan di skrin yang terpasang di dinding depan masjid itu,  sebuah petikan dari al-Quran, surah al-Isra’ (surah 17), ayat 27, seperti yang berikut:

Sesungguhnya, orang yang boros itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Aduh… Wajarkah ayat al-Quran dipetik dan diletakkan untuk menghiasi sebuah cerita fiksyen seperti cerpen ini? Ada sebuah novel, pastinya fiksyen, yang menyelerakkan petikan terjemahan berbagai-bagai ayat al-Quran di dalamnya.  Wajarkah hal itu dilakukan, sedangkan novel juga ialah sebuah karya fiksyen. Emm… Itu isu lain, isu akademik. Biarlah pakar sastera dalam kalangan ahli-ahli akademik membincangkannya. Kita teruskan sahaja dengan cerita kita.

Datang pelayan restoran ke meja 17 untuk mengira bayaran yang akan dikenakan. Pelayan itu bertanya, “Sorang jer makan ke?”

Irfan menjawab, bergurau, “Bajet cukup untuk sorang makan jer, maka isteri makan la…”

Rupa-rupanya, pada ketika itu, pada ketika pasangan suami isteri itu tersebut beraktiviti di meja 17, ada seorang perempuan yang duduk di meja yang berhampiran, sedang memerhatikan pasangan suami isteri di meja 17 yang tersebut. Betulkah pasangan insan itu merupakan pasangan suami isteri? Agaknya la. Lagak mereka pun kelihatan mesra sekali dan tidak malu-malu. Lagi pun, tidak mungkin pasangan itu ialah lelaki pelanggan pelacur dengan perempuan pelacur yang dilangganinya kerana lelaki laknatullah yang melanggani pelacur biasanya tidak membawa pelacur laknatullah yang dilangganinya untuk makan di kedai Mamak. 

Perempuan tadi bangun dari mejanya, meja bernombor 19. Perempuan ini sebenarnya adalah juga peminat tegar novel Meja 17 dan sewaktu dia masuk ke restoran itu tadi, dia sememangnya terus menuju ke meja bernombor 17. Malangnya, meja itu sudah terlebih dahulu diisi oleh pasangan dua orang tersebut menyebabkan perempuan itu menuju ke meja 19 dengan perasaaan geram. Geram marah, rasa hendak tampar, bukannya geram berahi, rasa hendak peluk cium.  

Kini perempuan itu terus menuju ke meja 17 yang sedang diduduki pasangan suami isteri tadi. 

“Puan,” tegur perempuan itu kepada sang isteri di meja 17. “Saya lihat puan makan sepinggan nasi seorang diri sementara suami puan hanya dipesankan segelas teh O panas sahaja. Tabiat buruk memperlekeh-lekehkan suami seperti inilah yang sedang merosakkan keharmonian rumah tangga dalam masyarakat kita pada hari ini,” bentaknya. Mukanya merah marah.

Wah, perempuan itu seorang aktivis sosial agaknya! Tidak mungkin dia bertindak begitu untuk merebut meja 17 daripada pasangan suami isteri itu.

Pasangan suami isteri di meja 17 tersebut memandang terkejut ke muka perempuan yang menyerang mereka itu.

Pada ketika itu, pelayan restoran tadi datang semula membawa sepinggan lagi nasi campur dan meletaknya di depan Irfan: sepinggan nasi dengan lauk yang sama seperti lauk yang di pinggan Syima.

“Eh, saya tak pesan pun…” kata Irfan kepada pelayan itu.

“Tak per, Encik. Tak perlu bayar. Percuma, tauke belanja…” kata pelayan itu.

Perempuan aktivis sosial itu tergamam. Menjadi serba salah perempuan itu apabila memikirkan tindakan tauke kedai makan itu. Malu dia apabila, pada ketika itu, teringat dia akan tulisan Profesor Irwan Abu Bakar tentang Penyelesaian Masalan di status Facebook beliau beberapa tahun yang lalu:

“Apabila menghadapi masalah, seseorang akan mengambil salah satu daripada tidak tindakan: menawarkan selesaian, buat tak tahu, atau mengamuk tak tentu pasal”.

TAMAT VERSI 2.