Oleh: IRWAN ABU BAKAR
Meja itu berbentuk empat segi sama. Meja kayu. Dua kaki sahaja kepanjangan di setiap sisinya. Maka keluasan permukaan meja itu ialah dua kaki darab dua kaki, iaitu empat kaki persegi. Meja itu bernombor 17. Itulah nombor yang tertampal di suatu sudut muka datar meja itu. Letaknya meja itu adalah di kedai Mamak yang bernama “Teh Tarik Palace”. Kedai itu letaknya di dalam supermarket Tetero. Berhawa dingin. Amat popular kedai makan ini, selalu sahaja meja-mejanya penuh berpelanggan.
Di meja 17 itu, duduk dua orang lelaki muda. Seorang mengenakan kemeja-T berwarna merah sementara seorang lagi berkemeja-T berwarna hitam. Mereka masih remaja, dalam 17 tahun umurnya. Susuk badan mereka slim. Rambut lebat, banyak yang keperang-perangan disapu pewarna rambut. Remaja yang berbaju merah kelihatan seperti sahabat sebaya kepada lelaki berbaju hitam. Yang berbaju hitam kelihatan seperti sahabat sebaya kepada lelaki berbaju merah. Mereka sedang duduk untuk menikmati makan pagi lewat (atau brunch) tentunya. Dikatakan brunch kerana jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.00 pagi sedangkan mereka baharu sahaja memesan makanan dan kedua-duanya kelihatan agak kelaparan.
Dua orang lelaki itu duduk bersebelahan tetapi menghadap 90 darjah antara satu sama lain, kau faham, bukan? Maksudnya, garis pandangan lelaki berdua itu bersilangan antara satu sama lain untuk membentuk sudut 90 darjah. Maksudnya, mereka duduk di dua sisi meja itu yang berlainan dan dua sisi itu membentuk sudut 90 darjah. Maksudnya, mereka masing-masing duduk di meja itu, di dua sisi yang berlainan tetapi mereka berada sebelah-menyebelah antara satu dengan lain. Lelaki-lelaki itu sengaja duduk di meja bernombor 17 kerana kedua-duanya ialah peminat tegar bagi novel antiplot Meja 17 yang sedang laris di pasaran Malaysia dan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lelaki berbaju merah sudah menerima pesanannya. Sedulang roti boom terletak di hadapannya. Dua keping roti boom, dengan kuah dalam lekukan pada dulang itu. Teh tarik juga terletak di sisi dulang itu. Seorang pelayan kedai Mamak itu datang membawa sedulang chicken strips dan french fries serta segelas lagi teh tarik. Diletaknya racikan ayam, gorengan potongan kentang, dan teh tarik itu di hadapan remaja berbaju hitam.
Dua lelaki remaja itu terus memamah makanan masing-masing sambil melayani telefon bimbit masing-masing, dengan sesekali meneguk teh tarik panas dari gelas masing-masing. Sesekali mereka serius, sesekali mereka tersenyum, sesekali mereka mengerutkan kening dan dahi, dan sesekali mereka ketawa.
Apa tanyamu? Bagaimana suasana dalam restoran itu pada masa itu? Oh, suasananya riuh dengan para pelanggan yang ramai, mencari-cari meja yang masih kosong. Beberapa kumpulan pelanggan berdiri di tepi dinding, memerhati dari jauh jika ada meja yang ditinggalkan kosong oleh pelanggan terdahulu yang sudah selesai menikmati juadah masing-masing. Para pelanggan di meja juga terasa tertekan untuk menghabiskan makanan masing-masing dengan secepat mungkin kerana terus-menerus diperhatikan oleh pelanggan yang masih menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk. Pelayan restoran, ada dalam 10 orang kesemuanya, sibuk ke sana sini untuk mendapatkan helaian borang pesanan makanan yang dihulurkan oleh pelanggan yang baru duduk di meja dan mengisi helaian borang pesanan yang tersedia di atas meja masing-masing. Sekali sekala, terdengar suara laungan pelanggan memanggil pelayan untuk mengambil borang pesanan daripada mereka atau untuk menukar pesanan yang tersilap hantar. Kekadang terdengar juga tukang masak di dalam kubikel dapur memanggil pelayan restoran itu untuk datang mengambil segera makanan yang telah siap mereka sediakan dalam dulang penghantaran. Di kaunter bayaran, kelihatan barisan yang panjang, dengan pelanggan yang masing-masing menunggu giliran untuk membuat bayaran di kaunter bayaran yang mempunyai hanya sebuah mesin bayaran dan seorang kasyier sahaja. Ya, begitu mencabar suasananya… Ala, sudahlah tu. Janganlah tanya lagi. Kamu bayangkanlah sendiri suasananya. Kita hendak fokus kepada ceritanya, kepada apa yang berlaku. Kalau sibuk bercerita tentang suasana sekitar, boleh merugikan tenaga, merugikan masa, malah merugikan kata-kata. Itu pembaziran, tahu? Allah marah orang yang boros, suka membazir tenaga, masa, dan kata-kata. Kelmarin, dalam khutbah Jumaat di masjid al-Ghufran, imam ada membaca dan menayangkan di skrin yang terpasang di dinding depan masjid itu, sebuah petikan dari al-Quran, surah al-Isra’ (surah 17), ayat 27, seperti yang berikut:
Sesungguhnya, orang yang boros itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.
Aduh… Wajarkah ayat al-Quran dipetik dan diletakkan untuk menghiasi sebuah cerita fiksyen seperti cerpen ini? Ada sebuah novel, pastinya fiksyen, yang menyelerakkan petikan terjemahan berbagai-bagai ayat al-Quran di dalamnya. Wajarkah hal itu dilakukan, sedangkan novel juga ialah sebuah karya fiksyen. Emm… Itu isu lain, isu akademik. Biarlah pakar sastera dalam kalangan ahli-ahli akademik membincangkannya. Kita teruskan sahaja dengan cerita kita.
Rupa-rupanya, pada ketika itu, pada ketika dua lelaki remaja tersebut beraktiviti di meja 17, ada seorang perempuan yang duduk di meja yang berhampiran, sedang memerhatikan dua orang lelaki remaja bersahabat baik di meja 17 yang tersebut. Betulkah dua lelaki itu semata-mata dua orang yang bersahabat baik? Agaknya la. Lagak mereka pun kelihatan mesra kawan biasa. Bukan jenis yang berbincang tentang “top ke bottom?”. Lagi pun, tidak mungkin dua lelaki itu pasangan PLU kerana lelaki PLU laknatullah biasanya tidak membawa pasangan laknatullah mereka makan di kedai Mamak.
Perempuan tadi bangun dari mejanya, meja bernombor 19. Perempuan ini sebenarnya adalah juga peminat tegar novel Meja 17 dan sewaktu dia masuk ke restoran itu tadi, dia sememangnya terus menuju ke meja bernombor 17. Malangnya, meja itu sudah terlebih dahulu diisi oleh lelaki dua orang tersebut menyebabkan perempuan itu terpaksa menuju ke meja 19 dengan perasaaan geram. Geram marah, rasa hendak tampar, bukannya geram berahi, rasa hendak peluk cium.
Kini perempuan itu terus menuju ke meja 17 yang sedang diduduki dua lelaki remaja tadi.
“Adik,” tegur perempuan itu kepada dua lelaki tersebut apabila dia sampai di meja 17. “Saya lihat adik berdua terlalu leka dengan telefon bimbit masing-masing. Tidak bercakap-cakap langsung antara satu dengan lain. Inilah tabiat buruk yang sedang merosakkan hubungan sosial dalam masyarakat kita pada hari ini,” bentaknya. Mukanya merah marah.
Wah, perempuan itu seorang aktivis sosial agaknya! Tidak mungkin dia bertindak begitu untuk merebut meja 17 daripada lelaki berdua itu.
Dua lelaki remaja di meja 17 tersebut memandang terkejut ke muka perempuan yang menyerang mereka itu.
“Puan, kami sedang berkomunikasi berdua. Kami berkomunikasi menggunakan telefon kami!” kata lelaki remaja berbaju merah itu. Remaja berbaju hitam melihat ke muka perempuan aktivis sosial itu sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
Tetiba wajah wanita aktivis sosial yang garang tadi berubah warna daripada merah kepada merah padam.
“Oh, kenapa anda perlu berbincang dengan menggunakan telefon bimbit? Kenapa tidak tatap muka dan lontarkan suara? Itu dua gerak asas komunikasi!” bentaknya.
Oh, dia mempunyai ilmu akademik asas tentang komunikasi rupa-rupanya. Mungkin dia pengikut tegar portal FIKKOM (Fikir & Komunikasi) yang diuruskan oleh syarikat Real Good Studio di URL http://fikkom.home.blog.
Remaja berbaju merah menjawab. “Sukar kami hendak berkomunikasi begitu, puan,” katanya sambil melihat ke muka perempuan aktivis sosial itu. Remaja berbaju hitam melihat ke muka perempuan aktivis sosial itu sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
Perempuan itu, secara spontan, membeliakkan matanya dan bertanya, “Sukar hendak berkomunikasi dengan menatap muka dan melontarkan suara? Mustahil! Apa yang sedang kamu berdua bincangkan?”
Remaja lelaki berbaju merah menunjukkan skrin telefonnya kepada wanita itu.
Perempuan itu tergamam. Matanya semakin terbeliak apabila melihat kandungan skrin telefon bimbit yang ditalakan kepadanya itu. Menjadi serba salah perempuan aktivis sosial itu apabila melihat pancaran imej ini:

TAMAT.