Dahan-dahan jati berantakan
Gugur di halaman
Berbunga gundah
Terlukis resah
Memaklumi kudrat dan iradat
Kita umpama titik-titik debu berterbangan.

Ribut semalam
Menumbangkan pepohon rendang
Patah menghempap jalan
Menghadang laluan
Terdiam aku di pinggiran
Termangu sendirian
Tercari-cari laluan
Di celah runtuhan.

Ribut semalam
Meruntuh tembok warisan
Mematikan mimpi
Memijar kental
Memugar cinta hakiki
Menemukan jalan kembali
Mengenal hakikat diri
Yang mati terkunci.

Ribut semalam
Adalah kudrat dan iradat
Zikrullah yang berulang-ulang
Dalam urutan takdir dan suratan
Dalam gundah aku berserah
Hidup dan mati.

Oleh:
Yajuk
Bukit Jering, 8092019.