Oleh: Irwan Abu Bakar
SYNOPSIS. Significant and continous service to provide a platform for the public to publish their literary work on the internet had been introduced in Malaysia in February 2002 by the informal social movement eSastera led by Irwan Abu Bakar. The portal sprcifies that the publications must contain multimedia or cyber elemets. The informal (unregistered) movement also plays a role in promoting the publication of literary work on the internet through off-line activities like literary meetings, literary courses, and giving awards for e-publications, particularly those writings published in the portal e-Sastera.com which was set up by eSastera.. It also publishes the e-writings into conventional books the the company Esastera Enterprise. In 2010, eSastera was registered with the Registrar of Society, Malaysia to become the NGO known as the Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (or E-SASTERA). In 2016, it initiated the formation of an Asean regional e-literature movement by joining forces with one literary society each in Indonesia, Singapore, Brunei Darussalam, dan Thailand. The movement is named Asean Association of Literary Communities (GAKSA). GAKSA carried out activities publishing poetry antologies as well as setting-up a physical activity centre in Banten, Indonesia known as the Asean Literary House. In 2016, it gave award to chosen e-literature activists. The award is called the Asean E-Writer Award. Shortly after that, GAKSA teamed-up with the portal Poesysite.com based in the USA to form the international literary body known as the World Assocition of Literary Communities (WALC).
PENGENALAN
“Sastera siber sedang menenggelamkan sastera cetakan konvensional seperti sastera cetakan itu sendiri telah menenggelamkan sastera lisan”.
Kenyataan yang dianggap sebagai sebuah provokasi ini telah dibuat pada tahun 2004 oleh Profesor Dr. Irwan Abu Bakar di majalah Dewan Sastera terbitan bulan November 2014. Pada ketika itu, beliau telah membangunkan portal sastera e-Sastera.com selama lebih daripada dua tahun, sejak Februari 2002.
Kenyataan tersebut telah mencabar para penulis Malaysia untuk bertungkus-lumus mempergiatkan penglibatan mereka dalam penulisan secara pada-talian (on-line) memandangkan, pada masa itu, sistem internet di Malaysia masih berada di tahap rendah dan masih belum meluas penggunaannya.
Dalam majalah Dewan Sastera isu yang sama, Profesor Irwan juga berpostulasi bahawa mereka yang berkarya di internet adalah lebih produktif kerana keadaan mereka yang sentiasa menulis dan menyiarkan karya. Tambahnya, beliau melihat perkembangan sastera Melayu di internet sebagai jalan untuk memastikan bahawa sastera Melayu terus hidup dan relevan.
Nyata sekali bahawa penerbitan karya di alam siber mempunyai banyak kelebihannya yang tersendiri berbanding dengan penerbitan di medium konvensional. Misalnya, karya dapat diterbitkan dengan persembahan yang canggih, seperti memasukkan ke dalam karya sistem teks berwarna-warni, unsur grafik beranimasi, dan muzik latar. Malah hal inilah yang akhirnya diterima umum sebagai ciri utama karya siber (e-karya), iaitu karya yang tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dalam bentuk cetakan keras.
2002: MALAYSIA DAN GERAKAN E-SASTERA
Kegiatan berkarya di alam siber dan kegiatan luar talian yang berkaitan telah berlangsung di Malaysia di bawah kelolaan Irwan Abu Bakar melalui gerakan yang dinamai eSastera (atau e-Sastera). Gerakan ini merupakan sebuah gerakan sosial tidak formal. Perhatikan bahawa nama khas gerakan itu ditulis dengan huruf “s besar” untuk membezakannya dengan kata nama umum “e-sastera” yang membawa maksud sastera elekrtronik (e-literature).
Kegiatan utama eSastera ialah menyediakan portalnya sendiri yang terbuka kepada umum untuk menyiarkan karya sastera Melayu daripada pelbagai genre. Genre sastera moden yang mendapat sambutan paling meluas ialah puisi. Ini diikuti oleh cerpen. Puisi tradisional Melayu juga diberikan tempat, dengan pantun merupakan genre yang paling popular.
Dari tahun 2002, cabang “bentuk formal” (berdaftar dengan badan kerajaan) bagi gerakan eSastera ialah syarikat eSastera Enterprise. Syarikat ini mengendalikan hal-hal bisnes seperti penerbitan buku cetakan konvensional. Syarikat ini didaftarkan atas nama Wam Nur-Ilyani binti Wan Abu Bakar.
Di samping eSastera, beberapa gerakan dan individu lain juga ada menyediakan portal untuk penyiaran e-karya oleh khalayak pada masa itu. Namun kebanyakan portal yang berkenaan telah berkubur dalam masa beberapa tahun dibangunkan. Barangkali hanya agensi kerajaan Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja yang terus menawarkan perkhidmatan yang sedemikian walaupun berbeza bentuknya dengan program asalnya.
E-KARYA MALAYSIA: CIRI UTAMA DAN BENTUK
Ciri-ciri utama karya sastera bagi sesebuah masyarakat banyak ditentukan oleh cara masyarakat itu berkomunikasi. Masyarakat serata dunia, termasuk Malaysia, telah mengalami tiga fasa utama dalam kaedah berkomunikasi, iaitu secara lisan, secara tulisan, dan secara elektronik. Kaedah elektronik kini rata-rata dimonopoli oleh sistem internet. Maka aktiviti bersastera juga telah bergerak ke arah yang sama.
Pada amnya, e-karya bukan sekadar ditulis semata-mata, sebaliknya “dikomposisikan”. Hal ini sedemikian kerana, pada amnya:
- e-karya mengandungi unsur-unsur multimedia atau siber
- e-karya bersifat interaktif
- e-novel dan e-cerpen memberi kesempatan kepada khalayak untuk menentukan arah jalan cerita
- e-karya doleh dicapai secara segera dan meluas
- e-karya adalah dinamik (terbuka kepada modifikasi secara berterusan)
Ciri paling menonjol karya siber ialah kebolehcapaian yang segera dan meluas, iaitu karya dapat disiarkan di internet lantas dapat diakses dan diberikan respons dengan serta-merta oleh khalayak. Kebolehcapaian ini pula sangat meluas daripada segi geografi, iaitu ke seluruh pelosok muka bumi asalkan wujud sambungan internet di lokasi yang berkenaan. Maka wujudlah apa yang dinamai “dunia tanpa sempadan” bagi karya dan kegiatan sastera. Malah perbezaan bahasa juga sudah tidak lagi menjadi sempadan yang serius kerana internet kini menyediakan sistem kemudahan penterjemahan mesin secara semerta.
Karya siber juga lazimnya dicirikan oleh sifatnya yang dinamik, iaitu boleh diedit oleh penulisnya pada sepanjang masa. Ciri keboleheditan sepanjang masa ini menyebabkan karya siber sering digelar “karya yang sedang digarap”. Ciri ini ada positifnya dan ada negatifnya namun amat berfaedah apabila ditangani dengan cara bersistem oleh penulis.
Daripada segi bentuk, karya siber dipersembahkan dengan cara yang amat berbeza daripada karya cetakan konvensional. Misalnya, luahan emosi melalui puisi dilakukan bukan sahaja dengan menggunakan manipulasi kata-kata semata-mata malah dicapai dengan menggunakan aksara dan grafik yang berwarna dan/atau beranimasi. Juga dapat ditambah kesan bunyi dan suara. Malah “lagu puisi” (puisi yang dinyanyikan dengan melodinya sendiri) juga dapat disiarkan sebagai latar kepada teks yang disiarkan.
Ada juga karya sastera yang persembahannya terfokus kepada unsur citra (atau imej), bukannya unsur teks. Tiga genre utama yang mempunyai ciri yang sedemikian ialah e-sastera grafik, e-sastera video, dan e-sastera fotografi. Gerakan e-Sastera sendiri memperkenalkan empat maskot bernama Tera, Teri, Poyo, dan Alexander untuk mewakili dunia kesasterawanan yang ditanganinya..
Ciri interaktif e-karya memberikannya keupayaan untuk karya itu memberi respons kepada stimulasi pembaca. Misalnya, puisi tentang gempa bumi disertakan ikon yang boleh menyebabkan seluruh skrin komputer berkocak apabila diklik.
Satu lagi contoh ciri interaktif karya ialah keupayaan karya itu memberikan pilihan kepada pembaca untuk menentukan kesudahan kisahnya yang dibawa oleh karya berbentuk cerita. Misalnya, pada suatu tahap dalam sesebuah cerpen, pembaca diberi pilihan sama ada mahukan pengakhiran yang menggembirakan, menyedihkan, dan sebagainya.
Interaktiviti bukan sahaja terletak pada karya. Ia juga dimiliki sesebuah portal. Dengan mudah, di sesebuah portal medan penulisan, penulis dapat berinteraksi dengan penulis yang lain. Ada interaksi antara penulis dengan pembaca dan juga antara pembaca dengan pembaca yang lain. Interaksi antara rakyat pelbagai suku kaum (dengan dialek masing-masing) dan pelbagai negara juga dapat berlaku secara semula jadi.
Jelaslah bahawa karya siber bukan sahaja “ditulis” semata-mata, sebaliknya “digubah” untuk mendapatkan adunan yang baik antara ciri-ciri multimedia dan adunan yang baik pula dengan ciri interaktif. Berasaskan hal ini, maka pengukuran kualiti karya siber perlu dibuat dengan melihat kepada pelbagai ciri yang tersebut. Pada amnya, kualiti karya siber tidak wajar diukur dengan menggunakan kayu ukur yang sama dengan kayu
ukur yang digunakan untuk menilai kualiti karya sastera cetakan konvensional. Para penulis siber berada di dunia sendiri dengan undang-undang sendiri.
E-karya sastera garapan penulis yang berada di Malaysia akan dapat diakses dari seluruh pelosok dunia, tidak kira sama ada pelayan yang digunakannya secara fizikalnya berada di Malaysia atau di luar Malaysia. Pelayan yang berada di Malaysia pula dapat menerima input dari negara-negara luar. Maka tidaklah mudah untuk memberi definisi tentang perkembangan mahupun penyiaran “karya siber di Malaysia”. Barangkali kita dapat mendefinisikan “karya siber Malaysia” dengan merujuk kepada portal yang dikendalikan oleh seseorang yang berada di Malaysia. Namun hal ini pun tidaklah begitu jelas kerana ada portal (misalnya e-Sastera.com) yang dikendalikan dari Malaysia tetapi bahagian tertentunya diselia oleh beberapa orang aktivis sastera yang berada di luar negara. Barangkali, lebih mudah jika kita membuat rujukan kepada laman web sastera yang menggunakan bahasa Melayu Malaysia sebagai bahasa mediumnya.
Karya sastera disiarkan di pelbagai jenis laman web, seperti yang berikut:
- Laman web peribadi, lazimnya weblog (ringkasnya blog). Biasanya menggunakan templat percuma seperti blogspot.com, blogdrive.com, wordpress.com, wiz.com, dll.
- Laman web peribadi yang menyediakan kemudahan untuk orang lain menyiarkan karya
- Laman web awam, iaitu laman web yang memang terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyiarkan karya. Laman sedemikan ada dua jenis, iaitu (a) laman web umum yang mempunyai ruangan khas untuk menyiarkan karya sastera dan (b) laman web yang khas untuk karya sastera
- Group atau page di Facebook
PENCAPAIAN MEDAN E-KARYA DI MALAYSIA
Portal eSastera (kini di eSastera2u.com, eSasteraKarya.com, dan TVeSastera.com) serta medan karya eSastera di Facebook dapatlah dianggap sebagai medan karya e-sastera berbahasa Melayu Malaysia yang paling terkemuka. Malah laman-laman web yang berkenaan adalah salah satu medan e-sastera terbesar di dunia, jika diambil kira bilangan genre yang dicakupinya. Berasaskan andaian itu, adalah wajar jika laman-laman tersebut diambil sebagai rujukan dalam memperkatakan tahap pencapaian sastera berbahasa Melayu di alam siber. Pencapaian utamanya adalah seperti yang berikut:
- Portal eSastera telah menyiarkan karya dengan pelbagai ciri, termasuk animasi grafik dan teks serta audio dan video deklamasi lagu puisi. Kegiatan mencipta lagu puisi (lagu yang menggunakan puisi sebagai liriknya) merupakan kemaruk terbaru di eSastera sehinggakan telah dibangunkan kumpulan penyanyi GLP (Grup Lagu Puisi eSastera) yang kini telah berjaya merakamkan dua buah album lagu-lagu puisi, masing-masing berjudul Perada Cinta (11 lagu, 2013) dan Dot Dot Dot (10 lagu, 2016). Lagu “Grafiti Hati” adalah hasil usaha terkini eSastera yang melibatkan puisi Irwan Abu Bakar diberikan melodi dan dinyanyikan oleh aktivis dari Indonesia.
- E-Sastera berjaya mempertahankan penggunaan bahasa Melayu yang baik (standard) dalam karya-karyanya. Ciri-ciri “bahasa siber” kolokial tidak digunakan kecuali dalam komunikasi tidak formal antara ahli.
- E-Sastera telah mengambil pelbagai tindakan untuk memasyarakatkan kegiatan sastera di alam siber. Antaranya adalah dengan menganjurkan atau mengambil bahagian dalam kegiatan luar talian (off-line) seperti program baca puisi, kursus dan bengkel penulisan, ceramah, penerbitan karya secara konvensional, mengadakan Hadiah e-Sastera.com (HesCom) yang mengeluarkan anugerah kepada karya terbaiknya secara tahunan, kemunculan tokoh-tokoh e-Sastera.com dalam pelbagai media konvensional, taklimat kepada badan berwajib seperti DBP dan Kerajaan Negeri Kelantan, dan penerbitan majalah cetakan keras tak berkala, Sastera.Net, yang berfungsi sebagai jambatan penghubung antara khalayak sastera konvensional dengan kegiatan sastera di alam siber. Pencapaian dari segi memasyarakatkan sastera siber boleh dikatakan memuaskan memandangkan keahlian e-Sastera.com sudah menjejak lebih 1500 orang dan maklumat tentang e-Sastera.com juga telah tersiar di pelbagai media cetak konvensional, termasuk majalah Dewan Sastera (misalnya dalam isu November 2004).
- Ahli e-Sastera.com datang dari pelbagai lokasi di dunia. Misalnya, ahli dari Singapura, Brunei, UK, dan USA pernah hadir di malam HesCom. Paling menonjol ialah pembangunan komuniti “Poets” sebagai salah satu komuniti utama dalam portal eSastera. Komuniti ini berupaya mengetengahkan puisi Melayu kepada masyarakat antarabangsa dengan menyiarkan versi bahasa Inggerisnya. Kini dibangunkan pula grup Facebook bernama “Puntone” untuk mempopularkan genre pantun ke bahasa Inggeris.
- Beberapa program ‘pada talian’ dan ‘luar talian’ telah diinovasikan di e-Sastera. Misalnya, kegiatan menulis e-novel pada talian secara sambung-menyambung dengan bebas dan terbuka, telah mampu menghasilkan novel cetakan keras Hostel: Debaran Kedua yang pernah dikatakan sebagai “salah sebuah novel terbaik di alam Melayu” dan “yang pertama seumpamanya di dunia”. Sekuel novel itu diterbtakan empat tahun kemudaian dengna judul “Memanto Cinta”. Kegiatan kursus latihan luar talian Akademi Sastera Siber yang dianjurkan eSastera ialah inovasi yang menarik.
- Pembentukan ruangan “Haiku dan Tanka” (puisi tradisional Jepun) merupakan usaha mendedah dan mendidik aktivis sastera Melayu kepada karya sastera Jepun yang popular, iaitu haiku, tanka, dan senyru. Di Facebook juga diwujudkan grup “Soneta dan Vilanel” (dua genre puisi tradisional Barat). Usaha ini akan dapat menimbulkan kemesraan budaya antara kaum.
- eSastera mewujudkan laman sampingan eSasterawan.com yang berbentuk weblog dapat dianggap sebagai satu tindakan pragmatik kerana kegiatan blogging pada masa itu amat popular dan berpotensi untuk menjadi satu lagi wadah menyemarakkan kegiatan sastera. Begitu juga dengan tindakannya menerbitkan e-majalah sastera-sms dapat dianggap sebagai tindakan yang “mendahului masa” dalam memerkasakan sastera berbahasa Melayu. Juga e-majalah sastera bulanan, Bulanan E-Sastera (BEST). Namun ketiga-tiga program tersebut sudah diberhentikan pada masa ini akibat cabaran perkembangan teknologi internet.
Kesimpulannya, dunia sastera berbahasa Melayu Malaysia telah bertapak kukuh di internet, terutamanya melalui e-majalah e-Sastera.com (kini eSastera2u.com). Mulai Februari 2015, eSastera membangunkan sebuah e-majalah di Facebook dengan nama E-Sastera@Facebook. E-majalah ini dibentuk oleh lebih 20 grup Facebook berasaskan genre sastera, dengan grup kawalannya dinamai “E-Sastera@Facaebook Induk”.
AKTIVIS E-SASTERA DI MALAYSIA
Tidak dapat dinafikan bahwa kejayaan Irwan Abu Bakar mebangunkan gerakan eSastera adalah atas sokongan pelbagai kelompok aktivis sastera di Malaysia, iaitu penulis mapan dan penulis muda. Ada kalangan golongan penulis mapan yang mempercayai potensi internet sebagai medan berkarya. Misalnya, penulis mapan Malaysia, Allahyarham Arisel B.A. telah bergiat di portal dan di majlis luar talian eSastera sejak awala penubuhannya. Arisel, pada masa itu, telahpun aktif berkarya di portal sastera Indonesia yang popular, iaitu cybersastra.net (kini sudah ditutup).
Seorang lagi sasterawan ternama Malaysia yang sempat mengaktifkan diri di medan karya eSastera ialah Kemala, kini bergelar Sasterawan Negara (SN). SN Kemala megikuti perkembangan gerakan eSastera hingga kini. Malah semasa beliau menubuhkan gerakan sastera serantau yang dinamai Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (Numera), Kemala telah meminta Irwan Abu Bakar untuk menjadi Timbalan Presiden persatuan baharu itu.
E-Sastera juga mendapat dokongan aktivis muda. Seorang yang terlibat secara langsung dengan perkembangan eSastera ialah Mohd. Dahri Zakaria (nama ringkas di eSastera ialah Dahrie). Beliau ke sana sini membantu Irwan untuk melaksanakan aktiviti eSastera pada masa beliau mahasiswa Universiti Malaya. Dahrie pernah mengeluarkan kenyataan bahawa gerakan e-sastera telah dapat maju dan bertahan di Malaysia kerana dipelopori Irwan Abu Bakar. Tambahnya, kalau orang lain yang melakukannya, hal ini tidak mungkin akan berlaku.
Aktivis dalam E-SASTERA tidak terhad kepada penuls di Malaysia, malah disertai penulis dari luar Malaysia, sama ada rakyat Malaysia yang berada di luar negara mahupun dari kalangan rakyat negara luar.
Kini para aktivis berkumpul untuk berinteraksi di grup WhatsApp “E-SASTERA”.
KEGIATAN LUAR TALIAN: PENERBITAN
Portal Awam. Aktiviti utama gerakan eSastera adalah menyediakan portal sebagai wadah penyiaran karya yang terbuka kepada khalayak secara bebas. Pada hari ini, eSastera menyediakan medan penerbitan e-karya umum yang berikut:
- portal eSastera2u.com (menggantikan eSastera.com)
- portal TVeSastera.com
- portal eSastera.Karya (yang dapat dikongsi ke Facebook)
- e-majalah E-Sastera@Facebook.
Naskhah keras konvensional. Melalui syarikat Esastera Enterprise, eSastera telah menerbitkan majalah dan pelbagai buku cetakan konvensional. Misalnya, eSastera pernah menerbitkan majalah sastera cetakan keras yang dinamai eSastera.net dari Edisi 1 (Ogos, 2006) hingga Edisi 10 (Disember, 2010). Majalah ini kemudiannya digantikan oleh bookazine yang sempat diterbitkan dua isu setakat ini, iaitu eSastera Majalah (2012) dan eSastera Bookazine (2013). Dari segi buku pula, Esastera Enterprise telah menerbitkan banyak buku sastera dan nonsastera sejak 2002. Buku terkininya ialah buku sastera nonkreatif E-sastera: Teori & Aplikasi (2016. Edisi 2, 2017).
E-buku. Beberapa judul buku terbitan Esastera Enterprise dapat diperoleh dalam bentuk e-buku. Contohnya, buku Kursus Kepenyairan E-Sastera (2013) kini diedarkan dalam bentuk e-buku.
KEGIATAN LUAR TALIAN: SELAIN PENERBITAN
Dari semasa ke semasa, eSastera mengadakan majlis pertemuan sastera, kursus sastera, dan perakaman lagu puisi.
Kegiatan luar taliannya yang utama ialah penganjuran anugerah sastera yang dinamai Hadiah eSastera.com (ringkasnya HesCom). Anugerah ini dikeluarkan secara tahunan untuk karya sastera yang disiarkan di alam siber, khususnya yang disiarkan di portal eSastera. Anugerah ini telah diadakan sejak tahun 2013, dengan anugerah tertingginya dinamai anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS). Setakat ini, empat orang telah menerima anugerah ini, dengan anugerah terkini dimenangi oleh penyair mapam Puzi Hadi (2015).
2010: PENFORMALAN GERAKAN E-SASTERA DI MALAYSIA
Gerakan e-sastera didafarkan secara formal di Malaysia pada tahun 2010 melalui badan NGO yang diberi nama Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (ringkasnya E-SASTERA). Pendafaran adalah dengan badan kerajaan Registrar of Socities (ROS).
Mulai tarikh penubuhannya, kebanyakan aktiviti E-SASTERA tertumpu kepada mengadakan majlis pertemuan sastera di luar talian serta mengadakan kursus-kursus sastera termasuk penulisan dan persembahan pentas. Badan itu juga mengambil alih penganjuran dan penganugerahan HesCom. Pada amnya, E-SASTERA telah mengambil alih semua kegiatan gerakan badan tak formal eSastera walaupun kegiatan bisnes masih terus diserahkan kepada syarikat Esastera Enterprise.
2016: ESASTERA MELAMPAUI SEMPADAN NASIONAL
Gerakan sastera di alam maya nyata tidak mempunyai batas sempadan politik nasional. Portal-portal sastera berbahasa Melayu disertai para aktivis dari pelbagai negara yang menggunakan bahasa Melayu, terutamanya Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, dan Selatan Thailand. Hal ini telah membantu mewujudkan persahabatan sastera antara rakyat dari negara yang berlainan.
Pesahabatan dan kemesraan di alam maya dapat dimanfaatkan ke alam nyata. Hal ini dilakukan oleh E-SASTERA secara inovatif.
Pada tahun 2016, E-SASTERA telah mengambil inisiatif untuk menggabungkan dirinya dengan sebuah badan (komunitas) sastera dari setiap empat negara Asean lain untuk membentuk badan gerakan sastera Melayu pada peringkat rantau Asean yang dinamai Gabungan Komunitas Sastra Asean (ringkasnya GAKSA). Empat negara yang berkenaan ialah Indonesia, Singapura, Brunei Darus Salam, dan Thailand. Kepemimpinan GAKSA diketuai oleh Irwan Abu Bakar sebagai Ketua Penyelaras serta . masing-masing seorang wakil dari setiap negara sebagai Penyelaras Nasional. Sekretariat GAKSA dikendalikan dari Kuala Lumpur oleh E-SASTERA.
Selaras dengan penubuhan GAKSA, para Penyelaras GAKSA yang berminat telah bergabung tenaga dan modal untuk membentuk syarikat perniagaan yang dinamai Gaksa Enterprise (GE). Syarikat itu didaftarkan di Indonesia dan diketuai oleh Muhammad Rois Rinaldi, Penyelaras Nasional GAKSA di Indonesia, sebagai CEO-nya. Maka GE menjadi cabang yang berdaftar secara formal bagi GAKSA. Hal ini menyalin model yang telah diamalkan oleh gerakan e-Sastera di Malaysia pada tahun 2002.
Mulai tahun 2017, GAKSA dikembangkan dengan menerima satu komunitas sastera tambahan dari setiap negara yang tersebut. Pada masa ini, GAKSA mempunyai lapan komunitas sebagai anggotanya dan dijangka meningkat menjadi 10 komunitas dalam masa terdekat.
Pada tahun 2017 juga, gerakan GAKSA perkukuhkan melalui pembangunan pusat fizikal yang dinamai Rumah Sastra Asean (RSA) di Banten, Indonesia. RSA diurus oleh komunitas Lentera Sastra Indonesia (anggota founder GAKSA di Indonesia) dengan kerjasama syarikat Gaksa Enterprise.
GAKSA beroperasi di alam maya melalui grup Facebook “GAKSA – Gabungan Komunitas Sastra Asean”. Ia juga menyediakan medan berkarya di situ melalui grup “Gaksa – Karya Asean”. Di samping itu, GAKSA juga menyediakan e-akhbar tak berkala melalui grup “Berita Sastra Asean” dan grup khas tambahan tentang kegiatan RSA yang dinamai “Gaksa – Rumah Sastra Asean”.
Pada tahun 2016, GAKSA telah mula mengaktifkan dirinya dengan menerbitkan antologi puisi 1000 Detik Perasaan yang memuatkan sajak-sajak garapan penyair lima negara anggotanya. Ia juga mengeluarkan anugerah E-Sasterawan Asean (Asean E-Writer) yang disampaikan di Banten, Indonesai. Pada tahun 2017, GAKSA menerbitkan tiga volum antologi puisi: Sekoia, Hompimpah, dan Kasmaran.
2016: PENGGLOBALAN KOMUNITAS E-SASTERA
Pada tahun 2016 juga, GAKSA telah mengambil inisiatif untuk bergabung dengan portal Poesysite.com dari Amerika Syarikat dan membentuk badan sastera peringkat internasional yang dinamai World Association of Literary Communities (atau WALC). Poesysite.com diketuai oleh penulis Amerka, George Manos dari Washington D.C. WALC menyediakan medan interaksi dan berkarya di Facebook melalui grup “World Association of Literary Communities”.
Projek pertama WALC ialah penerbitan buku antologi pantun bahasa Inggeris (dinamai puntone) berjudul Timeless Love (Penyelenggara – George Manos).
PENUTUP
Sastera berbahasa Melayu di Malaysia telah kukuh bertapak di internet selama 15 tahun melalui portal awam e-Sastera.com, dari Februari 2002 hingga kini. Kemajuan yang dicapai adalah baik apabila dibandingkan dengan portal-portal sastera dari negera-negara maju sekalipun. Di samping itu, aktiviti sokongan di luar talian telah berjaya menyemarakkan lagi kegiatan bersastera di internet, terutamanya pemberian anugerah untuk karya yang disiarkan di internet serta penerbitan karya cetakan keras dan penerbitan album lagu puisi.
Telah terbit di:
Malay-Indonesian Studies. Issue XX. In Commemoration of the 50th Anniversary of the Malay-Indonesian Readings. Editors Victor A. Pogadaev, Vilen V. Sikorsky. Moscow: Persatuan Nusantara, 2018, p.237-246.
TAMAT.