
BUKAN MUDAH untuk merempuh dan melanda sehingga patah kaki budak betina garit itu. Setakat bersembang di tangga dan di serambi masjid bolehlah, bunyinya amat mudah. Boleh kalah bunyi guruh.
Segala macam perkara mesti diambil kira: latar tanah yang penuh dengan akar timbul bersimpang-siur; waktunya—malam buta; kemungkinan budak itu bersenjata. Banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum bertindak. Namun itulah yang pernah difikirkan oleh kami, kaki masjid. Jika dibiarkan dia berleluasa di kariah kami, di kampung kami, perkara yang lebih buruk pasti berlaku. Satu hari mungkin dia akan membunuh orang pula, atau membakar kampung kami. Macam-macam boleh berlaku
Apapun, kami sudah nekad. Belon mesti dihapuskan. Tidak, bukan hendak dibunuhnya ia, tetapi setakat biar patah kedua belah kaki dan tak upaya bangkit selama lamanya. Tetapi itu sekadar rasa dan nekad sewaktu kami berbicara dengan emosi yang tinggi di tangga masjid semalam. Mengikut rancangan hebat kami itu, mahu kami langgar si Belon itu dengan motosikal ketika dia sedang membuat angkara. Ah, bagaimana pula pelaksanaannya? Ke arah tindakan itu siapapun tidak berani beri komitmen. Semua takut. Kecut.
Akhirnya, kataku, “Serahkan kepada akulah. Aku tahu apa nak buat.” Ya, akulah, Pak Sajan, siapa lagi.
Sekembali ke rumah selepas solat Isya, semasa berborak dengan isteri, di meja makan, isteriku bertanya, “Macam mana, Belon tu. Dah putuskah?” Aku tidak menjawab secara langsung, sekadar mencemek bibir dan mengangkat bahu.
Isteriku terlibat secara langsung. Kerap kali bila ternampak isteriku dia akan mengumam memaki. Dia pernah diancam oleh Belon dengan pisau lipat kerana enggan memenuhi permintaannya.
Nama sebenarnya ialah Nurul. Orang gelar dia Belon kerana dari kecil dia adalah seorang budak yang gemuk montel. Tetapi kini kurus kering. Namun gelarannya kekal Belon. Dia bukan budak lagi, malah sudah emak budak, tetapi masih nampak macam budak. Sejak ayahnya meninggal 18 tahun dahulu, dia terlibat dengan dadah. Beberapa kali masuk keluar pusat dadah dan lokap. Dua orang anaknya, yang entah siapa bapaknya, mujur dipelihara oleh keluarga abangnya. Kerjanya hampir setiap hari keluar rumah minta duit di sana sini. Semua rumah yang kelihatan sedikit berada akan diketuk pintu. Akhirnya dia sudah tahu penghuni rumah mana yang akan menghulur seringgit dua.
Sejak akhir ini, kerenahnya semakin mengancam dan helahnya semakin menakutkan. Adakala dia bersenjatakan sebilah pisau. Kerap merayau di waktu malam sekitar kampung. Siapa yang enggan menghulur seringgit dua akan diancam. Motosikal kerap disambarnya.
Rumahku menjadi tempat singgahnya yang wajib, kerana aku kerap beri dua atau tiga ringgit setiap kali dia mengetuk pintu. Apabila dia mengancam isteriku dengan pisau lipat aku bertindak melaporkan ke Balai Polis. Namun tiada tindakan. Pihak Polis sudah jemu menahan dia beberapa kali. Begitu juga apabila aku lapor kepada AADK meminta mereka mengambil saja dan letak di pusat pemulihan secara kekal, mereka memandang sepi. Bagi mereka kes Nurul adalah kes biasa dan mereka sudah mangli. Sudah berapa kali entah laporan yang dibuat oleh pihak JKKK. Setakat penampar dan sepak terajang ke atasnya oleh orang kampung, sedikitpun tidak menggerunkannya.
Nurul terus bebas. Wajahnya dan gelagatnya berkawad keseluruh kampung sudah menjadi sebahagian hidup kami. Hampir setiap kali selepas ada sedikit ongkos hasil dari minta sedekah dia akan berjalan atau menaiki bas ke arah Pekan Pokok Sena untuk mendapat bekalan metadon. Semua orang tahu, termasuk semua agensi penguatkuasa berkaitan. Hairan juga, tidak ada siapa yang mahu serius bertindak.
Jadi kamilah. Orang kuat masjid, kaki masjid. Ah, akhirnya akulah. Akulah, polis pencen, Pak Sajan, yang akan menggengam undang-undang dalam tanganku sendiri. Esok, Insya Allah, esok. Dan malam itu aku merencana, sambil isteriku mengurut belikat, lutut dan kakiku yang sudah tidak kuat. Aku tahu besok hari Isnin biasanya Belon akan mengetuk pintu sekitar 7:30 pagi. Aku tahu apa nak buat.
Sesungguhnya begitulah. Sekitar jam 7:25 pagi Belon menekan loceng sambil memberi salam. Seperti biasa aku menjawab salam dan keluar membuka pintu pagar.
“Macam mana, bagi duit macam biasa sajakah?” Isteriku membentak ketika aku masuk semula untuk menghabiskan sarapanku.
“Ah, biarkan.” Kataku sambil memolok roti kirai bercicah kari ayam.
Tiba-tiba riuh-rendah kedengaran di hadapan rumahku.
Kelihatan beberapa orang berkerumun di hadapan pintu pagar. Setelah aku keluar, jelas Belon mati terkangkang di hadapan pintu pagar rumahku.
“Pak Sajan bunuh Belon.” Kata seseorang.
“Pak Sajan bunuh Belon.” Sambut yang lain.
Dalam kereta peronda Polis, dengan tanganku bergari, diapit dua orang anggota, aku hanya menggeleng-geleng kepala. Selepas lebih kurang lima minit di dalam lokap aku dibebaskan.
Setelah aku dihantar pulang ke rumah dengan kereta peronda Polis, kelihatan ramai sanak saudara dan kaki masjid berkumpul di rumahku. Mereka terpinga-pinga melihat gelagatku yang mengangkat jari tanda peace sambil tersenyum keremot.
“Pak Sajan bunuh Belon !” masih terdengar, entah soalan atau seruan. Isteriku menerpa memelukku. Yang lain menunggu untuk mengucap tahniah atau menyatakan simpati terhadapku. Aku hanya berdiam. Ada yang cuba bertanya hal, aku membiarkan.
Hanya beberapa hari selepas itu baru orang tahu. Baru terburai cerita sebenar yang aku dah pun tahu: Pak Din Soya, salah seorang kaki masjid yang merancang bersama untuk bertindak ke atas Belon, disorong masuk ke dalam lokap menggantikan aku pada pagi bersejarah itu. Dia datang sendiri ke Balai dan membuat pengakuan bahawa dia yang membantai kepala Belon dengan semambu, hingga jatuh mati terkangkang di hadapan rumahku. Mengapa? Sebab pagi itu kali ketiga Belon meragut bungkus nasi lemak dari cucunya yang sedang berjalan menuju ke sekolah.
“Pak Sajan bunuh Belon!” masih aku dengar lagi. Itu kata seruan.
Oleh:

Ahkarim, As-syajarah, Bukit Tampoi.
Ramadan 1440(Mei 2019).
TAMAT.