
Karya: Roslie Sidik

Seandainya, setiap detik aku memikirkan akan dituruti dengan tetesan hujan dari langit, maka akan tenggelamlah taman ini kerana sememangnya sebanyak itu aku memikirkanmu dalam sehari.
Hampir semalaman Siputeri telah menyembunyikan dirinya di dalam cangkerangnya tanpa mengendahkan pujuk rayu kekasihnya, Siputra. Hati Siputri benar-benar telah tergores.
Siputra merayau-rayau untuk mencari sehelai daun yang segar. Dia mula menggosokkan daun tersebut pada lidahnya. Lidah Siputra bertindak seperti pemarut. Daun itu dikikis menjadi kepingan-kepingan kecil.
“Ayuhlah, Putri. Keluar dari cangkerangmu. Kamu tentu lapar, ini ada makanan kegemaranmu telah kusediakan,” rayu Siputra.
Rayuan Siputra terdenganr jelas di sebalik selaput lendir yang menutupi mulut cengkerangnya. Hati Siputri terus menjadi lembut. Seharian dia telah merajuk dan membiarkan perutnya kosong. Yang dinikmati hanyalah udara dingin yang menyelinap masuk menerusi liang di cangkerangnya. Dengan perlahan, Siputri akhirnya mengeluarkan kepalanya diikuti dengan sesungutnya. Mata mereka bertemu. Siputra menyaksikannya menikmati daun-daun itu.
Sebagai anak watan di Taman Pura, mereka telah dilahirkan dan dibesarkan di situ. Taman itu seneteiasa teduh kerana dilindungi oleh pohon-pohon rendang. Taman itu juga tempat perlindungan yang terbaik untuk warga Pura.
Taman Pura juga memberikan rezeki yang secukupnya. Daun-daun segar yang tumbuh di tepi jalan, rumput-rumput yang menghijau, dan lumut yang tumbuh menempel di atas batu dapat dinikmati sepenuhnya.


Taman Pura sebenarnya jauh daripada mengecapi kesempurnaan. Kawasannya terlalu kecil. Di seberang, wujud sebuah taman yang indah dan lebih luas. Kawasan itu dkenali dengan nama Taman Rimau. Sempadan yang membatasi kedua-dua kawaswan itu terjallin hanya sebatang titi yang usang. Dahulu, warga Pura bebas menyeberangi ke Taman Rimau. Namun gegaran bumi yang dahsyat telah meretakkan tanah dan memisahkan dua kawasan tersebut. Titi itu menjadi satu-satunya jalan yang menghubungi dua kawasan itu.
Warga Pura memang tidak berani bermimpi ke sana kerana mereka terpaksa melintasi titi yang merbahaya. Mereka juga sedar pergerakan mereka sangat perlahan.
“Aku memang telah lama mengenalimu, Putra. Sememangnya kamu tidak mampu berbohong denganku. Setelah mahaguru menitipkan ijazah sebagai tanda tamat pengajianku bersamanya, aku merasakan kamu tiba-tiba berubah. Tidakkah kamu gembira dengan kejayaanku?”
Pastinya aku gembira. Kamu sekadar mengenaliku tetapi belum lagi memahamiku sepenuhnya,” ujar Siputra dengan keluhan yang sukar disembunyikan.
Siputra bergerak dengan kakinya yang panjang dan leper. Bahagian belakang kakinya dikuncup dan bahagian hadapannya diregang. Siputra bergerak ke hadapan perlahan-lahan.

“Pengajianku tidak sehebatmu. Aku mungkin tidak layak menjadi pasanganmu. Sang Raja juga memutuskan demikian,” tambah Siputra dengan nada tersekat-sekat.
Cuaca agak panas ketika itu. Walaupun pancaran mentari dilindungi oleh pokok-pokok yang tumbuh di taman itu, bahang panasnya masih terasa. Siputri menolak Siputra agar mereka dapat bersembunyi di celah-celah batu yang dapat memberikan udara yang agak lembap. Siputri ingin memastikan agar badan mereka sentiasa lembap. Jika badan mereka kering, mereka akan mati.
“Pinggirkanlah pemikiranmu yang terlalu kuno, Putra. Ubahlah pemikiran kamu juga,” kini giliran Siputri pula meluahkan rasa kesal.
“Tetapi sebagai pasanganmu, aku sepatutnya lebih tangkas mencari rezeki buat dirimu. Aku juga sepatutnya yang lebih tangkas untuk melindungi dirimu dari bencana bahaya apa pun. Tetapi dalam banyak hal Putri, kini kamu lebih tangkas daripadaku. Aku malu, Putri.”
Tetesan air mata mula kelihatan di hujung sesungutnya. Dari sinar matanya, Siputra tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan sedihnya. Siputri masih belum mahu mengalah.
Siputra menundukkan kepalanya dan mula menggeliatkan tubuhnya yang lembut dan berlendir itu. Memang sukar untuk mmenolak dakwaan Sang Raja. Siputra sendiri sedar betapa keluarga Siputri sebenarnya terdiri daripada golongan mereka yang berilmu tinggi. Bahkan warga Pura sangat segan dengan ayah Siputri. Siputra tidak pernah berasa iri hati dengan anugerah Tuhan yang dikurniakan ke atas Siputri dan keluarganya.
Siputra juga sedar Sang Raja bukan Tuhan. Sang Raja juga makhluk kerdil seperti dirinya dan sekadar hanya mampu merancang. Makhluk sepertinya tidak dapat menentukan segala-galanya.
Di saat itu jugalah, Siputra meyakini bahawa Siputri adalah pasangan yang dicarinya selama ini. Siputra merenung sinar cahaya mata Siputri. Kemudian diiringi dengan ucapan bismillah, Siputra memanah sejenis jarum kecil ke dalam badan pasangannya. Kini giliran Siputri pula memanah jarum kecilnya ke dalam tubuh pasangannya. Mereka saling bertukar jarum di petang yang dingin itu.
Beberapa minggu kemudiannya, Siputra dan Siputri telah bertelur. Mereka telah selamat bertelur di dalam lubang. Kemudian mereka menutup telur-telurnya dengan tanah sebelum meninggalkan tempat itu. Telur-telurnya akan berkembang tidak lama lagi. Di dalam setiap butir telur, akan lahir generasi warga Pura yang akan meneruskan kehidupan dan perjuangan mereka.
“Putri, demi masa depan anak-anak kita, aku mahu ke sana. Taman itu menjanjikan rezeki yang melimpah untuk anak-anak kita,” ujar Siputra dengan nada yang bersunguh-sungguh.
“Demi anak-anak kita juga, aku tidak akan melarangmu. Tetapi aku berharap kamu akan pergi dengan persiapan yang rapi. Sukar untuk menempuh titi yang merbahaya itu,” balas Siputri dengan penuh keyakinan.
Siputra dan Siputri, selama beberapa hari, telah saling bertukar buah fikiran untuk mengatasi cabaran merentasi titi itu. Siputra tidak akan mampu menyeberanginya disebabkan pergerakannya yang sememangnya perlahan. Cahaya mentari akan terasa panas macam api. Tetapi Siputri yakin masalah itu akan dapat diatasi dengan sedikit kebijaksanaan dan kesabaran. Siputri mengarahkan agar Siputra bergerak hanya selepas lewat malam untuk mengambil kesempatan udara yang dingin. Siputra juga diarah agar bergerak tanpa henti sebelum fajar menyingsing.
Keesokan malamnya, Siputra bersedia meninggalkan Siputri dan anak-anaknya. Siputra mula bergerak perlahan, matanya tertumpu ke arah tujuannya. Siputra melapisi bahagian bawah kakinya dengan lendir. Dengan lendir ini, Siputra meluncur ke hadapan. Lendir ini jugalah yang melindungi kakinya daripada batu-batu tajam di atas titi itu.
Perlahan demi perlahan, Siputra makin mendekati Taman Rimau. Penglihatannya agak kabur. Waktu fajar bakal tiba beberapa detik lagi. Dengan nafas yang tercungap-cungak, Siputra hampir sampai ke penghujung titi itu. Sebelum sinaran mentari pagi mula menyinari bumi, Siputra berjaya merentasi titi itu dengan selamat.
Siputra menundukkan kepalanya dan mencium rumput hijau yang tumbuh segar merata-rata di taman itu. Rezeki di taman itu melimpah-ruah dan terlalu mewah buaat dirinya. Anak-anaknya pasti pasti hidup dengan tenang dan mewah di sini. Siputra tidak dapat membayangkan kebahagiaan yang bakal dinikmatinya.

Siputra mendongak dan menatap langit biru, suatu pemandangan yang cukup indah dan mengingatkannya tentang kekuasan Sang Pencipta. Tiba-tiba seekor burung terbang rendah ke arahnya. Siputra dengan pantas masuk ke dalam cangkerangnya untuk bersembunyi dan menyelamatkan dirinya. Cangkerangnya yang keras bertindak memberikan perlindungan dari ancaman bahaya burung itu.
Burung gagak itu masih terus terbang rendah dan mengelilingi Siputra. Tanpa diduga, burung itu memecahkan cengkerang Siputra dengan seketul batu. Cengkerang Siputra hancur berderai dan memperlihatkan tubuhnya yang lembut dan berlendir itu. Kemudian, dengan rasa gopoh, burung gagak itu mematuk dan menelan Siputra.
Walaupun Siputra telah tewas dalam perjuangannya, Siputri sentiasa bergerak ke sana sini dan menceritakan kepada seluruh warga Pura mengenai impian dan keberanian Siputra. Sehingga kini Siputra dianggap sebagai legenda warga Pura.

PROFIL PENULIS
Roslie Sidik, seorang guru yang berkelulusan Sarjana Muda dalam Kesusasteraan Inggeris dan Bahasa Inggeris. Penerima Anugerah Tokoh Muda PENAMAS 2009 (Perguruan Melayu) dan pemenang Anugerah Golden Point SPH-NAC (2009 & 2011 (Cerpen). Buku-buku cerpen karyanya bertajuk Doaku, Mat Karipap, dan Bintang. Beliau juga telah mengikuti program penulisan di Korea Selatan sebagai penulis tamu di Pusat Kebudayaan Toji pada tahun 2015.
TAMAT.















TAMAT.