Oleh:
Ekhwan Rusli,
Bangi, Selangor.

Kain pelikat di ampaian berbuai, ke hadapan, ke belakang. Buainya laksana simfoni tarian alam, bersama rakan yang bersidaian. Begitulah jua nasib pohonan kelapa dan rimbunan menghijau. Desiran pantai yang dipukul ombak, tunduk akur pada deruan bayu deras dari arah Tenggara. Pasir-pasir putih menjadi penumpang yang setia. Di kejauhan, terlihat kawanan camar berterbangan keluar mencari rezeki, berpandukan mentari jingga yang mula menyinari ufuk Timur, meski terhijab di balik perarakan awan.

Seluruh alam mula memanas, tanda tamatnya waktu rehat sang makhluk yang bakal berhempas pulas memeras keringat mencari makna kehidupan. Masih sunyi. Hening. Belum ada hingar-bingar suara sang pelancong, dan begitu pula suara penerangan dari corong-corong pembesar, baik dari pemandu yang bertauliah, mahupun sebaliknya.

Sayup-sayup kedengaran suara pak tua. Dilantunkannya kalimah dari Yang Maha Agung, dengan patuh diikut aturannya. Penuh tartil dan kelunakan. Bebola matanya teliti melihat setiap titik, kelok dan tegak huruf-huruf yang membentuk kalimah bait-bait ayat cinta sang kekasih. Gigi yang putih hasil siwak dan lidahnya berpadu bersama hati, mengantisipasi hukum tajwid yang seterusnya. Dihadirkan hak buat setiap huruf yang terkeluar dari makhrajnya, baik hak yang sedia ada mahu pun yang mendatang. Tetap duduknya di atas sebuah hamparan keemasan berposisi 300 darjah dari Utara Magnetik, talian penyambung ikatan setia ke sebuah kota, biarpun 7260 kilometer daratan dan samudera memisahkan mereka. Meskipun jasadnya di sini, hatinya sentiasa menetap di sana. Itulah sebenarnya ikatan cinta.

Sang tua berdehem, mengusap janggutnya. Mukanya jernih bercahaya, tenang. Walau lenanya sering terganggu dek usia yang lanjut, dia nekad ingin menghanturkan diri. Ingin diserahkan seluruh cinta pada Sang Maha Pencipta, biar hingga dirinya tiada. Meski lekuk lantai tempatnya bersujud, ia masih tidak memadai. Siapa yang tidak mahu berbisik ke Bumi, bergema di langit tinggi?

Deheman itu membuatkan tetamunya terjaga, walaupun bukan itu hajatnya. Maklumlah Aaron (nama glamour si Haron) bukannya tidak bersolat Subuh bersama-sama dengannya dinihari tadi.

Perlahan Aaron membuka mata. Ah, hari ini, dia bakal menyertai gotong-royong pertamanya di sini. Pengalaman baharu yang bakal dikongsinya kelak dalam ruangan musafir akhbar Malaysia. Menarik!

* * *

“Cocos Keeling Island? Australia?” Itulah soalan pertama Aaron ketika diberikan tugasan oleh si editor. Meski dia sudah beberapa hari di sini di rumah Pak Bakti yang menghadap Lautan Hindi, Aaron masih mengingati perjalanan yang perlu ditempuhinya. Dari KLIA, dinaikinya pesawat ke Perth, sebelum dinaiki pula burung besi comel yang berhinggap seketika di Christmas Island sebelum ke sini.

Aaron kini di Pulau Selma, turut dikenali sebagai Home Island. Pulau berkeluasan 0.93 kilometer persegi yang dihuni sekitar 550 orang ini adalah salah satu dari rangkaian pulau-pulau yang membentuk gugusan kepulauan. Selebihnya, West Island, Direction Island, South Island, Pulu Ampang (Pulau Ampang), Pulu Blekok, Pulu Pandan dan pelbagai pulau-pulau kecil. Menurut bacaannya, kepulauan ini menjadi hentian berteduh nelayan Nusantara, prapenemuan oleh Kapten William Keeling. Kemudiannya, ia seakan terabai selama dua abad, sebelum dipetakan James Horsburgh, dihijaukan Kapten John Clunie-Ross, dan dmajukan Alexander Hare. Ia pernah ditadbir bersama Negeri-negeri Selat, dan ditadbir seketika oleh Singapura, walaupun akhirnya menjadi milik rasmi Australia.

Aaron ditugaskan untuk menulis perihal penduduk Pulau Selma. Khabarnya, kebanyakan penghuninya berdarah Melayu, beragama Islam, sedangkan West Island pula rata-rata dihuni masyarakat berkulit putih. Selain itu, apa yang menarik perhatian editornya ialah sikap bekerjasama dan tatasusila masyarakat Melayu Islam yang masih menebal.

“Kau bayangkanlah Ron, mereka ini menetap di tengah-tengah lautan, di bawah pentadbiran orang putih, 1086 kilometer dari Nusantara, namun jati diri mereka masih kukuh. Masih Melayu, masih Islam. Ceritakanlah! Barangkali, ini tonik penyedaran yang diperlukan Melayu urban di negara kita!” Masih terngiang-ngiang ucapan bersemangat Pak Rahman si editor di cuping telinga.

Maka arakianlah permulaan musafirnya Aaron, menjejak kehidupan bangsa Melayu Cocos. Walaupun ada dalam kalangan mereka kini menetap di Balung Cocos di Tawau, Pamol di Sandakan, mahupun di Batu 6, Jalan Segama, Lahad Datu, manakan sama kisahnya dengan mereka yang menetap di sini. Apa yang menjadi penemannya kini hanyalah Pak Bakti, akhbar komuniti The Atoll terbitan The Cocos (Keeling) Islands Community, dan sebuah novel bertajuk Hanyut garapan Husin Walker al-Rumi.

* * *

Setibanya Aaron bersama Pak Bakti di kawasan lapang bersebelahan simpang tiga Jalan Kipas-Jalan Bunga Kangkong, terlihatlah wajah teruja pada penghuni barisan khemah-khemah putih. Maklumlah, Pak Bakti ini bukan sahaja ahli badan pengurusan Pulu Keeling National Park yang terletak 25 kilometer di utara Pulau Horsburgh, dia juga antara tonggak utama masyarakat, selain Pak Sufi dan Haji Jeddah.

Belum sempat enjin motor dimatikan, Pak Bakti sudahpun memulakan tugasnya dengan menghulurkan kertas-kertas yang tadinya menghuni bakul tunggangan. Hulurannya disambut dengan mesra, sambil beberapa anak muda mengucapkan salam, dan ada pula yang mengucup tangannya. Terkial-kiallah Aaron untuk menongkatkan motor sambil tersengih kera mengawal rasa bangga tiba bersama insan terpenting pulau!

Seusai dimatikan enjin, wartawan itu mencapai kameranya sambil mendongak mencari-cari kelibat pak tua. Ah, di sana rupanya, lengkaplah tiga sekawan berbicara.

“Klik, klik, klik”… Beberapa gambar ditangkapnya segera. Momen semula jadi begini begitu indah buatnya yang sudah lama menghuni hutan batu tidak bernyawa.

* * *

“Eh, mana kontraktor?” soal Aaron sambil matanya melilau, mencari suasana (dan insan) fotogenik untuk dirakam.

“Di sana,” jawab pak tua, sambil jarinya menuding ke arah barisan khemah. Aaron sedikit keliru. Apa yang kelihatan hanyalah pakcik-pakcik tua, makcik-makcik bertudung dan sekelompok anak muda. Di tepi mereka terlihat pula longgokan beg-beg simen, pasir, dan barang-barang lain yang dia sendiri kurang pasti nama dan peranannya.

“Mana… mana kontraktor?” soalnya sekali lagi. Jelas Pak Bakti, mereka itulah kontraktor. Aaron membantah mana mungkin. Katanya, kebanyakan yang hadir adalah mereka yang uzur, wanita-wanita tua, dan anak-anak yang masih kecil.

Pak Bakti tersenyum. “Ron, tunggu dan lihat, tunggu dan lihat.”

* * *

Helaian kertas berpindah tangan sambil pemegangnya mengangguk beberapa kali. Penyuraian anak-anak muda itu disusuli pula permulaan pelaksanaan tugas yang berbeza oleh kelompok yang pelbagai. Golongan remaja mengangkat barang-barang dari longgokan ke tempat berbeza. Makcik-makcik dan anak-anak gadis pula sibuk membancuh air dan menyediakan makanan ringan. Rona air pun berubah, jernih menjadi kemerahan, sebelum ketulan-ketulan ais memercikkan isinya.

Di suatu sudut yang lain, kelihatan pakcik-pakcik tua berperanan sebagai penasihat. Tunjuk ajar dan nasihat diberi kepada anak-anak muda yang sedang bekerja. Bahkan, anak-anak kecil pun sama membantu. Kereta sorong serta baldi-baldi kecil berisi kain tuala dan perkakas ringan dibawa ke hulu ke hilir si cilik. Gelagat ‘angkatan posmen kecil’ menceriakan suasana. Tangan Aaron tangkas merakam beberapa gambar buat masa hadapan.

Lambaian diberi menandakan kehadiran Pak Bakti diperlukan. Setibanya mereka berdua di sisi pemanggil, Aaron terlihat batang-batang besi keras yang berbunga tersusun rapi di atas meja. Susunan yang bersilang dan berselang-seli atas bawahnya, bagai membentuk ketupat.

High Yield Deformed Bar, diameter 10 mm, Gred 500 menurut Malaysian Standard MS 146:2006″. Aaron membelek label tag. Dia tersenyum sendiri, bangga melihat produk negaranya sampai ke mari. Maklumlah, antara bandar tanah besar Australia yang terhampir ialah Perth, itu pun 2932 kilometer jaraknya! Maka tidaklah pelik barang-barang binaan dibawa dari Asia Tenggara.

“Ya, Ron. Batang-batang besi ini bergelar reinforcing bar, ringkasnya rebar. Sesuai benar digunakan sebagai tetulang kepingan konkrit,” tutur pak tua.

Aaron mengangguk perlahan. Setahunya, semua kepingan konkrit ini bakal menggantikan laluan lama ke masjid buat pejalan kaki dan penunggang motor. Laluan sedia ada untuk salah satu daripada tiga masjid di sini, kayunya sudah semakin mereput dan rapuh.

Pak tua menoleh ke kirinya dan meminta seorang pemuda menghulurkan ‘ngau’ kepadanya. Namanya yang pelik membuatkan hati Aaron semakin tertarik. Sekali pandang, rupanya seperti pengait, bezanya cuma ia boleh diputar-putar.

“Ron, ini nama sebenarnya, reinforcing bar tying-up hook. Ia alat pengikat dawai di tempat persilangan besi-besi rebar. Ada dua cara ikatan: silang lapan, dan pelana kuda. Cubalah!” ucap pak tua.

Ngau yang dihulur disambut bersemangat. Meski terkial-kial, Aaron gigih mencuba.

* * *

Mereka seterusnya melangkah pula ke tempat pembancuhan konkrit. Simen perlu dibancuh bersama pasir dan batu kerikil. Anak-anak muda tersengih bangga melihat timbunan pasir yang telah disodok keluar dan ditapis jaring, mengasingkan ketulan besar dan kayu. Persis ketua tukang masak, Pak Bakti memeriksa adunan, memastikannya sempurna. Sesekali kedengaran teguran darinya perihal sukatan air dan bahan kimia yang digaul bersama.

“Jangan lupa formula asas 1:2:3!” Suaranya ditinggikan buat mengatasi kebingitan mesin pembancuh simen. Bagi setiap kilogram simen, dua kilogram pasir dan tiga kilogram batu kerikil akan diperlukan. Seterusnya, setengah liter air dan sedikit admixture seperti polycarboxylate ether turut digaul bersama. Keseimbangan itu perlu. Jika terlalu banyak air, konkrit itu akhirnya tidak akan cukup kuat, namun jika sebaliknya, kebolehkerjaannya menjadi rendah.

“Lihat, setiap insan ada peranannya sendiri. Bekerjasama bukan bererti setiap orang perlu melakukan  kerja yang sama,” tutur pak tua. Aaron mengangguk setuju.

“Setiap insan punyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun, jika bersatu-padu dan bijak diuruskan sebagai sebuah pasukan, imbangan yang sempurna bakal tercipta, insya-Allah,” tambahnya.

Aaron mulai faham. Jelas, semua sudah mula melaksanakan tugasan tersendiri. Merekalah kontraktor.

* * *

Pak Bakti mengelap peluh di dahi. Tuala-tuala yang bersangkutan di bahu penduduk pulau rata-rata semakin basah mengumpul titisan peluh.

“Memang selalu begini? Kenapa tak upah sahaja orang?” soal Aaron.

Balas pak tua, seingatnya, memang beginilah caranya. Sambungnya lagi, membina sesuatu secara gotong-royong akan membantu membina ikatan yang lebih konkrit dan mesra. Lagipun, di gugusan yang jauh di tengah-tengah Lautan Hindi, buruh-buruh dari mana yang ingin digajikan? Aaron terdiam kagum. Cuba dibayangkannya berapa kalikah mereka telah bekerjasama demi membina dan membaiki semua bangunan di pulau ini.

“Ron, konkrit ini misalan hubungan sesama manusia. Meski setiap kita ada sifat kelembutan dan kekerasan yang berbeza, sekiranya kita digaul rapi, insya-Allah kita akan dapat bersama,” tutur Pak Bakti, penuh falsafah.

Sambungnya lagi, “Seperti jua konkrit, perpaduan haruslah mengikut acuan yang betul, bersendikan tulang-tulang asas yang kukuh melurus dan saling terkait rapat. Namun, keutuhan itu harus dijaga. Ia mampu musnah jika sesekali dihentam sesuatu yang teramat keras, begitu juga jika berterusan diuji titisan-titisan kecil yang berulang.”

“Maksud Pak Bakti, macam air menitis melekukkan batu?” teka Aaron. Pak tua mengangguk dan tersenyum. Tangannya menggapai botol berisi air kosong buat menghilangkan haus.

Terdiam Aaron dibuatnya. Dia berfikir, memanglah wajar Pak Bakti dihormati. Insan senior yang tinggi ilmunya. Namun kadangkala, bicaranya bermadah. Si pendengar harus berilmu untuk memahaminya. Benarlah kata orang dulu-dulu, jika mencari ilmu, perlu juga menggunakan ilmu.

* * *

Perbualan santai diteruskan hadirin sambil menunggu azan Zohor. Aaron yang sedang khayal dibuai nikmat sirap merah sejuk yang menyaluti tekak, laksana direntap ke bumi dek deheman seseorang.

Pantas dia berpaling. Oh, Hajah Madinah rupanya.

Isteri Haji Jeddah mengambil tempat duduk di ruang kosong berhampiran. Aaron sedikit kekok kerana dia tidak pernah berbual dengan wanita ini. Namun kejanggalan kelak luput dan kabur. Pesona wanita sudah berumur ini lain sifatnya, menenangkan.

“Aaron, tadi kamu ada bertanya pasal mampukah wanita menyumbang, bukan?”

Soalannya membuatkan Aaron tertunduk malu. Bukan, Aaron bukanlah jantan bersifat misogini, cuma terbetik sedikit keraguan kemampuan gadis-gadis ayu kepulauan untuk menjadi kontraktor.

“Aaron, meskipun kaum Hawa ini lemah fizikalnya, namun kami juga boleh pergi jauh. Istimewanya wanita bukanlah hanya dibungkus menjadi penyeri suasana,” tuturnya ringkas, awalan hujah. Menurutnya, janganlah dilupakan Fatimah al-Fihri, pengasas Universiti al-Qarawiyyin di Afrika Utara, antara universiti tertua dunia seawal kurun ke-9. Begitu juga jasa wanita-wanita penaung kemajuan seperti Dhayfa Khatun dan Zubayda Abu Ja’far. Bagaimana pula kehebatan Nusaybah di Perang Uhud, Noor Inayat Khan perisik hebat Special Operations Executive, atau kebijaksanaan Sutayta al-Mahmali? Nah, meski kurang kudratnya, kelebihan di sisi lain tetap ada.

“Ah, jika inginkan idola berkulit sawo matang dan genetiknya menghampiri kita, kaji sahaja kepimpinan Ratu Hijau dari Patani, Malahayati serta tenteranya Inong Balee, atau Cik Siti Wan Kembang, kan?”

Bicaranya membuat Aaron hanya mampu mengangguk, sambil tangannya mencoretkan segala. Telah Aaron, diam-diam ubi berisi juga isteri imam ini! Perkongsiannya penuh ilmu. Barangkali, harus dititipkan ilmu yang dikongsikan ini kelak ke dalam artikelnya. Jika tidak, segala yang tertulis hanyalah persis menjual tangkai cangkul sekah.

* * *

Aaron tersenyum. Benarlah kata-kata editornya dahulu, perjalanannya yang ini berlainan dari yang biasa. Selain gambar kitesurfing dan lagun yang jernih, serta coretan kisah-kisah seperti makanan bernama siput gong-gong, ikatan kejiranan Melayu Cocos memang istimewa! Meski persinggahannya hanya seketika, hatinya laksana sudah terikat ke sana.

Siapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menyambungkan silaturrahim

(terjemahan Sahih al-Bukhari 5985)

TAMAT.

BIODATA PENULIS

Nama pena: Ekhwan Rusli
Nama penuh: Mohd Amirul Ekhwan bin Rusli
Umur: 36 tahun
Tarikh lahir: 21 Disember 1982.
Alamat emel: maerwan@gmail.com

Kerjaya: Jurutera proses (pernah berada di industri rawatan air, petrokimia, dan kini di industri pembuatan konkrit untuk sektor keretapi)
Latar belakang pendidikan: Adelaide University, Australia (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia); Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Air Keroh.
Latar belakang penulisan: Cerpen “Wak Goji”, tersiar dalam ruangan Sanggar Sastera (hlmn. 49 &50), Berita Harian, Ahad, 22 Julai 2018; “Sri Bercakap dengan Jeanne”, tersiar dalam ruangan M2 Seni & Budaya (hlmn. 26 & 27), Mingguan Malaysia, Ahad, 23 September 2018; “Kutip” tersiar dalam ruangan S2 Cerpen & Puisi (hlmn. 34 & 35), Utusan Malaysia, Sabtu, 17 November 2018; “Tuntutlah ilmu biar sampai ke…” tersiar dalam ruangan M2 Seni & Budaya (hlmn. 26 & 27), Mingguan Malaysia, Ahad, 16 Disember 2018; “Sekolah di Persimpangan” tersiar dalam ruangan S2 Cerpen & Puisi (hlmn. 30 & 31), Utusan Malaysia, Sabtu, 6 April 2019.

TAMAT.