Dialah yang satu,
Tiada panggilan semulia selayaknya,
Ummie, Mommy, Emak, Ibu, Bonda,
Semua kata lebur cuba mencerminkannya.

Dialah yang satu,
Dirinyalah rumah yang pemula,
Rahim, syurga di dunia,
Kalimah agung sepenyanyang sifatNya.

Dialah yang satu,
Sebermula hadir daku di sini,
Sebelum jantung ini mula berdetik,
Kasihnya telah sedia berputik.

Dialah yang satu,
Dari badannya & ruhnya diri ini diisi,
Jiwa, zahir, dan batin dibelai secukupnya,
Moga membesar menjadi insan berguna.

Dialah yang satu,
Nalurinya kuat tiada bandingan,
Tiada diperlukan sebarang perkataan,
Hanya sentuhan, meluputkan sempadan.

Dialah yang satu,
Tiga ganda keutamaan telah dijanjikan,
Meski tak mampu kuberikan balasan,
Moga bonda kekal dirahmati Tuhan.

Dialah yang satu,
Kucup kasih cinta buat bondaku,
Tulus seikhlas sedalam kalbu,
Selamat Hari Ibu.

Ekhwan Rusli,
10:00malam,
8 Ramadhan 1440H,
12 Mei 2019,

Nilai, Malaysia