BERSEMADILAH INSAN SEBELUM
KEHADIRAN RAMADAN

Bagai menyalakan sebatang lilin
gemalai cahayanya lembut bersinar
namun Ramadan dinanti hadir sendiri
dinanti di setiap saat berlari
kerana rindu semakin menjadi
Ramadan tetap tak mungkir janji.

Hadirlah sudah Ramadan
pernah dinanti terasa di hati diulit sangsi
setelah berhari dimain gelora gelisah
keraguan yang sering mengusik rasa
senyuman menguntum berbunga
diizinkan Tuhan lagi bersama.

Kehadiran Ramadan terselit juga takdir
insan yang pergi menunaikan janji
tanpa kesempatan menatap wajah Ramadan
kudrat Allah Azza Wajalla yang tiada dua
walau direncana bersama keluarga tanpa duga
dalam harap menatap Ramadan menjelang.

Pasti tiada lagi wajah seperti selalu
bersama menanti terbenamnya mentari
berbuka puasa solat berkeluarga
walau telah dipupuk rencana bersama
ibadah puasa akan disambut dalam gembira
kini bagaikan sinar yang telah sirna.

Air mata yang bergenang dan merembes
dari mata-mata yang layu dalam sendu
tika hembusan nafas tiba-tiba terhenti
lantas sebuah raga bertukar sejuk dan kaku
tanpa sempat mengucap pamit
sekadar diiring ucap kalimah keluarga penyayang.

Tiada lagi suara lembut mengajak bangun
dari tidur lena dimain mimpi mempesona
sebelum subuh hari mengajak menikmati
santapan sahur di ruang dapur
tika bola mata masih ingin terpejam
dan ada tangan lembut mengusik sayang.

Hilanglah sudah suaranya di awal pagi
tiada lagi wajah di muka pintu di pagi Ramadan
tiada lagi terlihat limbai tangan dan langkah kaki
tiada lagi terdengar tawanya yang riang sendiri
menatap kerenah anak-anak dan cucu disayangi
kini mencoret detik kenangan yang abadi
semoga bersemadilah di dalam ketenangan
di dalam alammu yang terpisah dengan duniawi.

(Buat kenangan insan yang telah pergi sebelum hadirnya
Ramadan).

Oleh:

Noorhamy.
Brunei Darussakam, 8 Mei 2019
, 1.30 AM.

TAMAT.