Zainal Rashid Ahmad – Panel
Ku Seman Ku Hussain – Panel
Dr Wan Hasmah – Moderator

Seperti dijangka, ZR lebih lantang dari KS dari segi vokal dan idea. Idea-idea dari ZR sangat idealististik memberangsangkan manakala KS kelihatan (dan kedengaran) lebih mengungguli tulisan berbanding syarahan.

Kedua panel mempunyai latar kewartawanan dan sastera yang mapan dan well-developed. Panel yang sangat sesuai dengan tajuk wacana.

Dengan kelantangan suara dan idea, ZR kedengaran lebih jelas berbanding rakan panelnya. Moderator pula berjaya membawa perbincangan mencapai objektifnya, sekurang-kurang objektif ZR.

Mesej utama ZR ialah sasterawan, persatuan sastera, sarjana sastera, penguasa sastera dan ahli politik mesti menyelamatkan sastera Malaysia yang sedang tenat.

Sasterawan jangan asyik bertanya berapa peratus royalti dan kenapa belum terima. Sarjana sastera harus berhenti dari membuat berbakul-bakul kajian yang tidak membantu menjana pemikiran sastera dalam kalangan rakyat. Penguasa sastera dan persatuan sastera mesti berhenti dari membuat majlis tak berfaedah dengan kegilaan menjemput exco dan menteri seolah-olah menjadi pra-syarat wajib. Ahli politik pula diminta jangan masuk campur dalam urusan sastera kecuali memberi peruntukan yang sewajarnya.

Khalayak sastera juga disarankan menanam pemikiran sastera dalam kalangan generasi muda untuk dituai kemudian hari. Ini bermaksud memasyarakatkan ‘pemikiran sastera’ sejak di peringkat awal. Bengkel penulisan harus mengutamakan pemikiran sastera berbanding teknik penulisan semata-mata.

Penyampaian syarahan secara lantang, menggunakan analogi dan pencitraan serta selitan kritikan pedas kepada khalayak sastera menjadikan suasana ruang agak hening, akan tetapi suasana dalaman mungkin bergelora. KS lebih banyak menggemakan (echo) pendapat ZR. Moderator yang merupakan pendidik dan sarjana sastera turut tersedak apabila profesinya dikritik.

Secara keseluruhannya, wacana ini berjaya memberi input serta cabaran kepada khalayak sastera untuk bertindak demi melestari dan menambah baik keadaan sastera Malaysia yang sedang tenat ini. Ia juga membuktikan bahawa ada juga penulis yang bagus memiliki lisan syarahan yang sama bagus walaupun tidak memiliki ijazah dan tanpa perlu menipu ijazah.

Oleh:

Dari perspektif:

Ibnu Din Assingkiri
10 Mac 2019.

TAMAT.