SYAIR TENTANG ILMU
(Dengan glosari)

Dengan bismillah kucipta syair,
darinya mula hingga ke akhir,
bukanku pandai bukanku mahir,
mana terlintas itu kuukir.

Syair dinukil tentangnya ilmu,
di mana saja boleh ditemu,
niatkan saja dalam hajatmu,
agar kehidupan tidaklah mumu.
mumu = bersedih

Benar pun ilmu senang didapat,
ada yang sampai hidup merimpat,
mencari ilmu waktunya sempat,
hidup pun senang berganda lipat.

Dalam al-Quran bertimbun ilmu,
mengerti maksudnya dapat ditemu,
setiap hari dibaca selalu,
sampai kandila usahlah jemu.
kandila = akan datang

Sedari kecil disuruh sekolah,
mesti mahu jangan baulah,
ibu bapa nanti dapat masalah,
kerana anak serbanya salah.
baulah = cerewit

Tersangat penting punyai ilmu,
meski siapa kalangan dirimu,
ilmu bagai seorang tamu,
hormati dia sepenuh hatimu.

Orang berilmu disanjung tinggi,
pasti tiada menerbit rugi,
boleh guna di berbagai segi,
ikut tempat ditumpang bagi.

Ilmu itu bermacam jenis,
bila dapat begitu ginis,
senyum selalu dikata manis,
jarang ada menerbit tangis.
ginis = cantik

Mencari ilmu kekadang jauh,
ada juga payah disuruh,
boleh perolehi sedikit separuh,
hujungnya nanti menghilang keruh.

Menjurus ugama begitu baik,
meski tujunya baturun banaik,
Allah menolong tiada serik,
kitalah harus menggali mengorek.
baturun banaik = turun naik

Mengarah juga pada keduniaan,
pasti ilmu banyak kegunaan,
antara syurga jadi idaman,
menempatkan diri tahu perbedaan.

Ilmu itu pendamping hidup,
usah jadikan ianya redup,
pahit manis mesti dihirup,
lancar dimanfaatkan bak minum sirup.

Kita hidup berlumba-lumbaan,
mencari ilmu sampai kajumpahan,
ada yang pantas juga perlahan,
sakit maung sabar pertahan.
kajumpahan = terjumpa

Tingginya mertabat sesiapa berilmu,
tuntutlah ia janganlah jemu,
sombong angkuh usah diramu,
ia bakal mengangkat dirimu.
diramu = dicari

Rakyat berilmu negara maju,
kitalah orangnya jadi penuju,
ilmu ibarat seluar dan baju,
tanpa berduanya tentulah malu.

Orang berilmu kekadang angkuh,
naik pangkat tak banyak tangguh,
di situ dia berdiri teguh,
kerana dipercaya fikirannya kukuh.

Itulah dia dipercayai ilmunya,
senang mudah orang berguna,
duduk di kalangan tiadanya hina,
nasibnya baik kunci sempurna.

Ada juga dikata sombong,
jeling bawahan bila bertembung,
hidungnya mimik kembang melambung,
di samping perutnya nampaknya kembung.

Sifat sombong memang tak bagus,
buat ramai jadi mendengus,
permukaan rata lagikan tembus,
inikan pula insan nan mulus.

Ilmu disebarkan jadi amalan,
jika mati jadi tinggalan,
pada yang hidup jadi ristaan,
doa ikhlas sepanjang zaman.
ristaan = kenangan

Ajar mengajar tak kunjung jemu,
pada sesiapa bila bertemu,
di mana saja membagi ilmu,
baiklah ada pada dirimu.

Jika ilmu pentingkan wang,
alamat kelak jadi terbuang,
lantaran banyak menutup peluang,
orang kecil tersingkir ruang.

Moleklah sedar mulai kini,
banyak ilmu menjadikan berani,
tidak kira ianya murni,
jika tak baik usah ladeni.

Ilmu keislaman banyak membantu,
berpandu teguh pada yang Satu,
hidup di dunia begini begitu,
jalan kebaikan pastilah tentu.

Ilmu ugama harus dituntut,
terus-menerus jangan terbantut,
berganding teguh memangnya patut,
agar fikiran tak setakat lutut.

Ingatlah duhai pencari ilmu,
kita insan wajib meramu,
serata dunia pasti ketemu,
tiada ilmu siapalah dirimu.

Demikianlah dulu boleh digarap,
tentang ilmu peninggi harap,
hidup aman jadi penurap,
masa depan terelak larap.
larap = hal tak baik

Mohon maaf andai tersalah,
ejaan bahasa nukil diolah,
apa jua apalah ulah,
diri kalangan rendah sekolah.

Nukilan:

Hj. Mariat bin Hj. Abdullah,
Brunei Darussalam.
Sabtu 3 Februari 2019.
(28 rangkap).

TAMAT.