Bil. 1/2018
Tarikh: 09.12.2018
Butiran: Sayembara Menulis Sajak “Aku Duduk Di Rumah Pada Sabtu Yang Remah”.
Hadiah: RM100 (sumbangan eSastera Enterprise).
Tempoh siaran penyertaan: Hari ini, Ahad 9.12.2018 @ 6.00 AM – 11:59 PM di sini.
Tema: Aku Duduk Di Rumah Pada Sabtu Yang Remah.
Keterangan: Tentang demonstrasi anti-ICERD di Malaysia pada Sabtu 09.12.2018 anjuran UMNO dan PAS. Lihat video yang disertakan dengan pengumuman sayembara:

PENYERTAAN:

Pada waktu tutup tempoh sayembara ini, pihak GAKSA telah menerima enam penyertaan yang berikut:
1. Ibnu Din Assingkiri – Aku Duduk Di Rumah Pada Sabtu Yang Remah.
2. As Syramy – Aku Duduk Di Rumah Pada Sabtu Yang Remah.
3. As Syramy – Doa Pendekku Di Atas Sejadah Dalam Rumah Pada Sabtu Yang Remah.
4. Ibnu Din Assingkiri – Aku Duduk Di Rumah Pada Sabtu Yang Remah – Fardu Ain Atau Kifayah?
5. Mohd. Dahri Zakaria – Suluk.
6. Ahkarim – Aku Pilih Duduk Di Rumah Pada 812, Melihat Album BERSIH.

KEPUTUSAN:
Penyertaan sedang dinilai.

-Admin
Kuala Lumpur, 10.12.2014 @ 11:57 PM.

SAJAK PENYERTAAN

1.

AKU DUDUK DI RUMAH PADA SABTU YANG REMAH

Melayu cari agama
yang semakin remang
dek malas mengaji
dan malas mengkaji
lalu menjumpainya
di syarah politikus
di motif baju T
di topeng anarki
di jalan-jalan kota
Melayu cari penat
Melayu cari sesak
Melayu cari panas…,
Melayu ditarik ke hulu
Melayu ditarik ke hilir
Melayu cari penunggang
kerana Melayu sedia
menjadi kuda setia.

Di rumahku

Ibnu Din Assingkiri.
8122018

2.

Sajak :

“Aku Duduk Di Rumah Pada Sabtu Yang Remah”.

Sabtu tanggal delapan Disember
manusia bersesak di Dataran Merdeka
Ratifikasi ICERD sebab himpunan
bantah
tentang
tunjuk perasaan
syukur?

Sedang aku ralit di rumah
hirup kopi ‘o’panas cicah biskut kering
“Ahhhhhhh, nikmatnya kopi ini”
biarpun remah dan rimas rasanya.

Secawan kopi dan biskut kering
cukup untuk menghangatkan jasadku di rumah
sehangat himpunan di Dataran Merdeka.

-As Syramy
Bendang Pauh, 08 1331H Dis 2018

3.

Sajak :

Doa pendekku di atas sejadah dalam rumah pada Sabtu yang remah

Ya Allah,
Satukanlah Umat Islam
kerajaan
pembangkang
menentang “Kafir Harbi”
yang menentangMu
yang memusuhi Melayu
yang ingin menguasai tanahair.
Amin Ya Rabbal Alamin.

-As Syramy
Bendang Pauh, 09 1147H Dis 2018

x. Sajak :

Doaku Di Sejadah Dalam Rumah Pada Sabtu Yang Remah

Syukurlah aku, Ya Allah duduk kami di rumah
daripada ke jalanan
bersama Najib dan Rosmah.

Telah engkau tunjukkan kami
untuk menolak pemimpin yang tamak harta
walaupun antara kami
masih ada yang tersilap agama.

Kami di rumah dan tidak di jalanan
maka tunjukkan kami
jalan yang lurus
semua kami
supaya Islamlah semua kami
dalam Pakatan Harapan.

Amin Ya Rabbal Alamin.

-Irwan Abu Bakar Kuala Lumpur, 9 Dis 2018.

x. Sajak:

Ber-Sabtu Bersama Naquib

Zahid, Rosmah, dan Najib
Turun ke jalan bersama kami
Itulah bukti Sabtu ini
Mereka sebenarnya Melayu naquib.

RM6.2 bilion yang lesap
Itu bukan untuk mereka
Mereka ambil cara berhemah
Untuk parti
Dan untuk kami
Untuk Melayu.

Memanglah Cina marah
RM6.2 bilion itu
Dapat kayakan Melayu
Semua Melayu
Papa-kedanalah jadinya Cina.

Bodohnya Melayu PH
Sokong Cina
Para naquib kita nak didakwa.

Engkau Melayu yang di rumah
Dan menggelar Sabtu ini remah
Bertaubatlah cepat sebelum kita semua kena hambat
Oleh Cina keparat.

-Irwan Abu Bakar
Kuala Kumpur, 9.12.2018.

4.

AKU DUDUK DI RUMAH PADA SABTU YANG REMAH FARDU AIN ATAU KIFAYAH?

Ayuh bantah ICERD sambil
nyanyi lagu 1 Malaysia
syukur tolak ICERD sambil
nyanyi lagu 1 Malaysia
ironi apa motif berhimpun
tolak hak persamaan sambil
nyanyi lagu 1 Malaysia
sama-sama padu suara
dengan sang kleptokrat
berganding tangan yang
pernah membeli tas tangan
semahal rumah teres agam
dalam komuniti berpagar
dengan wang punca 1MDB
kepada isteri berselera tinggi…
:Fardu ain atau kifayah?

Bukit Juru
09122018

IbnuDinAssingkiri

5.

SULUK

Orang memilih turun ke jalanraya, sedang aku memilih bersuluk dipenjuru rumah
pagi sabtu yang ranum, jiwa kami bertembung, dalam resah dan bising suara, kami berpadu diruang yang tidak terburai
melontar suara, niat, iktikad, resah dan gelisah
berpadu dan mengapung ke langit.

Siapa juga wajah mereka, atas nama agama – mereka memilih untuk berpadu.

Mohd. Dahri Zakaria
Yang Tak Turun Berdemo

6.

AKU PILIH DUDUK DI RUMAH
PADA 812, melihat album BERSIH

Tanpa tembakan cecair pemedih mata
tanpa kejar soldadu topi merah
tanpa gerombolan upahan bikin kecoh
tanpa ancam disumbat dalam Black Maria
apa ertinya himpun ini?

Ah, sekadar pekik takbir@takdir!
sekadar doa meminta pendek umur
sekadar berhimpun memekik syukur
sekadar berbusana luntur
sekadar bermelayu berislam di kata-tutur
apa ertinya himpun ini?

Apabila pemerintah bilang “bagus,
silakan berhimpun
sebagai tanda menyokong kami”
gila apakah lagi himpun ini?

Hey, lihatlah, Paris sedang terbakar
Itu demonstrasi sebenar!

ahkarim, as-syajarah..91218

TAMAT 1.

KEPUTUSAN

Pemenang hadiah RM100: (Paid)

Sajak: AKU DUDUK DI RUMAH PADA SABTU YANG REMAH

Pengkarya: Ibnu Din Assingkiri.

ALASAN PENGADIL:

Tema: Tepat.
Kandungan: Padat.
Peresembahan: Kata-kata tepat; susunan menarik dan unik.

TAMAT.